JULIA – BAB 59

Langkahnya perlahan ke arah katil. Wajah yang terbaring itu dilihat. Kelihatan senyum terukir di wajahnya. Pasti dia sedang melepaskan semua lelah yang telah dikumpul selama setahun lamanya.
Luqman mengambil tempat di sisi Julia. Kepala yang tidak bertudung itu diusap. Pasti Has yang membuka tudung yang tersarung di kepala Julia. Memang sebelum dia ke sini, Has singgah di biliknya memaklumkan Has mahu turun ke kantin.
“Lia” Luqman menggenggam tangan isterinya.
Wajah itu diusap. Pipi itu dibelai. Kata Dr.Hassan dia sudah boleh pulang ke rumah petang ini. Dia sudah sihat sepenuhnya cuma tidak boleh melakukan kerja terlalu berat.
Nafas dilepas. Bilalah agaknya isterinya ini akan sedar dari tidur? Kata Dr.Hassan keadaan Julia pada awalnya seperti telur di hujung tanduk. Tidak tahu akan selamat atau tidak.
Namun demi masa, keadaan Julia sudah mula stabil. Darahnya juga tidak lagi rendah seperti awal mereka dipindahkan ke sini. Dan kini apa yang boleh dilakukan hanya menunggu.
Dr.Hassan sendiri tidak mengetahui bila Julia akan sedar. Mahu menjangka juga tak bisa kerana semuanya terserah pada Julia sendiri. Walau apa yang ditanya Luqman, Dr.Hassan hanya menjawab tak tahu.
“Lia, bangun. Papa dengan mama dah sedia nak sambut menantu. Umi dengan abi pun dah tak sabar nak peluk cium puteri dia orang. Saya pun….” Luqman diam. Tidak sedar bila pula dia mengalirkan air mata.
Air matanya dikesat. Hibanya perasaan melihat keadaan Julia seperti ini. Terbaring seperti mayat hidup. Tapi Dr.Hassan memberitahu bahawa Julia dapat mendengar semua yang dikatakan. Hanya dia tak boleh menjawabnya.
“Lia” air mata Luqman makin galak mengalir. Makin ditahan, makin banyak pula yang keluar. Sedari tadi tangannya mengelap air mata yang merembes.
Luqman memejam mata. Kalaulah Has melihat keadaannya sekarang, pasti dia sudah diketawakan habis-habisan. Seorang lelaki menangis bagai anak kecil.
Dia menenangkan diri dan memandang wajah Julia. Wajah itu mahu ditatap sepuasnya ketika ini. Siapa tahu, dia akan menjadi orang pertama yang dilihat Julia sebaik dia menyedarkan diri.

*…………..*

Has menutup pintu wad Julia semula. Suara abang yang menangis membantutkan niatnya untuk meneruskan kerja.
Langkahnya lemah menuju ke kerusi yang terdapat di situ. Sudah hampir seminggu Julia terbaring begitu. Bilalah agaknya Julia akan sedarkan diri?
Has bukan saja kasihan melihat abang. Tapi melihat keadaan Cik Amir dan Cik Nisah lebihlah kasihan. Dan dia juga kasihankan dirinya sendiri.
Sepanjang Julia terbaring, ada juga teman dari universiti yang melawat. Namun tidak ramai kerana Julia juga bukanlah jenis yang peramah dan menegur sesiapa saja. Dia lebih hidup dalam dunianya sendiri.
Nafasnya dilepas. “Ju, bila awak nak bangun?”

*…………*

Dia memandang Nizam di hadapan. Beberapa hari ini, Nizam seperti dilanda masalah besar. Tiap kali dia datang, pasti akan termenung. Lawatannya ke penjara sepertinya hanya memenuhi prosuder. Fikirannya entgah melayang ke mana.
“Nizam” Salim memanggil. Namun tak berjawapan. “Nizam”.
Nizam mengangkat wajah memandang Salim. Wajah Salim yang tegang menunjukkan dia tak suka Nizam bersikap begitu. Nizam membetulkan duduk,”Ya bos”.
“Kau datang ni nak cakap apa?”
Nizam diam. Baru dia sedar sudah lima minit dia di situ, dia cuma membisu. Salim menggeleng kepalanya. Kalaulah dia di luar selain dari sini, pasti Nizam sudah diketuk kepalanya.
Entah apa yang melanda pembantunya itu. Otaknya terbang ke Eropah barangkali. Ataupun mungkin akalnya sudah berada di bulan. Kelihatan seperti orang yang tiada jiwa.
Nizam memandang bos. Mengapalah dia susah mahu memberi tumpuan? Otak dan fikirannya penuh dengan Has. Penuh dengan gadis bernama Mukrimah Muhasibah yang kurang kesopanan itu.
Kata-kata Has sangat memberi kesan. Has sangat marah padanya. Itu belum lagi Julia sedar dan menceritakan apa yang dilakukannya pada Julia. Jika Has tahu dia suka memainkan Julia, pasti Has bertambah bengang.
“Nizam” Salim memanggil lagi.
“Luqman dah keluar hospital” Nizam langsung memulakan perbualan.
Salim diam sebentar. Wajah Nizam diperhati,”Dia dah keluar hospital?”
Nizam mengangguk. Salim mengeluh. Baguslah jika dia sudah keluar hospital. Tapi agaknya dia akan membuat laporankah tentang penculikan Julia? Jika dia benar membuat laporan, pasti hukuman Salim akan bertambah.
“Julia?”
Nizam menggeleng. “Masih belum sedar”.
Salim mengangguk. Agaknya bagaimana keadaan Julia ketika ini? Rindu benar dia pada wajah itu. Suaranya juga … marahnya. Salim senyum sendiri.
“Zakuan macam mana?”
“Dia dah bawa dia orang balik banglo. Sekarang masih buat kerja pembaikan lagi. Mungkin dalam seminggu lagi dah boleh operasi”.
Salim mengangguk. “Cakap dengan Zakuan jangan lupa buat parti minta maaf. Aku tak nak customer kita lari”.
Nizam mengangguk. “Bila bos nak jumpa mak cik Nafisah?”
Salim memandang. “Kau bawalah bila kau free”.
Nizam mengangguk lagi. Senyum diberi pada bos. Kelihatan bos seperti sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan di penjara.

*……………*

Amir dan Anisah tersenyum memandang Luqman. Luqman pula kejap tersenyum kejap tidak. Tidak mengerti apa yang telah dilakukan umi dan abinya.
Dua buah bagasi dan sebuah beg galas terletak kemas di tepi pintu. Luqman dari tadi menjeling ke arahnya. Kata umi, itu semua barang Julia yang telah dikemas.
Sampuk abi, bukankah sepatutnya seorang isteri tinggal bersama suami? Luqman pula hanya meneguk teh tarik yang dihidang umi. Kata-kata abi dan umi membuatkan dia terasa janggal.
Menurut umi, umi telah mengasingkan sedikit barang Julia untuk kekal di rumah. Nanti Luqman bolehlah membawa sedikit barangnya ke rumah abi untuk ditinggal. Jadi, nanti jika mereka ingin bermalam di rumah abi mereka tidak perlu membawa barang.
“Luqman dengar tak?” Amir memanggil menantunya.
Luqman menjongket kening. “Kenapa?”
Amir tersenyum nipis. “Abi dah bincang dengan papa. Nanti bila Ju dah sedar kita boleh buat kenduri”.
Luqman memandang bapa mertuanya itu. Julia dah sedar? Nafas dilepas dan dia memberi senyuman? Memangnya bila Julia akan sedar? Sepertinya Julia sudah selesa terbaring di atas katil hospital itu.

*…………..*

“Nizam!!”
Has terjaga dari tidur. Matanya memandang melihat sekeliling. Dia masih di pejabat papa. Tak sangka pula boleh tertidur di pejabat berhawa dingin ini.
Pintu bilik pejabat Dato’ Norman terbuka tiba-tiba. Setiausaha Dato’ Norman terkelam-kabut masuk. “Cik Has tak apa-apa?”
Has memandang. Tidak mengerti soalan wanita itu. Setiausaha Dato’ Norman kelihatan teragak-agak untuk mengeluarkan kata-katanya.
“Saya dengar Cik Has menjerit …”
Has tersenyum. “Tak de apa-apa. Papa belum balik?”
“Belum Cik Has. Dia masih lagi kat luar jumpa client”.
Has mengangguk. Ucapan terima kasih diberikan. Asalnya dia mahu makan tengah hari dengan papa, tapi sudahlah. Papa masih bermesyuarat. Has mengangkat kaki keluar dari Hakim Legacy.
Mimpi tadi terngiang di kepalanya. Nizam terjatuh dari bangunan tingkat 9. Tapi bagaimana? Yang dia nampak hanya Nizam yang sudah berlumuran darah di jalan raya.
Terasa mimpi itu bagai benar pula. Has melepas nafas. Tidak sedar kakinya sudah melangkah jauh dari tempat letak kereta.
Apa maksud mimpi yang dialaminya tadi? Mengapa dia tiba-tiba bermimpi Nizam pula? Atau mungkin dia terlalu memikirkan Nizam kebelakangan ini?
Has mengeluh. Dia sendiri yang membuat keputusan tidak mahu menemui Nizam. Mengapa pula dia yang bermasalah? Entah-entah, Nizam langsung tak ambil kisah tentangnya.
Mengapalah dia membuka surat yang diberi abang pada abang Zalif hari itu? Kebenarannya membuatkan dia sendiri terseksa. Kalaulah dia tidak tahu siapa Nizam sebenarnya.
“Ya Allah” Has meraup mukanya. Matanya dipejam. Nafas ditarik sedalam mungkin.
Bunyi hon kereta yang semakin kuat menghairankannya. Baru Has sedar dia berada di tengah jalan. Has membulat mata melihat Grand Livina biru cair itu mendekat.
Tubuhnya ditarik ke tepi jalan. Dan Grand Livina itu meluncur laju. Has mengerutkan dahi. Siapa yang menariknya?
“Awak ok?”
Has membuka mata. Wajah itu dilihat. Nizam. Automatik tubuhnya dijauhkan dari Nizam.
“Awak ok tak?” Nizam menyoal lagi. Dia yang baru keluar dari kedai runcit tiba-tiba terperasan Has berjalan melintas tanpa melihat kiri kanan. Langsung langkahnya diatur laju menarik tubuh gadis itu.
Has diam. Kalaulah tidak ada Nizam tadi, apa akan terjadi padanya?
“Has” Nizam memanggil. Apa yang tidak kena dengan Has?
“Terima kasih” Has tersenyum. Dan langsung mengatur langkah ke Hakim Legacy semula. Bagaimanalah dia boleh ke jalan raya? Destinasinya tadi cuma tempat letak kereta.
“Has” Nizam menahan tubuh gadis itu.
“Awak nak apa?”
Nizam memandang. “Saya dah selamatkan awak”.
“Terima kasih. Saya nak balik Hakim Legacy”.
“Awak datang sini jalan kaki?” Nizam menyoal hairan. Memanglah Hakim Legacy tidak jauh, tapi jika berjalan kaki…
Has mengangkat wajah memandang Nizam. Semuanya kerana Nizam juga. Kalaulah dia tidak memikirkan Nizam tadi, tidak ada ertinya dia di sini.
“Boleh kita bincang?” Nizam menyoal.
Has mengerut dahi melihat sebuah BMW dari jauh. Kereta abang! Kalau abang melihat dia bersama Nizam, pasti teruk dia dibebel.
“Nanti saya call awak” Has memandang Nizam dan berlari anak menuju ke Hakim Legacy.
Namun Luqman lebih cepat perasan adiknya. Kereta dipandu laju ke arah Has.
“Naik”.
Has diam. BMW abangnya dimasuki. Mujur Nizam sudah menjauh. Tapi bimbang juga abang melihat suasana tadi.
“Siapa lelaki tu?”
Has memandang abang. “Siapa?”
Luqman melepas nafas. “Abang nampaklah. Siapa?”
“Kawan” balas Has ringkas.
“Kawan?” Luqman meluncur masuk ke dalam Hakim Legacy.
“Abang tak kenal. Kawan U”.
Luqman diam. Rasanya dia melihat Nizam tadi. Apakah kawan yang dikatakan Has adalah Nizam? Atau memang Nizam dan Has berhubungan?
“Kereta mana?”
Has senyum nipis. Memberitahu Iswara kesayangannya berada di tempat letak kereta. Luqman memandu ke tempat letak kereta.
Dia pasti lelaki itu adalah Nizam. Nampaknya dia harus menemui lelaki itu. Ada perkara yang harus dibincangkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s