JULIA – BAB 61

Nafas ditarik sedalamnya. Mata yang sudah memerah dipejam. “Saya dah faham. Jadi apa masalahnya?”
Nizam menoleh, dahi dikerutkan. “Masalahnya?”
“Saya dah tahu bos awak yang culik Ju. Awak tak de kaitan, awak tak boleh buat apa-apa. Tu je awak nak cakap kan?” Has mengesat air matanya.
“Kenapa awak tanya macam tu?” Nizam mula bingung. Takkanlah Has sedikit pun tidak punya perasaan terhadapnya. Sedari tadi Has kelihatan ingin beredar segera.
“Awak nak cakap apa-apa lagi?” Has memandang. Dia sudah letih. Dia sudah bosan.
Sudah letih mengeluarkan air mata dan menahan perasaan. Sudah bosan berbincang dan berkata-kata kerana akhirnya tiada persetujuan dan tiada keputusan yang boleh dicapai. Antara dia dengan Nizam tidak mungkin sama sekali.
“Awak memang tak de perasaan ke? Awak memang tak rasa apa-apa dengan saya? Dengar cerita ni, awak tak nak cakap apa-apa?” Nizam menyoal dengan suara lantangnya. Mujur taman itu tiada orang, jika tidak pasti mereka sudah menjadi perbualan orang-orang.
Has menarik nafas. “Ok. Awak dah tak de nak cakap apa-apa kan?”
“Has” Nizam meninggikan suara.
Has bangun berdiri. Kali ini tegak memandang Nizam dari posisi yang sama.
“Dari tadi awak cakap. Sekarang boleh dengar saya cakap kan?”
Nizam mengangkat wajah. Memandang wajah serius Has. Senyap seketika. Has menarik nafasnya dan mengesat air mata.
“Saya dah tahu awak dengan bos awak culik Ju. Bos awak suka Ju, sayang Ju. Tapi Ju setia dengan abang saya. Baguslah macam tu. Semua tu dah berlalu pun. Ju dalam hospital, masih tak sedar-sedar. Tak pe, sebab abang saya ada dengan dia. Kalau awak nak tahu, Ju bukan sekadar kawan tapi dia dah jadi kakak ipar saya yang sah. Status dia orang bukan tunangan tapi suami isteri. Bos awak pun dah dapat hukuman dia. Fasal tu tak yah cakap dah lah. Lagi pun kalau cakap dengan Cik Amir dengan Cik Nisah pun, dia orang dah tak kisah dah. Yang penting sekarang, dia orang cuma nak Ju sedar je” Has berhenti seketika. Habis sudah mengeluarkan soal hati dan fikiran tentang Julia juga abang.
Sekarang…nafas ditarik,”Awak kata awak sukakan saya kan? Sukakan Mukrimah Muhasibah?”
Nizam mengangguk. Kali ini dia tidak berkata apa-apa. Walau khabar Julia dan Luqman sudah berkahwin sedikit mengejutkan, mulutnya tetap dikunci. Dia benar-benar mahu mendengar apa yang bakal diucapkan Has.
“Awak tak faham lagi ke? Apa yang saya buat selama ni?”
Nizam mengerutkan dahi. Tidak memahami maksud kata-kata Has.
“Saya elakkan diri dari awak sebab saya marah, saya mengaku. Tapi, kalau saya tak mengelak pun jadi apa? Awak kejar saya. Bagi tahu awak sayangkan saya. Cintakan saya atau apa-apa je lah. Lepas tu, awak nak apa? Nak saya terima awak? Sedangkan awak sendiri tahu benda tu tak mungkin?”
Nizam menggeleng. “Kenapa tak mungkin? Saya tahu awak pun rasa macam yang saya rasa”.
“Ketepikan soal rasa. Cuba fikir logik” Has mengeluh. Dan menyambung lagi,”Awak boleh tinggalkan dunia awak untuk saya? Pisahkan diri awak 100% dari dunia awak tu? Sebab awak sendiri tahu awak tak mungkin dapat tarik saya masuk dalam dunia tu. Macam mana dua orang dapat hidup bersama kalau seorang ke kiri seorang ke kanan?”
Nizam diam. Dia mula mengerti kini. Ini bererti Has menolaknya bukan kerana tiada perasaan padanya. Cuma jurang hidup mereka terlalu berbeza.
“Tapi…yang penting perasaan kan?”
Has ketawa kecil. “Awak ingat ni dunia khayalan ke? Yang penting sama-sama sayang macam tu? Ok, kalau awak kata yang penting perasaan … Fikir balik, takkan saya bangun Subuh awak tidur sampai pukul 7 pagi? Saya pergi masjid, masuk kelas mengaji awak pergi bunuh orang sana-sini. Macam tu ke?”
Nizam diam lagi. Nampaknya Has memang sudah memikirkan semuanya dari segala sudut. Benarlah kata abahnya suatu masa dulu, perempuan mempunyai fikiran yang sulit dan sukar difahami.
“Dah lah. Nizam Abdullah. Saya cakap betul, saya tak terima awak. Lepas ni tolong jangan masuk campur dalam hidup saya lagi. Jangan pernah datang cari saya lagi melainkan … awak dah sedia untuk tinggalkan dunia awak tu” Has melepas nafas. Matanya dipejam seketika dan langkahnya langsung dibuka.
Dia mahu pulang ke rumah dan tidur sepuas hati. Dia tahu tidak lama dia dapat menahan perasaan. Pasti sebentar saja lagi dia akan menangis hingga kering air mata.

*…………..*

Nizam termenung sendirian. Sudah lepas jam 3 petang, namun dia masih di taman itu. Lemah benar jiwanya. Hanya kerana seorang gadis, dia boleh terasa lemah begini sekali? Patutlah mood bos di banglo dulu turun naik saja.
‘Jangan pernah datang cari saya lagi melainkan … awak dah sedia untuk tinggalkan dunia awak tu’. Nizam mengeluh. Kata-kata Has yang terakhir itu memang terasa sulit sekali.
Bagaimana dia meninggalkan Geng Helang Hitam begitu saja? Sedangkan dia tumbuh membesar dalam suasana itu sendiri. Bagaimana mungkin dia keluar dari dunianya ini, sedang inilah satunya dunia yang dia miliki.
Sejujurnya, dia sendiri tidak pernah terdetik untuk meninggalkan Geng Helang Hitam. Kerana kegembiraan bos adalah kegembiraannya. Hinggalah dia menemukan satu-satunya kesukaan yang tidak bos sukai. Has.
Tapi Has benar. Segala kata-kata Has berpandukan akal yang logik. Bererti Has bukan bercakap menggunakan perasaan.
Bunyi telefon bimbit membuatkan Nizam mengeluh. Mengapalah di waktu begini harus ada yang mengganggu moodnya?
“Ya. Saya Nizam”.
“En.Nizam dari Sa-Nu kan?”
“Ya. Ada apa?”
“Saya setiausaha En.Luqman dari Hakim Legacy. Boleh En.Nizam singgah sekejap. En.Luqman cakap dia ada hal nak bincang”.
“Ooh…ok”.
Nizam memandang telefonnya. Luqman ingin bertemu? Ada Luqman lainkah selain Luqmanul Hakim abang Has itu? Jika benar dia adalah abang Has, mengapa Luqman ingin menemuinya?
“Lepas adik, abang pula” keluhan kecil dilepaskan.

*……………..*

“Silakan” gadis bertudung yang memperkenalkan diri sebagai setiausaha Luqman itu membukakan pintu bilik pejabat Luqman.
Nizam mengangguk dan melangkah masuk. Pasti Luqman baru saja mula kerja. Rasanya setiausaha itu pun belum pernah dilihat wajahnya ketika dia ulang-alik ke Hakim Legacy dulu.
Luqman sudah menanti di sofa. Nizam dipandang dan dipersilakan. Di meja sudah ada beberapa jenis kuih-muih tradisional Malaysia yang terhindang.
Suasana sunyi sebentar. Keduanya menikmati kopi panas yang terhidang. Nizam melihat Luqman, mengapa Luqman ingin menemuinya?
“Kau ingat aku lagi kan?” Luqman menyoal.
Nizam mengangguk. Mengapalah Luqman memberi soalan aneh itu?
“Aku abang Has. Anak lelaki tunggal Dato’ Norman dan juga pewaris Hakim Legacy”.
Nizam mengangguk. Itu dia sudah tahu. Bahkan dia sudah selidiki segalanya dulu. Dan ia juga bukanlah rahsia.
Luqman diam. Sebenarnya dia bukanlah mahu mencari fasal atau bergaduh. Tapi bagaimana dia harus memulakan ayat?
Basmalah diucap perlahan dan nafas ditarik. “Aku terus terang je. Jauhkan diri kau dari Has”.
Nizam mengangkat wajah, dahinya berkerut memandang Luqman.
“Aku tak tahu apa yang berlaku antara Has dan kau. Dan aku tak tahu apa yang fikir tentang Has. Tapi aku nak jauhkan diri dari adik aku”.
Nizam senyum kambing. “Apa hak kau nak suruh aku buat macam tu?”
“Aku abang dia. Kau? Aku cuma tak nak Has terluka kemudian hari. Aku tahu siapa kau, siapa bos kau. Senang kata, kau dengan aku sama-sama dah tahu belang masing-masing” Luqman terus ke bab utama. Malas mahu membuka kata segala bagai.
“Hebat. Aku ingat kau dengan Julia tak lepas dah. Ingatkan dah terkubur dalam hutan tu. Tak sangka boleh keluar sihat wal’afiat macam ni”.
“Jauhkan diri dari Has”.
Suasana mula tegang saat keduanya mula mengeluarkan nada serius. Saling memandang.
“Aku takkan tinggalkan Has semata-mata sebab abang dia seorang ni”.
“Jadi kau mengaku yang kau memang selalu ganggu Has?” Luqman menjongket kening.
Nizam diam. Luqman meneguk kopinya. Dan memandang Nizam sambil berkata,”Macam ni lah. Kita buat persetujuan. Kau jangan ganggu Has lagi dan aku takkan buat laporan atas apa yang kau dengan bos kau dah buat pada Lia”.
Diam. Hanya seketika. Luqman menanti respon Nizam. Dan dia menyambung,”Kau sendiri tahu aku ada bukti. Mustahil aku dapat selamatkan Lia, kalau aku tak tahu apa sebenarnya yang kau orang buat. Aku tahu perbicaraan bos kau belum selesai. Agaknya kalau aku tambah laporan ni, berapa lama lagi perbicaraan bos kau akan tertangguh. Lagi lama, lagi berat hukuman”.
Nizam mengetap bibir. Tangannya menggenggam penumbuk menahan marah. Dia langsung tidak punya hujah untuk mempertahankan diri. Memang semuanya sedang berpihak pada Luqman ketika ini.
Luqman melepas nafas. “Keputusan terletak pada tangan kau. Jauhkan diri dari Has dan aku takkan buat laporan. Tapi kalau kau masih ganggu Has lagi, aku tak dapat jamin apa yang akan jadi”.
“Aku betul-betul suka adik kau” Nizam akhirnya meluahkan apa yang terbuku.
Luqman diam. “Habis kenapa? Kau boleh keluar dari lumpur kau? Kau hidup tumbuh membesar dalam lumpur tu, kau boleh tinggalkan sekarang? Aku tak nak kau buat adik aku merana. Sebab kau sendiri tahu, tak mungkin kau dapat tarik adik aku masuk sekali dalam lumpur tu dengan kau”.
Nizam diam. Memang patutlah Luqman dan Has adik beradik. Kerana keduanya punya fikiran yang sama.
“Dah lah. Kau boleh keluar. Dan aku harap lepas ni, aku tak nampak kau kacau Has lagi. Kalau tak, kes ni akan jadi kes polis balik” Luqman mengakhiri kata. Tidak suka benar bergaduh begini. Tapi dia cuma lakukan untuk Has dan juga Julia. Dia tidak mahu Has sendiri salah langkah memilih Nizam.
Nizam membetulkan kot dan melangkah keluar. Kata-kata Has dan Nizam memang sama. Namun baginya untuk meninggalkan bos dan Geng Helang Hitam samalah seperti dia terjun dari bangunan tingkat 9.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s