JULIA – BAB 43

Pintu biliknya yang terbuka dipandang. Dahinya berkerut melihat seorang lelaki tak dikenali masuk dengan membawa jambangan bunga. Siapa lelaki ini?
Nizam tersenyum pada Has yang memandangnya. Langkahnya maju pada Has yang berada di atas katil.
“Kau sihat?”
Has mengangguk dengan wajah hairan. Jambangan bunga yang dihulurkan lelaki itu ditolak tepi,” Saya tak suka bunga”.
Nizam tersengih. Lupa pula Has memang lain dari yang lain. Dia mendekat.
Has berdehem. Siapa lelaki ini sebenarnya? Tiba-tiba mahu datang dekat padanya. Sedangkan dia tahu pasti dia dan lelaki itu tidak berhubungan saudara.
Nizam mengundur. Pasti Has tidak selesa. Dia sendiri maklum Has jenis yang sangat menjaga batasan agama.
Suasana diam , sunyi seketika. Puas Has cuba mengingat wajah lelaki di depannya ini tapi tiada petunjuk. Sedang Nizam pula pusing mahu memulakan ayat perbualan.
“Awak siapa?” Has menyoal. Sudah malas mahu meneka.
Nizam mengangkat wajah. Matanya membulat memandang Has. Mengapa Has menyoal sebegitu?
“Saya rasa kita tak pernah kenal kan sebelum ni?”
Nizam diam. Kata-kata Has…kata-kata Has sangat aneh padanya. Tidak pernah kenal sebelum ini?
“Kenapa awak tak jawab? Saya nak tahu awak siapa?” Has memandang wajah lelaki itu. Dahinya berkerut melihat wajah lelaki itu yang tiba-tiba bertukar hampa.
” Kau tak ingat aku?”
Has mengeluh. Dia yang menyoal tapi mengapa dia disoal kembali? Lagi satu, dia langsung tidak suka mendengar kata ganti nama yang digunakan lelaki ini.
“Awak tak boleh guna bahasa lembut sikit ke? Kau aku..saya tak suka” suaranya sedikit meninggi.
Nizam senyum lagi. Walaupun Has tidak mengecamnya sekurangnya layanan Has padanya masih sama.”Maaf”.
“Saya tanya awak siapa? Kenapa awak tak nak jawab?” Has berlembut kembali. Terasa bagai benang bersimpul dalam otaknya.
“Nizam. Nama aku..nama saya..Nizam”.
Has melepas nafas. Nizam? Nizam , Nizam , Nizam…siapa yang bernama Nizam dalam hidupnya?
Nizam senyum nipis.”Bila Has boleh keluar hospital?”
Has langsung mengangkat wajah. Wajah Nizam diteliti. Has .. hanya panggilan bagi orang yang dekat padanya. Mengapa dia tidak mengenali lelaki ini walau lelaki ini memanggilnya Has?
“Bila Has boleh keluar hospital?” Nizam menyoal lagi.
“Esok”.
“Baguslah tu”.
Has mengeluh dan mengeluh lagi.”Awak siapa?”
Nizam sengih. “Nizam”.
“Saya tahulah nama awak Nizam. Saya nak tahu awak ni siapa sebenarnya? Saya tak kenal awak pun. Kenapa awak tiba-tiba datang bawa bunga ni?”
Nizam mula mengerut dahi. Sejak dia mula-mula tiba di situ, Has asyik mengulang soalan yang sama. Apakah ia kerana Has benar-benar tidak mengenalinya?
“Has memang tak kenal saya?”
Has mengangguk. “Awak kenal saya ke?”
Nizam mengangguk juga. Pastinya dia mengenal gadis di hadapannya ini. “Mukrimah Muhasibah anak bongsu Dato’ Norman. Adik Luqmanul Hakim”.
Has memandang. Malang betul nasibnya. Walaupun lelaki di hadapannya ini kali pertama dilihat, namun sudah dapat membuatkan dia menyampah. Tapi niatnya kelihatan baik, ditambah dengan bunga yang dibawanya lagi. Atau … ?
“Awak nak pikat saya ke?” Has mencapai bunga yang dibawa Nizam dan menghulurnya pada Nizam semula.
Nizam diam. Dahinya berkerut. Huluran Has disambut. Tapi bagaimana Has boleh menyoal sedemikian rupa? Kelihatannya dia seperti kebingungan dengan apa yang berlaku.
Pintu bilik dibuka dari luar. Dr.Hassan masuk bersama dua orang jururawat di sisinya. Nizam membuat muka. Habislah .. pasti Dr.Hassan hairan melihat dia di bilik Has. Nampaknya akan berlaku sesi soal jawablah selepas ini.

*………………..*

Julia melangkah perlahan masuk ke dalam sungai. Berhati-hati agar dia tidak terpijak benda-benda tajam yang tidak terlihat.
Luqman senyum memandang Julia dari tempatnya. Mereka sudah merencana untuk memulakan perjalanan petang ini. Moga-moga semua ini ada pengakhirannya.
Sudah seminggu lebih dia dan Julia terperangkap dalam hutan. Pasti Has sudah menunaikan amanah yang dia beri. Barangkali bahan bukti itu sudah berada pada tangan pihak polis ketika ini.
Julia melangkah lagi. Air sungai sudah sampai pada paras dada. Lega rasanya dapat membasahkan diri setelah sekian lama bermandi peluh.
Luqman mengerut dahi melihat air sungai yang tenang bertukar deras. Julia dipandang. Gadis itu masih leka membersihkan diri. Langsung Luqman berlari anak mendekati tebing sungai.
Saat memijak sebiji batu besar untuk ke tengah sungai, kakinya tiba-tiba tergelincir akibat lumut yang terkumpul. Badannya hilang keimbangan dan Julia terjatuh.
“Lia!” Luqman menjerit melihat tubuh Julia melayang ke dalam sungai. Langsung kasutnya dibuka dan dia terjun.
Julia tercungap-cungap di permukaan. Kakinya yang tersepit di celah batu membuatkan dia tidak boleh berenang ke tebing. Lantas nama abang Hakim dilaung.
Luqman panik mencari Julia. Deras air sungai membuatkan dia sukar bergerak kerana melawan arah. Namun dia tetap berenang mencari Julia.
“Abang Hakim! Tolong! Abang Hakim!” Julia menenggelamkan diri dan cuba menarik kakinya namun tidak berjaya. Dan dia naik ke permukaan mengambil nafas.
Luqman di dalam sungai menemui kaki Julia. Batu yang menyepit kaki Julia ditolak sedikit agar Julia dapat meluluskan kaki. Julia langsung naik ke permukaan. Tapi sayang nafas dan tenaganya tidak cukup untuk dia berenang ke tebing. Air sungai yang deras menjadi penghalang.
Luqman cuba membantu. Tubuh Julia ditolak agar gadis itu dapat melajukan renangan. Namun ia tidak semudah yang disangka.
Nasib tidak menyebelahi bila tudung Julia tersangkut pada batang pokok yang menumbuh dalam sungai. Julia menarik tudungnya sekuat hati namun tudungnya tidak koyak walau sedikit. Tanpa berfikir panjang langsung tudung itu ditanggalkan dan dia berenang ke tebing.
Julia naik ke tebing dan memejam mata. Nafas ditarik. Tiba-tiba dia teringat pada abang Hakim. Langsung nama abang Hakim dilaung namun tiada jawapan.
Julia cuba berdiri namun tak berjaya. Baru dia sedar kakinya berdarah dek terjatuh juga tersepit tadi. Kakinya dipegang dan dia turun ke dalam sungai kembali. Apa ertinya dia selamat jika abang Hakim tidak?
Hujan mula turun dari langit. Awalnya sekadar renyai-renyai namun bertukar lebat. Julia cuba bergerak mencari abang Hakim di dalam sungai dengan langkahnya yang perlahan. Kakinya yang cedera membuatkan dia tidak boleh berenang.
Luqman berpaut pada batang kayu yang dilihat. Nafas ditarik dan dia maju pada Julia yang kelihatan mencarinya. Matanya membulat saat melihat Julia yang tiba-tiba tenggelam ke dalam sungai.
Dia cuba bergerak laju pada Julia namun ia tetap tidak selaju yang dia mahu. Kelajuannya masih tidak cukup untuk menyelamatkan Julia.
Julia menahan nafas di dalam air. Dia tak berupaya naik ke permukaan dek luka kaki. Juga hujan yang makin lebat seolah membantu dia menenggelamkan diri.
Sebaik Luqman dapat memegang tangan Julia, tubuh gadis itu ditarik agar hampir padanya. Pipi itu ditampar perlahan untuk menguji Julia masih sedar atau tidak.
Mata yang pejam tidak memberi respon. Luqman langsung naik ke permukaan , mengambil nafas dan kembali menghadap Julia. Ternyata gadis itu sudah pengsan.
Semakin Luqman berenang mendekati tebing, semakin dia jauh dari tebing kerana ditolak air sungai. Tenaganya sudah tidak mencukupi untuk melawan arus air. Tambah memaut Julia yang sudah tak sedarkan diri.
Luqman cuba mencapai apa-apa yang boleh dijadikan pautan namun tak berjaya. Dia yang sudah lemah akibat beberapa hari tak menjamah apa-apa hanya terkapai-kapai. Namun Julia tak dilepaskan , bimbang gadis itu dibawa sungai.
Nasib tak menyebelahi apabila kepala Luqman terhentak pada sebiji batu besar. Darah yang mengalir dari kepala membuatkan mata Luqman berpinar-pinar.
Dia hanya mampu melihat Julia yang terlepas dari pegangannya. Gadis itu memang sudah tak sedarkan diri. Tubuh Julia yang makin jauh dari pandangan mata Luqman membuatkan Luqman juga turut hanyut.
Dia hanya mampu berdoa agar mereka sama-sama selamat dan tidak terpisah. Setelah itu Luqman tidak tahu apa yang berlaku. Dunianya gelap membuatkan dia juga hilang kesedaran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s