JULIA – BAB 50

Matanya dipejam rapat. Pipinya terasa panas, pasti sudah memerah kerana menahan malu. Kalau saja ada Has ketika ini barangkali sudah tertonggeng-tonggeng Has mengetawakannya.
Luqman mendekatkan wajahnya pada wajah isteri yang baru dinikahi beberapa jam lalu. Matanya terpejam saat bibir menyentuh dahi Julia. Entah apalah yang menimpa mereka sebenarnya. Terasa bagai kanak-kanak pula.
Pak Tua memerhati dengan senyuman. Mujurlah Luqman sudah menikahi Julia. Yang dipinta sebagai bukti bukanlah sekadar ciuman di kepala dan ciuman di dahi.
Penduduk Kampung Sentosa boleh melihat dari cara mencium sang teruna apakah benar dara itu pasangan hidupnya atau tidak. Walau teruna dan dara yang bukan pasangan hidup biasa melakukan ini di bandar, namun penduduk Kampung Sentosa dapat membezakannya apakah teruna dan dara itu pasangan hidup atau bukan.
Julia menjauhkan dirinya dari Luqman saat Luqman berdiri tegak. Namun Mak Tua lebih cepat menolak tubuh Julia hingga dia berada di dalam pelukan Luqman.
Pak Tua menarik nafas. Penduduk kampung yang ramai di depan dipandang. Buktinya sudah jelas. Sekarang, masanya untuk penduduk kampung sendiri membuat keputusan.
Lelaki yang memegang lembing tadi diam. Jadi teruna dan dara ini memang pasangan hidup? Bagaimana … Sedangkan dia pasti sewaktu teruna dan dara ini mula dijumpai langsung tiada tanda ada tali ikatan.
“Bagaimana?” Pak Tua menyoal.
Orang kampung mengangguk-angguk. Seorang lelaki maju ke depan dan berkata,” Jika begini, kita harus memohon maaf dari Pak Tua. Kita telah salah menilai Pak Tua sedangkan dia kepala kampung!”
Suasana bertukar gamat apabila semua penduduk kampung mula mengeluarkan ucapan masing-masing. Lelaki tua yang memegang lembing itu maju menaiki tanggan dan menunduk.
“Kita mohon maaf. Kita telah salah sangka” dan dia tersenyum pada Luqman.
Pak Tua memandang Luqman,”Yang ini panggilnya Uwak”.
Luqman tersenyum dan memberi tunduk hormat. Sedikit hatinya terasa pelik, dipanggil Uwak atau namanya memang Uwak?
Julia turut tersenyum pada Uwak. Memberi tunduk hormat mengikut rentak Luqman. Uwak tersenyum memandang Julia.
“Daranya nama apa?”
Julia diam sebentar. Dan Luqman lebih pantas menjawab,”Julia”.
Uwak kelihatan mengangguk kecil,” Terunanya nama Luqmanul,benar?”
Luqman mengangguk. Uwak langsung berdiri membelakangkan mereka dan menjerit pada semua penduduk kampung yang berada di situ.
“Teman sekalian! Mulai detik ini, Luqmanul dan Julia adalah pasangan yang dialu-alukan di kampung kita. Dan pasangan ini boleh tinggal di sini selama yang mereka mahu”.

*…………….*

Has meletakkan beg galasnya di atas meja dan duduk di kusyen yang terdapat di ruang tengah. Nafasnya ditarik dan kepala disandar.
“Kenapa ni?” Anisah tersenyum pada Has sambil membawa beberapa pasang baju kurung pahang di tangannya.
“Rasa macam dah lama tak datang dobi ni”.
Anisah ketawa kecil. Selesai menyarung baju dengan plastik, dia mengambil tempat di hadapan Has.
“Cik Nisah”.
“Ya” Anisah memandang Has yang duduk tegak.
“Dah berapa lama Ju hilang?”
Anisah diam seketika. “Kenapa Has tanya macam tu?”
Has mengangkat bahu. Teka teki soal telefon bimbit abangnya masih belum terjawab. Apalah motif sebenar abang meninggalkan telefon bimbit itu padanya?
“Dah lama. Setahun tiga bulan”.
Has diam mendengar kata-kata Cik Nisah. Ju dan abang. Apa yang berlaku sebenarnya? Walau abang Firdaus sering menelefon memberitahu abang dalam keadaan baik namun Has tahu ada sesuatu yang tidak kena. Jika tidak, mengapa tidak abang sendiri yang menelefonnya?
Anisah bangun dari tempatnya bila mendengar suara memanggil dari depan. Barangkali pelanggan yang datang mahu mengambil toto yang dihantar dua hari lalu.
Wajah anak muda itu diperhati. Anak muda itu pula tersenyum padanya. Anisah tersenyum. Rasanya dia tidak pernah melihat wajah ini. Jadi anak muda ini sudah tentu bukan pelanggannya.
“Cik Nisah kan?”
Anisah mengerutkan dahi. Yang memanggilnya Cik Nisah hanyalah Luqman dan juga Has. Bagaimana pula anak muda di hadapannya ini menggunakan panggilan yang sama?
“Saya Nizam. Kawan Has”.
Anisah diam lagi. Matanya membulat. Kawan Has? Setahunya Has bukan ada kawan lelaki. Tambah lagi dengan sikap Luqman yang terlalu melindungi adiknya itu. Mustahil Luqman membiarkan anak muda ini mengganggu hidu Has.
“Siapa tu?” terdengar suara Has menjerit dari dalam. Langkahnya diatur keluar kerana kehairanan Cik Nisah masih belum masuk.
Nizam tersenyum lebar memandang Has. Has mengeluh. Dia memandang Cik Nisah yang kelihatan bingung.
“Kawan Has?” Anisah menyoal perlahan.
Has menggeleng laju. Dia teragak-agak mahu memberikan jawapan,”Bukan kawan. Ni…pembantu kawan papa”.
Anisah tersenyum. “Kawan papa?”
“Pembantu” Has membetulkan ayat. Anisah ketawa kecil. Dia mengangguk-angguk dan mengatur langkah masuk ke dalam semula. “Berbuallah. Cik Nisah masuk dulu”.
Has mengangguk. Begitu juga Nizam. Suka pula dia melihat wajah Has yang menahan marah. Sebaik saja bayang Cik Nisah hilang dari pandangan mata , Has langsung memandang Nizam.
“Awak nak apa?”
Nizam tersenyum. “Saya rindu”.
Has mencebik,”Kalau datang semata nak meraban macam ni, baik tak yah datang”.
Nizam menjerit kecil bila Has memalingkan tubuh. Has mengetap bibir menahan marah lantas jarinya diletakkan pada bibir. Bimbang didengari Cik Nisah. Nanti ada saja cerita yang sampai pada mama dan papa. Apa yang harus dia jawab bila disoal?
Nizam sengih,”Ok. Abang awak ada?”
Has menggeleng,” Kan dah cakap abang pergi Penang. Nak cakap apa-apa lagi tak?”
Nizam diam. Nampaknya Has memang tidak mahu melayannya. Tapi apa salah yang dia lakukan?
“Awak marahkan saya?”
“Saya tak de hak nak marah. Lagi pun saya sendiri tak kenal awak siapa” Has menyilang kedua belah tangan.
Nizam diam lagi. Mengapalah dia datang ke mari? Memang menemui Has satu kegembiraan tetapi layanan Has mengecewakannya. Bilalah agaknya hati gadis itu akan terbuka untuknya?
“Has”.
Has memandang Nizam sekilas. Senyuman manis yang diukir Has membuatkan hatinya melonjak. Namun sebaik menyedari Has tersenyum pada pelanggan yang baru datang langsung wajahnya masam.
Has tak mempedulikan Nizam dan langsung melayan pelanggannya. Panggilan Nizam dibuat tak dengar hingga pelanggan itu teragak-agak mahu meninggalkan pesan. Namun Has bodohkan saja.
Nizam mengeluh. Kalau orang sudah tidak suka mengapa harus meminta? Dia melangkah keluar dari Juwita Aleeya dengan seribu satu rasa kecewa. Namun Has langsung tidak kisah. Dia cuma buat tak tahu. Menambah rasa kecewa dalam hati Nizam.

*……………..*

“Dah siap ke?” Luqman menyoal sejurus menyelak langsir yang memisahkan ruangnya dan ruang Julia itu.
Julia membetulkan tudung yang diberi Mak Tua. Terkejut mendapati Luqman berdiri memandangnya namun secuba boleh mengukirkan senyuman.
Luqman ketawa kecil melihat muka pucat Julia. Langsir yang dipasang pun bukanlah atas permintaan Julia namun ia atas kehendak Luqman sendiri. Kerana dia tahu walaupun Julia cuba menyesuaikan diri dengan status mereka sekarang namun dia masih tak selesa.
“Jom”.
Julia mengangguk. Huluran tangan Luqman disambut dengan teragak-agak. Namun sebaik Luqman mendapat tangan Julia, langsung jemari itu digenggam erat membuatkan Julia tak dapat melepaskan diri.
Pak Tua menanti bersama Pijan di pintu rumah. Luqman dan Julia datang mendekat. Dan Mak Tua datang dengan membawa dulang yang berisi mangkuk berisi air bersama daun pandan yang telah dicarik hujungnya.
Luqman dan Julia memerhati gerak geri mereka sekeluarga. Pak Tua menadah tangannya dan Mak Tua mencelup daun pandan tadi ke dalam mangkuk yang berisi air putih itu. Seterusnya Mak Tua merenjis air pada daun pandan ke tangan Pak Tua yang ditadah. Dan Pak Tua menyapu air itu ke mukanya.
Tindakan itu diulang oleh Pijan cuma renjisannya diulang dua kali. Mak Tua datang pada Luqman dan menghulurkan dulang itu.
Pak Tua tersenyum sambil berkata,”Itu adat orang kampung. Siapa yang meninggalkan rumah akan direnjis air pandan biar perginya cepat dan pulangnya selamat. Cuma jika anak bawah umur seperti Pijan tindakannya harus diulang kerana lebih dibimbangi”.
Luqman dan Julia tersenyum serentak. Nampaknya banyak yang harus mereka pelajari untuk terus tinggal di Kampung Sentosa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s