JULIA – BAB 66

Julia langsung mengalihkan pandangan bila menyedari pipinya terasa panas. Buku yang berada di tangan terus digunakan untuk menutup muka.
Luqman ketawa kecil. Fikirnya perasaan malu Julia sudah berkurang sedikit. Rupanya ia masih sama seperti mereka di Kampung Sentosa dulu.
Dahinya berkerut. Kampung Sentosa? Agaknya bagaimana keadaan mereka di Kampung Sentosa sekarang? Sihatkah Pak Tua dan Mak Tua? Bagaimana pula dengan Pijan?
“Ju” Luqman memanggil. Buku yang menutup wajah Julia ditarik perlahan.
Julia diam di posisinya. Nada suara Luqman kedengaran serius pula.
“Ju ingat Kampung Sentosa?”
Julia mengangguk. Masakan dia lupa pada kampung itu. Kampung penyelamat nyawa mereka berdua. Juga kampung yang menjadi saksi pernikahan mereka berdua.
“Saya tak tahu macam mana keadaan Pak Tua sekarang” Luqman memandang.
Julia mengangguk. Kalau pun Pak Tua mahu mencari mereka pasti susah kerana bermacam masalah. Bagaimana khabar orang kampung agaknya?
“Ju nak ikut” Julia menguntum senyum.
Luqman mengangkat wajahnya. Tangan Julia dicapai dan digenggam erat. “Nak ikut?”
Julia mengangguk lagi. Luqman tersengih menampakkan giginya. “Cepatlah keluar hospital. Boleh Ju pindah masuk rumah papa”.
Julia langsung menarik tangannya. Tubuh Luqman dipulas menggunakan jemari sepuasnya. “Mengada!”

*…………..*

Nizam menjeling sekilas ke belah kirinya. Macamlah dia tak perasan Has sedari tadi terhendap-hendap mengintai gerak-gerinya bersama Sabirah. Suka pula dia diperlakukan begitu.
“En.Nizam” Sabirah di depannya memanggil.
Nizam mengukir senyum. Sebenarnya dia datang untuk menyoal apakah Julia sudah keluar hospital atau belum. Tapi lain pula yang ditemukan. Bagai tak sangka pula boleh terlihat Has bertindak mempamerkan rasa cemburunya bila melihat dia berbual dengan Sabirah.
“En.Nizam” Sabirah memanggil lagi. Katanya tadi ingin menyoal, mengapa dia berdiam pula?
“Awak sihat?” Nizam sengaja melengahkan masa.
Sabirah mengerutkan dahi. Apa yang disoal En.Nizam tadi? Sihatkah dia?
“Sihat tak?”
Sabirah mengangguk. “Sihat”.
“Baguslah. Kalau tak sihat macam mana boleh datang kerja kan?”
Sabirah mengerut dahi. Apa yang tidak kena? Selalunya En.Nizam tidak pernah bersikap begini. “En.Nizam kata nak tanya sesuatu?”
Nizam mengangguk. “Julia Aleeya bt Johan Amir dah keluar hospital ke?”
Sabirah menggeleng. “Cik Julia bakal menantu Dato’ Norman kan?”
Nizam mengangguk. Sabirah menguntum senyum. “Belum keluar lagi. Rasanya dalam dua tiga hari ni dia boleh keluar”.
“Ok. Terima kasih”.
Sabirah tersenyum dan membuka langkah. Dia harus mengambil keputusan ujian darah dan air kencing dari makmal.
“Kejap”.
Sabirah memaling tubuh kembali. “Ya”.
Nizam senyum. “Ada tak perempuan kat hujung sana? Tengah tengok sini. Pakai tudung warna coklat emas”.
Sabirah menjeling sekilas dan anggukan diberikan. Patutlah Nizam berperangai pelik hari ini. Rupanya mahu menguji gadis itu.
Nizam mengucapkan terima kasih dan mereka berpecah. Dia langsung melangkah ke pintu keluar. Terasa berbunga hatinya. Kalau terlihatlah bunga itu, pasti ia sudah memenuhi taman bunga.
Bangganya rasa kerana Has cemburu padanya. Setidaknya dia tahu Has juga mempunyai perasaan yang sama.

*…………….*

Pintu wad dihempas. Kakinya menghentak lantai tanda membentak. Beg galasnya dibaling pada sofa yang tersedia.
Menyampah! Menyampah! Menyampah! “Menyampah!!”
Sakit benar hatinya melihat gaya Nizam tadi. Bukan main mesra dengan jururawat manis itu. Tahulah jururawat itu cantik dan sopan lagi. Tapi mengapa harus semesra itu?
Senyuman dan ketawa Nizam memang menyakitkan hati. Terkumat-kamit Has menyumpah Nizam dan juga jururawat itu. Sakitnya hati tak terkata.
Julia dan Luqman memandang. Apa yang tidak kena dengan Has? Baru saja masuk sudah mengamuk tak tentu fasal.
Julia memandang Luqman dan Luqman mengangkat bahunya. Luqman melangkah ke arah Has dan menampar pipinya perlahan. “Dah kenapa ni?”
Has memandang abangnya. Matanya melilau melihat sekeliling. Baru tersedar dia sudah berada di dalam wad Julia.
“Dah kenapa? Menyampah dengan siapa?” Luqman menyoal lagi.
Has diam. Dia menggeleng melihat abangnya. “Tak de”.
“Apa yang tak de? Abang tanya Has dah kenapa?”
Has senyum dan melangkah ke arah Julia. “Awak sihat?”
Julia menjongket keningnya. “Awak marahkan siapa?”
Has menggeleng. “Mana ada saya marah”.
Luqman mendekati mereka berdua. “Siapa tengok pun tahu Has marah. Masuk-masuk terus campak beg. Marah siapa?”
Julia mengangguk mengiakan kata-kata Luqman. Has diam sendiri. Benarkah dia marah? Mengapa dia marah dan siapa yang dia marahkan?
Tangannya menggenggami antara satu sama lain. Apakah ini tandanya dia cemburu?

*…………..*

Senyum lebarnya terpamer di wajah. Masih teringat gerak geri Has di hospital tadi. Sukanya dia, gembiranya dia.
“Nizam”.
Dia senyum lagi. Has ooh Has. Mengapalah dia boleh tergilakan Has seperti ini?
“Nizam!”
Nizam memandang depannya. Wajah Salim serius menyinga. “Bos” lambat-lambat Nizam menyebut.
“Kau datang nak tengok aku ke nak berangan?” Salim meninggikan suara.
Nizam menelan liur. Memang wajah bos sangat serius, tapi nada suaranya tidak terlalu meninggi. Semestinya kerana ada pegawai yang memerhati. Jika Salim bertindak di luar kawalan, maka hukumannya akan ditambah.
“Kau senyum-senyum kenapa?” Salim menenangkan diri. Suaranya diperlahankan.
Nizam menggeleng. Dia menguntum senyum buat Salim, moga ia dapat meredakan kemarahan Salim.
“Kau nak cakap apa, cakap cepat. Aku dah bosan tengok kau senyum”.
Nizam senyum lagi. Melihat wajah bos, senyumnya pudar. Tersedar dia sudah terlanjur senyum. “Saya nak bagi tahu Julia belum keluar hospital”.
Salim mengerut dahi. “Belum keluar?”
Nizam mengangguk. Salim bersandar pada kerusi. Kata pak su, Julia sudah sihat. Lagi beberapa hari boleh pulang. Tapi mengapa dia masih belum pulang?
“Kau tengok dia ke?” Salim menyoal.
“Tak. Saya tanya nurse”.
Salim menarik nafas. Jadi Julia masih belum keluar hospital? “Kau tahu kenapa dia belum keluar? Hari tu pak su kata dia dah sihat. Lagi berapa hari dah boleh keluar”.
“Tak tahu bos”.
Salim mengeluh. Dia jadi risau pula. Apa yang tidak kena dengan Julia? Ada apa-apa masalah dalamankah hingga Julia masih belum dibenarkan pulang?

*……………*

Dr.Hassan tersenyum memandang Julia yang sudah siap berpakaian kasual. Tudung satin gaya selempang berwarna hijau cerah bersama baju kurung pahang berwarna hijau gelap.
“Dah tak sabar nak balik ke?”
Julia mengangguk. “Dah tak sabar nak keluar dari sini pak su”.
Luqman memaut bahu Julia. Dahinya berkerut mendengar gelaran yang digunakan Julia. Namun dia diamkan saja. Bila tiba masa, Julia akan memberitahunya juga.
Anisah dan Amir maju ke hadapan. “Ju balik rumah umi dulu kan?”
Julia mengangguk. Terasa kelakar pula bila umi memberi soalan begitu. Senyum manis dikuntum buat umi dan abi yang memandang.
Seorang jururawat masuk bersama beberapa helai kertas di tangannya. Dr.Hassan menyambutnya dan sebuah fail dihulur pada Julia. “Ni untuk simpanan Cik Julia. Kalau ada apa-apa masalah yang berlaku, boleh rujuk dokumen dalam tu”.
Julia mengangguk. Luqman melihat jam di tangan. Sudah jam 6.00 petang. Mana Has ni? Katanya mahu datang menyambut kepulangan Julia bersama.
Pintu wad terbuka dan Has masuk. Luqman merenung wajah Has. “Kalau lambat lagi, memang tak sempatlah Has tengok muka Lia ni”.
Has mencebik. Langsung tangan abang yang memaut bahu Julia dialih dan Julia ditarik supaya dekat dengannya. “Abang lupa ke siapa yang rapat dengan Ju dulu?”
Luqman menggeleng-geleng. Membiarkan Has dengan sikap keanak-anakannya. Has menjelng Luqman. Sekilas dia terpandangkan seorang jururawat di belakang Dr.Hassan.
Rasa bagai pernah menemui jururawat itu. Bukankah dia gadis yang ‘beramah mesra’ dengan Nizam tempoh hari?
“Oklah. Dah selesai semua, Cik Julia bolehlah gerak sekarang” suara Dr.Hassan mengalih perhatian Has.
Semua mengangguk. Has menunggu semuanya meninggalkan bilik dan jururawat itu dipanggil. “Siapa nama awak?”
“Sabirah”. Jururawat itu tersenyum manis.
“Awak kenal Nizam ke?”
Sabirah mengerut dahi. Nizam? Nizam mana pula? Wajah Cik Mukrimah diteliti seketika. Jadi gadis tempoh hari yang mengintai gerak geri En.Nizam adalah Cik Mukrimah? Bagaimana dia boleh tidak perasan akan hal itu?
Has melayang tangannya di depan wajah Sabirah. “Sabirah. Sabirah. Awak dengar tak?”
Sabirah mengangguk. “Kenal dengan En.Nizam”.
“Hari tu awak dengan dia sembang…” Has diam. Ayatnya mati. Mengapa dia harus menyoal? Tidakkah tindakannya sekarang ini seperti isteri yang mencari tahu kecurangan suaminya?
“Dia cuma tanya saya fasal..”
Has mengangkat tangan dan menggeleng. Senyum diberi buat Sabirah,”Tak pe. Saya tak nak ambil tahu. Terima kasih ya”.
Dan dia berlari anak meninggalkan wad itu. Mengejar Julia yang sudah jauh di depan. Sabirah di dalam wad beku seketika. Kemudian dia tersenyum lebar.
Cik Mukrimah dan En.Nizam ini bermain tarik tali agaknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s