JULIA – BAB 58

Nizam menjawab panggilan yang diterimanya. Kedengaran suara Zakuan di talian.
“Kau kat mana?”
Nizam diam sebentar. Kalau dia memberi jawapan dia di hospital pasti akan ada soalan seterusnya. “Rumah”.
“Aku nak pergi tengok bos. Keputusan dah keluar”.
Nizam mengangguk walau Zakuan tak melihat. Keputusan untuk semua pekerja banglo sudah keluar. Pasti bos akan meminta Zakuan membawa pulang mak cik Nafisah ke banglo semula.
“Kau nak ikut tak?” Zakuan bersuara lagi.
“Ok. Kau tunggu aku. Kita gerak sekali”. Dan talian dimatikan.
Wajahnya memandang hospital sekilas. Nanti dia akan datang lagi. Menemui Has. Dia tidak mahu segalanya tergantung seperti ini.

*…………..*

Dato’ Norman membuka pintu wad Luqman. Langkah diatur bersama sehelai kertas di tangan. Luqman menoleh memandang papa. Tidak perasan papa membawa sesuatu.
Matanya melilau mencari-cari. Mama dan Has tidak datang sekalikah?
“Mama dengan Has pergi tengok Julia” Dato’ Norman duduk di kerusi di sebelah katil Luqman.
Luqman memandang papa. Jadi Julia dirawat di hospital yang sama dengannya? Bagaimana keadaannya sekarang?
Dato’ Norman diam melihat reaksi Luqman. Dia tahu pasti Luqman merisaui Julia namun tidak mahu memerlihatkannya. Bimbang diragui.
“Abang” Dato’ Norman memanggil.
Luqman memandang lambat. Dia benar-benar risau akan keadaan Julia. Masih terbayang jeritan Julia memberi amaran tentang tembakan yang dilepaskan Zakuan.
Dato’ Norman menarik nafas. Kertas di tangan diletakkan di atas katil. Luqman menanti sesaat dua dan mengambil kertas pemberian papa.
Wajah Dato’ Norman dilihat. Hanya sekilas dan Luqman menunduk kembali. “Papa dah tahu?”
Dato’ Norman menarik nafas. “Papa rasa tu bukan soalan yang sepatutnya abang tanya”.
Luqman diam. Wajah papa dilihat kembali. “Lia ok? Keadaan dia dah stabil? Peluru tu…”
Dato’ Norman memandang. Luqman tidak jadi meneruskan ayat bila Dato’ Norman membuat pandangan begitu. Wajahnya serius membuatkan Luqman membisu.
“Ju dah stabil cuma belum sedar. Sekarang papa nak penjelasan” ucap Dato’ Norman tegas.
Luqman melepas nafas kelegaan. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan. Julia dah selamat.
“Abang” panggil Dato’ Norman.
Luqman diam. Suasana sunyi buat beberapa ketika. “Apa yang papa nak tahu?”
Dato’ Norman menggeleng. Inilah masalah anak sulungnya itu. Pendiam tak kena tempat. “Semuanya”.
Luqman memandang papa. Dia tidak tahu harus mula dari mana. Bagaimana dia menemui Julia atau bagaimana dia boleh ‘ter’ kahwin dengan Julia? Ataupun bila dia mencari Julia? Atau mungkin bagaimana dia tahu Julia berada di mana?
“Abang” Dato’ Norman bersuara lagi.
“Abang…tak tahu nak cerita macam mana”.
Dato’ Norman mengerut dahi. Nafas ditarik. “Abang bukan ke Penang ke jumpa Firdaus?”
Luqman mengangguk. Dia menarik nafas dan mula berkata-kata. Apa sebenarnya yang terjadi. Sejak bila dia memulakan operasi.
Semuanya. Kaitan antara Salim dan Julia. Juga cerita penyerbuan pihak polis di markas Geng Helang Hitam yang sedang hangat diperkatakan.
Hingga dia tersesat di Kampung Sentosa yang mempunyai kepercayaan tersendiri itu. Penemuan dengan Mak Tua dan Pak Tua yang sangat baik hati. Dan perkahwinannya.

*……………*

Dia berlari mengejar doktor yang baru meninggalkan bilik Julia. Ada soalan cepu emas yang harus ditanya.
“Doktor!”
Dr.Hassan menoleh ke belakang. Dia tersenyum memandang Has yang berlari anak ke arahnya. Menanti sehingga gadis itu datang dekat.
“Has nak tanya sikit boleh?”
Dr.Hassan tersenyum dan mengangguk. “Apa yang Cik Mukrimah nak tanya?”
“Dr.Hassan kenal Nizam?”
Anggukan diberikan. Dalam diam, Dr.Hassan tersenyum sendiri. Has memandang. Bagaimana pula Dr.Hassan boleh mengenali Nizam?
“Macam mana?” Has menyoal.
Dr.Hassan tersenyum sebelum menjawab,”Nizam pembantu anak saudara saya”.
Has mengerutkan dahi. Pembantu anak saudara? Bukankah Nizam merupakan pembantu Salim? Ertinya..
“Salim ke?”
Dr.Hassan mengangguk lagi. Terus-terusan tersenyum. Has turut mengangguk. Jadi Dr.Hassan adalah bapa saudara Salim. Kerana itulah Dr.Hassan mengenali Nizam.
Dr.Hassan memandang Has di hadapan. “Ada apa-apa lagi Cik Mukrimah nak tanya? Saya ada kecemasan”.
Has mengangguk tanda membenarkan Dr.Hassan pergi. Dia tersenyum memandang Dr.Hassan dan masuk semula ke wad Julia beberapa minit kemudian.

*……………*

Polis yang bertugas menyambut Zakuan dan Nizam membawa mereka ke sel pertemuan. Sepertinya Salim sudah menunggu. Pasti tahu Nizam dan Zakuan akan menemuinya hari ini.
Polis itu mengunci pintu pagar semula dan berkawal di luar. Salim memandang Nizam dan Zakuan di hadapannya.
“Dah tahu apa yang jadi?” Salim menyoal.
Nizam mengangguk. Begitu juga Zakuan. Mahkamah telah memutuskan bahawa semua pekerja banglo berkesalahan berat kerana hanya mengikut perintah. Jadi mereka boleh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 1500.00 seorang.
“Aku nak kau” Salim memandang Nizam dan menyambung,”Ikat jamin semua yang kena tangkap. Lepas tu bawa balik semua ke banglo. Yang ada keluarga tu kau bagi dia orang cuti beberapa hari dulu. Takut keluarga dia risau”.
Nizam mengangguk. Zakuan dipandang,”Kalau boleh mulakan operasi secepat mungkin. Aku tak nak customer bising kita tak de barang. Nanti kalau boleh kau bawa mak cik Nafisah datang tengok aku”.
Zakuan mengangguk. Pasti mak cik Nafisah adalah antara yang dirisaukan bos. Maklumlah mak cik Nafisah telah lama berkhidmat dengan bos dan keluarga.
Salim mengalih pandangan ke arah Nizam. Wajah itu dipandang. “Julia apa khabar?”
Nizam terdiam. Dia memandang Zakuan. Dan Zakuan memandangnya kembali.
“Julia macam mana?” Salim meninggikan suara.
“Masih belum sedar bos” perlahan suara Nizam.
Salim menghentak meja. Polis yang mengawal menoleh namun Nizam dan Zakuan hanya menguntum senyum. Dan polis itu menggeleng-geleng.
“Masa kau tembak tu kena kat mana?” Salim menyoal Zakuan.
Zakuan menggeleng. Sejujurnya dia memang mengacu pistol tepat ke arah kepala Luqman, setidaknya jika dia tidak mati pun badannya akan lumpuh. Tapi bila cik muda menerpa menghalang pelurunya, dia sendiri tidak pasti peluru itu mengenai bahagian mana.
Salim menggenggam penumbuknya. Hanya kerana lelaki itu. Semuanya kerana Luqman. Kalaulah Julia tidak menghalang peluru dari Luqman pasti dia sudah selamat sekarang.
“Bos” Zakuan menegur, bimbang angin pun naik 360 darjah di dalam penjara. Sudahlah bos di dalam pemerhatian.
Salim memejam mata. Kalaulah dia tidak terkurung di sini, pasti dia sudah cuba habis upaya menyelamatkan gadis kecintaannya itu. Tapi sekarang … Sudah tiada guna. Dia sendiri tidak tahu dirinya akan terkurung di sini sampai bila.

*…………..*

Amir dan Anisah masuk ke wad Luqman. Luqman terdiam seketika melihat wajah kedua orang tua Julia itu.
Setelah sesi meluah kebenaran dengan papa kelmarin, dia masih belum menemui sesiapa. Papa dan mama masih belum datang melawat. Has pula tidak boleh datang kerana sibuk dengan urusan universitinya.
Cik Nisah dan Cik Amir memang ada melawat sebelum ini. Tapi ketika itu dia masih belum membuat pengakuan. Papa juga masih belum mengorek kebenaran.
Luqman membetulkan duduknya. Jadi serba tak kena pula. Pasti papa telah menceritakan semuanya pada Cik Amir dan Cik Nisah. Terasa bagai anak kecil yang mahu menyorok di balik selimut pula.
“Sihat?” Amir menyoal.
Luqman mengangguk. Tangan Amir disalam dan dicium. Anisah datang membawa semangkuk sup yang masih panas. Dia memandang Luqman. Tangan dihulur.
“Boleh salam kan?” Anisah menyoal.
Luqman kaku sesaat dua. Langsung mencapai tangan Anisah. “Saya minta maaf”.
Anisah mengusap kepala menantunya. Nafas ditarik. “Umi dah dengar semuanya dari papa. Luqman tak salah. Terima kasih sebab dah selamatkan anak umi”.
Luqman terdiam. Senyuman diberikan, selesa dengan gelaran yang digunakan Anisah. Umi.
Amir memaut bahu Anisah. Anisah tersenyum. Inilah penyelesaiannya. Mimpi aneh yang selalu dialami sepanjang pemergian Julia adalah petanda dan ini adalah jawapan. Alhamdulillah akhirnya puteri puteranya pulang dengan selamat juga.
Anisah menghulurkan mangkuk sup pada Luqman. Luqman menyambutnya dengan senyuman. Nafas dilepas. “Umi dengan abi tahu dari mana?”
Amir ketawa kecil mendengar pertanyaan Luqman. “Papa kamu tunjuk salinan sijil nikah tu. Dapat pula buat sijil nikah. Sedangkan IC pun tak de. Kan?”
Luqman mengangguk. Amir menggeleng-geleng. Itu mungkin tuah mereka. Lagipula sistem di kampung tidaklah secerewet di bandar.
“Makanlah. Nanti kita pergi tengok Ju” Anisah memandang.
Luqman mengangguk lagi. Julia. Sudah lama dia tidak menatap wajah isterinya itu. Mengapa dia masih belum sedar hingga sekarang?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s