JULIA – BAB 60

“Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
Wajahnya diangkat. Ternganga sebentar melihat wajah di hadapannya itu.
“Apa nganga-nganga?” Luqman menjeling memandang Zalif.
Zalif tersenyum menampakkan giginya. Luqman datang. Dia baru merencana untuk melawat Luqman hari ini memandangkan dia lapang di sebelah petang. Tidak sangka pula temannya itu datang sendiri.
“Zalif” tegur anggota polis yang bertugas di sebelahnya.
Zalif tersenyum. Hari ini dia bertugas menjaga balai. Mengapalah Luqman datang ketika ini? Luqman memandang. Salah masa pula. Zalif sedang bertugas.
Zalif memandang Luqman di pintu. Tangan dibuat gaya telefon diletakkan di telinga, memberi tanda jika dia lapang dia akan menelefon untuk berjumpa.
Luqman mengangguk. Thumbs up diberikan dan dia beredar dari situ. Dia harus mengambil Firdaus di lapangan terbang.
Asalnya Firdaus ke Kuala Lumpur kerana dihantar hospital untuk menghadiri seminar kedoktoran. Akan ada yang mengambil di lapangan terbang namun Firdaus menolaknya kerana mahu diambil Luqman.

*………….*

“Pak su sihat?”
Wajah Salim dipandang dan keluhan dilepaskan. Dr.Hassan menarik nafas sedalamnya. “Lim sihat?”
Salim tersenyum. “Pak su nampak macam tak sihat ke?”
Dr.Hassan mengangguk dan menggeleng. Tidak tahu apa yang harus dikatakan.
“Nizam kata, pak su rawat Julia?”
Dr.Hassan mengangguk. Salim mengerutkan dahi. Fikirnya Nizam hanya mengeluarkan kata-kata palsu. Tidak sangka pula ianya benar.
“Kenapa pak su tak pernah bagi tahu Lim?”
Dr.Hassan tersenyum. “Lim nak tahu kenapa? Antara Lim dengan Julia dah tamat kan?”
Salim diam. Dia memang tahu sedari awal Dr.Hassan tidak suka atas apa yang dia lakukan pada Julia, cuma Dr.Hassan tidak mengambil tindakan.
“Bukan semua yang jadi sebab Lim ke?”
Salim diam lagi. Nampaknya kedatangan pak su seperti hanya mencari salahnya. Dr.Hassan menarik nafas.
“Pak su cakap ni sebab pak su sayangkan Lim sebagai anak saudara. Duduk dalam ni, rasanya Lim ada masa nak fikir apa yang patut apa yang tak patut. Ini belum Luqman buat laporan Lim culik Julia. Kalau dia buat laporan macam mana? Kes yang ada belum selesai, nanti tambah kes lagi. Perbicaraan bukan sekejap. Hukumannya nanti siapa yang tahu?”
Diam. Salim tunduk memandang meja. Nampaknya Dr.Hassan sudah memainkan peranan bapa saudara. Tapi, tadi Dr.Hassan ada menyebut nama Luqman.
“Pak su kenal Luqman?”
Dr.Hassan mengangguk. “Kan pak su yang rawat adik dia. Dia pun pak su yang rawat juga”.
“Dah jadi doktor personal Dato’ Norman ke?”
Dr.Hassan menarik nafas. “Bukan. Cuma dato’ percayakan pak su. Julia pun, dia yang suruh pak su rawat”.
Salim diam. Nampaknya pak su juga sepertinya sudah berada di pihak Luqman.
“Tahu kan Luqman tu tunang Julia?”
Salim mengangguk. Suasana sunyi sebentar. Dr.Hassan memandang. Sebenarnya dia ingin mengutarakan fikirannya. Tapi sebaiknya tidak usah. Bimbang pula Salim mengamuk di dalam tahanan.
Gaya Luqman seperti bukan sekadar tunang. Dari caranya Dr.Hassan merasakan dia sudah pun menikahi gadis itu. Tapi dia sendiri tidak tahu sejauh mana kebenarannya.

*………….*

Has berlari anak bila melihat kelibat lelaki itu. Bagaimanalah mereka boleh singgah di 7-11 yang sama. Sedangkan begitu banyak 7-11 di Kuala Lumpur.
“Has!”
Has segera membayar Sprite yang diambilnya dan berlari keluar. Namun kerana kelam-kabutnya mencari kunci kereta dia tidak sempat mengelakkan lelaki itu.
“Has”.
Has menoleh. Memandang wajah itu. Nizam. Nizam. Dan Nizam lagi. Letih dia melihat wajah lelaki ini selalu.
“Kita kena bincang” Nizam memandang wajah itu.
Has mengeluh. “Nak bincang apa?”
“Kenapa awak mengelak dari saya?”
“Dan kenapa saya kena mengelak dari awak?” Has tidak jadi mencari kunci keretanya.
Nizam mengangkat bahu. “Awak yang mengelak dari saya. Mana saya tahu kenapa?”
Has tersenyum sinis. “Kalau macam tu awak kejar saya kenapa. Saya elakkan diri dari awak sebab tak nak jumpa awak. Tak nak tengok muka awak. Awak kejar saya sebab apa?”
Bila melihat Nizam diam, Has mengambil kunci kereta di dalam beg galasnya. Baru dia teringat kunci keretanya diletak di poket tepi sebelah kiri.
Butang buka kunci ditekan. Belum sempat dia membuka pintu, Nizam menghalang. “Boleh kita cakap serius?”
“Saya tak main” Has menggeleng.
Nizam memandang. Has mengeluh. Mungkin sudah sampai masa. Tapi … Dia tidak mahu bercakap dengan Nizam lagi. Tidak selagi Julia masih belum sedar. Selagi dia belum tahu apa yang terjadi pada Julia sepanjang Julia di dalam tawanan.
Pintu kereta dibuka. Namun Nizam menutupnya. Has membuka lagi. Tidak menghiraukan Nizam.
“Awak ingat apa yang awak cakap masa abang awak nampak kita hari tu?”
Has diam. Bagaimana dia lupa? Dia mengatakan dia akan menghubungi Nizam. Tapi itu hanya untuk membuatkan Nizam angkat kaki. Jika abangnya sempat melihat Nizam, segalanya akan lebih parah lagi.
“Tolong” Nizam memandang wajah itu. Sebolehnya dia mahu semuanya selesai hari ini juga.
Has memandang. Pintu kereta ditutup dan dikunci kembali. Dia berjalan perlahan melangkah ke taman berdekatan. Nizam senyum dan mengikut dari belakang.

*………….*

“Apa yang awak nak cakap?”
Nizam diam. Has menanti. Has tidak mengerti mengapa mereka harus bermain begini. Nizam pula tidak mengerti mengapa Has bersikap dingin terhadapnya.
“Awak marah lagi?”
Has diam. “Nak cakap apa?”
“Saya minta maaf”.
Has diam. Menanti kata-kata seterusnya. Sejujurnya dia tidak punya waktu mendengar Nizam mengarut.
“Has marah saya lagi?”
Has mengeluh. Langsung dia bangun dari bangku dan membuka langkah. Nizam panik melihat Has mengangkat kaki. Dia sedar bukan mudah untuk membuatkan Has setuju duduk bersama dengannya begini.
Nizam menarik nafas. “Semua yang saya buat bukan sebab nak tutup rasa bersalah saya pada Julia”.
Langkah Has terhenti. Namun dia tidak memaling tubuh mahupun wajah. Hanya berdiri bagai tunggul kayu di tengah taman itu.
Nizam melepas nafas lega. “Saya buat semua ni sebab saya sukakan awak. Saya sukakan Mukrimah Muhasibah”.
Kali ini Has menoleh. Langkah kakinya perlahan menuju ke bangku putih itu. Dan dia mengambil tempatnya kembali.
Nizam duduk semula. Jarak mereka dikekalkan. Kira-kira muat untuk tiga orang duduk di tengah. Nizam memandang sekilas. Melihat Has hanya memandang rumput yang hijau, Nizam memandang hadapan semula.
“Saya minta maaf. Saya tak sangka semuanya jadi macam ni”.
Diam. Tiada respon dari Has. Nizam meneruskan kata-katanya. “Awak mesti dah tahu yang Julia hilang sebab bos saya culik?”
Has diam seketika. Dan perlahan memberi anggukan. Nizam menyambung, “Lebih kurang setahun lepas, kita orang rompak bank. Tapi bos dengan saya cuma tengok camera dari dalam van. Masa tu salah seorang dari kami bertindak kasar pada seorang budak. Tapi Julia selamatkan dia. Bos tertarik dengan Julia sejak tu”.
Has mengerut dahi. Rompakan bank? Kira-kira setahun lepas? Julia berada di dalam bank itu? Jadi, kejadian setahun lepas itu angkara mereka? Mana mungkin dia lupa kejadian itu. Menangis dia disebabkan terlalu risau akan Julia.
Dia yang menghubungi polis untuk melakukan serbuan. Kerana panggilan kecemasan yang dilakukan Julia. Jadi van-van hitam yang dilihatnya memang kepunyaan perompak.
Nizam menyambung ceritanya semula bila Has tidak menunjukkan sebarang perubahan. “Lepas tu, bos suruh orang ikut Julia. Saya sendiri tak tahu apa yang bos fikirkan”.
Has memandang Nizam. Dahinya berkerut, bersama pandangan mata yang kecewa. Jadi kata-kata dan perasaan Julia adalah benar?
Dia masih ingat Julia memberitahu dia terasa bagai diperhatikan. Terasa bagai ada yang mengikutinya dan mengawasi setiap gerak langkahnya.
Kalaulah dia memaksa Julia membuat laporan polis ketika itu, semua ini takkan terjadi. Has menunduk kembali. Air matanya perlahan mengalir. Apakah semua ini salahnya? Dia yang menyebabkan Julia ditimpa bahaya?
Nizam menarik nafas. “Bos siapkan semuanya. Bilik yang bakal Julia duduk. Mewah mengalahkan hotel lima bintang. Bos siapkan ikut citarasa Julia dari A sampai Z. Waktu tu saya dah tahu yang bos memang sukakan Julia. Tapi saya tak fikir yang bos nak culik dia. Tak lama lepas tu, Julia datang. Saya memang tak sukakan dia. Sebab dia merubah bos, bos jadi orang yang lembut, memahami…memanglah bagus. Tapi pantang orang sebut nama Julia. Kalau sentuh fasal Julia sikit nak mengamuk. Kalau Julia marah, habis semua orang dimarahnya. Semuanya bergantung pada Julia. Saya tak faham kenapa bos tunduk sangat dengan Julia. Sampailah saya jumpa awak”.
Has mengerutkan dahi. Wajahnya diangkat memandang Nizam. Nizam juga memandangnya dan pandangan bertaut seketika. Hanya beberapa saat dan Has memaling wajah.
“Awak buat saya sedar. Bila kita dah sayangkan seseorang, kita tak nak orang tu marah. Kalau boleh semua yang dia nak kita nak tunaikan. Semua yang buat dia gembira, akan buat kita gembira juga” Nizam senyum nipis.
“Awak jumpa saya, saya jumpa awak. Malam awak datang rumah tu, perancangan atau memang kebetulan?” Has menyoal. Namun wajahnya masih menunduk. Langsung tak diangkat.
Nizam menarik nafas lagi. “Beberapa hari sebelum tu, Julia bagi tahu bos yang dia dah bertunang. Walau apa pun yang bos lakukan, Julia takkan jatuh hati dengan bos. Bos dapat tahu orang tu Luqmanul Hakim dari Hakim Legacy. Kebetulan, Sa-Nu memang tengah berurusan dengan Hakim Legacy. Jadi bos gunakan kesempatan tu untuk cari tahu sejauh mana kebenaran kata-kata Julia”.
Has mengangguk. Dia mengerti. Jadi pertemuan dia dengan Nizam memang dirancang. Sekiranya Julia tidak berbohong mengatakan Luqman adalah tunangannya, mereka tidak akan bertemu.
“Sanggup awak buat macam ni? Awak buat macam tak de apa-apa yang berlaku. Sedangkan semua orang separuh mati risaukan Ju. Awak dengan bos awak, simpan Ju entah kat mana. Lepas tu depan kita orang berlagak macam tak tahu apa-apa?” Has sudah menangis di kerusinya. Namun hanya air mata yang berderaian. Esakannya ditahan agar tidak kedengaran seperti tangisan kanak-kanak.
“Has” Nizam memandang,”Saya cuma pembantu. Apa yang saya boleh buat? Saya tak boleh buat apa-apa”.
Has menggeleng. Dia sudah mengerti segalanya. Jadi alang-alang sudah bercakap dari hati ke hati begini, dia juga akan mengeluarkan suara hatinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s