JULIA – BAB 7

Jari-jemarinya mengetuk stereng kereta mengikut alunan lagu yang berkumandang dari radio.Habis saja lagu Ada-Mu nyanyian Najwa Latiff itu,radio langsung ditutup.Seketika dia mengerut dahi,memandang jam kereta.
Sudah hampir satu jam dia setia menunggu,tapi bukan saja batang hidung,bayang Julia pun dia tak nampak.Ke mana pula sahabatnya itu? Selalunya Julia tidak pernah selewat ini.Kalau benar dia lewat sekalipun,dia akan memberitahu sebab kelewatannya.Tapi ini…
Telefon bimbitnya dikeluarkan.Nombor Julia dihubungi.Tiada jawapan.Has mendail lagi tapi masih tiada jawapan.Perasaannya mula tidak enak.Tidak mahu menunggu lebih lama,Has terus saja memandu proton Iswaranya menuju ke ‘Juwita Aleeya’.

*…………….*

Papan kekunci telefon bimbitnya dipandang.Rasa hatinya kuat mengatakan dia harus menelefon Julia.Tapi dari tadi telefon bimbitnya hanya dipandang.
Luqman akhirnya mendail nombor Julia yang sedia tersimpan.Lama menunggu tiada jawapan.Telefon itu seolah dibiarkan berbunyi hingga ia berhenti sendiri.
Luqman mendail lagi berulang kali tetapi masih juga tidak dijawab.Dia mula resah.Julia tidak pernah tidak menjawab panggilannya.Walaupun tiada apa yang dibualkan,Julia tetap akan menjawab panggilannya.
Nafas ditarik,apakah ini hanya rasa hatinya ataupun memang ada sesuatu yang menimpa pujaan hatinya?

*……………….*
“Assalamualaikum”.
“Waalaikummussalam” salam dijawab.Wanita di kaunter itu mengangkat wajahnya memandang sang empunya suara yang memberi salam.
“Cik Nisah” Has tersenyum,cuba menyembunyikan kerisauan yang bersarang di hati.
Anisah tersenyum.”Has”.
“Cik Nisah nampak Ju tak?”
Anisah terdiam.Has menyoal tentang Julia? Sudah lebih satu jam lalu Julia keluar menemuinya.
“Cik Nisah” panggil Has menyedari Anisah termenung.
Anisah menarik nafas,”Dah lebih sejam Ju keluar jumpa Has.Has tak jumpa dia?”
Has mengerut dahi,benarkah kata-kata Anisah.Tapi lama dia menunggu tidak pula gadis itu ditemui.Has laju menggeleng.
“Ju…”ucap Anisah perlahan.Ke mana pula puteri tunggalnya itu?
Has mundar-mandir di hadapan kaunter.Anisah sibuk menghubungi Julia tapi panggilannya dari tadi tiada jawapan.Keduanya mulai panik.
“Has dah cuba telefon kawan lain?”
Has menggeleng.Memang dia belum bertanya pada kawan-kawan lain.Tapi kawan mereka bukanlah ramai sangat.Kerana Julia hanya bersama dirinya saban hari.Untuk melegakan hati dia tetap juga menghubungi rakan-rakannya yang lain.Kalau-kalau mereka ada terlihat Julia.
Anisah dan Has berpandangan sesama sendiri.Keduanya menemui jalan buntu pabila semua yang dihubungi tidak melihat kelibat Julia.Anisah menggenggam jemarinya.Ke mana Julia?
“Macam nilah,” Anisah membuka suara,”Apa kata Has cuba cari sekitar kawasan ni dulu? Biar Cik Nisah cuba telefon Cik Amik kalau-kalau dia tahu.Kalau tak,kita tunggu je lah sampai esok.Lebih 24 jam,kena buat laporan polislah”.
Has mengangguk.Tiada lagi senyuman di wajahnya.Apa yang dia fikirkan hanyalah keberadaan Julia.

*…………….*

Pandangannya yang gelap mula bertukar cerah.Matanya terbuka perlahan-lahan.Lama dia meneliti keadaan tempat itu.
Julia mendudukkan dirinya sebaik menyedari dia bukan berada di bilik sendiri.Perkara pertama yang diperiksa adalah keadaan diri.Pakaiannya masih sama,tiada sebarang perubahan.Begitu juga tudung,masih tersarung di kepala dengan kemas.
Beg,di mana pula begnya? Matanya melilau meneliti keadaan bilik itu.Soal beg dilupakan buat sementara.
Bilik itu benar-benar mewah,dan menepati apa yang menjadi kesukaannya.Bilik yang menggunakan penghawa dingin bersuhu sederhana itu dicat menggunakan warna hijau cair.Hijau memang menjadi warna pilihan pertamanya dalam segala hal.
Julia bangun dan melangkah ke almari buku yang disediakan.Ada dua buah almari buku,yang keduanya mengandungi buku-buku yang berbeza.Almari yang pertama terletaknya buku-buku sejarah Islam,sejarah-sejarah Rasulullah S.A.W,kisah para nabi dan wali,juga kisah-kisah keagungan Islam yang lainnya.Almari yang kedua pula terletaknya novel-novel remaja dan dewasa.Novel cinta,misteri,penyiasatan semuanya ada.
Sebuah novel diambil dan diselak helaiannya.Keadaan novel itu membuktikan novel itu memang baru.Mungkin saja Julia adalah orang pertama yang menyelaknya.
Langkah kaki diteruskan ke almari baju pula.Terkejut Julia membuka almari itu.Nampak macam kecil tapi bila dibuka ianya sangat besar.Tudung tersangkut rapi.Julia menyentuh salah satu tudung itu.Tudung yang menepati cita rasanya.
Pandangannya beralih ke ruang sebelahnya.Blouse paras peha tersusun rapi,dan sebelahnya adalah blouse paras lutut.Juga disertakan beberapa pasang baju kurung dan juga beberapa helai jubah.
Julia memandang ke ruang sebelahnya lagi,merupakan ruang terakhir di bilik itu.Terdapat t-shirt yang berbilang warna tapi tidak ada walau sehelai yang berwarna hitam.Di ruang bawahnya tersusun seluar berwarna hitam yang terdiri dari berbagai jenis dan saiz.
Julia diam.Dahinya sedari tadi berkedut membongkar isi bilik mewah itu.Julia menunduk,membuka laci pertama.Tersusun pakaian dalam yang terdiri dari berbagai warna.Bertambah kerutan di dahinya.Dan laci kedua ditarik,tersusun stokin yang menurut Julia boleh diguna pakai seumur hidup.
Julia menarik nafas sedalam mungkin.Matanya dipejam lama,merehatkan pandangan yang dari tadi mengejutkan.Matanya beralih pada sebuah meja di sudut bilik itu.Di atasnya terdapat lampu belajar bersaiz kecil berwarna hijau.Juga terdapat sebuah kotak pensil dan beberapa buah buku tulis yang terdiri dari pelbagai saiz dan warna,semuanya masih kosong dan belum bertulis apa pun.
Langkah kaki diteruskan ke bilik air.Bilik air yang pada Julia menakutkan kerana terlalu luas.Agaknya bilik air itu mengambil ruang separuh dari bilik Julia yang sebenar.Disertakan pelbagai jenis paip,ada tab mandi yang berada di sebalik langsir,juga ada sebuah almari gantung kecil yang terletaknya tuala mandi.
Julia menutup lampu dan pintu bilik air.Langkahnya perlahan menuju ke sofa yang terdapat di bilik itu.Bilik sebesar yang sangat besar menurutnya,tapi tiada walau sepasang telekung dan senaskhah alQuran.
‘Macam manalah bilik mewah macam ni tak de telekung dengan Quran?’ monolog Julia sendirian.
Jam dinding dipandang.Sudah pukul dua tengah hari,pastinya sudah masuk waktu zohor.Tapi Julia tidak tahu dia di mana,negeri apa.Yang pasti dia masih berada di Malaysia.

*…………….*

Amir dan Anisah mundar mandir di ruang tamu rumah mereka.Has juga ada bersama.Dia tidak mahu pulang malam ini.Katanya dia akan tidur di bilik Julia.Amir dan Anisah memberi keizinan memandangkan Has sudah beberapa kali tidur di situ menemani Julia.
Anisah duduk.Air matanya sudah tidak terkira,asyik mengalir dari tadi.Sungguh dia sangat merisaui keadaan Julia.Mengapa Julia hilang tiba-tiba saja?
Amir duduk di sisi isteri tercinta.Menenangkan keadaan isteri yang gundah.Has hanya menjadi pemerhati.Hari ini dia benar-benar letih.
Letih fizikal juga mental.Letih mencari Julia sepanjang hari,menghubungi sana sini.Letih memikirkan keselamatan dan keadaan Julia Aleeya,sahabat tercinta.
“Has” Amir memanggil.
Has memandang.Amir mengukir senyuman paksa,”Has belum solat zohor,kan? ”
Has mengangguk.
“Has naik rehat dulu.Cik Amir dengan Cik Nisah pun nak solat dulu.Nanti lepas asar kita cuba cari Ju lagi”.

*……………..*

Julia memegang tuala besar yang diambil dari bilik air.Masalah telekung dan sejadah sudah diselesaikan tapi dia punya satu masalah.Bagaimana dia ingin solat kalau arah kiblat sendiri dia tidak tahu?
Jam dinding dikerling.Sudah hampir jam 4 petang,akhirnya Julia memutuskan untuk sembahnyang hormat waktu sebelum waktu zohor habis.
Usai menunaikan solat,Julia melipat tuala yang digunakan sebagai sejadah.Sebaik tuala itu diletakkan di atas katil,pintu bilik terbuka.Masuk seorang wanita di usia pertengahan bersama seorang lelaki.
Wanita itu menolak troli hidangan dan menghidangkan makanan di atas meja.Sementara lelaki itu setia mengawal di pintu.Julia berlari anak mendekati wanita itu.
“Mak cik,saya kat mana ni?”Julia langsung menyoal.
“Mak cik,saya kat mana?” Julia menyoal lagi tetapi wanita itu masih berdiam diri.
“Mak cik” Julia memanggil lagi.Kali ini mak cik itu memandang Julia.Terpancar rasa kasihan dari anak matanya.Saat wanita itu membuat isyarat tangan Julia diam.Dia sudah faham mengapa wanita itu berdiam diri,dia tidak boleh bercakap.Atau lebih mudah wanita itu bisu!
Julia menarik nafas.Seumur hidup mana pernah dia berkawan dengan orang bisu.Jadi bagaimana dia boleh berbicara dengan wanita itu?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s