JULIA – BAB 42

Dia memandang dua persalinan milik Julia yang disediakan beberapa bulan lalu. Perlahan persalinan itu dibuka dari penyangkut dan dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Nampaknya sesudah baju itu kering dia harus menyimpannya kembali ke dalam almari. Keyakinan kuatnya yang mengatakan Julia akan pulang nampaknya tidak membawa sebarang petunjuk. Sehingga hari ini Julia masih belum muncul.
Nafas ditarik sedalam mungkin. Bilalah agaknya mutiara hatinya itu akan pulang? Sudah banyak hal yang terjadi sejak pemergian Julia.
Luqman sudah hampir seminggu pergi ke Pulau Pinang. Kata Datin Mariah temannya, Luqman ke sana untuk bertemu Firdaus yang merupakan teman baik Luqman semasa mereka menuntut di universiti bersama.
Has pula sudah kemalangan. Katanya dia hilang ingatan seketika. Tidak dapat mengingat peristiwa setahun lalu. Has seolah masih hidup dalam tahun lalu.
“Ju..”
Anisah mengesat air mata yang mula membasahi pipi. Walau di mana pun puterinya berada sekarang, dia benar-benar berharap puterinya itu dilindungi Allah dari sebarang ancaman.

*…………………*

Keadaan bilik diperhati. Dia masih di hospital. Nafas ditarik perlahan. Tudungnya dibetulkan. Sudah dua hari dia di sini. Tapi mengapa Julia tidak datang melawatnya?
Begitu juga abang. Bukankah dia merupakan satu-satunya adik Luqman? Mengapa Luqman seperti tidak ambil kisah tentang keadaannya yang terlantar di hospital?
Datin Mariah masuk dengan membawa satu set mangkuk tingkat di tangannya. Senyuman diberi buat Has yang memandang.
“Sihat anak mama hari ni?”
Has senyum nipis. Melihat mama menyusun mangkuk-mangkuk itu di hadapannya. Sekali pandang pun dia sudah tahu itu masakan Kak Wani. Memang sedari dulu jika dia sakit hanya masakan Kak Wani yang boleh melalui tekaknya.
“Mama” Has memanggil.
Datin Mariah mengangkat wajah. Memandang wajah Has yang penuh tanda tanya. Nampaknya apa yang dia fikirkan bakal berlaku. Pasti Has akan menyoal soal Julia juga abang kesayangannya.
“Kenapa Ju tak datang tengok Has pun?”
Has memandang mama yang mendiamkan diri. Datin Mariah maju pada Has. Meja makan hosital ditolak ke tepi. Tempat diambil dan tangannya memegang tangan Has.
“Kenapa ni?” Has menyoal, hairan dengan tindakan mama.
“Mukrimah…mama ada benda nak cakap..Tapi Mukrimah kena dengar betul-betul. Boleh?”
Has mengerutkan dahi,” Macam cemas je..ada apa-apa ke?”
Datin Mariah memandang Has dengan pandangan kasihnya. Pesanan Dr.Hassan diingat kembali, semuanya harus berlaku secara semulajadi agar tidak mendatangkan tekanan buat Has.
” Kita sekarang ni hidup dalam tahun 2014 , bukan 2013 “.
Has diam mendengar kata-kata mama. Bukan tahun 2013? Maksudnya setahun telah berlalu? Sejak bila pula mereka berpindah tahun? Mengapa dia langsung tidak ingat apa yang terjadi?
“Mama tahu Mukrimah pening. Dah setahun berlalu..Ju dah lama hilang. Dia dah lama tak balik. Semua orang dah cuba cari Ju. Tapi tak jumpa. Dah lapor polis tapi polis tak jumpa tanda-tanda Ju kat mana. Jadi akhirnya Cik Nisah tutup kes. Sebab dah lama sangat..Cik Nisah yakin Ju akan balik sendiri”.
Sunyi seketika. Datin Mariah mengambil nafasnya. Has mengerut dahi memikirkan kata-kata mama. Langsung dia tidak mengingat peristiwa yang dikatakan mama. Takkanlah..
“Maksudnya Has terbaring setahun kat sini?”
Datin Mariah memejam mata,” Lebih kurang macam tu lah”.
Has mengangguk. Setahun? Mustahil begitu lama dia terbaring di hospital. Maksudnya dia koma? Mengapa tidak sedarkan diri hingga setahun lamanya?
“Has tak fahamlah..”
Datin Mariah menguntum senyum. Tahu pasti Has akan kebingungan. Namun masa yang berlalu akan membuatkan Has memahami lambat atau cepat. Cuma dia harus menerangkan mengapa Julia juga Luqman tidak datang melawat Has sepanjang dia di hospital.
” Abang? ”
Datin Mariah senyum lagi,” Luqman ke Penang. Jumpa Firdaus, Has ingat kan kawan Luqman tu?”
Has mengangguk. Abang Firdaus merupakan teman serumah abang sewaktu abang menuntut di Pulau Pinang. “Dah berapa lama abang kat Penang?”
Datin Mariah diam sebentar, mengira masa,”Lebih kurang seminggu”.
Has mengerut dahi. Seminggu? Imej sepucuk surat tiba-tiba muncul dalam fikirannya. Ayat ‘kalau dah seminggu abang pergi, tolong serahkan surat ni pada abang Zalif’ terngiang di ruang mata.
Datin Mariah hairan melihat reaksi Has. Nama puterinya dipanggil,” Mukrimah”.
Kerutan dahinya bertambah. Seminggu? Surat? Abang? Apa yang terbayang di fikirannya sekarang?

*…………………*

Julia tersenyum memandang sungai di hadapannya.
“Subhanallah..” pemandangan itu benar-benar cantik lebih-lebih lagi di dalam hutan.
Luqman ikut senyum memandang wajah ceria Julia. Rindu benar dia pada senyuman itu. Selama mereka di dalam hutan ini, senyuman yang dilemparkan Julia hanyalah sekadar senyuman buatan untuk menyenangkan hatinya. Tapi hari ini Julia benar-benar tersenyum ceria.
Julia berlari anak mendekati anak sungai. Kasut yang tersarung di kaki dibuka. Langsung kakinya direndam ke dalam air sungai. Senyum terukir pada bibir menampakkan gigi.
Luqman meletakkan beg galas di sebatang pokok besar yang terdapat di belakangnya. Matanya melihat sekeliling. Nampaknya selepas ini mereka harus mencari jalan menyusur sungai.
Bibirnya mengukir senyum bila memikirkan mereka akan menemui sebuah kawasan perkampungan. Mereka akan menemui jalan keluar untuk menyelamatkan diri dari Geng Helang Hitam.

*…………………..*

Nizam gelisah di depan pintu. Nafas ditarik. Dia mahu meminta kebenaran untuk ke bandar sebentar bagi menemui Has tapi..dia dapat merasakan bos tidak akan membenarkan.
Bos yang sudah hampir meletup kemarahannya dek kehilangan Julia itu sudah makin susah dibawa berbincang sekarang. Bukan dia saja dimarah, malah seisi banglo dimaki hamunnya.
Bukan itu saja, hampir-hampir nyawa mak cik Nafisah melayang tempoh hari kerana memasak makanan kegemaran Julia. Walhal hal itu bukan disengajakan. Lagipun siapa yang tak tahu betapa bos sangat menjaga hati mak cik Nafisah?
Dia memejam mata. Apa yang jadi pun jadilah. Yang penting selagi dia belum melihat Has di depan mata hatinya tidak akan tenang. Pintu diketuk. Sesudah mendapatkan keizinan, dia masuk.
Salim memandang Nizam dengan wajah seriusnya.”Dah jumpa Julia ke?”
Nizam menggeleng. Sememangnya itu adalah kenyataannya. Dia juga bukannya datang untuk memberitahu soal Julia.
“Nak apa?” fail yang diperiksa ditutup. Pen di tangan diletak di atas meja. Menanti kata-kata dari Nizam.
“Saya..saya nak ke bandar” Nizam terus pada tujuan. Dia sudah lama berkhidmat dengan bos dan dia tahu bos tidak suka orang yang melengahkan masa.
Kening diangkat memandang Nizam. Wajah pembantunya itu dipandang. Ke bandar? Setahunya Nizam tidak punya urusan lain selain urusan dia. Untuk apa pula Nizam ke bandar sedangkan dia di banglo dan dia juga tidak meminta Nizam ke bandar untuk melakukan apa-apa.
Biarlah. Dia hanya bos Nizam bukan tuan punya hidup. Pastinya Nizam punya hak sendiri untuk ke mana-mana yang dia suka.
Salim pun menyoal,” Nak drive sendiri ke bawa Anas?”
Nizam mengangkat wajah. Perlahan senyum terukir. Ertinya bos membenarkan? Kalau tidak bos tidak akan menyoal. Sedangkan bos sendiri tahu Anas merupakan pemandu peribadi bos. Bos tidak akan membenarkan Anas memandu untuk orang lain sekalipun dirinya.
” Drive sendiri”.
Salim mengangguk,” Tengok sekali kalau-kalau Julia dah balik ke family dia”.
Nizam mengangguk dan langsung keluar dari pejabat bos. Senyumnya lebar ke pipi. Tidak sabar rasanya mahu menemui Has.

*…………………*

Dia mengukir senyum pada Cik Nisah yang baru meninggalkan biliknya. Nafas dilepaskan. Dia bersendirian lagi.
Mama sudah lama pulang kerana ada tetamu yang berkunjung ke rumah. Papa pasti masih di pejabat. Kak Wani tidak dapat datang kerana membantu mama. Cik Nisah baru pulang bersama Cik Amir.
Has tersenyum bila teringat kata-kata Dr.Hassan yang mengatakan dia boleh pulang esok. Tidak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki ke rumah semula.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s