JULIA – BAB 46

Bunyi bising periuk mengganggu tidurnya. Dahinya berkerut cuba membuka mata. Walau ia terasa berat seolah tidak boleh dibuka namun dia gagahkan juga.
“Mengapa cuai sangat? Nanti terunanya bangun”.
Sayup-sayup kedengaran suara seseorang pada pendengaran. Nafas ditarik. Kepalanya dipegang. Sebaik mata terbuka luas, dia meneliti keadaan sekeliling.
Rumah kayu itu terasa bagai suram suasananya. Apa yang dilihat hanya sebiji kipas yang berada tak jauh darinya. Juga biliknya hanya ditutupi langsir, kelihatannya tak berpintu.
Dia menoleh ke arah langsir bila mendengar bunyi tapak kaki. Seorang budak lelaki yang kira-kira berumur 13 tahun masuk membawa besen kecil di tangannya.
Mata mereka bertentang seketika sebelum budak lelaki itu meletak besen di tangannya di atas almari kecil di tepi katil. Dia berlari keluar.
“Baba! Baba! Terunanya sudah sedar!!”

*………………*

“Dara”.
Wajahnya ditoleh pada yang empunya suara. Dia mengukirkan senyuman.
“Apa nama dara?” wanita sekitar 50-an menyoal.
“Julia”.
Wanita tua itu mengangguk. Dia memberi senyum,” Terunanya sudah sedar. Baru saja. Mahu jumpa?”
Julia diam. Abang Hakim sudah sedar. Menurut Mak Tua abang Hakim baru saja sedarkan diri tadi. Itupun kerana Pijan yang merupakan anak bongsu Pak Tua dan Mak Tua menjatuhkan periuk di dapur. Dan bila Pijan masuk ke bilik abang Hakim ternyata dia sudah sedar.
“Mahu jumpa?” Mak Tua menyoal lagi.
Julia tersenyum. Dia sudah sedarkan diri dua hari yang lalu. Awalnya bila sampai di sini, dia hampir lari kerana memikirkan ini adalah tempat Salim. Namun bila melihatkan rupanya ini perkampungan tersorok, dia membatalkan niatnya.
Kata Mak Tua mereka dijumpai orang kampung di hulu sungai. Dua-dua dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kerana itulah mereka dibawa ke rumah Pak Tua yang merupakan penghulu kampung.
Di rumah Pak Tua mereka dirawat oleh Mak Tua yang dibantu Pijan. Mak Tua memiliki tiga orang anak tapi dua orang anaknya sudah dewasa dan bekerja di bandar. Hanya tinggal Pijan yang masih lagi bersekolah menengah.
“Mahu jumpa?” soal Mak Tua buat kesekian kalinya.
Julia tersengih kecil. Mujur Mak Tua orangnya lembut dan penyabar , jika tidak sudah tentu dia dimarah kerana lambat menjawab. Anggukan diberi.
Mak Tua menggeleng-geleng,”Apa yang direnungkan?”
Julia senyum lagi. Tudung yang tersarung pada kepalanya dibetulkan. Dia mengikut langkah Mak Tua yang melangkah ke bilik Luqman yang berada di tingkat bawah tanah.

*…………………*

“Abang Hakim dah sedar?”
Luqman menoleh mendengar suara itu. Memandang sang empunya suara menyebabkan dia cuba mendudukkan dirinya. Pijan yang setia berdiri di hujung katil datang mendekati dan menghulurkan bantuan.
Julia senyum memandang Luqman. Luqman mengerut dahi. Kelihatannya Julia seperti sudah biasa dengan wajah-wajah asing di depannya. Apakah Julia sudah menyedarkan diri beberapa hari yang lalu?
Mak Tua memandang suaminya. Nampaknya banyak yang harus teruna dan dara di hadapan mereka ini bualkan. Lantas Pak Tua pun menyoal,” Teruna dan dara pasangan hidup?”
Julia mengerutkan dahi, begitu juga Luqman. Pasangan hidup? Apakah yang dimaksudkan Pak Tua adalah pasangan suami isteri?
“Pasangan hidup?” keduanya menyoal serentak.
Pak Tua mengerutkan dahi. Selalunya kalau di pekan, apa yang disebut sebagai pasangan hidup? Dia sendiri jarang turun ke pekan melainkan ada hal penting. Jadi sudah tentulah dia kurang tahu istilah-istilah yang digunakan.
“Suami isteri ke?” Luqman menyoal perlahan.
Kelihatan Pak Tua dan Mak Tua sama-sama mengangguk. Julia menoleh memandang Luqman. Matanya membulat. Jadi pasangan hidup yang dimaksudkan Pak Tua adalah pasangan suami isteri?
Pak Tua memandang teruna dan dara di depannya , menanti jawapan. Julia segera berdiri dan menggeleng,”Bukan suami isteri”.
Mak Tua dan Pak Tua memandang satu sama lain. Bukan pasangan hidup? Mak Tua langsung bangun dari tempatnya dan mendekati Pak Tua. Pak Tua menggeleng-geleng,”Bukan pasangan hidup? Bagaimana boleh .. sama-sama tersesat di sini?”
Luqman dan Julia terdiam. Haruskah mereka menerangkan dari A hingga Z apa yang terjadi? Sedangkan keduanya juga masih belum pasti apakah kampung itu benar-benar selamat buat mereka.

*…………………*

Firdaus meneliti rekod pesakit yang berada di tangannya. Anggukan diberi pada jururawat yang menghulurkan laporan.
“Pastikan pesakit makan ubat seperti yang diarahkan”.
“Baik doktor” jururawat itu memberi tunduk hormat dan berlalu pergi.
Firdaus memandang jam pada skrin telefon bimbitnya. Sudah pukul 5.30 petang, dia harus ke bilik kecemasan sekarang. Gilirannya akan bermula jam 6.00 petang nanti.
Telefon bimbit yang tiba-tiba berdering mematikan langkah Firdaus. Nama yang tertera di skrin dibaca. Dato’ Norman? Mengapa ayah Luqman menelefonnya pada waktu begini?
“Assalamualaikum” salam diberi.
“Waalaikumussalam. Firdaus ke?”
Firdaus diam sebentar,” Ya saya. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
Kedengaran suara Dato’ Norman mengeluh dan dia membisu seketika. Lalu berkata” Luqman masih dengan Firdaus lagi?”
Firdaus terdiam. Apa jawapan yang harus diberi pada Dato’ Norman? Bagaimana dia harus memberi jawapan yang bukan penipuan tapi bukan juga kebenaran?
Teringat pesan Luqman sebelum dia keluar tempoh hari. Katanya kalau ada keluarganya yang menghubungi jangan sesekali memberitahu mereka bahawa dia pergi menyelamatkan Julia. Luqman tidak mahu keluarganya merisaui dirinya.
Pesan Luqman lagi, jangan cuba mencarinya selagi dia belum menghubungi Firdaus. Luqman mahu nyawa dia dan Julia sentiasa terjamin.
“Firdaus” Dato’ Norman memanggil. Hairan Firdaus lama berdiam.
“Ya”.
“Luqman masih dengan Firdaus ke?”
Nafas ditarik,” Kenapa uncle tanya macam tu?”
“Motor Luqman ada depan rumah” suara Dato’ Norman serius.
Firdaus menelan liur. Di mana pula Luqman meninggalkan motosikalnya? Bagaimana ia boleh berada di Kuala Lumpur?
Firdaus menarik nafas dengan senyuman, dia punya jawapan yang bernas,” Motor Luqman kena curi hari tu. Baguslah kalau orang tu dah pulangkan balik”.
Dato’ Norman mengerutkan dahi. Telefon bimbitnya dipandang dan diletakkan di telinganya semula,”Kena curi?”
“Ya. Kami tak bagitahu uncle sebab takut uncle risau”.
Dato’ Norman diam sebentar.”Luqman ada? Kenapa uncle call rumah tak de orang angkat?”
Firdaus menarik nafas sedalam mungkin,” Uncle..Firdaus kat hospital. Mungkin Luqman keluar kut. Nanti dia baliklah. Firdaus kena jaga ER ni, shift nak mula dah. Nanti ada rezeki kita bual lagi ya”.
Langsung butang merah ditekan. Talian dimatikan.

*……………….*

Pak Tua menarik nafas. Dua wajah asing di hadapannya dipandang.
“Teruna dan dara berbuallah dulu. Pijan temankan abang dan kakak ya”.
Pijan mengangguk. Dia pun duduk di atas kerusi yang terletak di sebelah almari baju. Luqman memandang Pak Tua yang melangkah keluar bersama Mak Tua.
Nampaknya Pak Tua memang jenis yang menjaga dan mengambil kira soa syari’at. Kalau tidak, mustahil dia menyuruh anaknya yang kecil ini menemani. Pasti kerana tidak mahu dia dan Julia tinggal berduaan di dalam bilik.
Julia menunduk. Selama di dalam hutan, keadaannya tak begini. Bila berhadapan begini tidak tahu pula apa yang harus dikatakan.
“Lia dah lama sedar?”
Julia mengangguk,” Dalam 2 hari”.
Luqman mengangguk-angguk. Badannya ditolak ke belakang sedikit agar dia dapat duduk dengan menegakkan belakang. “Lia tahu kita kat mana?”
Julia menggeleng,”Tak tahu. Lia tak berani nak tanya “.
“Lia dah pernah keluar dari rumah ni?”
Julia mengangguk,” Kampung ni memang terpisah dari orang. Lia rasa Salim pun tak tahu kewujudan kampung ni. Mak Tua kata kalau nak pergi pekan pun kena lalu titi. Dalam sejam setengah”.
“Mak Tua?”
Julia mengangguk,” Ni rumah Pak Tua dengan Mak Tua. Yang tu ” Julia menunjuk ke arah Pijan ,” Pijan. Anak bongsu Pak Tua “.
Luqman memandang budak lelaki itu. Pijan? Masih ada nama seperti itu di zaman ini? Apakah mereka di perkampungan orang asli? Tapi mustahil ada perkampungan orang asli yang mengamalkan gaya hidup sebegini. Tambah lagi, dari pakaian Pak Tua dan Mak Tua yang seperti orang masjid.
“Lia percayakan orang sini?”
Julia terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Bukan dia percaya tapi nak kata tak percaya pun tidak juga. Kalau percaya pastilah kerana kelihatannya Pak Tua dan Mak Tua orang baik-baik dan tak percaya pastilah kerana dia masih belum mengenali Pak Tua dan Mak Tua.
“Tak pelah. Ada tempat berlindung pun dah kira bagus. Daripada berlarian dalam hutan tu, sini lagi selamat”.

*………………*

Mak Tua meletakkan secawan kopi di hadapan suaminya yang sedang menjamah makanan ringan. Pak Tua menarik kerusi di sebelahnya meminta isterinya duduk bersama.
“Apa yang paknya mahu lakukan?” Mak Tua memandang. Bukan dia tidak tahu, pastinya Pak Tua sedang memikirkan pasangan muda yang berada di rumah mereka.
Memang sudah menjadi adat dan budaya Kampung Sentosa jika ada orang asing yang tersesat di kampung mereka haruslah dipastikan statusnya terlebih dahulu.
Jika berhubungan darah atau berstatus suami isteri mereka akan dibenarkan tinggal di kampung mereka. Jika tidak pasti akan ada yang menghalau serta-merta kerana dipercayai membawa bala. Tambah lagi bagaimana dua orang lelaki dan perempuan yang tidak berhubungan boleh datang ke kampung mereka yang dalam ini?
“Mereka dijumpai orang kampung. Cuma diletak di sini kerana aku kepala kampung. Jika orang kampung tahu mereka tidak ada tali ikatan pasti akan berlaku pergolakan” Pak Tua meletakkan cawan kopi di tangannya.
Mak Tua mengerutkan dahi,” Lalu bagaimana ?”
“Jika dihalau kasihan. Nampaknya dalam kesusahan. Lari dari siapa juga aku tidak tahu”.
Mak Tua mengangguk-angguk. Jika pasangan muda itu bukan dalam kesusahan, tidaklah mereka tersesat sampai kampung ini. Sudahlah kampung ini jauh dari orang ramai, jauh dari penglihatan pula.
Pak Tua menarik nafas. Sementara orang kampung masih belum tahu mereka sudah sedar, penyelesaian harus ditemukan. Jika tidak masalah akan berlaku.
Teruna dan dara itu harus diberi pilihan. Samada mereka disatukan atau keluar dari kampung ini. Pun begitu penjelasan harus didengar dahulu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s