JULIA – BAB 45

“Kau pasti?”
Anggukan diberi pada bos yang menyoal. Salim mengangguk, memahami kata-kata Nizam. Jadi Luqman memang tiada di rumah. Katanya dia ke Pulau Pinang menziarahi teman.
Kata Nizam lagi sudah seminggu lebih dia di sana. Keluarganya semua tahu dia ke sana. Dan selalunya temannya itu akan menghubungi keluarga Luqman untuk memaklumkan yang dia baik-baik saja.
Salim senyum kambing. Siapa tahu kalau Luqman sekadar berbohong pada keluarganya. Dan temannya pula memberikan kerjasama. Nampaknya dia harus menghantar sesiapa ke Pulau Pinang untuk memastikan apakah benar Luqman berada di situ.

*………………..*

Dia beku di situ. Dengan mama di sebelah kanan dan papa di sebelah kiri. Kak Wani yang datang menghidang air tersenyum-senyum melihat Has.
“Kenapa diam je? Papa tanya tu .. jawablah”.
Has memandang mama. Dia melepas nafas. Papa di sebelah kiri dipandang. “Papa nak Has cakap apa lagi? Has memang tak de apa-apa dengan Nizam. Has tak kenal pun dia tu siapa?”
Dato’ Norman mengecilkan mata. Sukar mempercayai kata-kata Has. Kalau benar Has tak mengenali Nizam mengapa Nizam datang ke rumahnya? Tambahan Nizam bukan datang untuk bertemu dengannya tapi untuk bertemu Has.
“Papa bukan tak nak percaya , tapi memang tak boleh percaya. Kalau Has tak de apa-apa dengan Nizam kenapa dia datang jumpa Has? Kat rumah pula tu..” Dato’ Norman membulatkan matanya.
Has mengeluh. Tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan. Dia memang tidak dapat ingat siapa lelaki itu. Sudah beberapa hari dia cuba ingat di mana dia pernah melihat wajah itu tapi dia memang tidak ingat.
Datin Mariah senyum. Dia tahu suaminya sekadar mahu menguji Has. Mahu melihat reaksi apa yang bakal diberikan. Namun jauh di sudut hatinya , dia tetap risau andai Has berusaha mati-matian cuba mengingat Nizam. Bimbang mendatangkan bahaya seperti yang diucap Dr.Hassan.
” Papa.. Has memang tak kenal dia. Tapi papa kenapa nak tanya Has sangat?”
Dato’ Norman menarik nafas. Dia cuma mahu melihat reaksi yang bakal diberikan Has. Kalau-kalau memang Has sudah punya calon menantu untuk mereka. Dan kalau jawapan yang diberikan Has positif memang Dato’ Norman akan membantah.
Semua ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Dia tak mahu Has melibatkan diri dengan Nizam. Sudah banyak cerita yang tidak baik tentang lelaki itu.
Katanya Nizam bersama bosnya terlibat dalam pelbagai perniagaan haram. Ada juga yang mengatakan Salim yaitu bos Nizam merupakan bapa ayam dan pembekal dadah terbesar di Malaysia.
Walaupun dia sendiri tidak pasti sejauh mana kebenaran semua itu , dia tetap mahu Has menjauhkan diri dari Nizam. Kerana bukankah mencegah lebih baik dari mengubati? Dia tidak mahu Has terluka di kemudian hari.
Has memandang papa yang tiba-tiba mendiamkan diri. Ada apa-apa yang dia tersalah cakapkah?
“Papa..” Has mencapai tangan papa. Bimbang ada kata-katanya yang mengguris hati papa.
Dato’ Norman tersenyum. Has mencapai tangan mama dan menggenggamnya. ” Mama dengan papa jangan risau. Bila Has dah ada orang yang Has rasa boleh jadi pasangan hidup Has , mama dengan papa akan jadi orang pertama yang tahu. Cuma sekarang Has tak nak fikir lagi benda tu. Has nak fokus kat belajar. Lagipun kita belum jumpa Ju lagi. Has nak tunggu dia balik “.
Dato’ Norman dan Datin Mariah keduanya tersenyum. Datin Mariah langsung bangun ke dapur untuk memeriksa apakah makan malam sudah siap dimasak.
Has memandang papa. Mengapa kelihatan seperti ada sesuatu yang mengganggu papa? Atau papa memang menyangka dia ada hubungan dengan Nizam?
” Papa tak percayakan Has?”
Dato’ Norman menggeleng. Kepala puterinya diusap , “Mustahil papa tak percayakan Has. Tak de apa-apalah. Jom makan”.
Has senyum dan bangun dari duduknya. Mengikut langkah papa dari belakang.
‘Patutnya kau rendam je sampai tahun depan’.
Has menoleh mendengar suara itu. Namun ruang tamu kosong. Tiada manusia.
‘Macamlah orang teringin sangat nak simpan barang dia’.
Dahinya berkerut lagi. Hairan mendengar suaranya pula. Terbayang dia dan Nizam bergaduh kecil di depan rumah. Apa yang bermain di kepalanya ini?
Nafas ditarik sedalamnya. Kepalanya mula terasa bagai berpusing-pusing. Kata-kata tadi terngiang-ngiang lagi.
‘Patutnya kau rendam je sampai tahun depan’.
‘Macamlah orang teringin sangat nak simpan barang dia’.
‘Dahsyat juga mulut kau,kan?’
‘Habis mulut awak tu berinsuran sangat ke?’
‘Aku laki.Kau tu perempuan.Agak-agaklah..’
‘Agak apa?’
Has memegang kepalanya. Matanya terpejam menahan kesakitan. Bila pula babak ini berlaku dalam hidupnya? Bukankah dia tidak pernah mengenali Nizam sebelum ini?
‘Has’.
Has terduduk atas lantai. Bukankah suara itu suara abang? Bagaimana abang boleh ada bersama? Has cuba bertahan namun dia sudah tidak berdaya. Dunianya gelap. Hanya kedengaran suara mama dan papa yang menjerit memanggil namanya.

*………………..*

Dr.Hassan tersenyum pada Has. Stetoskop kembali disimpan ke dalam briefcasenya.
“Cik Mukrimah tak apa-apa. Cuma pengsan biasa je”.
Has mengerut dahi memandang Dr.Hassan. Mama di sisi dipandang sekilas. Pengsan biasa? Apa yang dimaksudkan dengan pengsan biasa?
Dr.Hassan senyum lagi. Jadi inilah teman baik Julia. Dia baru tahu perkara itu dari Nizam tempoh hari. Memang sama seperti Julia. Punya sikap dan wajah yang boleh menenangkan hati siapa saja yang memandang dan mengenali. Inilah agaknya sebab mengapa Salim dan Nizam sama-sama tertarik dengan keduanya.
“Apa maksud pengsan biasa?” Has menyoal,ingin tahu.
Dr.Hassan mengangguk,” Jangan risau. Cik Mukrimah sihat macam biasa. Boleh doktor tahu sebelum Cik Mukrimah pengsan tadi ada Cik Mukrimah ingat apa-apa?”
Has diam sebentar. Pemandangan tadi terbayang di fikiran. “Has tengah bergaduh dengan seorang lelaki. Bergaduh fasal .. barang?”
Dr.Hassan mengangguk,” Cik Mukrimah nampak muka lelaki tu?”
Has mengangguk. Mengiakan pertanyaan Dr.Hassan.
“Kalau macam tu..tau tak barang tu barang apa?”
Has menggeleng. Matanya dikecilkan dan dia menggeleng lagi.
“Tak pe. Cik Mukrimah dah mula nak ingat apa yang terjadi. Dah kira ada peningkatan. Tapi Cik Mukrimah kena ingat perlahan-lahan. Jangan paksa diri. Kalau tak akan selalu pengsan macam ni. Takut mendatangkan bahaya untuk Cik Mukrimah sendiri” Dr.Hassan memberi pesanan.
Has mengangguk dengan senyuman. Ucapan terima kasih diberikan pada Dr.Hassan yang susah payah datang ke rumah.
Datin Mariah tersenyum lega. Nampaknya Has sudah mula menunjukkan perubahan positif. Moga ingatan puterinya akan kembali secepat mungkin.

*……………..*

Salim menurunkan tingkap kereta. Namun hanya sedikit agar wajahnya tidak diperasan. Cermin mata hitam dipakai dan dia memandang ke arah rumah besar itu.
Nizam di depan memandang bos. Setelah dimaklumkan penyiasat mereka bahawa Luqman tiada di Pulau Pinang , bos langsung mengarahkan mereka menghantar motosikal yang ditemui di dalam hutan hari itu dihantar ke rumah Dato’ Norman.
Nizam tahu bos mahu mencari kepastian apakah benar motosikal itu milik Luqman atau tidak.
Mereka menanti di dalam kereta sehingga pintu rumah itu terbuka.

*………………*

“Siapa datang?” Has mencapai tudung yang tersangkut di bawah tangga dan mengekori Kak Wani.
Wani membuka pagar besar menggunakan alat kawalan jauh yang tersedia di dalam rumah dan keluar melalui pintu utama. Matanya membulat melihat motosikal Kawasaki yang berada di luar.
Dia berlari anak menuju ke arah motosikal itu.
“Cik muda..”
Has terdiam memandang motosikal itu. Bukankah ini motosikal milik abang? Bagaimana ia boleh berada di depan rumah mereka?
“Ni motor abang” Has memandang Kak Wani di hadapannya.
Wani mengangguk. Has meneliti motor itu. Tiada tanda-tanda rosak ataupun calar. Tapi ke mana perginya nombor plat motosikal ini?
Matanya mencari-cari lagi kalau-kalau ada apa-apa yang ditinggalkan namun tidak ketemu. Tiada apa-apa pada motosikal itu. Malah kunci motosikalnya juga tiada.
Has melepas nafas. Mama dan papa tiada di rumah. Papa di pejabat manakala mama pula berkunjung ke rumah temannya. Memang mama mengajaknya tapi dia yang tak mahu. Lebih baik dia duduk di rumah saja.
“Jom bawa masuk. Nanti Has call papa bagitahu”.
Wani mengangguk. Dia pun membantu Has menolak motosikal itu masuk ke dalam rumah.

*………………*

Salim menggenggam penumbuknya. Nafasnya turun naik menahan marah. Reaksi dan tindakan adik Luqman itu jelas membuktikan motosikal itu memang milik Luqman.
Jadi benarlah Luqman yang ‘mencuri’ Julianya. Pemergiannya ke Pulau Pinang hanya semata-mata mengaburi mata keluarganya.
Tingkap kereta dinaikkan. Nampaknya dia harus melakukan sesuatu untuk mendapatkan Julianya kembali.
Keluarga Luqman boleh dijadikan umpan untuk Luqman keluar dari persembunyian. Cuma bagaimana berita itu harus disampaikan pada Luqman? Seandainya Luqman tidak tahu keluarganya dalam bahaya , sia-sia saja mereka dijadikan tawanan.
Nampaknya dia harus mencari lelaki bernama Luqmanul Hakim itu. Persoalannya di mana dia berada sekarang..?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s