JULIA – BAB 29

Enjin motosikalnya dimatikan bila dia pasti hanya satu jalan yang tinggal.Kereta Salim telah jauh ke depan.Tapi dia tidak mengekor kerana tidak mahu dirinya diperasan.
Jalan kecil itu memang berada di tengah hutan.Jalannya bengkang-bengkok namun masih bertar.Luqman turun dari motosikal dan membuka topi keledar.
Telefon bimbit dikeluarkan.Baterinya masih penuh dan rangkaian juga masih ada.Walaupun tidak penuh,sekurangnya boleh lagi membuat dan menerima panggilan.
Luqman menunggu di bawah matahari.Mujur saja keadaan tidak sepanas di bandar biasa.Mungkin kerana kawasan hutan jadi terik matahari kurang dirasai.
Dia akan menunggu dalam lebih kurang 20 minit lagi sebelum perjalanan diteruskan.

*………………..*

Dia terjaga dari tidur.Nafasnya turun naik ketakutan.Mimpi apa yang dialaminya tadi?
Julia duduk.Seluruh keadaan bilik dipandang.Dia masih di sini.Di bilik ini.Penjara mewah yang langsung tidak dia sukai.
Dia mengingat mimpi tadi.Abang Hakim…dia bermimpi Abang Hakim di dalam hutan.Juga terdengar bunyi tembakan yang datang entah dari mana.
Kelihatan Abang Hakim sangat serius.Wajahnya juga gerak tubuh yang melambangkan dia sedang lari dari sesuatu.Apakah abang Hakim dalam bahaya?
“Ya Allah..selamatkanlah Abang Hakim…”
Julia meraup mukanya.Nafas dilepas.Jam dipandang.Sudah pukul 1.00 tengah hari.Dia harus bersiap menunaikan solat Zohor.

*…………………*

Luqman mengerutkan dahi.Jalan tar telah tiba di penghujung.Yang tinggal hanya jalan kampung.Tapi jalannya besar.Cukup untuk sebuah lori beroda enam.
Motosikalnya diberhentikan.Dia berfikir sebentar sebelum meneruskan kembali perjalanan menggunakan Kawasakinya.
Jalan yang dilaluinya langsung tidak ada jalan rosak.Juga batu bata yang menghalang laluan.Ertinya jalan ini selalu dilalui kenderaan.Ada apa di penghujung jalan?
Pemanduan diteruskan hingga dia terlihat sebuah villa.Langsung saja enjin dimatikan.Ada sebuah villa di dalam hutan.Pasti villa itu mempunyai rahsia besar.Jika tidak mengapa ia berada di tengah-tengah hutan?
Enjin dihidupkan kembali.Hinggalah villa itu dirasakan tidak terlalu jauh,Luqman mematikan enjin semula.Motosikal di letakkan di sebalik pokok-pokok supaya ia lebih selamat.
Topi keledar disimpan.Topi dan penutup muka dipakai.Dia tidak mahu wajahnya dicam sesiapa andai ada yang melihatnya.
Luqman memerhati keadaan villa dari sebalik belukar.Kelihatannya di belakang villa itu ada sebuah gudang.Gudang apa dia tidak tahu.
Dia mengerutkan dahi.Mengapa di bahagian hadapan villa itu tidak ada pintu? Bukankah selalunya pintu keluar rumah berada di depan?
Langkah diteruskan perlahan.Villa itu masih dalam pemerhatian.Kali ini Luqman ke sisi kanan pula.Sisi kanan itu barulah dia mendapati pintu keluar.Tapi ia tidak seperti pintu utama.Keadaannya seperti pintu belakang.
Di pintu itu,setia berdiri dua orang lelaki berkemeja hitam.Luqman mengerutkan dahi.Ada pengawal? Mengapa perlu ada pengawal walhal rumahnya di dalam hutan? Tentu-tentulah tidak akan ada orang yang masuk ke dalam hutan yang dalam ini.Pasti ada sesuatu.
Langkahnya diteruskan ke bahagian belakang.Barulah dia tahu villa itu bersambung dengan gudang di belakangnya.Dan ia juga tidak punya pintu keluar.
Pintu keluar yang dilihat Luqman hanya satu di sisi kanan tadi.Gudang itu kelihatan tenang di luar tapi Luqman dapat mendengar bunyi-bunyi mesin yang menjalankan kerja.
Juga terdapat beberapa buah lori dan van hitam di belakang.Luqman cuba memerhati tulisan yang berada pada lori tapi ia tidak jelas kerana dia terlalu jauh.
Lambangnya diperhati.Gambar seekor burung helang berwarna hitam.Dan di sebelahnya tertulis GHH.Luqman mengerutkan dahi.Helang Hitam? Kalau begitu huruf G yang berada di awal mungkin membawa maksud geng.Geng Helang Hitam?
Luqman diam sebentar.Rasanya dia pernah mendengar nama itu.Geng Helang Hitam..di mana ya? Mungkin dia boleh bertanya pada Zalif bila tiba di Kuala Lumpur nanti.
Pengembaraannya diteruskan.Kali ini Luqman ke sisi kiri pula.Bahagian kirinya hanya kosong.Tiada sebarang tingkap atau pintu.Bererti villa sebesar itu yang digabungkan dengan gudang di belakangnya langsung tiada tingkap dan hanya satu pintu keluar.
Bagaimana manusia di dalamnya boleh hidup dalam rumah yang tiada ruang udara? Kalau begini bagaimana dia boleh tahu apa Julia berada di dalam atau tidak?
Luqman melangkah ke motosikalnya semula.Nampaknya ia tidak semudah yang dia sangka.Masih banyak kerja yang perlu dia lakukan sebelum masuk ke dalam hutan ini semula.

*…………………*

Matanya dikecilkan.Dia bertawaf mengelilingi Kawasaki milik abang.Ada sesuatu yang aneh tentang motosikal itu hari ini.
“Kenapa?” Luqman menyoal sambil membuka topi keledarnya.
“Saya penyiasat” Has menjongket kening.
Luqman mencebik.Bergurau tak kena masa.Dia sudah terlalu letih hari ini.Dia mahu naik dan membersihkan diri.Seterusnya menunaikan solat Asar dan tidur.
Has melihat abangnya.Wajah abangnya kepenatan seolah baru pulang dari pengembaraan yang jauh.Has menajamkan matanya.
“Mama ada?” Luqman menyoal.
Has menggeleng.Mama ke kilang,katanya ada urusan yang harus diselesaikan.Papa pula masih belum pulang dari kerja.
Luqman mengangguk dan berlalu setelah menyimpan topi keledarnya.Has memandang hingga ke hujung mata.Abang ke mana sebenarnya? Daun kering di tangannya dipandang.
Dia mengambilnya semasa abang menyimpan topi keledar tadi.Setahunya hidup abang hari-hari tidak ke kampung.Apa yang abang sedang rancangkan sebenarnya?

*…………………..*

Salim masuk ke dalam bilik itu.Faiz telah diberitahu agar jangan sesekali masuk.Dia mahu berbincang dengan Julia.Menyelesaikan segala kekusutan.
“Julia…” Salim memanggil,memandang Julia yang sedang menjamah makanan tengah hari.
Julia mengeluh.Apa lagi yang Salim mahukan? Dia sudah penat dan letih mahu bertikam lidah dengan lelaki itu.
“Boleh saya duduk?” Salim menyoal.
Julia membisu.Boleh atau tidak,dia tetap akan duduk akhirnya.Lebih baik suaranya jangan dibazirkan.
Salim menarik nafas.Tempat diambil.Dia duduk di hadapan Julia.Wajah gadis kesayangan dipandang.Namun Julia buat tak endah.Sibuk menghadap santapan.
“Awak marahkan saya lagi?”
Julia diam.Dia menghabiskan suapan terakhir dan membasuh tangan.Tisu dicapai dan dia mengelap tangan.
“Julia…” panggil Salim lembut.
Julia langsung menyusun pinggannya dan apa yang boleh dikemas.Di satukan buat kemudahan mak cik Nafisah.
Langkah diatur menuju ke almari buku.Hanya membaca yang boleh dilakukan hari-hari.Untung juga kerana dia memang suka membaca
Keluhan dilepaskan.Nama gadis itu dipanggil lagi.Tapi masih tiada jawapan.Dia maju ke arah Julia tapi Julia buat tak tahu.
Akhirnya dia melangkah keluar dengan perasaan hampa.Semuanya sudah berakhir.Dan dia sendiri yang membuka pintu pengakhiran.Dia sendiri menutup peluang yang diberikan Julia.
Apakah sudah tiba saat dia berputus asa dan melepaskan gadis itu?

*……………….*

Sedari jam 7.00 pagi Luqman sudah meninggalkan rumah bersama BMW nya.Dia mahu ke balai polis berjumpa dengan Zalif.Mahu bertanyakan soal Geng Helang Hitam.
“Kau dah lama datang?” Zalif datang padanya yang menunggu di ruang menunggu.
Luqman mengangguk-angguk,”Adalah dalam 10 minit”.
Zalif tersengih kecil.Dia sebenarnya lewat menyambut temannya itu kerana menyelesaikan kerja.Dia sudah habis syif kerana minggu ini dia bertugas malam.
“Jom” Zalif mengajak Luqman meninggalkan balai polis.
Mereka pergi bersarapan di restoran berdekatan.Luqman memesan mee goreng bersama teh o panas manakala Zalif memesan roti canai bersama kopi o kerana matanya yang mula ingin terpejam.
“Kau call aku tengah malam buta kenapa?” Zalif menyoal.
Luqman menghirup teh o panasnya,”Kau ada tahu apa-apa fasal Geng Helang Hitam?”
Zalif mengerutkan dahi,”Mana kau tahu nama ni?”
Luqman diam sebentar.Alasan apa yang harus diberikan pada temannya itu?”Saja tanya.Alah..lagipun nama ni dah terkenal satu Malaysia,kan?”
Zalif mengangguk,”Apa yang kau nak tahu?”
Luqman diam ,”Apa yang dia orang buat?”
Zalif mula bercerita.Geng Helang Hitam merupakan salah satu organisasi haram terbesar di Malaysia.Kerjanya termasuklah membuat dan mengedar dadah,menghasilkan dadah asli juga dadah tiruan.
Geng Helang Hitam juga terlibat dalam penyeludupan senjata haram.Boleh dikatakan 80 peratus senjata api yang masuk secara haram ke Malaysia adalah angkara geng ini.
Mereka juga membuka beberapa kelab malam di serata Malaysia.Kelab malam yang di dalamnya berlaku jual beli dadah juga senjata.Walaupun kelab malam mereka sering diserbu pihak polis namun pihak polis tidak menemukan sebarang bukti yang membolehkan kelab malam itu ditutup.
Penukaran dari wang haram kepada wang sah juga merupakan salah satu kepakaran geng ini.Jadi pihak polis tidak dapat mencari petunjuk siapa sebenarnya dalang geng ini.
Memang pihak polis tahu Geng Helang Hitam ini merbahaya pada rakyat Malaysia.Tapi tiada penunjuk yang menunjuk pada bos geng ini.Tiap mereka yang diberkas pasti mengaku melakukan kesalahan.
Tapi bila ditanya soal ketua,masing-masing membisu.Semuanya tidak mahu mendedahkan soal ketua.Bahkan ada yang membunuh diri semata mahu menutup rahsia.
Ada desas desus mengatakan Geng Helang Hitam punya kaitan dengan Sa-Nu,salah satu syarikat pengeluar basikal terbesar di Malaysia tapi siasatan pihak polis tidak menemukan apa-apa.
Lagipula Sa-Nu sering melakukan jualan amal juga sering menderma ke badan-badan kebajikan masyarakat untuk menutup mata masyarakat.
Luqman mengangguk memahami.Dia sudah tahu apa yang harus dilakukan.Selepas ini dia harus ke Hakim Legacy menemui papa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s