JULIA – BAB 39

Dr.Hassan memandang ibu bapa pesakit di hadapannya sambil tersenyum.
“Alhamdulillah..pesakit dah lepas tahap kritikal.Macam mana pun dia masih akan tetap di bawah pengawasan sebab belum betul-betul stabil”.
Pasangan suami isteri di hadapannya tersenyum.Sang isteri memeluk suaminya.Dr.Hassan tumpang gembira atas kegembiraaan mereka.
Wajah mereka diteliti.Terasa macam pernah dilihat wajah itu tapi di mana ya? Dia sendiri kurang pasti.
“Boleh kami pergi tengok dia?”
Dr.Hassan tersenyum.Dia memberikan laluan tapi terlebih dahulu berpesan pada jururawat agar membawa kedua suami isteri itu.
Mereka harus berpakaian hospital untuk ke bilik pesakit yang masih dalam pemerhatian.

*…………..*

Jam tangan dilihat.Pukul 3.00 petang.Sejam lagi dia punya pertemuan dengan rakan kongsi dari Australia.
Dia masih punya masa.Salim memandang Anas yang sedang memandu.
“Anas”.
“Ye” Anas memandang bos melalui cermin belakang.Nizam di sisinya setia menjadi pendengar.Pasti ada sesuatu yang mahu bos minta.
“Singgah hospital.Aku nak jumpa pak su”.
Nizam menoleh sedikit memandang Salim di belakang.Dahi dikerutkan.Ke hospital? Mengapa tiba-tiba?
Bukankah semalam Tn.Hassan sudah datang ke rumah?

*……………*

Tangan menepuk meja.”Terlepas kau cakap?”
“Maaf En.Zakuan.Memang kami dah jumpa cik muda tapi..cik muda dapat lari”.
Zakuan menggeleng-geleng.Bos akan tiba malam ini tapi cik muda masih belum ditemukan.Pandangannya tajam pada dua orang lelaki berkemeja hitam itu.
“Dah jumpa macam mana boleh terlepas?”
Keduanya diam.Tahu ketua mereka sudah naik marah.Mereka saling memandang.
“Macam mana boleh terlepas? Dengar tak?” Zakuan meninggi suara.
Johan di belakang Zakuan maju ke depan.Dia memandang dua temannya di hadapan.”Ada orang lain dengan cik muda?”
Salah seorang dari mereka mengangguk.”Ada lelaki yang tolong cik muda.Semalam dia terkena tembakan,mungkin hari ni dia orang tak boleh lari jauh sangat”.
Zakuan mengerut dahi.Terkena tembakan? Nampaknya sudah ada petanda.
Kalau sang penyelamat cik muda benar-benar terkena tembakan seperti yang diperkatakan,pasti akan ada kesan darah yang menitis dari lukanya.Bolehlah ia digunakan sebagai petunjuk.
“Johan.Kau hantar orang suruh masuk balik hutan tu.Kalau betul-betul kena tembak mesti ada kesan darah.Senanglah nak cari”.

*…………..*

“Abang Hakim boleh jalan lagi?” Julia menyoal bila abang Hakim kelihatan lemah.
Luqman memandang Julia.Kerana pertolongan gadis itu,lengannya tidak sesakit malam tadi.Walaupun ia masih berdenyut namun tidaklah terlalu sakit.
“Boleh tak?” Julia menyoal lagi.
Luqman cuba senyum.Walaupun senyumnya lemah,sekurangnya ia dilihat Julia.Dia mengangguk.Mampu atau tidak perjalanan tetap harus diteruskan.
Mereka tidak boleh terlalu lama di tempat yang sama.Itu akan memudahkan mereka dijumpai.Lagipun mereka masih dekat dengan kawasan tadi.Pasti mudah mencari mereka ditambah dengan kesan darahnya yang menitis semalam.
Julia senyum nipis.Tangan dihulurkan pada Luqman tanda meminta beg galas yang digalas abang Hakim.
“Saya boleh bawa lagi.Tengok ni..yang kena bukan dua-dua tangan”.Luqman mengangkat tangan kanannya dengan lagak Popeye The Sailourman.
Julia mengangguk.Sesungguhnya dia sudah menyusahkan abang Hakim kesayangannya.Kalaulah abang Hakim tidak datang untuk menyelamatkannya ini semua takkan terjadi.
Air mata yang hampir menitis dikesat.Dia tidak mahu abang Hakim tahu dia menangis.Dia harus berlagak kuat untuk diri dan abang Hakim sendiri.

*……………*

“Mukrimah..” Datin Mariah memandang puterinya yang terbaring di atas katil dengan alat bantuan pernafasan.
Dato’ Norman memegang bahu isterinya.Dia tidak mahu Datin Mariah terlalu bersedih atas perkara yang menimpa puteri tunggal mereka itu.Susah kalau Datin Mariah pula yang jatuh sakit.
Wani dan Pak Khir dibenarkan pulang mengambil rehat.Lagipun pasti Wani masih terkejut dengan kejadian yang berlaku tiba-tiba.
Datin Mariah memandang suaminya.”Luqman dah tahu Mukrimah accident?”
“Dah call banyak kali tak dapat.Tapi dah tinggalkan mesej.Nanti bila dia tengok fon..dia tahulah tu..”
Berkerut dahi Datin Mariah.Apa yang tak kena dengan anak sulungnya itu? Selalunya tidak pernah Luqman tidak dapat dihubungi.
Nafas ditarik.Lebih baik dia tidak memikirkannya.Soal Luqman,dia sudah dewasa dan pandai menjaga diri.Lagipun dia seorang lelaki.
Apa yang penting sekarang adalah memastikan Has sentiasa dalam keadaan stabil.Moga-moga anak gadisnya itu cepat sedar dari tidur panjangnya.

*……………*

“Pak su sibuk ke?”
Dr.Hassan tersenyum mendengar pertanyaan Salim.Kepala digeleng.Salim dan Nizam dijemput masuk.
“Kenapa Lim datang ni?” Dr.Hassan mengambil tempat di depan Salim.Manakala Nizam setia berdiri di pintu masuk.
“Entah” Salim mengangkat bahu.Dia juga tidak tahu sebab utamanya ke mari.Yang penting dia mahu menemui pak su sebelum pulang ke banglo menghadapi masalah kehilangan Julia.
Dr.Hassan tersenyum.Tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran anak saudaranya tapi dia tidak menyoal.Salim akan memberitahu sendiri.Dia hanya perlu menunggu.
Salim menghirup teh tarik yang dihidangkan pelayan tamu hospital.Red velvet yang sudah tersedia dia atas meja diambil.
“Pak su” Salim memandang pak su sambil memulakan suapan.
Kening dijongket.Dr.Hassan senyum sendiri menanti kata-kata dari Salim.
“Julia lari”.
Nizam memandang wajah bos.Kelihatan bos benar-benar susah hati kerana Julia.Kalaulah Zakuan sudah menjumpai Julia,pasti gadis itu dikerjakannya.Beraninya dia membuat bos susah hati begini.
Diam.Dr.Hassan mendiamkan diri mendengar kata-kata Salim.Kata-kata yang sekadar makluman itu nampaknya berbaur kecewa.Tapi apa yang boleh dia lakukan? Salim sendiri yang memulakan api.Jadi dia harus memadamnya sendiri juga.
Salim meletak piring yang telah kosong.Pejabat Dr.Hassan dipandang.Tiba-tiba dia teringat.”Kenapa Lim call pak su tak dapat?”
Dr.Hassan senyum.”Mungkin dah habis bateri.Semalam pak su jaga ER.Jadi pak su tinggal fon”.
Dia menoleh ke belakang memandang Nizam.”Nizam,tolong ambilkan fon saya.Ada atas meja tu”.
Nizam mengangguk.Dia mengatur langkah ke arah meja kerja Dr.Hassan.Telefon bimbit Dr.Hassan dicari.Fail-fail pesakit diangkat dan disusun.Mencari telefon bimbit.
Mukrimah Muhasibah? Nizam mengerut dahi membaca nama itu.Terasa seperti nama yang pernah didengari.Fail itu dicapai dan diselak helaiannya.
“Jumpa tak?” Dr.Hassan menyoal.Nizam dipandang.Begitu juga Salim,memandang pembantunya itu.
Nizam mengangguk.Telefon bimbit Dr.Hassan berada di bawah fail pesakit bernama Mukrimah Muhasibah itu.Dia berjalan ke arah Dr.Hassan dan menyerahkan telefon bimbit.
“Maaf tuan” Nizam menunduk.
Dr.Hassan mengangkat wajah,”Kenapa?”
“Mukrimah Muhasibah tu..”
Dr.Hassan mengangguk.”Dia masuk ER pagi tadi.Dalam pukul satu lebih.Accident..”
Nizam mengerut dahi.Dia mengangguk.Siapa? Mukrimah Muhasibah.Nama itu..
Salim memandang pak su.Bukankah Mukrimah Muhasibah merupakan nama anak pada Dato’ Norman dari Hakim Legacy?
“Mukrimah Muhasibah bt Norman Hakim?” Salim menghirup teh tariknya.
Dr.Hassan mengangguk.”Lim kenal?”
“Anak Dato’ Norman dari Hakim Legacy.Lim ada bagitahu pak su kan..yang kita beli seratus kotak baju budak tu” Salim mengingatkan.
Dr.Hassan mengangguk-angguk.Patutlah serasa wajah suami isteri itu dikenali.Dato’ Norman dari Hakim Legacy.Usahawan yang terkenal dengan kebaikan hatinya.Salim juga ada menunjukkan gambar-gambar mereka ketika dia dan Nizam makan malam di rumah Dato’ Norman.
Nizam terdiam.Bererti Mukrimah Muhasibah adalah Has? Has kemalangan? Dia tiba-tiba tidak senang duduk.Bagaimana dengan keadaan gadis itu sekarang?

*…………….*

“Nah”.
Julia memandang Luqman.Luqman menghulurkan sesuatu padanya.
“Tukarlah baju Lia tu.Mesti Lia tak selesa kan?” Luqman menunjuk pada kesan koyak pada t-shirt yang dipakai Julia.
Julia tersenyum malu.Pakaian yang dihulur Luqman diambil dan diteliti.Blouse Has?
“Saya tak tahulah Lia suka ke tak.Saya capai je apa yang namppak depan mata.Tu baju yang Lia hadiahkan untuk Has,kan?”
Julia mengangguk dengan senyuman.Blouse itu dipeluk seketika.Rindunya pada teman baiknya yang manja itu.Bagaimanalah agaknya keadaan Has sekarang?
Luqman membiarkan Julia mencari ruang sendiri.Dia melihat sekeliling.Perjalanan harus diteruskan.Bilalah mereka akan menemui sungai atau apa-apa yang menunjuk ke arah jalan keluar dari hutan ini?
Serasanya sudah tiga hari mereka berjalan meredah hutan tanpa arah tuju.Nafas ditarik.Pasti Has sudah membaca suratnya.Hanya empat hari lagi dan mereka tidak perlu bersembunyi lagi.
Surat yang ditinggalkan pada Has untuk Zalif menerangkan apa yang dia tahu tentang Geng Helang Hitam.Juga dituliskan cara-cara untuk sampai ke banglo.Dia juga melukiskan pelan banglo agar mudah pihak polis membuat serbuan.
Pasti Salim sudah mengamuk bagai nak gila mencari Julia.Mujurlah mereka sentiasa berpindah randah di dalam hutan itu.Kalau tidak pasti dia ataupun Julia sudah tertangkap.
“Abang Hakim” Julia memanggil.
Luqman memandang.Sekeping roti dan botol air yang sudah pun suku airnya diserahkan pada Julia.”Lepas ni kita kena gerak lagi”.
Julia senyum.Huluran abang Hakim disambut.Roti itu dibahagi dua dan diserahkan pada abang Hakim.Dan dia menjamah rotinya.
Luqman tersenyum memandang Has.Pasti Has lapar kerana sudah tiga hari asyik menjamah makanan yang sama.’Sabar ye Lia..nanti saya akan bagi Lia makan puas-puas bila kita dah keluar dari sini’.
Dia memulakan suapan.Keluhan dilepaskan.Roti yang tinggal di dalam beg hanya cuku untuk esok saja.Air pula hanya sampai malam ini.
Sekiranya mereka masih belum menemui jalan keluar,apa yang harus dilakukan? Sekadar buah-buahan hutan tidak cukup untuk menahan lapar keduanya.
Julia memandang Luqman dengan senyuman.Alhamdulillah terisi juga perutnya.Walaupun tidak mengenyangkan sekurangnya boleh menahan lapar.
“Lia bertahan tau.Kejap je kita macam ni.Nanti kita akan keluar”.
Julia tersenyum mendengar kata-kata Luqman.Luqman tersenyum melihat senyuman pada wajah Julia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s