Monthly Archives: September 2014

JULIA – BAB 2

Kain biru dan merah saga di atas katil diambil dan dimasukkan ke dalam beg galasnya.Sekilas dirinya dilihat di cermin dan dia melangkah keluar dari bilik.
Hasil lawatan ke kilang kain tempoh hari,Prof.Suria meminta semua pelajar menggabungkan dua warna kain yang diberikan untuk menghasilkan sehelai pakaian yang belum pernah dilihat.Dan masa yang diberi pula hanya tiga hari.
Jam yang menunjukkan jam 3 petang dipandang.Uminya masih lagi di kedai dobi milik keluarga mereka,dan abinya masih lagi di pejabat universiti.Walaupun abinya,En.Amir merupakan seorang pensyarah tapi dia tidak pula belajar di universiti yang sama dengan abinya.Lagipun abinya bukanlah mengajar jurusan yang diambil Julia.
“Berangan ke?”sapa Has yang sedari tadi menunggu di dalam proton Iswaranya.
Julia senyum.Memang janjinya dia mahu keluar bersama Has jam 2.45 petang,tapi dia terlajak tidur pula.Jam locengnya pula lupa dikunci.”Terlajak bobok la..”
Has mencebik,memulakan pemanduannya.Memang sedia maklum antara Julia dan dirinya,dia lebih menepati masa.Kereta dipandu menuju ke kedai jahit yang dipunyai oleh Dato’ Norman,papanya.

*…………………..*

Luqman panik apabila terlihat proton Iswara milik Has terparkir kemas di lot parking milik majikan syarikat itu.Bagaimana pula dia boleh terlupa bahawa hari ini Has akan membawa Julia datang untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka?Sedangkan sudah beberapa kali Has asyik bercerita pada papa dan mama.
Niatnya untuk melangkah masuk dibatalkan.Dia mengatur langkah ke kereta semula.Baru sahaja pintu kereta dibuka,suara itu menegurnya,”Abang!”
Luqman menarik muka.Wajah dipaling memandang belakang,menatap wajah adik kesayangannya dan wajah itu,Julia.
“Abang datang buat apa?”Has menyoal,jarang abangnya yang satu itu datang ke syarikat.Selalunya dia lebih suka turun ke kilang kalau ada apa-apa hal.
Luqman menggigit bibir,inilah adik yang paling susah dilayan,”Papa suruh tengok En.Hamid keluarkan stok baru”.
Has mengangguk,”Mana papa?”
“Dia bawa mama keluar.Hari ni kan birthday mama..”
Has mengangguk lagi.”Abang tahu kan hari ni Has nak datang siapkan assignment?”
Luqman mengangguk.Has menoleh memandang Julia yang berdiri agak jauh dari mereka,sahabat baiknya itu dipanggil”Julia,sinilah”.
Julia bergerak maju ke depan.Senyuman tidak lekang dari bibirnya.Tidak sangka pula boleh berjumpa Luqman hari ini.
“Abang..”Has membulatkan matanya,meminta Luqman menegur Julia.Abangnya yang satu ini memanglah,siang malam hanya Julia,Julia dan Julia hingga dia sendiri naik bosan.Tapi bila berjumpa dengan yang empunya badan,lidah kelu seribu bahasa.
Julia ketawa kecil melihat reaksi Luqman.Dan dia menegur,”Hai,Abang Hakim”.
Luqman tersenyum nipis.Mengangguk,memang dari dulu hanya Julia saja yang memanggil dirinya Hakim.Semuanya bermula 17 tahun dulu.

*……………….*

Suara tangisan itu memberhentikan kayuhan Luqman.Matanya tercari-cari dari mana suara itu datang.Has yang dibonceng merengek apabila basikal itu berhenti tiba-tiba.
“Kejapla..adik dengar tak suara orang nangis?”
Has diam.Memandang abangnya yang sudah turun dari basikal untuk mencari suara tangisan itu.”Adik nak balik!”rengek Has lagi.
Luqman memandang Has yang baru berumur 6 tahun.Manja betul!
Tapi suara tangisan itu kedengaran lagi.Luqman tercari-cari lagi suara itu.Apabila dia menoleh ke arah basikalnya,Has sudah tiada.Luqman mengerutkan dahi,mana pula Has pergi?
“Has!Has!”panggil Luqman.
“Abang..”terasa bajunya ditarik seseorang.Luqman menoleh lagi,terkejut adiknya berpegangan tangan dengan seorang budak perempuan lebih kurang sebaya adiknya.
Luqman yang memiliki ketinggian melebihi kedua kanak-kanak itu lalu duduk mencangkung memandang budak perempuan yang muncul entah dari mana.
“Nama siapa?”
“Julia”.
“Rumah kat mana?”
“Tak tahu”.
Luqman diam.Bagaimana dia mahu menghantar budak perempuan ini pulang ke rumahnya?
Has tersenyum tiba-tiba,”Apa kata Ju ikut Has balik rumah mama?”
Luqman memandang adiknya,biar betul!Mahu bawa Julia pulang ke rumah,sudahlah baru saja berkenalan tidak sampai sejam lalu.
“Ju,ni abang kita,Ju boleh panggil dia Abang Hakim.Abang,kita bawa Ju balik boleh?”
Luqman diam.Aneh sungguh sikap adiknya hari ini,selalunya Has tidak suka budak perempuan lain datang ke rumah,ini mahu membawa budak perempuan bernama Julia ini pulang ke rumah pula.
Serentak itu,sebuah kereta Kenari berwarna emas berhenti di sisi mereka.Seorang wanita bertudung dan berbaju kurung turun dari kereta,”Ju!”
Julia tersengih,”Umi!”
Wanita itu langsung mendukung Julia dan menciumnya berulang-kali.Dan turun seorang lelaki dari tempat pemandu.
“Ju pergi mana?Puas umi dengan abi cari,kan dah cakap jangan main jauh-jauh”.
Julia sengih,tangannya menunjuk ke arah Has dan Luqman.
“Kami jumpa anak mak cik tengah menangis.Tadi adik saya jumpa dia”Luqman menerangkan dengan bahasa sekolah rendahnya.
“Terima kasih,adik tinggal mana?Biar mak cik hantarkan..”
“Tak pelah,saya Luqman.Ni adik saya,Has.Rumah kami kat depan tu je”.
Wanita itu mengangguk.Dan dia beredar bersama anak dan suaminya.
Tidak sangka pula setahun selepas itu,Has sibuk bercerita tentang Julia yang ditemui semula.Mereka mendaftar di sekolah yang sama.Tetapi Luqman tidak sempat belajar bersama Julia kerana dia sudah berada di darjah enam yang mengambil sesi pagi,manakala Has dan Julia yang baru darjah satu belajar di sesi petang.
Apa yang menyebabkan dia hampir setiap hari berjumpa Julia adalah disebabkan Has yang hampir setiap hari mengajak Julia bermain dan belajar di rumah mereka.

*……………….*

“Abang berangan ke?”Has menyiku Luqman.Hairan melihat abangnya dari tadi diam tak bergerak.
“Abang!!”Has menjerit di telinga abangnya.Julia ketawa kecil melihat gelagat Has.
“Abang dengarlah..”Luqman memandang Has kegeraman.
Has melipat tangannya,”Kalau dengar,kenapa tak jawab?”
Luqman diam.Has memang mengganggu ‘saat mengenang memori’nya.
“Abang dengar tak Has cakap apa tadi?”
“Apa?”
“En.Luqmanul Hakim Dato’ Norman,boleh tak bawa tetamu kita Cik Julia Aleeya ke kedai jahitan di dalam syarikat sekarang?”
Luqman senyum.Memandang Julia,”Jom,Lia.Jangan dilayan sangat Has ni..”
Has mengerutkan dahi.’Kureng’ punya abang,dia pula yang ditinggalkan?
“Abang!Tunggulah!”

*……………..*

Setelah kedua-dua beg bertukar tangan,tangan dijabat tanda urusniaga selesai dijalankan.
“I suka kerja sama you.Mudah..”
Salim senyum.Nizam juga ikut senyum.Urusniaga kali ini benar-benar berjalan dengan lancar.Semuanya mudah sekali.Jalannya licin tanpa ada halangan dari pihak lawan mahupun pihak berkuasa.
“Ok,Mr.Leong,you boleh minum sepuasnya malam ni,I belanja!!”
“Bagus ma!”Mr.Leong ketawa mengekek apabila dua orang gadis berpakaian ‘kain tak cukup’ datang padanya.Salim bersama Nizam dan beberapa orang pengawal meninggalkan Mr.Leong bersuka ria di dalam bilik yang disediakan itu.
Salim mengatur langkah menuju ke pejabatnya yang terletak di bawah tanah kelab malam itu,tapi langkahnya berpusing apabila teringat sesuatu.
“Nizam”.
“Ye,bos”.
“Aku nak kau bagi tip untuk semua pelayan malam ni,seorang RM400,kita dah pancing ikan besar,mesti boleh makan besar punya lah”Salim ketawa sendiri.
Nizam tersenyum,bangga sungguh melihat bosnya puas hati atas urus niaga yang baru saja diselesaikan.
“Aku tak jadi masuk officelah,kau hantar aku balik sekarang.Aku nak tengok alat yang En.Indra hantar.Peranti yang aku pesan kau dah uruskan?”
Nizam mengangguk,nampaknya bos mengambil berat perihal kamera ini.Apa yang mahu dilakukan sebenar-benarnya?

*……………….*

Luqman merenung lama gambar Julia yang terdapat di tangannya.Terbayang wajah riang Julia ketika di kedai jahit kelmarin.Sejak sama-sama menuntut di universiti mereka sudah jarang punya masa sebegitu.Apatah lagi sama-sama menuntut di universiti berlainan dan mengambil jurusan berlainan.
Dulu,mereka sering meluangkan masa bermain bersama.Apatah lagi,sikap Has yang memang suka ‘memberi laluan’ pada dia dan Julia.
Luqman ketawa sendiri apabila teringat kali pertama dia memanggil Julia dengan panggilan Lia.Ketika itu dia sebenarnya memanggil Julia,bukannya Lia.Tapi entah bagaimana,yang kedengaran di telinga Has dan Julia adalah Lia.Akhirnya nama itu yang terlekat di bibirnya,Lia.Has pula tidak habis-habis memerlinya.
Luqman menarik nafas.Tinggal seminggu saja lagi dia akan pulang semula ke universitinya yang terletak di Pulau Pinang.Sempatkah dia memberitahu isi hatinya pada gadis bernama Julia Aleeya?

*………………..*

Julia memeriksa jumlah wang di dalam dompetnya.Hari ini dia harus membayar yuran buku latihan yang baru diberikan oleh Dr.Fahim kelmarin.Tapi wangnya tidak mencukupi.
Mahu meminta pada abi segan pula.Belanja bulanannya semua sudah dimasukkan ke dalam bank,Julia memang tidak suka memegang duit di tangannya kerana itulah sebaik mendapat duit daripada abi,dia akan menyimpannya di dalam bank.
Julia menarik nafas,’Nampaknya habis kelas nanti,kena ajak Has singgah banklah..’

*………………..*

Salim berjalan meneliti semua ahli-ahli projek besar yang bakal dijalankan.Nizam setia di sisinya melihat bos melakukan pemeriksaan.
“Kau orang ingat tak apa aku pesan?”
“Jangan berlembut,jangan mengalah,jangan cari perhatian”ucap lapan manusia itu serentak melaungkan prinsip Helang Hitam.
“Bagus!Kalau ada orang yang kacau kerja kita,aku nak kau orang habiskan je,baru tahu langit tinggi ke rendah!”
Nizam maju ke depan.”Bos,dah sampai masa”.
Salim mengangguk.Peranti yang dihulur Nizam dipasang di setiap baju anak-anak buahnya.Petang ini,mereka pasti pulang membawa hasil yang lumayan.
“Jom gerak sekarang”.

JULIA – BAB 1

Nukilan dan cerita ini direka khas buat kawan bernama Mah dan Lela…

. BAB 1

Tega ku berdiri sepanjang malam
Mengintai dada langit yang tersergam
Demi menitip doa dan impian
Di saat melintas Sang Kelodan
Kau disisiku sentiasa Julia

Ku dambakan kita hidup bersama
Sepasang kekasih teman yang setia
Asalkan kau sudi ku kan bahagia
Kerna ku percaya jiwa kita satu tak terpisah
Julia

Biar malam mengundang hujan
Hadiahkan jutaan rintangan
Niat yang asal tetap kan ku kotakan
Hendaknya hajat ku kesampaian
Kau di sisiku sentiasa Julia

Ku dah cuba hidup tanpa dirimu
Terbukti duniaku haru biru
Mudah hilang punca dan arah tuju
Fikiran meracau tak menentu
Hariku kelabu

Bantulah aku bantulah Julia
Katakanlah padaku kau juga sama
Sama merasa sepertiku Julia
Kita menjejak erti cinta yang sama

Pintu biliknya yang sudah terbuka sedikit ditutup semula apabila telinganya menangkap sesuatu bunyi dari bilik sebelah.Lalu langkahnya diatur laju menonong masuk dan langsung menutup radio yang enak mendendangkan lagu Julia kegemaran abang kesayangannya.
“Cik Mukrimah Muhasibah,kalau sehari tak ganggu ketenangan abang tak boleh ke?”
Mukrimah Muhasibah atau lebih mesra dipanggil Has tersengih.Langkahnya diatur menuju ke katil untuk mendapatkan tempat duduk.”Abangla..”
“Apa abang-abang?”
“Encik Luqmanul Hakim,sudah berapa kali Has cakap kalau abang minat sangat dengan Ju pergilah masuk meminang..kalau melepas nanti abang yang rugi..”
Luqman memandang wajah adiknya yang satu-satunya itu,”Apa yang Has merapu ni?”
“Eleh,kita ni dua beradik je bang.Macamlah Has ni baru jadi adik abang semalam.Has tahula abang dah cinta mati dengan Ju.Suruh masuk meminang tak nak.Tak tahu ke dekat U tu Ju ramai peminat tau…”sengaja Has mahu melihat reaksi abangnya.
Luqman diam.Julia,satu nama yang tidak asing lagi baginya.Sudah berapa lama dia menyimpan perasaan terhadap gadis yang merupakan teman rapat adiknya itu,dia sendiri kurang pasti.Apa yang pasti sudah berapa tahun berlalu,perasaanya masih sama bahkan makin bertambah hari ke hari.
“Tengok,Has cakap termenung,Has cakap termenung.Apalah abang ni,”Has bangun dan melangkah keluar,tapi sempat dia menjenguk dan berkata”Lagi satu,Has tutup lagu tu sebab Has tahulah kalau abang dengar lagu Julia yang dah berkurun tu sampai esok lagu yang sama je..”

*……………….*

Selesai menunaikan solat fardhu subuh,dia mengambil kitab suci alQuran untuk dibaca.Namun belum sempat mengucap Basmalah,telefon bimbitnya menjerit minta diangkat.Julia menutup kitab suci itu dan menjawab panggilan yang diterima.
“Assalamualaikum”salam diberi.
“Waalaikummussalam.Ju,Has nak kasitau ni..”
suara Has kedengaran dari corong telefon.Julia menanti kata-kata seterusnya dari Has.
“Has ada depan rumah Ju”.Kata-kata Has membuatkan Julia terdiam sebentar.Langsir bilik diselak sedikit,terkejut mendapati sebuah Proton Iswara berada di hadapan rumahnya.
“Kenapa Has datang pagi-pagi buta ni?”Julia menyoal sambil melipat telekungnya.AlQuran yang diambil tadi juga sudah disimpan semula di almari.
Has diam sebentar,lupa ke dia ni?”Kan semalam dah janji nak ambil lepas subuh,ingat tak hari ni hari apa?”
Julia membulatkan matanya.Sungguh,dia terlupa.Hari ini Prof.Suria akan membawa kelas mereka melawat ke kilang kain.Sudah,mujur dia sudah mandi sebelum subuh tadi.Panggilan dimatikan,laju-laju Julia menyiapkan diri.Selesai bersiap,dia langsung berlari menuruni tangga.
“Abi,umi”Julia menghulurkan tangan pada abi dan uminya yang sedang menonton motivasi pagi di kaca televisyen.
“Kenapa kelam kabut sangat ni?”uminya,Anisah menyoal.
Julia sengih,pipi Anisah dicium”Ju lupa hari ni ada lawatan,takut lambat.Has dah ada kat luar tu”.
Amir menggeleng melihat tingkah anak sulung merangkap anak bongsunya itu.”Jaga diri.”
Julia mengangguk mendengar pesan abinya.Masuk sahaja kereta,Has menyoal”Macam mana Ju boleh lupa?Selalu dia yang semangat sangat kalau ada lawatan-lawatan ni..”
“Terlupa,bukan sengaja lupa tau.Dia orang dah gerak ke?”
“Belum.Tapi prof dah mula cek kehadiran tu.”
Julia mengangguk dan Has pun memulakan pemanduan.

*…………………*

Dua pemuda berkot hitam itu melangkah masuk ke dalam bilik dengan terketar-ketar.Walaupun bilik itu berhawa dingin,namun kedua_duanya tetap berpeluh.
“Bos”panggil seorang lelaki yang berdiri di sisi meja besar itu.
Kerusi pejabat itu berpusing memperlihatkan wajah si tukang duduk.Di tangannya,sebilah pisau dijadikan alat mainan.
“Ada sesiapa yang boleh terangkan perkara sebenar?”
Diam.Baik pemuda yang dihadapkan dan semua pengawal di bilik itu mendiamkan diri.Lelaki yang dipanggil bos tadi memandang pembantunya yang setia di sisi meja besar,”Nizam”.
“Baik bos.”Jari dipetik dan masuk seorang lelaki berkot hitam lainnya membawa sebilah parang yang baru diasah.Nizam mengambilnya dan menghulurkannya pada lelaki yang dipanggil bos tadi.
“Apa yang kau orang buat sebenarnya?!”suaranya meninggi menyatakan kemarahan yang sedang meledak.
“Kami…kami..”seorang dari pemuda itu terketar-ketar mahu menjawab.
Nizam melangkah ke arah pemuda itu.Kolar baju ditarik hingga tubuh pemuda itu sedikit di awangan”Kalau bos tanya,jawab.Bukan main-main macam ni”dan pipi keduanya ditampar lembut.
Pemuda yang seorang lagi langsung duduk melutut”Minta maaf bos,kami salah.Kami minta maaf sangat-sangat.Kami salah,kami janji kami tak buat lagi.Bos..”
“Ada aku kata aku nak kau minta maaf?Aku nak jawapan,apa yang kau buat sampai barang boleh terlepas kat orang lain?Sekarang ni,Mr.Thiti dah mengamuk sebab dia tak dapat barang tapi duit dah ada dengan kau.Aku hantar kau dengan kawan kau lagi sorang ni,untuk berurus niaga,bukan cari fasal.”
“Nizam”panggilnya.Nizam maju menghadap.Lelaki yang dipanggil bos itu memandang”Hal ni aku suruh kau uruskan.Betul?”
Nizam mengangguk dan dia menyambung lagi,”Sepatutnya sekarang urus niaga ni dah selesai kalau kau hantar orang yang betul.Ni beruk mana kau kutip?”
“Maaf bos,mereka berdua ni adalah orang bawahan saya.Tapi memang dia orang dah biasa buat kerja ni,cuma kali ni..”ayatnya termati dan dia memandang dua pemuda itu.
“Kau orang tahu nama aku?”
Dua pemuda itu mengangguk ketakutan.Hukuman apa pun boleh diterima selagi mereka terus diberikan hak untuk hidup.Tapi itupun kalau bernasib baik.Apatah lagi Mr.Thiti merupakan salah seorang pelanggan terbesar mereka.
“Apa nama aku?”
“Salim”ucap keduanya serentak.
“Apa?”
“Salim”ucap keduanya lagi.
“Apa nama aku?”
“Salim,bos”keduanya meninggikan suara selantang yang mungkin.
“Jadi kau dengan kau”Salim menunjuk ke arah mereka menggunakan pisau yang sedari tadi dimain”Terangkan pada aku sekarang juga,apa yang berlaku sebenarnya?!”dan pisau itu dibaling tepat melalui celah kepala kedua pemuda itu dan tercucuk di papan yang tergantung di dinding.
“Sebenarnya kami diserang bos”ucap salah satu pemuda itu.
Salim mengerutkan dahi,”Kena serang?Barang kena rampas?”
Kedua-duanya mengangguk.Salim memandang mereka,memastikan keduanya tidak mereka cerita.Parang yang diberi Nizam tadi diambil dan dicampak ke bawah,jatuh tepat di hadapan kedua pemuda itu,”Aku tak kisah kena serang tak kena serang,sekarang ni aku nak kau orang rampas balik barang tu dan buat apa saja untuk pastikan Mr.Thiti tak cari orang lain selain orang helang hitam,faham?”
“Baik,bos”ucap keduanya kelegaan,mujur masih diberikan peluang.
“Kalau tak parang depan mata kau orang akan jadi saksi saat akhir dalam hidup”.
Keduanya mengangguk lagi.Salim membuat isyarat tangan menyuruh mereka keluar langsung menyiapkan tugas yang diberi.Hingga tinggal dia dan Nizam berdua,”Macam mana pelan untuk projek tu?”
“Semua dah siap bos.Sekarang cuma tinggal masa bertindak”.
Salim mengangguk-angguk,”Bagus.Kau dah kira masa yang kita ada?”
“Paling lama lima minit,bos.Tapi saya dah atur orang yang biasa,rasa tiga minit dah selesai.”
“Bagus,kau dah tengok bila tempat tu clear?”
“Kira-kira dua minggu lagi.”
“Bagus,tak sia-sia aku ambil kau jadi orang kepercayaan aku”puji Salim dan Nizam tersenyum,”Kalau macam tu,aku nak kau jumpa En.Indra untuk uruskan hal kamera”.
Nizam mengangguk dan mengatur langkah.Apa yang bos mahu lakukan dengan kamera?Dalam projek sebelum ini tidak pernah pula bos menggunakan kamera sebagai salah satu alat utama.Apapun,En.Indra harus ditemui dahulu.Pintu bilik pejabat itu ditutup,tertera di pintunya :
‘SALIM NU’MAN’
‘H E L A N G H I T A M’