JULIA – BAB 54

Dia tersenyum melihat air mata yang mengalir dari mata Mak Tua. Nafas ditarik dengan senyum lebarnya. Tangan Mak Tua dicapai dan digenggam.
“Mak Tua, jangan macam ni. Ju pergi daftar sijil nikah je. Nanti Ju baliklah”.
Mak Tua cuba mengukir senyum. Entah kenapa dia punya rasa hati yang mengatakan Julia tidak akan pulang bersama suaminya hari ini. Mereka akan terpisah dari Pak Tua.
“Cukuplah maknya. Kita akan pulang bersama. Jangan dikhuatiri” Pak Tua menenangkan sang isteri. Entah apa kenalah dengan isterinya hari ini, sukar sekali melepaskan dara ini pergi. Sedangkan dia sudah berjanji akan membawa dara dan teruna ini ke kampung semula walau apa yang terjadi.
Luqman tersenyum. Dia faham bahawa Mak Tua sangat tertarik dengan Julia. Yalah, Julia … siapa pun yang dekat dengannya pasti akan tertarik. Itulah juga penyebab Julia diculik.
Julio memandang Luqman di sisi. Meminta simpati agar turut menenangkan Mak Tua. Namun Luqman hanya mampu mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu membantu.
“Abang Hakim..” Julia merungut separuh berbisik.
Luqman mengukir senyum buat isteri tercinta. Tangannya melingkari bahu Julia. Dan dia melepas nafas kelegaan.
Pak Tua memandang Mak Tua. Mengapa? Dia harus keluar rumah sekarang. Mereka harus melepasi titi sebelum matahari mula memancarkan cahaya. Jika tidak mereka akan terlepas kenderaan untuk ke pekan.
“Maknya”.
Mak Tua mengangguk. Perlahan tangan Julia dilepaskan. Dia melangkah ke dapur. Air renjisan pandan masih belum disiapkan.

*……………..*

Nizam memusing tubuhnya. Kali ini baring mengiring ke kiri. Dan beberapa saat kemudian, dia bertukar posisi lagi. Pusing otaknya memikirkan kata-kata Has semalam.
‘Saya nak awak tahu yang Ju adalah satu-satunya kawan rapat yang saya ada. Kalau apa yang awak lakukan pada saya semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju, sampai bila pun awak takkan dapat tebus rasa bersalah tu’.
“Hish !!” Nizam bangun dari baringnya. Kepalanya ditunduk memandang lantai. Apa maksud kata-kata Has sebenarnya?
‘Kalau apa yang awak lakukan pada saya semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju, sampai bila pun awak takkan dapat tebus rasa bersalah tu’.
Nizam mengerutkan dahi. Ayat itu difikirkan semula. ‘Semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju’. Apa maksud kata-kata itu sebenarnya?
Nizam memejam mata. Nafas ditarik sedalam mungkin. Has mengatakan sekiranya apa yang dia lakukan pada Has semata-mata untuk menutup rasa bersalah atas apa yang dia lakukan pada Julia, dia tidak akan sesekali dapat menebus rasa bersalah itu.
Jadi bererti …. Has sudah tahu. Nizam membuka mata. Has sudah tahu bahawa Julia diculik! Has sudah tahu siapa yang menculiknya! Dan dari cara Has semalam Nizam yakin yang Has sudah membuktikan semua kebenaran kata-katanya.
Teringat kata-kata bos. Luqman yang menyelamatkan Julia dari banglo. Bererti Luqman sudah tahu segala kegiatan yang dijalankan di banglo. Kerana itulah, dia boleh membaca situasi dan menentukan waktu yang tepat untuk menyelamatkan Julia.
Luqman sudah tahu semuanya. Luqman merupakan abang Has. Satu-satunya abang Has. Kerana hanya dua beradik, pasti mereka sangat rapat. Pasti segala cerita dan rahsia dikongsi bersama.
Jadi Luqman sudah memberitahu Has. Luqman pasti ada meninggalkan apa-apa untuk Has tahu semuanya. Seperti surat, rakaman video atau apa-apa sajalah.
Jadi Has tahu bahawa dia terlibat. Has tahu bahawa dia bukanlah lelaki yang baik. Has sudah tahu siapa dirinya yang sebenar. Kerana itulah kata-kata diungkapkan Has.
“Has” Nizam meraup wajahnya. Kini dia faham apa yang dirasakan bos. Betapa berserabut kepala otaknya kerana mencintai gadis yang salah. Mencintai gadis yang tidak pantas buat dirinya.
Matanya membulat tiba-tiba. “Bos!”
Jika Has sudah tahu apa yang Luqman tahu … Nizam sangat pasti Has akan menyerahkan ‘barang’ yang ditinggalkan Luqman kepada pihak polis.
Jadi … Mereka dalam bahaya !! Geng Helang Hitam dalam bahaya !! Dan yang paling penting bos .. bos dalam bahaya. Nizam langsung bangun masuk ke bilik air. Dia harus ke banglo sesegera mungkin.

*………………*

“Baiklah. Dengan ini, saya umumkan Luqmanul Hakim b. Norman Hakim dan Julia Aleeya bt. Johan Amir adalah suami isteri yang sah di sisi syari’at juga undang-undang”.
Luqman dan Julia tersenyum. Begitu juga Pak Tua yang hadir sebagai saksinya. Walaupun banyak yang menjadi persoalan pada awalnya, namun alhamdulillah semuanya selesai juga.
Mujur saja pejabat agama itu bersebelahan pejabat pos. Jadi Luqman langsung mengepos sijil nikahnya yang asal ke rumah. Ianya lebih selamat berbanding ada padanya. Tambah lagi dengan keadaan yang tak menentu sekarang.
Yang ada padanya hanya salinannya saja. Mujur saja Pak Tua telah menyediakan beg galas belakang buatnya. Luqman ketawa kecil memandang Julia di sisi.
“Jom” Luqman menghulur tangan pada Julia.
Julia mengerutkan dahi. Huluran Luqman disambut. Pak Tua sudah menunggu mereka di luar. Sudah tiba masa untuk pulang ke Kampung Sentosa.

*……………*

Zakuan melepas nafas. Gambar di tangannya digenggam kuat. Penat betul menanya pada orang sana sini. Ada sesiapa yang pernah melihat wajah gadis ini. Jawapannya tetap juga tidak walau seberapa ramai yang ditanya.
Sudah dua hari dia mencari di sini. Pekan yang dia sendiri tak tahu namanya. Mereka hanya turun ke semua tempat mengikut arahan bos.
Kata-kata bos diingat kembali. Sudah terlalu lama Julia hilang. Jadi seandainya mereka menemui Julia bersama Luqman, mereka harus mendapatkan keduanya walau apa jua cara. Cuma sekiranya ada yang melawan, nyawa Luqman boleh dihabiskan namun Julia harus dibawa pulang tanpa luka walau secalar.
Beberapa pembantu yang mengikutnya masih lagi sibuk menanyakan orang-orang yang berada di pekan itu.
“En.Zakuan”.
Zakuan menoleh bila namanya dipanggil. Wajah Faiz terpacul dari sebelah kirinya.
“Tu cik muda kan?”
Zakuan mengerut dahi. Langsung memandang pada arah yang ditunjuk Faiz. Serentak langsung langkah kakinya berlari anak melintas jalan. Pistol yang berada dalam poket dikeluarkan.

*…………..*

Mereka menguntum senyum pada Pak Tua yang kelihatan di seberang jalan. Luqman menguatkan pegangannya dan menarik Julia keluar dari pejabat pos.
“Abang Hakim” Julia memanggil.
Luqman menoleh. Dahinya berkerut melihat wajah Julia yang bertukar pucat tiba-tiba. Pipi Julia disentuh. “Kenapa ni?”
Julia menelan liur. Wajah Faiz dan Johan dilihat dari jauh. Sepertinya Faiz sedang membisikkan sesuatu pada lelaki di hadapannya. Tangan abang Hakim digenggam sekuat mungkin.
“Kenapa ni?” Luqman menyoal lagi. Mengapa Julia tidak menjawab soalannya? Dia kehairanan.
Dia melihat arah yang dilihat Julia. Sedari tadi Julia tidak mengalih pandangannya walau sedetik. Dahinya berkerut melihat lelaki-lelaki yang dipandang Julia.
Luqman langsung menarik tangan Julia mengarut langkah ke arah Pak Tua bila terperasankan wajah seseorang. Lelaki yang mengawal pintu bilik Julia. Kalau tidak silap Luqman, namanya Faiz.
Julia mengikut langkah abang Hakim yang sudah mula berlari anak. Wajah Pak Tua mempamerkan rasa hairan. Mengapa mereka berdua kelihatan ketakutan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s