JULIA – BAB 52

Has memandang telefon bimbit milik abang lama. Apalah yang direncanakan abang sebenarnya? Mengapa abang meninggalkan telefon itu padanya?
Has melangkah ke almari bajunya. Bahagian menyimpan long dressnya dibuka. Mencari baju yang harus dipakai untuk ke universiti esok. Sudah lama dia bercuti, sudah tiba masa dia kembali mendaftarkan diri.
“Apa ni?”
Has mengerut dahi melihat sesuatu di bahagian paling atas. Setahunya bahagian itu kosong. Ketinggiannya tidak mencukupi untuk membolehkan dia mengambil barangnya jika disimpan apa-apa di situ.
Sampul surat bersaiz A4 itu dicapai. Dia atasnya terdapat sampul surat bersaiz normal. Dahinya berkerut. Has kembali mengambil tempat di atas katil namun sebelum itu pintu biliknya dikunci.
Sampul bersaiz normal yang tertulis namanya dibuka. Surat dari abang? Perlahan Has membaca surat itu.
Abang Zalif? Seminggu? Has membulatkan mata. Sudah seminggu lebih abangnya tidak pulang-pulang. Apakah ini bererti dia sudah terlewat?
Kepalanya yang mula terasa berdenyut dipicit. Mengapa tiba-tiba terasa berpusing? Has memejam mata seketika. Minyak cap kapak yang berada di dalam laci meja diambil.
Beberapa ketika kemudian Has melangkah semula pada sampul surat itu. Sampul surat bersaiz A4 itu dibuka perlahan kerana rasa ingin tahu yang menebal.
Helaian demi helaian diselak. Sa-Nu? Geng Helang Hitam? Salim Nu’man? Nizam Abdullah? Dadah? Senjata haram?
Mata dipejam lagi. Kepalanya sudah terasa sedikit ringan. Dia sudah mula ingat. Dia sudah dapat ingat semuanya. Ingatannya telah kembali.
Julia hilang tiba-tiba ketika dia dan Julia berjanji untuk keluar bersama. Puas mereka semua mencari namun tak menemukan hasil. Dia memaklumkan pada abang tentang kehilangan Julia.
Cik Amir dan Cik Nisah membuat laporan polis apabila kehilangan Julia melepasi masa 24 jam. Pihak polis memulakan penyiasatan dan berjanji akan memaklumkan mereka sebaik saja menemukan petunjuk.
Sejurus abang selesai menduduki peperiksaan, abang langsung pulang ke Kuala Lumpur. Setelah berbincang dengan papa, abang meminta waktu untuk melewatkan kemasukannya ke Hakim Legacy kerana abang mahu mencari Julia terlebih dahulu.
Setiap hari abang akan keluar. Ada ketikanya abang hanya mengurungkan diri di dalam bilik. Namun mereka semua maklum abang memang menumpukan fokus mencari Julia.
Kerana mimpi yang selalu dialami Cik Nisah meyakinkan Cik Nisah bahawa Julia selamat dia meminta mereka menarik balik laporan yang dilakukan. Walaupun dibantah Cik Amir dan abang namun akhirnya mereka tetap bersetuju melihatkan kesungguhan Cik Nisah meminta.
Ketika itulah, munculnya Salim dan Nizam dalam hidup mereka. Merupakan pelanggan Hakim Legacy yang membeli jutaan helai baju kerana majlis amal yang dilakukan.
Disebabkan perjumpaan pertamanya dengan Nizam berlaku dalam keadaan yang memalukan, dia jadi kerap bergaduh dengan Nizam selepas itu.
Abang memang kurang menyukai Nizam kerana selalu mencari fasal dengannya. Sebenarnya abang bukan kurang menyukai Nizam tapi abang memang tidak suka semua lelaki yang mendekatinya. Dia tak kisah kerana sikap abangnya itu menjadi pelindung yang membuatkan dia terpelihara dari perkara tak diingini.
Tapi itu perkara lain. Dua fail yang berada di tangannya adalah bukti jenayah yang dilakukan Salim dan pembantunya Nizam. Tapi apa kaitannya dengan abang? Mengapa semua bukti itu ada pada abang?
Nafas ditarik perlahan. Has mencantumkan semua kepingan teka teki yang berterabur dalam kepalanya. Mata dipejam sambil berfikir.
Jangan-jangan abang sudah tahu siapa yang menculik Julia. Katakan abang tahu orang itu adalah Salim jadi kerana itulah abang mengumpul semua bukti jenayah Salim demi menyelamatkan Julia.
Jadi kehilangan abang sekarang adalah kerana abang pergi menyelamatkan Julia. Yang entah di mana dan bila pulangnya. Kerana merasakan waktu seminggu adalah waktu paling tepat, jadi selepas pemergian abang selama seminggu abang memintanya menyerahkan semua bukti-bukti itu pada abang Zalif.
Andaikan abang sudah menyelamatkan Julia dan masih dalam tempoh bersembunyi. Sekiranya dia telah menyerahkan bukti itu pada abang Zalif, jadi Salim tidak punya masa untuk mencari abang dan Julia. Kerana Salim juga pasti sibuk dengan urusan penjara dan mahkamah atau sebagainya.
Matanya dibuka. Itu semua hanya andaian. Sekadar andaiannya semata-mata. Masih ada satu cara untuk mencari kesahihannya. Menanya Nizam.
Namun Has sendiri tahu itu mustahil. Seandainya dia menyoal Nizam pasti Nizam hairan dari mana dia mendapat maklumat ini. Yang penting, Nizam cuma pembantu dan bukan ketua. Bagaimana pun Nizam tertarik pada Has, Nizam tetap akan lebih menghormati ketuanya. Lagi pula kalau dia menyoal Nizam, itu samalah seperti dia mengambil kesempatan.
“Adoi” Has menggaru kepala yang tidak gatal. Sanggul rambutnya dibuka. Membiarkan rambutnya bernafas.
Has berbaring. Nampaknya banyak yang harus dilakukan. Esok dia akan meminta nombor telefon Nizam dari setiausaha papa. Nizam harus ditemui.

*……………….*

“Sedap juga air pandan ni kan?” Luqman tersengih sambil menghirup air berwarna hijau itu.
Julia mencebik memandang gelasnya yang sudah bertukar tangan. Baru saja dia menuang air pandan buatan Mak Tua ke dalam gelas, sedar-sedar air itu sudah hampir separuh gelas dihirup Luqman.
Luqman ketawa kecil melihat wajah kecewa Julia. Gelas itu dihulur pada Julia semula.
“Lia tuang untuk Lia. Kenapa abang Hakim yang minum?” bebel Julia sendirian. Geram betul. Mentang-mentanglah sudah bergelar suami kerjanya tak habis-habis mengusik.
Luqman ketawa lagi. Suka benar melihat wajah Julia. Lantas pipi Julia dicubit tanpa berfikir.
“Abang Hakim!” Julia separuh menjerit. Pipinya dipegang. Kerana rasa geram yang bersarang, tangannya laju saja mencubit lengan Luqman.
Luqman mengaduh. Lengannya disapu. Buat pertama kalinya dia dicubit gadis itu. Terasa bisa bagai gigitan semut pula. Julia ketawa. Langsung lidahnya dijelir tanda padan muka.
“Gembiranya”.
Julia diam. Dia menoleh ke belakang. Wajah Mak Tua yang tersenyum terpacul di muka pintu dapur.
“Tidak ingat dunia bergurau” Mak Tua mengambil cawan di rak pinggan.
Julia senyum nipis. Pipinya merah menahan malu. Tidak sangka pula tindakannya dilihat Mak Tua.
Luqman mengangguk ,” Biasalah Mak Tua. Saya dengan Lia kan pengantin baru”.
Julia mengerut dahi melihat tangan Luqman yang sudah melingkari bahunya. Luqman hanya buat tak tahu dan memandang Mak Tua. Mak Tua menggeleng-geleng melihat gelagat pasangan muda itu.
“Mak Tua” Julia memanggil. Dia teringat sesuatu. Mak Tua memandang Julia dengan menjongket kening.
Julia berfikir sebentar. “Hari tu masa orang kampung mengamuk, kenapa kena cium kepala dengan dahi ?”
Mak Tua tersenyum. Luqman memandang Julia. Dia juga sebenarnya punya fikiran yang sama. Mengapa? Cuma tak sangka Julia yang mengatakannya dulu.
Mak Tua tersenyum lagi. Nafas ditarik dan dia pun mula memberi penerangan ringkas itu.

*…………….*

Jam tangan dikerling sekilas. Sudah pukul 2.45 petang. Ke mana pula perginya? Janji untuk bertemu jam 2.00 petang.
“Mana Has ni?” Nizam menyoal diri sendiri. Gembira tidak terkata saat Has menghubunginya pagi tadi mengatakan ingin bertemu. Langsung tak menyangka Has akan membuat permintaan begitu.
Walaupun Has memberi tahu dia baru saja mendapatkan nomboe telefon Nizam dari setiausaha Dato’ Norman namun Nizam tak kisah. Walau terlewat sekurangnya Has masih punya kesudian.
Has yang muncul dengan tudung bawal berwarna kuning cair dan long dress berwarna oren membuatkan Nizam mengukirkan senyum. Has langsung mengambil tempat di depannya.
Has menoleh melihat sekeliling. Nizam memang pandai memilih restoran yang dia suka. Restoran yang ada orang namun tidak terlalu ramai. Sekurangnya mereka tidak berdua namun suasana juga tak terlalu sesak.
“Awak nak order air?” Nizam menyoal.
Has diam. Fail yang dilihat semalam terbayang di ruang mata. Apakah Nizam tahu bahawa Julia adalah sebahagian hidupnya?
“Tak pelah. Saya ada hal. Nak jumpa kejap je”.
Nizam mendiamkan diri. Fikirnya Has ingin berbaik. Namun kata-katanya yang dingin membuatkan fikiran Nizam berubah. Apa yang penting sangat hingga Has membuat permintaan untuk bertemu?
“Awak tahu kawan baik saya hilang?”
Nizam mengerut dahi. Mengapa Has tiba-tiba bercakap mengenai Julia?
“Awak tahu tak?”
Nizam mengangguk perlahan. Has mengeluh,”Macam mana awak tahu?”
“Keluar surat khabar”.
“Tapi yang keluar surat khabar tu ada tulis ke tu kawan baik saya?”
Nizam diam lagi. Tindakan Has seperti mencari salah dengannya. Apakah Has sudah tahu hal sebenar? Tapi bagaimana?
“Saya nak awak tahu yang Ju adalah satu-satunya kawan rapat yang saya ada. Kalau apa yang awak lakukan pada saya semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju, sampai bila pun awak takkan dapat tebus rasa bersalah tu” ucap Has tegas memandang wajah Nizam.
“Apa yang awak cakap ni?”
Has menahan air mata yang mula bertakung di kolam mata. Dia asalnya cuma mahu menguji Nizam, tak sangka pula dia jadi beremosi bila berhadapan dengan lelaki itu.
“Has” Nizam memanggil. Hairan melihat gadis itu mengeluarkan air mata.
Has cuba mengukirkan senyum untuk menutup perasaannya. “Semalam saya mimpi”.
Nizam mengangkat kening. Menanti kata-kata seterusnya dari Has.
“Dalam mimpi tu, saya jumpa Ju. Dia kata dia dalam bahaya. Saya…” Has tidak dapat meneruskan kata-kata. Nizam diam memerhati. Pasti Has terlalu rindukan Julia. Tapi apa yang boleh dia lakukan?
Yang mengeluarkan arahan untuk menangkap Julia adalah bos. Apa yang boleh dia lakukan dengan status hanya pembantu? Sekarang Julia juga sudah lari bersama Luqman. Dia sendiri tidak tahu di mana dua orang itu sebenarnya. Lalu apa yang boleh dia lakukan untuk Has?
Has menarik nafas. Tindakan Nizam sudah membuktikan bahawa Nizam tahu semuanya. Dia sudah dapat jawapan. Kerana itu, jawapannya untuk Nizam adalah tidak. Nizam bukanlah lelaki yang sesuai buatnya. Mereka terlalu berbeza.
“Saya balik dulu. Saya harap ini memang kali terakhir kita jumpa”.
Nizam mengerut dahi. Apa yang berlaku sebenarnya? Mengapa Has tiba-tiba…
Wajah diangkat konon mahu menahan Has. Namun niatnya mati apabila Has sudah tiada. Langkah dibuka untuk mengejar tetapi dibatalkan apabila pelayan restoran baru menghantar makanan yang telah dipesan sebelum kedatangan Has tadi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s