JULIA – BAB 64

Zakuan mengambil kunci peti besi bosnya di dalam laci. Kata Nizam, bos mahu dia menyerahkan beg cik muda padanya semula. Mujur tidak ada walau sebarang kerosakan pada beg dan juga isinya.
“En.Zakuan”.
Zakuan bangun berdiri. Beg diletakkan di atas meja. Wajah Faiz yang memanggil dipandang.
“En.Zakuan nak pergi jumpa cik muda ke?”
Zakuan mengangguk. “Kau pergi panggil Johan sekali. Cakap dengan dia, bos suruh kau dengan dia ikut aku pergi hospital”.
Faiz mengangguk dan menguntum senyum. Tidak sabar rasanya mahu bertemu cik muda yang sudah lama dirindui.

*………….*

“Mak cik” Nizam menegur Nafisah yang sedang mengelap meja dapur.
Nafisah menoleh. Memandang wajah pembantu peribadi bos itu.
Nizam diam seketika. Memandang Nafisah menjongketkan kening. Menanya apa yang dia mahu.
“Mak cik ingat tak bentuk tangan Julia?”
Nafisah mengerutkan dahi. Mengapa tiba-tiba Nizam menyoal begitu? Apa sebabnya?
“Ingat tak?” Nizam menyoal lagi.
Nafisah mengangguk tanda masih ingat. Dia berlari anak masuk ke biliknya. Nizam menanti seketika dan Nafisah keluar bersama sebentuk cincin yang diperbuat dari kertas di tangannya.
Nizam menyambut huluran Nafisah. Cincin itu dipandang. “Saiz Julia ke?”
Nafisah mengangguk. Nizam tersenyum sendiri. Kalau ia bersaiz Julia, tentu ia padan dengan Has. Tubuh mak cik Nafisah langsung dipeluk.
“Terima kasih mak cik!”
Nizam tersengih memandang wajah terkejut mak cik Nafisah. Dia langsung berlari anak menuju ke bilik pintu utama. Pasti Zakuan, Johan dan Faiz sudah menunggu di dalam kereta.

*………….*

“Good morning!” Has terjerit kecil memandang Julia yang baru keluar dari bilik air.
Julia tersenyum memandang Has yang masuk ke dalam wadnya bersama beberapa plastik di tangannya. Luqman masuk selepas Has.
“Lia ok?”
Julia tersenyum dan mengangguk. Dia mengambil tempat di katil pesakitnya. Selimut ditarik menutupi separuh tubuh.
“Has ni, macam dah lama tak datang pula. Semangat beli macam-macam”.
Has meluru pada Luqman dan mencubitnya. Luqman mengerut dahi. Diakah yang bersalah? Julia ketawa kecil. Masih lagi kuat bergaduh seperti dulu.
Has membawa dua buah beg plastik menuju ke katil. Makanan yang tersedia di dalam tuppperware diletakkan di atas meja katil Julia. “Macam-macam saya beli. Kita makan bertiga tau”.
Julia mengangguk. Luqman tersenyum memandang Has dan Julia yang sibuk melihat apa yang enak dan apa yang kurang enak. Buku-buku yang dibelinya tadi diletakkan di atas meja laci di sisi katil Julia. Dia membelinya untuk mengisi kebosanan gadis itu di hospital.
“Nak menyibuk” Luqman mengambil tempat di sisi kanan Julia, berada di antara Has dan Julia.
“Memang menyibuk pun” Has mencebik.
Julia ketawa kecil mendengar kata-kata Has. Luqman menolak kepala adiknya, geram.
“Abang! Tak baik tau main kepala!”
Luqman menjelir lidah. Julia mengambil sesudu nasi berserta lauk dan menyuapnya ke mulut Has. Luqman memandang dengan senyuman.
Has mengecilkan mata, lidahnya dijelir kembali. “Awak jangan suap abang. Nanti naik minyak”.
Luqman menjeling. Geram betul dengan adiknya seorang ini. Ada-ada saja.
Bunyi pintu diketuk mengalih perhatian mereka. Has dan Nizam berpandangan sesama sendiri. Begitu juga Julia, ketiganya saling memandang.
Luqman melangkah dan membuka pintu. Wajah Nizam dan tiga lagi lelaki tak dikenali tersedia di depan pintu. Keempatnya memberi tunduk hormat.
“Kami datang nak tengok cik muda” Nizam memulakan kata.
Luqman mengangguk. Wajah tiga lagi lelaki diteliti. Rasanya mereka ini yang mengejarnya sewaktu dia keluar ke pekan tempoh hari. Kalau tak salah, lelaki ini adalah orang melepaskan tembakan.
Has langsung bangun dari katil melihat lelaki-lelaki itu masuk. Dia berdiri di sisi kiri Julia. Julia membetulkan duduk melihat Has bangun. Kemudian baru dia menoleh memandang pintu.
“Faiz! Johan!” Julia tersenyum. Tidak sangka pula mereka datang melawatnya.
Luqman langsung mendekat dan berdiri di sisi Julia. Tidak suka Julia dilawati lelaki yang tak muhrim dengannya.
Zakuan memberi tunduk hormat pada Julia. Memang Julia tidak mengenalnya, kerana dia tidak pernah menemui cik muda secara berdepan ketika di banglo. Tapi tak tahulah kalau cik muda masih ingat peristiwa di pekan hari itu.
Julia tersenyum kembali dan memandang Faiz semula. “Datang dari banglo ke?”
Faiz mengangguk. “Cik muda sihat?”
“Sihat. Awak sihat? Johan sihat?”
“Sihat” ucap Faiz dan Johan serentak.
Has mengerutkan dahi. Nampaknya Julia sudah biasa dengan dua lelaki ini. Pasti mereka yang menjaga Julia ketika dia dalam tahanan.
Faiz menghulurkan beg kepada Julia. Julia menyambut dengan senyuman. Ucapan terima kasih diberikan.
Nizam memandang Has yang menunduk. Apakah Has tak punya perasaan apa-apa melihat dia di situ?
“Mak cik Nafisah tak datang?” Julia memandang Johan dan Faiz.
“Tak” Johan memberi senyuman,”Dia….”
Julia mengangguk. “Tak pe. Salim tak suruh dia datang kan?”
Johan mengangguk perlahan. Julia melepas nafas. “Tak pe lah. Kenalkan ni kawan saya, Has”.
Julia mengerut dahi melihat Has yang kelihatannya mengelak pandangan seseorang. “Has” dia memanggil.
Has memandang Julia dengan senyuman. Julia mengerutkan dahi, “Awak ok ke? Nampak lain je”.
Has mengangguk,”Ok”.
“Kenalkan ni kawan saya Has. Has ni Faiz, Johan, yang tu Nizam, yang ni…” Julia terhenti. Tidak pula dia bertanyakan nama yang lagi seorang.
“Zakuan”.
Julia mengangguk. Tidak pernah pula dia mendengar Salim menyebut nama Zakuan. Dia memandang Luqman pula. “Kenalkan ni … suami saya, Luqman”.
Luqman berjabat tangan dengan tiga orang lainnya. Julia memandang. Apakah Luqman sudah berkenalan dengan Nizam? Has juga sama. Sepertinya ada yang tidak kena dengannya. Kaitan dengan Nizam juga.
Ada sesuatukah yang berlaku di luar pengetahuannya?

*…………..*

“Has”.
Dia menoleh. Memandang Julia yang terbaring di atas katilnya. Ketika itu, tetamu Julia baru saja keluar meninggalkan bilik. Luqman pula baru keluar ke Hakim Legacy. Katanya ada masalah yang berlaku dan dia harus ke sana segera.
“Saya nak tanya” Julia membetulkan duduk. Dia memandang Has yang mendekat.
Has duduk di atas katil. Mengambil ruang sedikit di kaki Julia. “Tanyalah”.
“Awak ada benda tak cerita dengan saya?”
Has mengerut dahi. Apa maksud kata-kata Julia. “Kenapa awak tanya macam tu?”
“Saya nampak”.
Has mengerut dahi. Nampak? Nampak apa? Apa yang Julia nampak?
“Awak dengan Nizam…”
Has melepas nafas. Jelas sangatkah gaya Nizam tadi? “Kenapa?”
“Ada apa-apa ke?”
Has ketawa kecil,”Mana ada apa-apalah”.
Julia diam. Dia tahu Has sembunyikan sesuatu. Mereka bukannya berkenalan baru sehari dua, tapi sedari darjah satu lagi. Sejak keduanya berumur tujuh tahun.
“Awak ada apa-apa dengan Nizam kan?”
Has mengeluh. “Awak nampak macam mana?”
Julia mengangkat bahu. “Nizam lain masa datang tadi. Lain dari yang saya kenal”.
Has diam. Wajah Julia ditatap. “Awak kenal Nizam yang macam mana?”
“Awak kenal Nizam ke? Abang Hakim pun sama. Kenal Nizam juga?”
Has mengeluh. “Kita tukar cerita boleh?”
“Tukar cerita?”
Has mengangguk. Julia mengangguk mengikut gaya Has. “Cerita apa?”
“Saya dah cerita macam mana awak ada kat sini. Abang pun dah cerita apa jadi kat Salim kat awak. Saya nak tahu apa yang jadi waktu awak kat sana boleh?”
“Lepas tu awak cerita fasal awak dengan Nizam?”
“Janji”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s