JULIA – BAB 55

“Cepat!” Zakuan menjerit pada pembantunya. Sepertinya cik muda dan Luqman sudah terperasankan kehadiran mereka.
Luqman melajukan langkah. Pak Tua memandang wajah keduanya. “Apa yang berlaku?”
“Orang-orang Salim ada kat sini. Boleh tak Pak Tua bawa Lia dulu. Saya nak alihkan perhatian dia orang” Luqman menyerahkan Julia pada Pak Tua.
Julia memandang. Bagaimana mungkin dia boleh melepaskan abang Hakim di dalam bahaya kerananya. “Lia tak nak. Kita lari sama-samalah”.
Luqman menggeleng. Sudah tiada masa untuk berbincang sekarang. Dia meninggalkan Julia dan berlari ke pejabat pos semula.
Zakuan menunggu kereta di hadapannya berlalu. Masa inilah jalan raya kecil ini sibuk. Sedari tadi tak pula banyak kenderaan yang lalu-lalang.
Mereka berlari anak mengikut Zakuan dari belakang. Faiz terlebih dulu perasan cik muda sudah tiada bersama lelaki yang diperkenalkan En.Zakuan sebagai Luqman itu.
Luqman berlari ke arah kirinya. Tadi dia meninggalkan Julia bersama Pak Tua di kedai hujung sebelah kanan. Dia juga sudah meninggalkan pesan pada Pak Tua jangan sesekali membenarkan Julia keluar walau apa pun yang terjadi.
Zakuan berlari mengejar Luqman. Tembakan dilepaskan agar Luqman tidak hilang dari pandangan. Barangkali ia akan melambatkan larian Luqman.
Lariannya dilajukan lagi. Sesekali dia menoleh memandang ke arah Zakuan. Namun di penghujung jalan, langkahnya terhenti juga. Luqman menanti Zakuan datang padanya.
“Mana cik muda?” Zakuan mengacukan pistol ke arah Luqman. Beberapa orang yang melihat semuanya menjauhkan diri. Tidak berani untuk masuk campur kerana pistol yang dipegang Zakuan.
Luqman diam. Cuba mencari peluang untuk berpatah arah. Risau juga Julia yang ditinggalkan. Namun hati cuba diyakinkan bahawa Pak Tua boleh menjaga isterinya.
Zakuan bengang Luqman mendiamkan diri. Luqman pula langsung berlari bila Zakuan menunduk kepenatan. Zakuan mengerutkan dahi bila bayang Luqman tak terlihat.
Langkah diatur laju mencari Luqman. Sebaik mendapati Luqman berada di seberang jalan, langsung picu pistol ditarik. Ini saja caranya untuk membuatkan Luqman berhenti.
Julia memerhati dengan perasaan takut dari sebalik pintu kaca. Pak Tua di sisinya juga sama. Matanya dikecilkan bila menyedari Zakuan sudah melihat Luqman. Namun Luqman tak menyedari Zakuan mengacu pistol padanya kerana Luqman membelakangkan Zakuan.
Pak Tua menahan Julia. Dia tahu apa yang Julia ingin lakukan. Julia memandang Pak Tua.
“Ju kena pergi. Pak Tua nak suruh Ju tengok je?”
Pak Tua menggeleng,”Jangan Julia. Ingat apa yang dipesan Luqmanul?”
Julia menggeleng. Pak Tua ditolak. Tidak penting apa yang abang Hakim pesan. Tapi dia tak mahu nyawa abang Hakim melayang kerananya.
Zakuan melepaskan tembakan sebaik saja merasakan sasarannya tepat dan kekal di tempatnya. Luqman kelihatan masih belum berganjak dari tempat.
“Abang Hakim!!”
Luqman menoleh. Baru perasan pistol pada Zakuan. Suara itu … Entah dari mana Julia muncul menghalang tembakan yang dilepaskan.
Semuanya terhenti. Faiz membulatkan mata melihat darah yang memancut keluar dari tubuh cik muda. Johan kaku. Begitu juga yang lainnya.
Zakuan berlari mendekati cik muda. Apa yang harus dijawab pada bos saat bos menyoalnya? Langsung telefon bimbit dikeluarkan bagi menghubungi bos. Cik muda telah ditemui.
“Lia” panggil Luqman.
Julia rebah dalam pelukan Luqman. Luqman mengundur ke jalan raya ingin melihat wajah gadis itu. “Lia” panggilnya lagi.
Tak menyedari dia sudah berada di tengah jalan. Sebuah Honda Civic meluncur laju. Tidak sempat menekan brek kereta, dua manusia di hadapannya dilanggar.
Pak Tua membulatkan mata. Julia dan Luqmanul keduanya terbaring di jalan. Langkahnya berlari pada Luqmanul dan Julia.
Orang ramai mengerumuni Julia dan Luqman. Mujur pemandu Honda Civic itu punya rasa tanggungjawab. Nombor ambulans dihubungi.
Faiz memandang En.Zakuan di sebelah. Zakuan menarik nafas. Dia harus meninggalkan sini segera. Pasti ada yang melihat dia melepaskan tembakan.
“Kita balik” Zakuan memakai cermin mata hitamnya dan melangkah pergi. Mereka yang lain mengikut. Sesekali Faiz menoleh, melihat cik mudanya. Apa yang akan terjadi pada cik muda?
Zakuan cuba mendail lagi. Pejabat juga nombor telefon peribadi bos namun tidak dapat dihubungi. Begitu juga nombor teman-temannya. Semuanya tidak dapat dihubungi. Apa yang terjadi di banglo?

*……………*

Enjin kereta dimatikan. Nizam berlari masuk ke banglo. Semua nama dilaung namun tiada yang menjawab. Nafas ditarik.
Dia berlari masuk ke bilik namun semuanya kosong. Semua kotak-kotak yang berisi hilang. Tiada pada tempatnya.
Selesai semua bilik dia berlari ke atas. Juga kosong. Tiada walau seorang manusia. Nizam menggeleng-geleng. Apakah dia sudah terlambat?
Langkah diatur ke gudang. Juga sama. Nafas dilepas. Nampaknya dia memang sudah terlambat. Pihak polis sudah tiba dahulu.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia harus menelefon Tn.Hassan. Menyoal kalau-kalau Tn.Hassan tahu apa yang berlaku.

*……………*

“Kenapa ni?” Zakuan menyoal Nizam di hadapannya.
Dia baru tiba di banglo. Berkerut dahinya melihat Nizam berdiri di luar pintu. Nizam memandang.
“Kenapa kau balik? Dah jumpa Julia ke?”
Zakuan mengangguk. “Apa yang jadi? Aku call bos tak dapat”.
Nizam membulatkan mata. “Habis tu, mana cik muda?”
Zakuan menggeleng. “Tak sempat tangkap. Apa yang jadi? Mana bos?”
Nizam mengetap bibir. Tak sempat? Dia menekup mukanya. Apalah nasib hari ini? Bos sudah dibawa pergi pihak polis. Julia pula sudah ditemui namun tak dappat dibawa pulang.
Apakah ini tanda-tanda Geng Helang Hitam akan hancur?

*………….*

“Dato’ , pihak hospital ada di talian dua” suara setiausahanya memberitahu dari telefon.
Dato’ Norman mengerut dahi. Hospital? Mengapa mereka menelefonnya? Butang nombor dua ditekan.
“Ya. Saya Dato’ Norman”.
“Maaf dato’. Saya dari Hospital Tengku Ampuan Afzan , Pahang” ujar suara wanita di corong telefon.
Dato’ Norman mengerutkan dahi. Hospital Tengku Ampuan Afzan di Pahang? Mengapa mereka menghubunginya? Sedangkan dia berada di Kuala Lumpur. Tinggal juga di Kuala Lumpur.
“Ya”.
“Saya nak maklumkan bahawa anak dato’, Luqmanul Hakim dimasukkan ke wad kecemasan sejam lalu kerana mengalami kemalangan kereta. Waktu ambil anak dato’ tadi, ada seorang wanita bersamanya”.
Dato’ Norman terdiam. Luqman kemalangan? Bagaimana dia boleh berada di Pahang? Setahunya Luqman berada di Pulau Pinang. Bagaimana pula…?
“Terima kasih. Saya akan segera ke sana” Dato’ Norman meletakkan gagang telefon. Langsung nombor Pak Khir dihubungi. Meminta Pak Khir segera ke Hakim Legacy bersama Datin Mariah dan Has. Mereka harus ke Pahang sekarang juga.
Dato’ Norman kaku sebentar. Kata jururawat tadi, Luqman ditemui bersama seorang wanita. Siapa pula wanita yang disebutkan?

*……………..*

Stetoskopnya yang disangkut di lehernya diletakkan di atas meja. Perkhabaran yang baru diterima memang mengejutkan.
Markas Geng Helang Hitam diserbu pihak polis. Dan Salim berada dalam tahanan sekarang. Manakala semua pekerja yang ditemui di markas ditempatkan di dalam lokap untuk disoal siasat.
Pintu biliknya terbuka. Wajah Nizam dan Zakuan muncul. Bersama mereka ada beberapa orang yang semuanya berkemeja hitam.
Dr.Hassan mengangguk. Membenarkan Zakuan dan Nizam duduk. Pasti ingin membicarakan soal Salim.
“Tn.Hassan” Nizam memanggil.
Dr.Hassan mengangguk. “Mesti Nizam dan Zakuan dah tahu apa yang terjadi?”
Nizam dan Zakuan menggeleng. Nizam pun mula berkata-kata. “Kami tak de kat banglo. Tak tahu apa jadi. Tapi masa balik tadi, tengok banglo dah kosong. Tak de walau seorang pun. Tn.Hassan tahu apa yang jadi?”
Dr.Hassan memandang. Ya dia tahu Zakuan tiada. Kerana Salim memberitahu bahawa Zakuan tak dibenarkan pulang selagi Julia belum ditemukan.
Nizam mungkin disuruh Salim menyelesaikan kerja-kerja di Sa-Nu. Kerana itu dia tiada di banglo saat banglo diserbu pihak polis.
“Boleh tuan beritahu apa yang berlaku?” Zakuan menyoal.
Dr.Hassan menarik nafas. Dia duduk bersandar pada sofa dan mula bercerita.
Pihak polis menemui bahan bukti jenayah yang dilakukan Geng Helang Hitam dan lokasi Geng Helang Hitam bersembunyi. Mereka mengatur strategi untuk menangkap Salim dan juga semua yang terlibat.
Semuanya berlaku sekelip mata kerana Salim langsung tak tahu menahu bahawa pihak polis sudah tahu semuanya. Jadi itu memudahkan kerja pihak polis.
Sekarang semuanya dalam tahanan. Para pekerja akan disoal siasat seorang demi seorang oleh pihak polis. Sekiranya mereka hanya menjalankan arahan Salim tanpa didapati bersalah, maka boleh dilepaskan dengan ikat jamin.
Tetapi Salim akan ditahan, dibicarakan dan dihukum. Namun semuanya masih belum diketahui keputusannya. Buat masa sekarang, Salim masih belum boleh dilawat sesiapa.
Nizam dan Zakuan melepas keluhan. Benarlah zama kegemilangan Geng Helang Hitam sudah berakhir. Hancur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s