JULIA – BAB 44

“Astaghfirullahal ‘adzim..” Anisah beristighfar. Nafas ditarik dan mata dipejam. Bibirnya diketap menahan ketakutan.
“Nisa” Amir yang baru menukar baju tidur menghampiri Anisah di atas katil.
Anisah tersenyum pada Amir di sisi. Tangan suaminya dicapai dan digenggam. Nafas dilepas dan dia tersenyum lagi.
“Mimpi Ju ke?”
Anisah mengangguk. Kepala dilentok pada bahu sang suami. Mimpi .. mimpi .. dan mimpi lagi. Entah apa yang tak kena dia sendiri tak tahu. Apa nasib Julianya sekarang?
Suara Julia yang menjerit meminta pertolongan terngiang di telinganya. Dia tidak memahami maksud mimpinya yang sebenar. Yang nampak hanya sebatang sungai mengalir bersama hujan yang turun dengan lebatnya.
Juga suara Julia menjerit meminta tolong. Namun wajah Julia tak kelihatan. Hanya suara yang kedengaran. Tak lama dia mencari barulah terlihat Julia terkapai-kapai mencari nafas. Baru dia ingin terjun ke dalam sungai membantu puterinya itu dia terjaga.
Dan apa yang dilihat hanyalah bilik tidurnya. Juga suami yang baru keluar dari bilik air.
“Nisa” Amir memanggil. Hairan mendengar suara esakan dari isteri tersayang.
Anisah mengesat air mata yang mengalir. Kerinduannya pada Julia makin bertambah dari masa ke semasa. Apakah Julia juga merinduinya seperti dia merindui Julia?

*…………….*

Matanya dipejam lama. Namun makin lama dia berbaring di atas katilnya, makin dia tidak mengantuk.
Salim membentak marah. Rimas betul dengan keadaan dirinya sekarang. Ke mana agaknya Julia dilarikan? Sudah seminggu lebih hilangnya tanpa khabar berita.
“Julia…” Salim menghidupkan lampu bilik. Dipaksa bagaimana pun matanya sudah tidak boleh pejam.
Bingkai gambar Julia yang berada di atas meja kerjanya diambil. Salim mengambil tempat di atas kerusi. Matanya memandang wajah Julia di dalam bingkai itu.
Gambar itu dicuri dari fail pendaftaran Julia di universiti. Gambar ceria yang melambangkan kegembiraan yang dia alami. Rindunya dia pada pujaan hatinya itu.
Selama dia di banglo kali ini, hampir setiap hari dia mengamuk atas kecuaian mereka yang membiarkan Julia dilarikan. “Mana awak pergi sebenarnya?”
Dia mengeluh. Air mata yang bertakung segera dikesat. Lemahnya dia dalam soal hati dan perasaan. Memang memalukan bagi seorang ketua gengster sepertinya. Tapi apa yang boleh dilakukan?
“Julia .. Mana awak pergi sebenarnya? Dah berapa lama awak hilang? Awak memang tak bahagia duduk kat sini ke? Sampai awak sanggup lari meredah hutan tebal. Benci sangat awak dengan saya Julia? Menyampah sangat ke dengan saya? Awak tak de dengan keluarga awak. Tak de dengan keluarga tunang awak. Tak de dengan kawan baik awak …. tunang..”
Kata-kata Salim terhenti. Tunang? Luqmanul Hakim. Memang Julia tiada dengan Has kerana dia tahu Has kemalangan. Rekod pesakit di pejabat pak su tempoh hari adalah buktinya. Tapi Luqman?
Nafas ditarik. Kalau seorang gadis hilang secara tiba-tiba , yang paling risau adalah kedua ibu bapa. Tapi jika gadis itu sudah mengikat tali pertunangan atau perkahwinan , pastinya yang paling risau adalah pasangannya?
Atau jangan-jangan .. yang datang menyelamatkan Julia tempoh hari adalah Luqman?

*………………*

“Cik muda!”
Has beku di dalam pelukan Wani. Terkejut pembantunya itu tiba-tiba datang memeluknya. Ketawa kecil terlepas darinya.
“Cik muda dah sihat? Dah boleh keluar hospital. Kak Wani lega sangat. Risau betul cik muda lama-lama kat hospital tu..”
Has ketawa lagi,”Kenapa dengan Kak Wani ni? Has cuma kena langgar je .. bukan kena bunuh pun”.
Wani mencubit lengan cik mudanya. Walau baru keluar hospital masih lagi suka merau seperti biasa.
Has sengih,”Gurau je..”
“Tak baik gurau benda macam tu” Wani mencebik. Masih terbayang tubuh Has yang berlumuran darah tempoh hari. Dia memang sangat cemas waktu itu. Mujur pemandu Avanza itu bertanggung jawab. Langsung dia menghubungi ambulans mengambil cik muda.
“Dah habis buat jejak kasih ke?” Datin Mariah masuk dengan diiringi pembantu rumah yang membawa beg baju Has.
Has sengih memandang mama. Wani langsung memberi tunduk hormat pada Datin Mariah,”Maaf datin”.
Datin Mariah senyum dan menggeleng. Dia ke dapur bagi menyediakan air minum buat Has. Has ketawa kecil. Tangan Wani ditarik agar dia duduk semula.
“Baik Kak Wani pergi tolong datin” Wani memandang.
“Has baru je balik. Kak Wani tak rindu Has ke? Lagipun ada ramai kat dapur tu. Agaknya mama nak pegang cawan pun tak sempat”.
Wani mengerut dahi. Bunyi loceng pintu besar membuatkan Wani dan Has berpandangan. Siapa yang datang tengah hari buta begini?
Wani langsung bangun dan keluar. Has menanti di atas sofa. Seisi rumah diteliti. Masih sama dengan apa yang dilihat buat kali terakhir cuma ada sedikit perubahan yang berlaku.
Datin Mariah ke ruang tamu diiringi pembantu rumah yang membawa dulang air. Pintu yang terbuka dipandang,”Ada orang datang ke?”
Has mengangguk. Jus delima yang dihidang diminum. Tudungnya dibetulkan agar dia lebih selesa.
Wani masuk dengan tergesa-gesa. Wajah Datin Mariah yang berada di sisi Has ditatap.”En.Nizam dari Sa-Nu datang”.
Datin Mariah mengerut dahi. Nizam dari Sa-Nu? Mengapa dia ke mari? Setahunya urus niaga syarikat telah selesai dijalankan. Lagipun suaminya juga tiada di rumah.
“Kenapa dia datang?” Datin Mariah menyoal.
Has memandang mama. Nizam dari Sa-Nu? Apakah itu Nizam yang datang melawatnya tempoh hari? Nizam yang membawa bunga untuknya?
Wani menggeleng,”Tak tahu. Dah cakap dengan dia dato’ tak de. Dia nak jumpa cik muda”.
Datin Mariah mengetap bibir. Berjumpa Has? Wajah puterinya dipandang. Tersedak Has mendengar kata-kata Wani. Mama dipandang.
“Ada nak cakap apa-apa?” Datin Mariah memandang Has.
Has menggeleng-geleng,”Nizam mana?”
Datin Mariah mengecilkan mata. Langsung tak percaya dengan lakonan yang dilantarkan Has. Namun dia teringat kata-kata Dr.Hassan tentang keadaan kesihatan Has. Sindrom otak pasca traumatik.
Datin Mariah memandang Wani dengan senyuman,”Kalau tetamu datang tak elok dihalau. Jemputlah dia masuk”.
Has diam. Dia tahu mama sebenarnya mahu mengujinya. Dia hanya perlu diam dan mendiamkan diri.

*………………*

Dia melangkah masuk ke dalam rumah besar itu dengan debaran. Memang niatnya mahu menemui Has di samping itu menunaikan arahan bos. Pagi tadi bos tiba-tiba memintanya pergi ke rumah Dato’ Norman dan membuat pemeriksaan apakah Luqman ada atau tidak.
Dan kalau tiada dia di mana dan apa yang dilakukan. Pada Nizam tidak penting mengapa bos tiba-tiba membuat arahan begitu tapi ianya boleh digunakan sebagai alasan untuk dia melawat Has.
Pertemuan dengan Tn.Hassan semalam menyelesaikan teka-teki yang bermain di fikirannya. Tn.Hassan memberitahu Has mengalami masalah otak kerana hentakan kuat yang dialami.
Tn.Hassan juga seperti dapat meneka apa yang dia fikir tentang Has. Dia tersenyum-senyum memandang Nizam sewaktu membuat pemeriksaan pada Has.
Mujur Tn.Hassan tidaklah bertanya banyak. Pada Nizam pasti Tn.Hassan menganggap itu adalah soal peribadi. Jadi dia tidaklah terlalu mengambil soal tentangnya.
“Kenapa awak datang?” Has menyoal sebaik melihat wajah Nizam.
Nizam cuba mengukir senyum.”Awak tak suka saya datang?”
Has menjeling,”Kenapa pula saya tak suka?”
Nizam senyum lagi,memandang Has mendatangkan kesenangan dalam hatinya. Dia mengambil tempat pada sofa yang tersedia. Has mencebik. Entah siapalah yang menyuruh lelaki ini duduk.
“Luqman tak de ke?” Nizam memandang sekeliling.
Has mengerut dahi,”Awak kenal abang?”
Nizam mengangguk,”Saya pernah jumpa dia. Waktu dato’ bawa dia jumpa bos. Awak tak ingat yang kita selalu gaduh dulu?”
Has mengerut dahi. Bergaduh? Nizam .. bergaduh .. abang. Namun ia hanya fikirannya. Langsung tiada bayangan yang datang dalam otak.
“Dia tak de. Pergi Penang jumpa kawan”.
Nizam mengangguk. Jadi Luqman tiada. Ia harus dilaporkan pada bos nanti. Tapi buat masa sekarang dia mahu memandang wajah Has sepuas hati. Sebelum pulang ke banglo, pasti nanti dia sudah tak dibenarkan keluar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s