JULIA – BAB 20

Salim bergegas menuju pada Julia sebaik Dr.Hassan selesai melakukan pemeriksaan.
“Macam mana dengan dia,pak su?”
Dr.Hassan memandang.Tindakan yang cukup meyakinkannya bahawa gadis inilah yang dicintai Salim.
“Pak su rasa dia dah lama tak makan apa-apa ni.Air pun tak cukup dalam badan dia.Sebab tu dia tak de tenaga”.
Salim mengangguk.Pipi gadis itu dipegang dan diusap lembut,”Julia…”
Dr.Hassan senyap membisu.Julia? Dia sudah ingat.Wajah gadis ini pernah mengisi helaian surat khabar.Berita kehilangan yang tiba-tiba.Sehingga kini,pihak polis masih belum mendapatkan apa-apa petanda.
Selama ini gadis bernama Julia ini ‘disimpan’ Salim?
“Lim” Dr.Hassan memanggil.
Salim memandang bapa saudaranya.Dr.Hassan mendekati dan merasa dahi Julia yang sudah diketahui sememangnya panas.
Tangannya tiba-tiba ditarik Julia.Bibir gadis itu kelihatan terkumat-kamit mengucapkan sesuatu.Dr.Hassan mendekatkan telinga pada gadis itu.
“Abi…”
Dr.Hassan menarik nafas dan memandang Salim? Apa yang dilakukan Salim sebenarnya? Menculik Julia dan kemudian apa?
“Lim..Lim ada benda nak bagitahu pak su tak?” Dr.Hassan menyoal sebaik selesai memeriksa Julia.Nafisah telah dipanggil bagi mengelap tubuh Julia agar kepanasannya berkurang.
Salim memandang wajah Dr.Hassan.Dia tahu lambat-laun pasti Dr.Hassan akan mengecam wajah Julia.
Walau Dr.Hassan tiada kaitan dengan Julia,tapi sebagai seorang doktor Dr.Hassan wajib mengikuti perkembangan semasa.Apatah lagi,berita kehilangan Julia telah sampai pada semua walau ia tidak seheboh mana.
Salim menyuruh semua anak buahnya di pejabat itu menunggu di luar.Begitu juga dengan Nizam yang setia menjadi penunggu di mejanya.
Dr.Hassan menanti jawapan Salim.Bilik pejabat telah kosong.Wajah anak saudaranya itu dipandang.Matanya membulat menunggu jawapan.
“Lim nak buat apa dengan Julia sebenarnya?” Dr.Hassan menyoal melihatkan Salim berdiam diri.
Salim diam merenung dinding.Dengan pak su nya bukan senang mahu memberi jawapan.Pak su yang mengenal dan mengasuhnya dari kecil.
“Lim” Dr.Hassan memanggil.
“Lim tak de niat jahat dengan dia”.
“Tak de niat jahat? Pak su tak pernah kisah apa Lim buat selama ni.Sebab pak su tahu semua tu bukan salah Lim tapi papa memang dah sediakan untuk Lim.Tapi apa yang Lim tengah buat sekarang pak su memang tak setuju.Lim pisahkan dia dari keluarga lepas tu Lim nak buat apa?”panjang lebar Dr.Hassan membebel dalam menyoal.
Salim diam.Wajar saja Dr.Hassan marah padanya.Dia dan Dr.Hassan sama-sama tahu bahawa Salim tidak akan sama sekali menghancurkan orang lain.
Semua pekerja-pekerjanya tak kira di mana adalah mereka yang sukarela bekerja dengannya.Yang di banglo,gudang mahupun kelab malam.Kerana itulah pekerja Sa-Nu dan Helang Hitam tidak dicampur aduk.
“Lim nak jawab ke tak?” Dr.Hassan menyoal dengan nada serius.
“Lim suka dia.Lim nak jadikan dia suri hidup Lim.Lim nak jadikan dia Cik Puan dalam Sa-Nu dengan Helang Hitam…”
“Dengan culik dia macam yang Lim buat sekarang ni?” kali ini Dr.Hassan benar-benar sudah tidak sabar lagi.
Salim terdiam bila kata-katanya dipotong Dr.Hassan.Dr.Hassan memandang jam tangannya dan berkata,”Pak su kena balik hospital.Lagi dua jam pak su ada operation.Lim fikir-fikirkanlah apa yang pak su cakap.tadi.Jangan diseksa Julia tu,takut nanti dia makin benci”.
Dr.Hassan langsung meninggalkan pejabat.Salim diam sendiri.Kata-kata Dr.Hassan terngiang-ngiang dalam kepalanya.
‘Takut nanti dia makin benci.Takut nanti dia makin benci’.

*…………………….*

Dia kerimasan.Tubuh yang memeluknya ditolak sekuat mungkin.Berani-beraninya lelaki itu memperlakukan dia begini.
Salim tersedar dari tidur dalam keadaan terkejut akibat ditolak Julia.Belakangnya yang terjatuh di lantai digosok-gosok kerana kesakitan.
“Awak dah bangun ke?” Salim memandang Julia yang sedang membalut diri.
Julia menjeling.Kalau dia belum bangun,siapa yang menolak Salim hingga jatuh katil.Julia menoleh kiran dan kanan.melihat rambutnya yang jatuh.Kepalanya disentuh.Dia tidak memakai tudung?
Langsung selimut ditarik meliputi seluruh tubuh.Matanya membulat melihat diri sendiri memakai baju tidur.Siapa yang menukar pakaiannya?
“Kenapa?” Salim mendekat,selimut yang menutupi seluruh tubuh Julia hingga tidak terlihat walau seinci dirinya ditarik.
Julia mempertahankan selimutnya.Dia perlu mencari jalan agar Salim keluar dari bilik.Tapi apa yang harus dikatakan pada Salim?
“Boleh tak awak keluar dulu? Saya nak siap,nanti awak masuk balik”.
“Tapi…” Salim tidak memahami apa yang dimaksudkan Julia.Bersiap ke mana?
“Sekarang.Please…”
Salim melepas nafas,”Ok”.
Sebaik mendengar bunyi pintu tertutup,Julia langsung membuka selimutnya.Nafas lega ditarik.Berapa lama agaknya dia terbaring begini?
Perut dipegang.Dia sudah tidak rasa lapar lagi.Tubuhnya juga terasa lebih segar dari sebelumnya.Siapa agaknya yang menukar pakaiannya? Pasti mak cik Nafisah.
Julia langsung turun dari katil.Apa yang penting sekarang dia harus mandi dan bersihkan diri.Baju di dalam almari diambil dan dia langsung masuk ke bilik air.

*……………………..*

Dia memberi salam kedua.Solat Isya’ telah ditunaikan.Tangan diangkat dan doa dibaca.Pasti doa yang sama.Dia mahu pulang,mahu keluar dari penjara ini.Mahu kembali pada orang kesayangan.
Pintu terbuka sesudah Julia menukar telekung.Julia yang sedang meletakkan telekung dalam almari memandang.Mak cik Nafisah masuk bersama troli makanannya.
Julia melangkah ingin membantu.Tapi niat dibatalkan sebaik melihat Salim masuk.Dia langsung menjauh dan mengambil tempat di atas katil.
Nafisah ingin beredar sebaik selesai menghidang.Sedia maklum,bos dan cik muda masih banyak hal yang perlu dibincangkan.
“Kejap” Julia berlari anak menghalang langkah Nafisah.
Nafisah memandang.Julia menoleh kalau-kalau Salim memandang.Mujur dia masih leka memandang makanan yang terhidang.
“Mak cik yang tukarkan baju saya?”soal Julia separuh berbisik.
Nafisah tersenyum dan mengangguk.Telatah cik muda benar-benar penghibur buatnya.Julia melepaskan pegangannya setelah mengucap terima kasih,membenarkan Nafisah beredar.
Salim menoleh-noleh.Matanya melilau semacam mencari Julia.Senyum diberikan sebaik dia melihat gadis itu.
“Awak tak nak makan?”
Julia menggeleng.Dia ingin kepastian dari mana sumber makanan-makanan itu.Tapi pada siapa yang harus ditanya.
Salim memandang Julia yang selamba berjalan ke rak buku dan mencapai buku yang ada.Keluhan dilepaskan.Julia tetap saja dingin padanya.Agaknya betulkah apa yang diberitahu pak su?
“Pak su kata esok dia datang buat last check up” Salim memberitahu.
Julia mengerutkan dahi.Siapa pula pak su yang dipanggil Salim tadi?
“Pak su?”
“Doktor” Salim memandang Julia yang baru saja ingin mula membaca.
“Awak panggil doktor rawat saya?”
Salim mengangguk.Mengapa Julia menyoal begitu? Sudah tentu dia akan memanggil doktor.Walau tiada pak su sekalipun,mustahil dia akan membiarkan Julia berkeadaan begitu selama beberapa hari.
Julia mundar mandir.Doktor? Siapakah doktor ini? Apakah dia boleh minta tolong darinya? Langkah kakinya maju pada Salim yang sedang menjamu selera.
Salim senyum melihat Julia.Tangan dihulurkan tanda mengajak gadis itu duduk dan makan bersama.Julia langsung teringat keadaannya tadi.Bagaimana dia boleh tidur dalam pelukan Salim?
“Kenapa awak peluk saya?”bagai kanak-kanak Julia menyoal.
“Awak kata awak sejuk.Saya dah kurangkan sejuk air cond pun awak sejuk lagi.Jadi…”
“Kan saya dah cakap.Awak jangan dekat dengan saya.Tak kisahlah saya sedar atau tak sedar”suara Julia sedikit meninggi.
Salim meletak pinggan di atas meja.”Saya ni hina sangat ke kat mata awak?”
Julia mengerutkan dahi.Apa yang tidak kena pada Salim? Tidak habis mengutarakan soal hina.Dia mengeluh,”Salim.Ni bukan soal hina atau jijik,saya dengan awak bukan muhrim.Kita tak boleh bersentuhan melainkan waktu darurat.Kalau ada mak cik Nafisah,awak minta je lah mak cik Nafisah jagakan saya.Bukan macam yang awak buat ni”.
Diam.Salim kehairanan.Muhrim? Apa maksud muhrim yang dikatakan Julia? Mahu bertanya semacam pula.Lebih baik dia diam saja.
“Awak faham tak?” Julia menyoal,dia duduk di sofa berhadapan Salim
“Apa lagi yang awak nak supaya awak boleh terima saya?” Salim menyoal dalam keluhan.Sudah hampir enam bulan Julia menetap di situ,sifat dan kedinginannya tetap sama.
“Saya takkan terima awak.Kan saya dah cakap saya nak balik..bukan tinggal sini.Sepatutnya kalau awak sayang saya macam yang awak cakap,awak lepaskan saya.Awak bahagia ke tengok saya kena kurung macam ni?” Julia membalas habis-habisan.
Dia sudah letih.Letih bertahan menjalani hidup begini.Bagaimana keadaan umi abi juga dia tidak tahu.Has bagaimana keadaannya? Dan abang Hakim,semuanya dia tidak tahu.
“Apa kurangnya saya?” Salim menyoal,wajah gadis itu dipandang.Dia sebenarnya takut kata-kata pak su menjadi nyata.Tapi dia tahu,dia dan Julia sama-sama keletihan dengan keadaan begini.
Julia memejam matanya.Tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.Dia tidak sukakan Salim! Lagipun sudah ada abang Hakim yang mengisi hatinya.Abang Hakim?
Julia diam berfikir.Ya! Dia sudah punya abang Hakim.Mengapa dia tidak…
“Ok,saya dah penat nak gaduh.Awak nak jawapan kan? Bila saya cakap tak awak tak boleh terima.Sekarang saya cakap dengan awak..terus terang saya cakap.Saya tak boleh terima awak,takkan terima awak sebab saya dah ada tunang” lambat-lambat Julia berbicara.
Salim membulatkan mata.Lidahnya kelu.Tunang? Julia sudah bertunang?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s