JULIA – BAB 62

Luqman meletakkan briefcasenya di atas kerusi meja makan. Makanan yang terhidang membuatkan dia terasa lapar pula. Sedangkan dia sudah pun menjamah nasi ayam yang dibeli di gerai tepi jalan tadi.
Dahinya berkerut melihat Datin Mariah menaiki tangga bersama seorang pembantu rumah yang menatang dulang berisi makanan. Bersama air epal hijau kegemaran Has.
“Kenapa tu?” Luqman menyoal Wani yang sedang menghidangkan nasi untuknya.
“Cik muda tak keluar bilik sejak balik dari tengah hari tadi”.
“Tak keluar bilik?” Luqman membulatkan mata. Apa yang tak kena dengan Has? Setahunya Has bukan jenis yang suka berkurung.
Wani mengangguk sambil menuang air ke dalam gelas Luqman. Pasti Luqman juga tak tahu apa yang telah menimpa Has hari ini.

*………….*

“Dah tidur ke?”
Datin Mariah memandang Luqman yang memakai t-shirt bersama kain pelikat di depannya. Anggukan diberikan buat anak yang bertanya.
“Luqman dah solat Isya’ ?”
Luqman mengangguk. Wajah mama dipandang. “Kak Wani kata Has tak keluar bilik sejak tadi?”
Datin Mariah memberi anggukan. “Mukrimah tengah ada masalah apa pun mama tak tahu. Selalu dia nangis sambil cerita tapi kali ni, dia nangis je. Dah bengkak-bengkak mata”.
Luqman diam seketika. Apa yang terjadi?
“Luqman nak tengok Mukrimah ke?”
Luqman mengangguk. Datin Mariah tersenyum. “Jangan kacau dia pula. Mama nak turun, sediakan makan malam untuk papa”.
Luqman tersenyum. Melihat mama menuruni tangga dan perlahan melangkah ke bilik Has.

*……………*

Matanya dibuka bila terasa mama sudah keluar dari bilik. Nafas ditarik dan dilepas. Lampu tidur itu dimain suisnya. Dibuka dan ditutup.
Bila terdengar bunyi pintu bilik dibuka, langsung lampu itu dibiarkan terbuka dan matanya dipejam rapat.
“Dah tidur ke?”
Has diam. Suara abang menerpa di telinga. Luqman yang tahu adiknya itu masih belum tidur langsung membuka lampu bilik. Langkah diatur perlahan menuju ke katil.
Has mengeluh. Lampu tidur ditutup dan dia mendudukkan diri. Abang yang membelakangkannya dipandang.
“Nak apa?”
Luqman menoleh. Memandang Has yang sembap wajahnya juga matanya. Nafas ditarik. “Kenapa ni?”
Has mengangkat bahu. Getah rambut yang berada di atas laci tepi katil diambil. Rambutnya diikat dan selimut dibetulkan.
Luqman datang mendekat. Dia duduk bersila di sisi adiknya. Wajah itu dipandang.
“Kak Wani kata Has berkurung je hari ni. Tengah mogok ke?”
Has tersenyum nipis. Namun wajahnya tetap hambar. Masih dia tak dapat lupakan pertemuan dengan Nizam tadi. Betulkah keputusan yang dia ambil? Kalau betul, mengapa pula dia bersedih begini?
“Tak de benda nak cerita?”
Has diam. Luqman mengangguk-angguk dan melepas nafas. Wajah Has dipandang. Mungkinkah keadaan Has sekarang berkaitan dengan lelaki itu?
“Abang” Has memanggil. Bantal di sisi diletakkan atas paha yang ditutupi selimut.
Luqman memandang. Apa agaknya soalan yang bakal diberikan Has?
“Has tak fahamlah fikiran orang laki”.
Luqman tersenyum. Sudah dia agak apa masalahnya. Pasti ada kaitan dengan lelaki bernama Nizam itu. “Kenapa?”
Has memandang hadapan kemudiam memandang Luqman semula. “Kalau abang kan, antara mama dengan Ju abang pilih siapa?”
Luqman ketawa kecil. “Apa punya soalan ni? Kenapa abang nak kena pilih pula?”
Has mencebik. Sebenarnya dia tidak dapat mencari perbandingan yang sesuai bagi dirinya dan kehidupan ‘mafia’ yang dialami Nizam, kerana itulah dia terpaksa membuat perbandingan seperti isteri dan ibu.
“Jawablah” Has mula merengek bila abangnya ketawa tak habis.
Melihat gerak geri Has, Luqman terdiam. Nampaknya Has serius. “Terpulang pada keadaan. Mestilah abang kena tengok siapa yang betul, siapa yang salah. Tapi, dalam hidup abang tak mungkinlah abang kena buat pilihan. Has sendiri tahu, mama tu sayang Lia mengalahkan abang lagi”.
Has mengangguk. Dia mengeluh. Dan mencebik lagi. ‘Saya buat semua ni sebab saya sukakan awak. Saya sukakan Mukrimah Muhasibah’.
Tidak sangka betul soal hati boleh jadi sesulit ini. Kalaulah dia tahu, dari awal lagi dia tidak akan membenarkan Nizam mengusik hatinya. Tapi hal begini, siapa yang tahu apa akan berlaku?
“Abang” Has menghadap wajah abangnya.
“Kalau Has nak nangis, Has nangislah. Abang tahu Has belum habis nangis lagi kan?”
Kata-kata Luqman membuatkan Has membisu. Matanya tunduk memandang selimut dan dia bersandar kembali. Perlahan, setitis demi setitis air matanya jatuh.
‘Awak buat saya sedar. Bila kita dah sayangkan seseorang, kita tak nak orang tu marah. Kalau boleh semua yang dia nak kita nak tunaikan. Semua yang buat dia gembira, akan buat kita gembira juga’.
Tangisan Has bertambah mengingat kata-kata itu. Siapa kata dia tak punya perasaan? Dia juga manusia yang punya hati. Dia juga tidak menginginkan semua ini berlaku.
Siapa kata dia membuat keputusan tanpa memikirkan sesiapa? Membuat keputusan untuk kepentingan diri? Dia juga memikirkan yang terbaik untuk semua pihak.
Luqman memandang wajah Has. Kepala Has ditarik ke dadanya bila esakan Has makin kuat. Tidak pernah dia melihat Has sesedih ini. Ini lebih sedih dari semasa Julia hilang tak dijumpai.
“Has, esok kita tengok Lia” Luqman mengusap belakang adiknya. Siapa tahu jika Julia tahu kesulitan Has sekarang, dia akan sedar.

*………….*

Dia menoleh melihat bos yang makin mendekat. Pintu pagar sel dibuka salah seorang pegawai polis yang mengiringi bos.
Nizam menunduk memberi tanda hormat pada bosnya. Salim mengambil tempatnya. “Wan tak datang sekali?”
Nizam menggeleng. “Dia dah mula operasi”.
Salim mengangguk. Baguslah semuanya sudah kembali seperti sedia kala. Namun dia tetap juga masih belum keluar. Perbicaraan asyik saja tertangguh.
Juga hukuman tidak dapat dijatuhkan kerana bukti memang sudah mencukupi untuk membuatkan dia meringkuk seumur hidup dalam penjara. Namun, En.Karim mencuba sehabis upaya untuk menindakkan bukti yang diberikan pihak polis.
“Bos” Nizam memanggil.
Salim memandang. Menanti kata-kata Nizam. Nizam menarik nafas dan berkata,”Luqman kata dia takkan buat laporan atas apa yang bos buat pada cik muda”.
Salim mengerutkan dahi. “Takkan buat laporan?”
Nizam mengangguk. Salim memerhati wajah pembantunya itu. Memang ada yang lain pada Nizam hari ini. Atau memang ada yang Nizam sembunyikan?
“Kau ugut dia?”
Nizam menggeleng. Namun tetap diam. Bagaimana dia memberitahu hal yang dibicarakan Luqman? Kalau dia jauhkan diri dari Has, Luqman takkan buat laporan dan begitulah sebaliknya.
Kalau dia bercakap begitu, alamat habislah nyawanya. Lenyap terus dari muka bumi.
“Luqman cakap apa?”
Nizam menarik nafas. “Dia cakap, tak de guna dah buat laporan pun. Dia sendiri dah selamat. Bos pula dah meringkuk dalam ni”.
“Julia dah sedar?” Salim memotong kata-kata Nizam.
“Belum. Tapi dia cakap cik muda akan sedar tak lama lagi”.
Salim diam. Dia kembali bersandar pada kerusi. Ada sesuatu yang disembunyikan Nizam darinya. Mustahil begitu kata-kata Luqman. Sedangkan mereka sama-sama tahu betapa Luqman sayang pada Julia.
Takkan cuma kerana itu Luqman tak membuat laporan? Tapi kalau benar Nizam berahsia dengannya, apa yang dia rahsiakan dan mengapa dia merahsiakannya?

*………….*

“Bangunlah. Saya banyak benda nak cerita dengan awak. Mesti awak pun banyak benda nak cerita kan?”
Has memegang tangan Julia erat. Matanya dipejam seketika. Luqman telah pun ke Hakim Legacy setelah singgah sebentar menghantarnya tadi. Kata Luqman, dia punya mesyuarat pagi ini.
Has mengeluh. Matanya dipejam seketika. Kepala dilentokkan ke katil. Kata-kata Luqman masih terngiang di telinganya.
Kata abangnya malam tadi, dia tidak perlu membazirkan air mata untuk lelaki yang kita sendiri tidak tahu apakah dia benar sayang pada kita atau tidak.
Kata-kata itu seperti Luqman tahu-tahu saja apa yang menimpanya. Sepertinya Luqman tahu dia bersedih kerana siapa.
Wajah Julia diusap. Julia untunglah kerana punya abang sebagai suami. Kasih abang pada Julia memang tidak diragukan lagi. Jika tidak, mustahil abang meredah hutan tebal kerana mahu menyelamatkan Julia.
“Lia” Has memanggil perlahan.
‘Awak buat saya sedar. Bila kita dah sayangkan seseorang, kita tak nak orang tu marah. Kalau boleh semua yang dia nak kita nak tunaikan. Semua yang buat dia gembira, akan buat kita gembira juga’.
Kata-kata itu lagi. Has memejam mata. Membiarkan air mata yang bertakung mengalir membasahi pipi. Sampai bilalah dia akan berkeadaan begini?
“Has, kenapa awak menangis?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s