JULIA – BAB 49

“Lia”.
Abang Hakim. Luqman tersenyum pada Julia dan mengambil tempat di depan gadis itu. Sepasang cincin rotan yang diletak di atas daun pisang itu dihulur Mak Tua pada Luqman.
Luqman mengambil cincin bersaiz jari Julia dan menghulurkan tangan. Julia yang menunduk dipandang.
Julia menarik nafas menghulurkan tangannya pada abang Hakim untuk disarung cincin. Setelah menyarung cincin ke dua belah mempelai selesai dilakukan Julia menyalami tangan suaminya.
Pak Mahbub selaku tok imam membaca doa memuji Tuhan atas kemudahan yang diberikan. Selesai sudah majlis akad nikah antara teruna dan dara itu.

*……………..*

Nizam mengangguk mendengar arahan yang diberikan Salim.
“Bagus. Kau gerak sekarang. Aku nak kau tengok kalau Julia dah balik. Kalau memang dia ada pastikan kau bawa dia balik sini”.
Nizam mengangguk lagi. Untung juga bos menyuruhnya ke bandar, bolehlah dia melawat Has. Rasanya sudah lama dia tak dapat menatap wajah itu.
“Yang kau senyum-senyum ni kenapa?” Salim memandang wajah pembantunya itu. Sudahlah anginnya tidak betul saja 2-3 hari ini, melihat Nizam tersenyum-senyum membuatkan dia sakit hati.
Nizam diam. Bila masa pula dia tersenyum? Serasanya raut wajahnya sama saja dari tadi. Tidak tersenyum walau sedikit.
“Dah lah. Kau pergilah. Alang-alang tu aku nak kau pergi Sa-Nu sekali. Tengok kalau ada apa-apa. Cakap dengan En.Sulaiman, lagi dua tiga hari aku datang”.
Nizam mengangguk lagi. Salim turut mengangguk. Dan keduanya diam. Salim mengerut dahi melihat Nizam yang masih belum keluar dari pejabatnya.
“Aku suruh kau pergi sekarang”.
Nizam tersedar. Dia senyum nipis dan melangkah keluar. Parah betul keadaannya hari ini. Tidak sabar rasanya mahu menemui gadis bernama Mukrimah Muhasibah itu.

*……………*

Air matanya masih lagi mengalir saat Luqman memasuki bilik itu. Julia mengesat air matanya menggunakan tisu yang sedari tadi berada dalam pegangan. Tidak mahu dikatakan bersedih pada hari pertama bergelar isteri.
Luqman berdiri tegak di pintu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Hanya melihat Julia yang kelihatan sedang mengelap wajah namun Luqman tahu Julia baru lepas menangis.
Julia mengangkat wajah memandang abang Hakim. Tiba-tiba saja dia rasa janggal. Wajah abang Hakim yang kelihatan termangu itu dipandang.
“Abang Hakim …” ayat Julia mati. Sejujurnya dia tak tahu apa yang harus dibicarakan.
Luqman menarik nafas. Mengapalah dia membeku di pintu ini? Sepatutnya sebagai seorang lelaki, dialah yang harus memulakan. Langkah diatur ke arah Julia.
Julia diam bila Luqman duduk di depannya. Dia yang berada di atas tilam mengundur. Kelakuan abang Hakim membuatkan Julia sedikit ketakutan.
“Lia jangan risau. Saya takkan sentuh Lia kalau bukan atas kerelaan Lia sendiri. Cuma sekarang, saya nak tahu Lia bahagia tak?”
Julia diam mendengar kata-kata Luqman. Dia tidak mampu berkata-kata. Syukurnya pada Tuhan tak terhingga. Betapa dia tak salah membuat pilihan kerana menyukai abang Hakim selama ini.
“Lia..” Luqman memandang. Hairan melihat Julia menangis tiba-tiba. Walau tiada suara yang keluar, air mata yang jatuh dari matanya jelas menjadi bukti.
“Lia nak umi..” Julia tersenyum dalam deraian air mata. Tangannya menggenggam antara satu sama lain.
“Saya minta maaf kalau semua ni..”
Julia lantas menggeleng. Dia membalas genggaman tangan Luqman. “Bukan salah abang Hakim. Sebab nak selamatkan Lia, terima kasih”.
Luqman diam. Dilihat saja isterinya melepaskan tangisan. Dia mahu isterinya menangis sehabisnya. Melepaskan semua rasa yang tersimpan dalam hati. Biar hari-hari selepas ini dilalui dengan senyuman.
“Pak Tua, kami telah tahu kebenarannya!”
Luqman dan Julia berpandangan sesama sendiri. Suara yang datang tiba-tiba itu mengejutkan mereka. Apa yang berlaku?
Kedengaran bunyi-bunyi seperti orang membaling batu. Bunyi bising batu yang terkena zink rumah memang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.
“Lia tunggu kat dalam. Saya pergi tengok jap”.
Julia mengangguk. Luqman tersenyum dan melangkah keluar dari bilik itu. Dilihatnya Pak Tua baru keluar dari bilik bersama Mak Tua.
“Kenapa?” Luqman menyoal, menanya apa yang tidak kena sehingga rumah itu dibaling batu.
Pak Tua hanya senyum. Manakala Mak Tua kelihatan gelisah dengan apa yang berlaku. Sama-sama melangkah ke pintu utama rumah itu.
Pak Tua menggeleng-geleng melihat penduduk kampung di depan rumahnya. Luqman mengerut dahi. Mengapa kelihatannya Pak Tua tenang saja walau orang-orang di hadapan rumah masing-masing membawa senjata?
“Apa yang kalian kecohkan?” Pak Tua menyoal separuh menjerit.
Seorang lelaki sekitar 40-an yang memakai topi petani maju ke depan dengan lembing di tangannya. “Ah Pak Tua. Jangan kau pura-pura lagi. Orang kampung telah tahu akan helah kau. Kau sembunyikan teruna dan dara itu di rumah kau walau kau tahu teruna dan dara itu tak punya tali ikatan!”
Kelihatan seorang lelaki yang agak muda darinya menyambung,”Ya Pak Tua. Jangan kerana kau kepala kampung, kau fikir kau boleh langgar adat kampung kita”.
“Apa yang telah aku lakukan? Aku tidak sembunyikan teruna dan dara itu di rumah aku. Bukankah kalian yang menghantar teruna dan dara itu ke rumah ini?” Pak Tua cuba mencari penyelesaian.
“Yalah” seorang wanita maju ke depan ,”Kita fikir teruna dan dara itu punya tali ikatan. Manakan tidak, ditemui dalam keadaan berpelukan. Rupanya … tidak punya tali ikatan apa-apa. Pak Tua pula diam saja, langsung tidak maklumkan pada kita”.
Luqman mengerut dahi. Apakah ini yang dimaksudkan Pak Tua dengan pergolakan yang bakal berlaku?
“Dari mana kalian tahu teruna dan dara ini tidak punya tali ikatan?” Pak Tua bermain tarik tali.
“Ah! Sudahlah Pak Tua. Panggil teruna dan dara itu keluar. Teruna dan dara itu harus keluar dari kampung kita!” suara yang lain pula menyokong.
“Benar! Bukannya Pak Tua tidak tahu jika ada teruna dan dara yang masuk ke kampung kita tanpa tali ikatan , kampung kita akan dilanda bala!”
“Ya benar! Benar! Halau teruna dan dara itu keluar!”
Luqman diam di tempatnya. Pak Tua masih cuba bermain tarik tali namun tidak berkesan. Orang kampung langsung tidak mendengar kata Pak Tua.
Luqman memandang Mak Tua di depannya. Mak Tua tersenyum dan berkata,”Luqman keluarlah. Nanti orang kampung akan diam”.
Luqman diam sebentar sebelum maju ke depan. Mak Tua langsung menuruni tangga memanggil Julia. Ada kerja yang harus dilakukan.
“Biar aku sampaikan sesuatu. Teruna dan dara ini adalah pasangan hidup. Aku sendiri telah melihat buktinya”.
“Tidak mungkin! Pak Tua tidak usah permainkan kita!”
Luqman keluar dari tempatnya. Maju ke hadapan dan berdiri di sisi Pak Tua. Suasana diam sebentar.
“Mana daranya dan mana buktinya?”
“Ya. Kalau benar teruna dan dara ini punya tali ikatan. Kita mahu bukti!”
“Ya. Bukti!”
Luqman diam. Melihat wajah Pak Tua yang kelihatan melepaskan keluhan. Saat itu Julia tiba bersama Mak Tua. Mak Tua langsung menolak perlahan tubuh Julia agar dia rapat pada Luqman.
“Luqmanul” perlahan Pak Tua memanggil Luqman. Luqman memandang penuh tanda tanya.
“Bukti yang orang kampung mahukan..”
“Mana buktinya?” suara orang kampung makin riuh.
“Syum dahi dan kepala Julia” ucap Pak Tua separuh berbisik.
Luqman mengerutkan dahi. Syum? Apa maksud Pak Tua dengan perkataan syum itu?
“Kalau di pekan Pak Tua dengar cakapnya cium”.
Luqman diam. Begitu juga Julia. Maksudnya Luqman harus mencium dahi dan kepala Julia sebagai bukti bahawa mereka adalah suami isteri yang sah?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s