JULIA – BAB 33

Luqman memasukkan baju terakhir ke dalam bagasi kecil itu.Hari ini dia akan pergi ke Pulau Pinang untuk menemui Firdaus.Temannya itu tidak dapat datang kerana kesibukannya sebagai seorang doktor.
Zip ditarik dan bagasinya didirikan.Luqman melihat sekeliling kalau-kalau ada barang yang tertinggal.Dan dia melangkah turun ke bawah.
“Abang dah siap barang ke?” Has di meja makan menyoal.
Luqman mengangguk.Dia tersenyum berjalan ke arah mereka yang sedang bersarapan.
“Kenapa abang nak pergi Penang ni?” Has menyoal lagi.
Dato’ Norman dan Datin Mariah berpandangan sesama sendiri.Ketawa kecil.Has ni..ada-ada saja yang menjadi persoalannya.
“Yang Has tanya ni kenapa?” Luqman meneguk air kopi buatan mama.
Has mencebik,”Manalah tahu..tetiba nak pergi Penang,,nanti balik bawa kakak ipar baru.Kasihan Ju..”
Luqman memandang.Mengapa adiknya tiba-tiba menyebut nama Julia? Suasana sunyi seketika.Dato’ Norman dan Datin Mariah juga ikut diam melihat riak wajah Luqman yang sedikit berubah.
Has memandang.Dia sengaja menyebut nama Julia.Mahu melihat reaksi yang diberikan abang.Has senyum sendiri bila menyedari wajah Luqman berubah.Bererti perasaan abang pada Julia masih sama.
“Nak cakap ke tak nak ni?”
“Nak jumpa Firdaus” ringkas jawapan Luqman.
Has mengangguk.Berjumpa dengan abang Firdaus? Has tiba-tiba teringat sesuatu.”Bukan ke abang Firdaus dah start kerja kat hospital?”
Luqman mengangguk.Wajah Has dipandang.Kenapa?
“Abang tu..bila lagi nak mula kerja kat syarikat ?”
Luqman mencubit adiknya.Geram betul.Balik-balik itu yang ditanya.Has mencebik.Tangan abangnya selalu laju saja sampai padanya.
“Oklah..papa mama,abang nak gerak dulu.Tak nak sampai lewat sangat” Luqman menyalami keduanya.
Pipi mama dicium.Has ikut menghantar hingga ke luar.
“Has jaga diri.Abang pergi sekejap je..” Luqman mengusap kepala Has yang bertudung.
Has mengangguk.”Pergilah cepat.Nanti jalan sesak”.
Luqman senyum.Tangan dihulurkan pada Has dan Has menyalami abangnya.Has tersenyum melihat BMW milik Luqman keluar dari perkarangan banglo.
Moga segala urusan abang sentiasa dipermudahkan.Amiiin…

*……………….*

Julia melihat keadaan sekeliling bilik itu.Matanya kelihatan tercari-cari sesuatu.Dia bangun dari pembacaannya.Buku Melakar Cinta Firdausi itu diletakkan di atas meja.
Langkahnya perlahan mengetuk dinding bilik itu.Matanya mencari-cari.Semua almari di intai belakangnya tapi tidak ketemu.Almari-almari itu terlalu rapat dengan dinding dan Julia tidak kuat untuk menolaknya.
Faiz masuk bersama mak cik Nafisah menghidangkan makan tengah hari.Julia memberi senyuman.
“Faiz”.
Faiz menoleh memandang cik muda yang sedang berdiri meneliti dinding.Dia yang baru selesai mengangkat hidangan dari troli ke atas meja langsung maju pada cik muda.
“Kenapa cik muda tengok dinding ni?”
Julia tersenyum.Memandang Faiz yang berada di belakangnya sekilas.”Bilik ni memang tak de tingkap langsung ke?”
Faiz mengerut dahi.Dia terdiam.Bukan tidak ada tingkap tapi ia telah ditutup atas arahan bos sendiri.Tingkap semuanya telah di’tinted’ menggunakan warna gelap dan di pateri menggunakan kadbod kayu.
Dan ia disembunyikan di balik almari-almari yang besar itu.Ruang sidai baju yang terdapat di dalam bilik air pun langsung tidak ada ruang cahaya matahari.Hanya diletakkan penghawa dingin bersuhu panas agar baju-baju yang disidai boleh kering.
“Tak de ke?”
Faiz menggeleng.Entah apa jawapan yang harus diberikan dia tidak tahu.
Julia menarik nafas.Bagaimanalah dia dapat lari jika tingkap pun tidak terlihat?

*……………….*

Dahinya berkerut melihat seseorang duduk di kerusi pejabatnya.Stetoskop di tangannya disangkut ke leher.Dan kerusi ditarik.
Luqman tersengih memandang Firdaus.”Selamat petang doktor”.
“Amboi.Aku ingat kau tunggu kat rumah je..tahu-tahu datang sini pula” Firdaus mengambil tempat di kerusinya.
“Memang ingat nak tunggu je..terasa macam nak datang pula..aku datang je la..” Luqman menceritakan kebosanan yang dialami.
Firdaus mengangguk-angguk.Stetoskop disimpan dalam laci dan fail di hadapannya dibelek.Memang Luqman telah memberitahu dia akan datang ke Pulau Pinang.Katanya ada hal yang harus dibicarakan.
Kunci rumah ditinggalkan pada pengawal bangunan.Hanya Luqman mengenalkan diri , pengawal akan memberikan kunci.
Serasa Firdaus,Luqman datang untuk meminta bantuannya soal gadis kesayangan Luqman,Julia.

*………………*

“Kau faham tak apa aku cakap ni?” Firdaus mencekak pinggang di sisi papan putih kecil itu.
Luqman mengangguk,”Boleh masuk lagi ni.Sambunglah”.
Firdaus mencebik.Marker di tangan diletakkan pada papan putih dan dia mengambil tempat di sofa.
“Nasib baik cuti hari ni.Penat pula bagi kursus kat kau ni”.
Luqman tersenyum memandang buku notanya.Dia sedang belajar asas-asas tubuh manusia.Bahagian mana yang lemah dan bahagian mana yang kuat.
Ilmu yang bakal digunakan dalam operasinya nanti.Mudahlah dia menyerang pengawal-pengawal dan pekerja di villa itu nanti.
Untung juga Firdaus mengetahui cara-cara melumpuhkan saraf-saraf utama tubuh badan manusia.Boleh dia mempelajari itu juga.
Luqman menarik nafas sedalam mungkin.Dia mengejar masa.Masih banyak kerja yang harus dilakukan sebelum dia masuk ke hutan menyelamatkan gadis kesayangannya.

*……………….*

Pelan villa di atas mejanya diteliti.Ini adalah pelan yang dilukis dari apa yang dia lihat , dengar dan faham.
Villa dua tingkat yang digabung dengan gudang di belakangnya , hanya mempunyai hanya satu pintu keluar utama.
Mengikut apa yang dia faham dari sebulan mendengar gerak-geri Salim , bilik Julia adalah bilik yang paling hujung di tingkat atas.
Di bawahnya adalah bilik-bilik yang dia tidak pasti kandungannya apa.Tapi Luqman dapat meneka apa di dalamnya.Apa yang pasti,bilik yang kedua hujung adalah bilik kosong yang jika dimasuki terus akan menemui pintu keluar.
Di setiap bilik ada orang tertentu yang menjaganya.Ruang tamu pula sebesar mana dia kurang pasti.Tapi cukup untuk dipunggah barang,ada juga rak-rak yang terletak di balik tangga.Muat juga diletakkan sofa bersama sebuah meja.
Itu belum ruang di belakang yang hampir sama.Cuma bezanya ia tidak punya rak dan tempat memunggah barang.Kalau terus ke belakang akan menemui ruang makan yang bersebelahan dengan dapur.
Tapi ia dipisahkan dengan satu lorong kecil.Lorong yang sekira hanya muat dimasuki hanya seorang.Juga dekat dengan dapur ada bilik seorang wanita yang Luqman selalu mendengar Salim memanggilnya mak cik Nafisah.
Namun suara itu tidak pernah didengari.Mungkin mak cik Nafisah bukan jenis yang suka bercakap.Kalau di dalam bilik,selalu saja Julia memanggilnya tapi akhirnya dia tetap meninggalkan Julia berdua dengan Salim.Pasti ada tanda-tanda menghalau dari Salim yang dia tidak nampak.
Pelan itu dilihat.Ia hampir lengkap.Hanya tinggal memastikan kedudukan bilik Julia yang sebenar-benarnya agar dia tidak tersesat nanti.Mungkin dalam seminggu lagi dia sudah boleh masuk ke hutan.

*……………….*

Rambutnya diikat menggunakan getah rambut.Nafas ditarik perlahan.Kepala yang tidak gatal digaru.Mana pula perginya?
Jam dinding dipandang.Sudah pukul 11.00 pagi.Kelasnya bermula pukul 12.30 tengah hari.Biar awal jangan lambat.Malu kalau didenda pensyarah.
“Manalah baju ni” rungut Has sendirian.
Pintu yang terbuka dipandang.Has mengerut dahi memandang abang yang muncul di muka pintu.
“Kenapa?”
“Ada keronsang tak?”
Has mengerut dahi.Mengapa abang tiba-tiba meminta keronsang?
“Abang nak buat apa?” suaranya meninggi kerana terkejut.
Luqman terdiam.Jawapan apa yang harus diberikan? Has berjalan ke almari dan membuka laci.Sebiji keronsang diambil dan dihulur pada Luqman.
Ucapan terima kasih diberi.Baru saja langkah dibuka,tangannya ditarik Has.
“Ada nampak tak baju Has yang warna biru pekat tu?”
Luqman diam.Senyum diberi.Dia mengambilnya.Sebenarnya dia mengambil sepersalinan milik Has untuk disertakan dalam alatan menyelamatnya.Mana tahu kalau Julia perlu menukar pakaiannya nanti.
“Nampak tak?” Has menyoal.
Luqman diam sebentar dan menyoal kembali,” Yang mana?”
“Alah..yang Ju hadiahkan tu.Blouse labuh yang ada corak bunga kat tangan” Has mencari di dalam almari.Walau dia telah mencari berulang kali namun tindakannya diulang lagi.
Luqman memandang.Rasa bersalah pula melihat adiknya itu memunggah almari.”Kan ada baju lain..kenapa nak pakai baju tu juga?”
Has mencebik,” Hari ni ada latihan luar kelas.Baju tu selesa kalau bawa keluar.Kan ringan jenis kain dia..”
“Macam tak de baju lain” Luqman duduk di atas katil.
Has mengeluh,” Memanglah ada tapi Has dah plan nak pakai baju tu.Mama pun tak nampak.Has rasa semalam ada je dalam almari ni…”
Geram betul hatinya.Ke mana pula perginya baju yang dihadiahkan Julia itu?
“Tak de kut.Baik Has guna baju lain je..kelas start pukul 12.30 kan..?”
Has terdiam.Dia menoleh ke belakang memandang abang tapi Luqman sudah tiada.Baru saja dia mahu menyoal mengapa abangnya meminta keronsang.
Biarlah.Has langsung mencapai jubah kuningnya dan berlalu ke bilik air.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s