JULIA – BAB 57

Dia menanti di dalam sel tahanannya. Hari ini dia sudah boleh dilawati. Dan Salim tahu orang pertama yang akan melawatnya adalah Dr.Hassan, Nizam dan juga Zakuan.
Tidak lama seorang anggota polis datang membawanya ke sel pertemuan. Dr.Hassan dan Nizam serta Zakuan sudah pun menanti. Salim mengambil tempatnya sebaik garinya dibuka.
Dr.Hassan memandang anak saudaranya itu. Nafas ditarik. Salim sudah kelihatan agak kurus dari sebelumnya walau dirinya masih terurus.
“Selesa kat sini?” Dr.Hassan menyoal.
Nizam dan Zakuan berpandangan. Mengapa Tn.Hassan menyoal sedemikian rupa? Bukankah sepatutnya mereka berbincang bagaimana untuk mengeluarkan bos dari penjara secepat mungkin?
Salim memandang pak sunya. Dia tahu pak su paling risau dia tidak selesa. Pak su risau dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana di penjara. Pak su langsung tidak risau bagaimana dia boleh ditangkap dan dipenjarakan. Kerana Salim tahu pak su berprinsip yang salah tetap akan dihukum.
“Pak su dah cakap dengan En.Karim. Dia akan datang esok” Dr.Hassan merujuk pada peguam yang mengendalikan semua hal Geng Helang Hitam.
Salim mengeluh. Wajah Zakuan dipandang. “Dah jumpa Julia?”
Zakuan mengangkat wajah. Matanya dipejam. Julia lagi. Sepatutnya bos merisaui diri-sendiri dan bukannya Julia.
“Dah jumpa Julia?” Salim menyoal lagi.
Zakuan mengangguk. “Tapi dia dan Luqman, sama-sama terlantar kat hospital”.
Salim mengerut dahi. Wajahnya bertukar, mengeluarkan riak kerisauan. “Kenapa masuk hospital?”
Zakuan menarik nafas,”Kemalangan”.
Salim terdiam. Semua adalah salahnya. Kalaulah dia menemui Julia lebih awal dari Luqman. Julia terlantar di hospital. Bagaimana nasib gadis itu nanti? Apakah dia akan selamat? Bagaimana pula dengan pembayaran bil hospital? Amir dan Anisah bukanlah punya banyak wang untuk menanggung semua perbelanjaan hospital.
“Aku nak kau cari jalan untuk tanggung semua bil hospital Julia” Salim memandang Nizam. Nizam diam. Tidak tahu apa yang harus dijawab.
Dr.Hassan memandang Salim. “Lim lupa ke Julia tu bakal isteri siapa? Bakal menantu siapa?”
Diam. Suasana bertukar sepi. Salim bersandar. Dia lupa. Julia kesayangannya sudah punya tunangan. Lelaki itu. Luqmanul Hakim. Apakah dia turut ditemukan?
Nafas ditarik. Zakuan sudah menyebutnya tadi. Luqman dan Julia sama-sama terlantar di hospital. Dia sudah tidak punya keinginan untuk melepaskan diri dari penjara ini. Buat masa sekarang yang memenuhi fikirannya hanya gadis itu. Julia Aleeya.

*……………*

Matanya dibuka perlahan. Terlihat syiling di bahagian atas. Matanya dililau ke arah lain. Lengannya tercucuk jarum yang disalurkan pada air suling yang tersangkut di sisi.
Dia di hospital. Nafas ditarik. Matanya memandang ke pintu bilik bila mendengar bunyi tapak kaki. Wajah Has muncul dari balik pintu.
Has kaku seketika. Abang sudah sedar. Langsung failnya diletak di atas meja dan beg galasnya dibuka. Dia berlari anak menuju ke arah abang. Butang merah pada dinding ditekan. Memanggil doktor.
“Abang dah bangun?”
Luqman mengangguk. Mengukir senyum nipis. Peristiwa yang berlaku cuba diingat kembali. Dia dan Julia melarikan diri dari orang-orang Geng Helang Hitam yang mencari Julia.
Dan … Dahinya berkerut memandang Has. Julia mengambil tempatnya. Menjadi sasaran tembakan yang dilepaskan Zakuan. Kalau begitu, di mana Julia? Apa yang berlaku pada Julia? Selamatkah dia?
“Has”.
“Ya” Has memandang Luqman.
Luqman memandang Has sesaat. Ingin menyoal menanyakan soal Julia, tapi pasti Has akan berasa hairan. Akhirnya wajah adiknya itu hanya dipandang.
“Abang haus?” Has menyoal.
Luqman mengangguk. Tubuhnya didudukkan. Terasa lenguh-lenguh pula. Pasti sudah beberapa hari dia terbaring bagai mayat di sini.
Air putih yang dihulur Has diambil. Dia meneguknya hingga habis segelas. Doktor masuk bersama beberapa orang jururawat bersamanya.
Luqman memandang doktor itu. Doktor mengukir senyum pada Luqman. “En.Luqman ok?”
Has tersenyum memandang Dr.Hassan. Entah apa yang dilakukan papa hingga abang dirawat doktor yang sama merawatnya dahulu. Tapi satu yang Has tahu, nampaknya papa mempercayai Dr.Hassan.
Dr.Hassan melakukan pemeriksaan asas ke atas tubuh Luqman. Beberapa soalan juga ditanya untuk mengetahui keadaan mental dan fizikal Luqman. Alhamdulillah, dia baik-baik saja.
“Buat masa ni En.Luqman berehat dulu. Kalau tak de apa-apa, mungkin dalam dua tiga hari dah boleh keluar hospital” Dr.Hassan meneliti laporan yang diserahkan jururawat.
Luqman mengangguk. Ucapan terima kasih diuca. Dan Dr.Hassan bersama tiga orang jururawat itu meninggalkan mereka berdua.
Has mengeluarkan telefon bimbitnya. Ingin menelefon papa memaklumkan bahawa abang sudah sedar. Pasti mama akan menangis kegembiraan.
“Has” Luqman memanggil adiknya.
Has yang baru ingin membuat panggilan memandang. Keningnya dijongket menandakan dia menanti kata-kata dari Luqman.
“Kita kat KL ke?”
Has mengangguk. Beberapa hari lalu, setelah keadaan Luqman dan Julia stabil, Dato’ Norman meminta mereka dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Kerana lebih mudah untuk mereka melawat Luqman dan Julia.
Luqman mengangguk memahami. Membiarkan Has membuat panggilan. Entah siapa yang dihubungi dia juga tidak tahu. Bagaimana caranya untuk dia mencari tahu apa yang berlaku pada Julia?

*…………….*

Nizam diam sendiri di ruang menunggu Hospital Kuala Lumpur. Dia baru saja tahu bahawa Luqman dan Julia dipindahkan ke sini tadi. Itu pun kerana dia ke rumah Dato’ Norman mencari Has.
Kata-kata Has beberapa minggu lalu masih jelas dalam ingatan. Namun Nizam tak mahu mempedulikannya. Baginya dia dan Has masih ada perkara yang belum dibincangkan.
Jururawat yang baru melintasinya dipandang. Terasa bagai mengenali jururawat bertubuh genit itu. Nizam melangkah ke arahnya.
“Sabirah”.
Jururawat itu menoleh memandang suara yang memanggil. Nizam melepaskan nafas lega. Benarlah itu Sabirah. Jururawat tempoh hari yang menjadi penyampai beritanya tentang Has.
“En.Nizam” Sabirah menguntum senyum.
Nizam maju lebih dekat. “Kau tengah bertugas?”
Sabirah mengangguk. “Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
“Aku nak tahu nombor bilik Luqmanul Hakim anak Dato’ Norman”.
Sabirah mengangguk. “Kalau macam tu, sila ikut saya. Biar saya cek di kaunter”.
Nizam mengikut langkah Sabirah dari belakang. Dia benar-benar berharap dapat menemui Has hari ini. Sementara Sabirah meneliti komputer di depannya, Nizam melihat sekeliling.
Matanya berkerut melihat Has yang sedang berjalan bersama Anisah. “Sabirah, saya dah jumpa orangnya. Terima kasih!”
Sabirah terdiam. Hanya melihat Nizam berlari anak mengejar seseorang. Kepalanya digeleng-geleng dan dia meneruskan perjalanan ke makmal. Ada keputusan darah yang harus diambil.

*……………*

Has mengukir senyum pada Anisah. Anisah hanya membisu mendengar kata-kata Has. Luqman sudah sedar tetapi puterinya masih lagi terlantar membeku di atas katil.
“Has!”
Anisah dan Has menghentikan langkah. Sama-sama menoleh ke belakang. Wajah Nizam terlihat di mata.
Has mengeluh. Anisah mengerut dahi. Bukankah ini pemuda hari itu? Yang datang ke dobinya?
“Saya tengah cari awak” Nizam memandang Has, berharap Has memberi peluang padanya untuk bersuara.
Anisah memandang Has dan Nizam silih berganti. “Biar Cik Nisah pergi bilik Julia sendiri. Has macam ada banyak benda nak bincang”.
Has menggeleng. Lengan Anisah ditarik. “Saya dah tak de apa-apa nak cakap. Awak boleh balik sekarang”.
Nizam menggeleng juga. Langkah Has dan Anisah ditahan. Semuanya tetap harus diselesaikan hari itu juga. Dia tidak mahu salah faham ini berterusan. Bukan dia saja yang terseksa, dia tahu Has juga merasakan perkara yang sama.
Has memejam mata. Dia tidak mahu berbincang apa-apa. Sama sekali tidak. Matanya dibuka. Terlihat wajah Dr.Hassan datang padanya. Senyum diukir.
“Cik Mukrimah. Pn.Anisah” Dr.Hassan menegur.
Nizam menoleh ke arah suara itu. Tn.Hassan. Tunduk hormat diberikan. “Selamat petang tuan”.
Dr.Hassan mengangguk dan tersenyum. Has mengerut dahi. Mengapa Nizam memanggil Dr.Hassan dengan panggilan tuan? Apakah mereka saling mengenali?
“Cik Mukrimah nak ke bilik Julia?” Dr.Hassan menyoal.
Has mengangguk. Dr.Hassan mengangguk. “Kalau macam tu, kita sekalilah. Saya pun nak tengok keadaan Cik Julia”.
Has tersenyum nipis. Begitu juga Anisah. Mereka berlalu mengikut langkah Dr.Hassan. Nizam mengerutkan dahi. Apakah ini membawa maksud bahawa doktor yang merawat Julia adalah Dr.Hassan? Mengapa Dr.Hassan tidak pernah membuka mulut?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s