JULIA – BAB 51

Senyum terukir di bibir saat melihat Pijan berlari anak menuju ke sebuah pondok panjang yang kelihatan seperti tempat belajar.
“Kak Dara! Ini pondok belajar aku” Pijan berlari mengelilingi sebuah kerusi di situ. Memberitahu itu adalah tempat duduknya.
Julia mengangguk. Pak Tua tersenyum melihat telatah Pijan. Pasti dia merindukan kakak sulungnya. Ke pekan nanti bolehlah dia mengutus surat buat anaknya yang bekerja di bandar itu.
Luqman mengukir senyum melihat Julia berlari mengejar Pijan yang sengaja mencampak batu-batu kecil padanya. Setidaknya keberadaan Pijan membuatkan Julia boleh ketawa gembira.
“Ooh ya Luqmanul” Pak Tua menegur.
Luqman memandang namun tidak mengeluarkan kata-kata. Sekadar memandang menandakan dia mendengar.
Pak Tua diam sebentar dan mula berkata-kata,”Hari ketiga kemudian, kita ke pekan ya”.
Hari ketiga kemudian? Maksudnya lagi tiga hari? Kiranya tulat? Namun Luqman cuma diam. Menanti kata seterusnya dari Pak Tua.
“Kita harus mendaftarkan pernikahan Luqmanul dan Julia”.
“Daftar?”
Pak Tua memandang dengan menjongket keningnya. “Ya. Kita perlu sijil nikahnya. Atau di bandar…”
“Sijil nikah? Ooh..” Luqman tersengih. Tidak sangka pula kampung pedalaman seperti Kampung Sentosa juga mewajibkan pasangan suami isteri mendapatkan surat nikah yang sah di sisi undang-undang negara.
“Sebenarnya di Kampung Sentosa sijil nikah tidak diperlukan. Tapi kerana Luqmanul dan Julia orang bandar, Pak Tua rasa lebih baik kita daftarkan nikahnya. Biar tidak sukar menjelaskan pada keluarga” Pak Tua memandang Luqman, mengeluarkan pendapatnya.
Luqman tersenyum. Bersyukur Pak Tua melakukan segalanya bagi memudahkan mereka. Namun tetaplah banyak juga yang harus dijelaskan pada ibu bapa kedua belah pihak.
Pijan dan Julia berlari anak datang ke arah mereka.
“Baba! Aku mahu kita ke air jatuh. Biar Kak Dara dan Bang Teruna boleh melihat cantiknya kampung kita”.
Pak Tua tersenyum dan mengangguk. Luqman mengukir senyum memandang Julia. Namun Julia yang tersipu malu lebih dulu berlalu bersama Pijan. Pak Tua ketawa kecil memandang Luqman dan berlalu bersama.

*…………….*

“Has kan?”
Terkerdip-kerdip mata Has memandang wajah lelaki di hadapannya. Ini ..
“Abang Zalif?”
“Pandai pun. Lama tak dengar khabar Has. Sihat ke?”
Has tersenyum. Bagaimanalah boleh terkebetulan pula berjumpa abang Zalif di kedai makan ini?
“Has datang makan ke?”
Has menggeleng sambil melihat lauk tengah hari yang tersedia di set buffet. “Has nak bungkus je. Nak balik makan dengan Cik Nisah. Abang Zalif macam mana boleh ada kat sini?”
Zalif tersenyum memandang adik kawannya itu. “Hari ni kena ronda kawasan sini”.
Has membuat muka dan membulatkan matanya. Memang dia maklum abang Zalif merupakan seorang pegawai polis. Kalau membuat rondaan, bukankah sepatutnya abang Zalif mengenakan pakaian seragam?
“Peliklah tu abang tak pakai baju seragam. Kan?”
Has laju mengangguk. “Kenapa? Ke secret mission?”
Zalif hanya menguntum senyum. Tidaklah misi rahsia namun ia boleh dianggap sebagai misi rahsia kerana pasukannya meronda tanpa diketahui orang awam sedang dua lagi pasukan meronda dengan pakaian seragam.
Has tergelak melihat wajah Zalif. Bekas polistrin yang berada tidak jauh dari flask nasi putih dicapai. “Abang makan sini?”
Zalif mengangguk,”Has nak temankan?”
Has mencebik,”Menangis Cik Nisah Has tinggal dia seorang”.
Zalif ketawa lagi. “Tak nak temankan abang makan?”
Has menggeleng lagi. Langkahnya diatur menuju ke buffet lauk. Zalif yang sudah mengisi pinggannya dengan nasi putih mengikut dari belakang.
Sebenarnya sudah lama dia tidak bertemu dengan Has. Namun dia memang selesa dengan Has sedari kecil kerana perkenalan dia dan Luqman bermula sejak sekolah menengah. Walau tidak terlalu rapat namun mereka tidaklah terlalu renggang.
“Kirim salam kat Luqman tau” Zalif memberi pesanan pada Has yang sengaja duduk sebentar menemaninya makan tengah hari.
Has mengangguk dan memandang jam sekilas. Dia harus pulang ke kedai untuk membawa makan tengah hari. Lagipun dia juga masih belum menunaikan solat zohor.

*……………*

Dia memandang dengan rasa kecewa. Kelihatannya gadis itu begitu mesra dengan lelaki di hadapannya. Bermula dari mengambil nasi putih hingga akhirnya duduk semeja.
Nizam mengeluh. Kalau dengan dia jangankan makan sekali , melihat wajahnya juga belum tentu Has mahu. Nizam menggenggam penumbuknya.
“Geramnya!” Nizam menjerit kecil. Bibirnya mencebik melihat lelaki yang sedang berbual mesra dengan Has.
‘Bukannya handsome sangat pun! Kalau nak banding dengan aku, aku lagi handsome. Apa entah Has ni. Tak de taste langsung’.
Nizam mengerutkan dahi. Tapi mengapalah Has langsung tak kisah padanya? Bunyi telefon bimbit mematikan khayalannya. Nama bos yang tertera membuatkan dia menelan liur.
“Kau kat mana?”
Nizam diam. Alasan. Jawapan. Apa saja, datanglah.
“Kau kat mana?”
“Dalam perjalanan ke Sa-Nu”.
“Dah dapat tahu Julia dah balik belum”.
“Dah bos. Dia belum balik lagi”.
“Luqman?”
“Pun belum balik bos”.
Salim di talian membisu. Sudah seminggu lebih Julia dan Luqman menghilangkan diri. Di mana mereka agaknya? Pencarian Zakuan di kawasan sekitar masih belum menemukan hasilnya. Begitu juga pencarian Johan dan mereka yang lain.
“Bos” Nizam memanggil bila Salim mendiamkan diri.
“Aku nak tanya tu je”.
Dan talian mati. Nizam menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket kotnya. Dia kembali memandang ke kedai makan tadi.
Has sudah tiada? Hanya tinggal lelaki tadi makan sendirian. Ke mana pula Has pergi?

*…………..*

Julia diam sambil menguis nasi di dalam pinggannya. Luqman di sebelah memandang.
“Kenapa tak makan?”
Julia diam. Mengapalah Mak Tua dan Pak Tua meninggalkan mereka berdua di ruang makan ini? Bukankah seharusnya Pak Tua dan Mak Tua makan bersama? Pijan juga dibawa lari Mak Tua entah ke mana.
“Nak saya suapkan?” Luqman memandang. Entah dari mana datang pula idea untuk mengusik gadis itu.
Julia menjauhkan diri. Pinggan nasi ditarik mendekati. Luqman ketawa.
“Kenapa?”
Luqman menggeleng-geleng. “Lia malu ke?”
Julia diam. Tidak suka benar suasana begini. Mengapa pula mood nakal abang Hakim tiba-tiba datang?
“Lia dah kenyang”.
Luqman hanya memandang. Kenyang? Kenyang bagaimana pun bukannya Julia boleh bangun kerana nasi di dalam pinggannya masih belum licin.
Julia menjeling, langsung pinggannya diangkat dan dia meneruskan suapan. Wajahnya menunduk hingga hampir saja hidungnya terkena pada nasi.
“Dah lah..jangan macam ni. Tak bestlah nak usik” Luqman memandang. Pinggan di tangan Julia diturunkan.
Julia diam. Apa yang boleh dia lakukan? Siapa juga yang gatal sangat mahu mengusik?
“Pak Tua cakap tulat dia nak bawa kita ke pekan. Nak daftar sijil nikah”.
Tersedak Julia mendengar kata-kata Luqman. Mendaftar sijil nikah?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s