JULIA – BAB 63

Dia menghulurkan senyum buat teman yang berada di atas katil. Tangannya menyimpan kembali gelas yang diberi pada Julia tadi. Langkahnya perlahan melangkah ke Julia semula.
Tudung yang tersarung pada Julia, Has betulkan. Julia tersenyum menanti. Kata Has, doktor akan tiba sebentar lagi untuk memeriksanya. Has juga telah menelefon umi dan abinya memaklumkan bahawa dia sudah sedarkan diri.
Pasti abi sedang sibuk menyelesaikan kerjanya di universiti. Dan umi pula sibuk mahu menutup kedai dobi. Has juga ada menelefon Cik Norman dan Cik Mariah.
Julia memandang. Agaknya Has menelefon Luqman atau tidak?
“Masuklah” Has membuka pintu wad Julia. Dr.Hassan masuk bersama dua orang jururawat di sisinya.
Dr.Hassan melangkah ke katil Julia. Senyuman diberikan buat gadis pujaan Salim itu. Dua orang jururawat itu seorang darinya berdiri di sisi Dr.Hassan manakala seorang lagi melihat laporan Julia sebelum menyerahkannya kepada Dr.Hassan.
Julia memandang Has yang berdiri tidak jauh darinya sekilas. Dan memandang wajah doktor tua itu. Dahinya berkerut. Rasanya bagai pernah mengenali wajah ini.
“Cik Julia” Dr.Hassan memanggil.
Julia tersenyum lebar hingga membuatkan jururawat yang menemani Dr.Hassan naik hairan. “Pak su kan?”
Dr.Hassan tersenyum. Namun anggukan tak diberikan. Tak sangka pula Julia masih ingat padanya. Tapi kalau didengar Has, pasti ribut jadinya.
“Pak su kan?” Julia menyoal lagi. Mahu memastikan dia tidak tersalah orang.
Has melangkah maju ke hadapan mendengar Julia seperti mengatakan sesuatu. “Kenapa Ju?”
Julia terdiam. Baru dia tersedar Has ada bersama. Patutlah pak su diam saja dari tadi. Julia mengukir senyum buat Has dan menggeleng. Membiarkan Dr.Hassan terus memeriksa keadaan tubuhnya.
Dr.Hassan memandang Julia yang masih tersenyum setelah selesai menulis laporan. Sepertinya banyak yang gadis itu mahu bicarakan, sedang dia sendiri juga banyak yang mahu disoal.
“Cik Mukrimah” Dr.Hassan memanggil.
Has memandang dengan senyuman. Menanti kata-kata Dr.Hassan.
“Boleh tak Cik Mukrimah tunggu kat luar sekejap? Ada benda yang saya nak cakap dengan Cik Julia”.
Has mengangguk. Walaupun rasanya tidak ada sebab mengapa dia harus meninggalkan bilik itu namun Has tetap melangkah keluar. Kerana dia sendiri bukanlah tahu menahu tentang prosuder hospital ini.
“Pak su kerja kat hospital ni ke? Dah berapa lama? Atau memang kerja sini dari dulu?” Julia langsung menyoal.
Dua jururawat itu memandang hairan. Namun Julia tak pedulikannya. Fokusnya hanya pada Dr.Hassan.
Dr.Hassan tersenyum. Dia duduk di kerusi yang disediakan di sisi katil. “Pak su memang kerja kat sini. Kita kat Kuala Lumpur ni. Ju tahu kan?”
Ju mengangguk,”Has dah bagi tahu”.
Dr.Hassan memandang dua jururawat itu,”Tunggu kejap. Nanti keluar dengan saya”.
“Baik doktor”.
“Pak su ada banyak benda nak tanya ni” Dr.Hassan memandang.
Julia sengih. Dia tahu pasti pak su kehairanan bagaimana dia boleh ada di hospital ini. Sedangkan pertemuan pertama dan terakhir mereka di banglo Geng Helang Hitam.
“Nak Ju cerita ke pak su nak tanya?” Julia merendahkan nada suaranya.
Dr.Hassan tersenyum dan sesi soal jawab pun bermula. Pastilah dia yang harus bertanya kerana sudah tentu Julia tidak tahu bagaimana harus bermula. Lagi pula, dia cuma mahu tahu sesetengah perkara bukanlah semuanya.

*……………*

Dato’ Norman dan Datin Mariah tersenyum melihat Luqman yang sedari tadi menggesa Pak Khir agar memandu selaju mungkin.
Pak Khir pula menurut saja. Tahu tuan mudanya tidak sabar mahu menatap wajah isteri yang terbaring lebih kurang empat minggu lamanya.
“Abang” Dato’ Norman memanggil dari tempat duduk belakang. “Kan dah laju Pak Khir bawa tu, abang ni nak jumpa Ju ke nak accident dulu?”
Luqman mengeluh. Mengapalah dia tidak memandu BMWnya sendiri tadi? Semuanya kerana papa mengajak dia menaiki kereta bersama, alang-alang mahu ke hospital bersama. Mujur Pak Khir sudah mengambil mama dahulu, jika tidak terpaksalah ke rumah sebelum ke hospital.
Pak Khir menurunkan Dato’ Norman, Datin Mariah dan Luqman di depan pintu masuk utama. Setelah itu, dia pergi mencari tempat meletak kenderaan.
Luqman berlari menuju ke arah tangga untuk ke wad Julia. Dirasakan lif terlalu lambat kerana harus ditunggu.
Datin Mariah menggeleng-geleng melihat tingkah laku Luqman. “Tak sabar langsung. Bukannya Ju nak terbang ke mana pun”.
Dato’ Norman ketawa kecil. Biasalah darah muda. Semuanya mahu cepat saja.

*……………..*

“Ju”.
Julia memandang suara yang memanggil. Senyum terukir namun air matanya mula jatuh setitis demi setitis. “Umi, abi’.
Anisah maju ke depan. Berlinang air matanya mendengar suara Julia. Langsung tubuh puteri tunggalnya itu dipeluk. Kepalanya dicium lama. Hanya Tuhan yang tahu betapa dia merindukan Julia.
Amir tersenyum. Perlahan mengatur langkah dan mencapai tangan Julia. Julia tersenyum membalas genggaman abinya.
“Alhamdulillah, Ju dah sedar” Amir mengusap pipi Julia.
Julia mengangguk. Anisah memandang Amir sekilas dan memeluk Julianya kembali. “Ju….anak umi”.
Julia memejam matanya seketika. Membiarkan air matanya mengalir. “Umi, umi, umi”.
Anisah ketawa dalam tangisnya. Sesungguhnya ia tangisan dan air mata kegembiraan. Bersyukurnya dia anak gadisnya telah pun sedarkan diri.
Julia menggenggam jemari umi dan abi saat dia dilepaskan dari pelukan umi.
“Ju minta maaf. Mesti Ju dah banyak buat umi dengan abi risau”.
Anisah menggeleng,”Dapat tengok Ju bangun sekarang pun dah cukup”.
Amir ketawa kecil. “Kenapa Ju cakap macam tu? Kalau abi dengan umi tak risaukan Ju, nak risaukan siapa lagi?”
Julia tersenyum menampakkan giginya. Has yang sedari tadi menjadi pemerhati menjongket keningnya memandang Julia.
“Suka?”
Julia mencebik. Has ini, ada saja idea mahu menyakatnya.
“Nisa” Amir memanggil. “Janganlah menangis teruk sangat. Pergi basuh muka tu. Anak kita baru sedar, bukannya baru meninggal”.
Anisah memandang. Julia dan Has ketawa kecil. Julia mengangguk tanda setuju dengan abinya. Comot sudah wajah uminya ketika ini.
Genggaman tangannya dilepaskan. Anisah melangkah perlahan memasuki tandas yang sememangnya tersedia.
Pintu wad yang terbuka tiba-tiba membuatkan semua memandang. Luqman meluru masuk dan menuju ke arah Julia. Langsung tubuh itu dipeluk erat. Membiarkan Amir dan Has menjadi penonton.
Julia diam dalam pelukan Luqman. Terasa bagai mahu menolak pun ada. Tidakkah Luqman sedar ada mata yang memerhati?
Luqman melepaskan pelukannya. Wajah Julia diperhati dan senyuman terukir di bibirnya. Julia memandang. Namun tiada riak pada wajah. Hanya melihat Luqman mengalirkan air mata.
Luqman memejam mata sesaat dua. Dan memeluk Julia kembali. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesyukurannya ketika ini.
Anisah yang baru keluar dari bilik air tersenyum melihat Luqman di sisi Julia. Dia duduk di sisi Amir yang sedang membaca majalah yang berada di atas meja. Hanya Has yang menjadi penonton setia.
Julia menolak perlahan tubuh Luqman saat melihat Dato’ Norman dan Datin Mariah di muka pintu. Luqman mengerut dahi, keningnya dijongket. Dia tersenyum melihat papa dan mama.
Julia menunduk malu. Apa yang bakal dijawab abang Hakim agaknya?
Luqman ketawa sambil mengesat air matanya. “Semua orang dah tahu”.
Julia mengangkat wajah. Dahinya berkerut. “Apa?”
Dato’ Norman dan Datin Mariah maju pada Julia. “Semua dah tahu. Luqman dah tunjuk sijil nikah tu”.
Julia memandang Amir dan Anisah. Keduanya mengangguk. Patutlah umi dan abi hanya membiarkan dia dalam pelukan Luqman tadi.
“Lia malu ke?” Luqman menyoal. Pipi Julia yang memerah disentuh.
Has langsung memaut bahu Julia. “Mestilah malu. Kan akak?”
Julia memandang Has. Gelaran yang digunakan membuatkan dia tak selesa. “Kenapa awak tak cakap awal-awal?”
Has sengih,”Mestilah kena tunggu hero datang dulu. Saya ni tak nak jadi orang ketigalah”.
Julia diam. Matanya memandang Amir dan Anisah yang masih kekal di tempatnya. Keduanya tersenyum padanya.
“Bila Ju keluar hospital, kita bolehlah buat kenduri” Dato’ Norman memandang.
Luqman tersenyum memandang Dato’ Norman. Kemudian dia memandang Julia semula. Tubuh itu dipeluk lagi.
“Sudahlah tu Luqman. Tak lari pun Julia tu. Kan bilik ada orang lain tau, bukan kamu berdua je” Datin Mariah mencuit bahu puteranya.
Seisi bilik ketawa mendengar kata-kata Datin Mariah. Namun Luqman tetap tak melepaskan pelukannya. Malah tubuh Julia dipeluk lebih erat.
Senyuman di bibir Has pudar melihat kegembiraan Julia dan Luqman. Melihat abang dan Ju membuatkan dia teringat pada Nizam. Agaknya bagaimana keadaan Nizam sekarang?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s