JULIA – BAB 25

Pen di tangannya diletak dan buku tulisnya ditutup.Nafas ditarik sedalam mungkin.Entah apa yang dia tulis,dia sendiri tidak tahu.Yang dia tahu dia menulis melepaskan rasa hati.Contengan,lukisan dan tulisan.
Pintu terbuka perlahan.Julia menoleh.Seperlahan mana pun,dia masih dapat mendengar bunyi pintu kerana biliknya yang sunyi.
Salim maju ke hadapan.Memandang Julia yang turut memandangnya.Hatinya mula lega bila gadis itu masih kekal di tempatnya.
Julia langsung memaling wajah.Tidak mahu berbicara.Lantas dia bangun dari katil dan melangkah ke bilik air.
“Julia” Salim memanggil.
Langkahnya dilajukan.Meluru masuk ke bilik air.Pintu ditutup dan pintu dikunci serta diselak.
“Julia”panggil Salim lagi.Pintu diketuk beberapa kali.
Julia berdiri di balik pintu.Nafasnya turun naik menahan perasaan yang bercampur baur,marah juga letih.
“Julia…” Salim cuba memanggil lagi.Sampai bila Julia mahu mengelak darinya?
Mata dipejam.Julia menenangkan diri.Tangannya menggenggam penumbuk.Lantas langkah diatur menuju pada alat pemain muzik instrumental yang disediakan Salim.
Salim menggenggam penumbuk menghadap pintu bilik air.Bunyi muzik yang dipasang menjerat dirinya sendiri.Dia tahu Julia sengaja memasang muzik dengan tahap kelantangan tertinggi agar Julia tidak mendengarnya.
Julia tahu Salim masih belum beredar.Dia langsung menanggalkan tudung yang tersarung di kepala dan menyangkutnya di penyangkut yang disediakan.
Dia duduk di kerusi yang tersedia.Menunggu masa.Menunggu Salim beredar dari biliknya.
“Julia…sampai bila..?” Salim duduk di atas katil.
Sejak peristiwa mereka bergaduh besar tempoh hari , Julia langsung tidak mahu bercakap dengannya.Langsung tidak mahu memandang mukanya sekali pun.
Dia sering masuk untuk memberi penjelasan.Menjelaskan bahawa apa yang dilakukannya hanyalah ugutan semata-mata.Dia langsung tidak punya niat untuk mengapa-apakan Luqman.
Memang dia bencikan lelaki itu.Luqman yang pada matanya tidak ada yang lebih baik darinya.Tapi dia bukanlah terlalu terdesak hingga mahu menghabisi nyawa musuh hatinya.
Tiap kali Salim melangkah ke bilik itu , pasti ada saja yang Julia lakukan untuk lari darinya.Selalunya pasti masuk ke bilik air.Kerana hanya itu tempat larian yang ada.
Terkadang Julia sengaja membungkus dirinya bagai hantu pocong.Berselimut selama ada Salim.Dia tidak akan mendengar walau apa yang Salim katakan.
Salim melepas nafas.Bagaimana caranya dia memujuk Julia? Bagaimana caranya melembutkan hati Julia? Bagaimana? Bagaimana?
Keadaan Salim sudah serupa orang tak ada arah.

*………………..*

Luqman memandang skrin telefon bimbitnya.Termenung.Dari tadi dia sibuk mendail nombor Julia tapi yang didengari hanya suara operator yang memberi seribu satu alasan.
“Kau ok tak ni?” Firdaus yang memandang menyoal.
Luqman senyum nipis.Sudah dua hari Firdaus tiba di Kuala Lumpur.Dia ke Kuala Lumpur menyelesaikan urusan temuduga yang diterimanya.Kerja di Kuala Lumpur mahu dipindah ke Pulau Pinang.
“Dah lebih setengah tahun kan dia hilang?” Firdaus menyoal meminta kepastian.
Luqman mengangguk.Tangannya menekup muka.Apa lagi yang harus dilakukan untuk mencari pujaan hatinya?
Semua tempat sudah dicari.Iklan surat khabar juga sudah.Apatah lagi ia sudah menjadi kes polis.Tapi tiada langsung petunjuk yang boleh didapati.Tiada sebarang tanda yang membolehkan semua pihak yang mencari tahu di mana Julia.
Firdaus menarik nafas.Kasihan dan simpati melihat keadaan temannya.Sebolehnya dia ingin membantu , tapi tiada apa yang boleh dilakukan.
“Man..”panggil Firdaus,dia tidak mahu Luqman terlalu memaksa diri.
Luqman memandang kosong.Dia berbaring di atas sofa.Lia,awak kat mana?

*………………….*

Has singgah di Seven Eleven sebelum ke Juwita Aleeya.Dia mahu membeli Sprite kegemaran.
Dia senyum saat melihat Sprite berbotol hijaunya di dalam peti ais.Dia meluru ke arah peti ais dan membuka pintunya.
“Terima kasih”.
Has memandang lelaki berkot di sebelahnya.Selambanya dia mengambil botol yang merupakan botol terakhir.
Mereka saling memandang.Mata keduanya membeliak.
“Kau”.
“Awak?”
Has senyum kambing.Kesempatan itu digunakan untuk merampas kembali Spritenya.Dia yang membuka pintu peti ais jadi dia yang punya hak untuk mengambil air yang dia mahu dahulu.
“Apa nama awak? Nizam kan? Terima kasih ye” Has berlalu dengan muka senang hati.
Nizam naik bengang.Terasa dikalahkan oleh seorang gadis.Dia berlari anak ingin merampas Sprite itu kembali.Tapi Has lebih pantas membayar air di kaunter.
Pekerja yang menjaga kaunter itu diam seketika melihat gerak Has dan Nizam.
“Cik” Has memanggil.
Barulah pekerja itu terburu-buru menyelesaikan kerjanya.
Nizam merungut tidak puas hati.Dia mahu botol Sprite! Mengapa kedai 24 jam seperti Seven Eleven ini boleh kehabisan air botol di dalam peti?
“Kalau encik nak air ni,yang tin ada lagi”ucap pekerja kedai yang perasan ketegangan antara dua orang pelanggannya.
“Betul tu En.Nizam.Sila-silakan diri ye..” Has mengambil duit baki dan berlalu pergi.
Nizam mengetap bibir.Geramnya aku!!! Pekerja kedai yang memerhati mendiamkan diri.Tahulah dia kedua pelanggannya itu berkenalan.
Has masuk ke proton Iswara dengan senang hati.Nizam masuk ke kereta dengan sakit hati.

*…………………*

Dr.Hassan memandang Salim yang mendiamkan diri sejak tiba di pejabatnya.Sudah hampir sejam Salim berkelakuan seperti itu.Pasti keadaan mendiamkan dirinya ada kaitan dengan Julia.
Fail pesakit terakhir yang sudah selesai diperiksa ditutup.Dr.Hassan berjalan ke arah Salim yang berada di sofa tetamu.
“Lim”.
Salim memandang pak sunya.Senyuman diberikan.Hanya sesaat dan wajahnya muram kembali.
“Lim datang ni nak lawat pak su ke nak masam muka?”
Salim ketawa kecil.Dr.Hassan dipandang.Mahu saja dia menyoal,bagaimana cara memujuk seorang wanita yang sedang merajuk? Tapi Salim mendiamkan diri.
Itu lebih baik.Jika dia menyoal,silap hari bulan dia disoal kembali.
“Bergaduh dengan dia ke?” Dr.Hassan menghirup nescafe yang sedia terhidang.
Salim memandang pak su.Kening dijongket,tidak memahami kata-kata Dr.Hassan.
“Bergaduh la ni..”
“Adalah sikit” balas Salim ringkas.
“Kalau dah macam ni bukan sikit namanya.Tak pernah pak su tengok Lim macam ni.Selalu masalah besar pun Lim relaks je…”
Salim diam mendengar kata-kata Dr.Hassan.Dr.Hassan memang tahu semua tabiatnya.Satu-satunya keluarga yang dia punya di dunia.
“Dahlah..pak su tak nak campur hal tu.Sa-Nu apa cerita?” Dr.Hassan mengalih topik.
Dia memang tidak mahu membicarakan soal Julia.Salim sudah cukup matang untuk memikirkan salah silap yang dilakukan.
Salim menarik nafas dan memulakan cerita.Menceritakan keadaan Sa-Nu sekarang.Namun dalam hati juga fikiran masih lagi tertanya-tanya apa yang harus dilakukan untuk memujuk Julia.

*…………………….*

Butang merah ditekan.Luqman diam di biliknya.Has baru menghubungi dan memaklumkan bahawa dia bersama Cik Amir dan Cik Nisah baru pulang dari balai polis.
Setelah berbincang dengan pihak polis,akhirnya mereka mencapai kata sepakat untuk menutup kes Julia.Cik Nisah mengatakan itu yang terbaik buat masa ini.
Menurut Has,Cik Nisah punya perasaan yang mengatakan Julia selamat dan sihat wal afiat.Hanya dia tersepit di dalam keadaan yang tidak membenarkan dia pulang.
Awalnya,Cik Amir membantah memandangkan Julia adalah satu-satunya cahay mata pasangan suami isteri itu.Jika ada apa-apa terjadi pada Julia,bagaimana dengan mereka.
Tapi puas dipujuk oleh Cik Nisah yang yakin dengan keputusan yang diambil.Akhirnya Cik Amir bersetuju juga.
Lagipun pihak polis sangat mengalu-alukan jika mereka punya maklumat untuk mencari Julia.Walaupun kes sudah ditutup,tanggungjawab sebagai pihak polis masih akan mereka laksanakan.
Luqman berbaring di atas katil.Esok Firdaus akan pulang ke Pulau Pinang kerana urusannya sudah selesai.Tapi dia,masih belum menemukan sebarang petunjuk.
Gambar Julia bersama Has yang terselit di bawah bantal diambil.Dia buntu.Benar-benar buntu.Bagaimana harus dia mencari Julia? Atau sudah tiba masa dia berhenti?
Nafas ditarik.Mungkin dia harus berhenti seketika dan meneruskan hidupnya.Memulakan kerjanya di Hakim Legacy yang telah disediakan oleh papa.Namun ia bukan bererti dia berhenti mencari Julia seratus peratus.
Dia cuma ingin berehat seketika.Bukan ingin tapi harus.Petunjuk langsung tidak ditemui.Semuanya jalan mati.Apakah memang sudah tiba masa untuk berhenti mencari?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s