JULIA – BAB 69

Wajah pengurus banglonya dipandang. Wajah itu ditatap hingga pengurusnya tidak berani menentang matanya.
Mengapa tidak ada yang memaklumkan berita ini terlebih dahulu? Walau dia dikurung rapi oleh pengawal penjara, ada caranya untuk membuatkan dia tahu bahawa Nizam sudah tiada.
Dia sendiri buntu dengan apa yang berlaku. Tiba-tiba saja, pengawalnya mengatakan hari ini dia boleh menghadiri majlis pengebumian Nizam. Namun, dia hanya boleh berada di tanah perkuburan dan ditemani dua orang pengawal bersenjata.
Apa yang berlaku? Bagaimana Nizam boleh meninggal? Dia ada terdengar kata-kata yang mengucapkan Nizam meninggal kerana bergaduh dengan Tengkorak.
Tengkorak. Punya ketua yang bernama Shark. Memang merupakan musuh ketat Geng Helang Hitam. Namun mereka jarang bergaduh kerana masing-masing tidak masuk campur urusan. Kau kau, aku aku.
Pasti ada sesuatu yang berlaku hingga Nizam menyerang Tengkorak tanpa memaklumkan terlebih dahulu padanya. Walaupun dia berada di dalam penjara, tidak bererti dia bukan lagi ketua Geng Helang Hitam.
“En.Salim” pengawal yang memegang tangannya menegur.
Salim menunduk memasuki kereta polis yang akan membawanya ke tanah perkuburan. Wajah Zakuan dipandang dari dalam kereta. Dia akan menemui Zakuan nanti.
Zakuan melepas nafas melihat kereta polis berlalu. Pasti banyak yang harus diceritakan pada bos nanti. Sejujurnya, dia juga tidak tahu apa-apa.
Memang Helang Hitam dan Tengkorak bermusuhan sejak dulu. Tapi siapa yang tahu Nizam pergi berurusan dengan Tengkorak?
Semasa dia mula membangunkan banglo semula, memang dia telah memberitahu Nizam bahawa Tengkorak telah merampas dua pelanggan besar mereka iaitu Mr.Leong dari China dan Mr.Thiti dari Thailand.
Tapi ketika itu, Nizam mengatakan tidak perlu memberitahu bos kerana tidak mahu bos berat hati menjalani hukuman. Bimbang jika bos melarikan diri dari penjara, hukumannya akan bertambah dan dia tidak dapat keluar ke mana-mana kerana menjadi buruan polis.
Namun siapa sangka Nizam sendiri pergi masuk ke kandang harimau? Shark memang merupakan ketua yang kejam dan tidak berperasaan. Bahkan dia lebih kejam dari bos sendiri.
Sebenarnya Zakuan juga masih terkejut. Dia hanya mendapatkan panggilan telefon dari orang-orang Shark yang menyuruhnya datang ke motel di tengah bandar. Dia sendiri tergamam melihat Nizam terbaring berlumuran darah di jalan raya.
Nafas ditarik. Dia sudah menguruskan semuanya. Mayat Nizam akan ditanam di tanah perkuburan. Bos sudah pergi. Dia juga telah meminta Anas mengambil gadis yang dicintai Nizam itu dari rumahnya dan membawanya ke tanah perkuburan.
Dia juga harus pergi. Talkin telah diselesaikan malam tadi. Dia mengupah orang masjid untuk menyembahyangkan Nizam. Cuma dikebumikan pagi ini kerana semalam sudah lewat malam.
Enjin dihidupkan dan Zakuan memandu kereta ke tanah perkuburan.

*……………*

Nafas ditarik memandang tumbuh-tumbuhan hijau di laman rumah. Tumbuh-tumbuhan itu ditanam mama dan dibantu pembantu rumah semestinya.
Tudung yang tersarung dibetulkan. Matanya terpejam rapat dan air mata mulai mengalir. Nizam sudah tiada. Memang sudah tiada. Dia sendiri telah menonton berita awal pagi tadi.
Bila mendengar bunyi tapak kaki, Has langsung mengambil tisu di atas meja dan mengelap air matanya. Tidak mahu tangisnya dilihat orang.
“Cik muda”.
Has menoleh. Senyum diukir pada Wani yang menghulurkan segelas susu panas padanya. “Terima kasih Kak Wani”.
Wani memandang cik muda kesayangannya. Dia faham apa yang menimpa cik muda. Pasti cik muda sangat bersedih sekarang. Walau dia tidak tahu, bila masanya cik muda dan En.Nizam bercinta namun melihat keadaan cik muda sekarang sudah membuatkan dia menumpang kesedihan cik muda.
“Cik muda ok?” Wani menyoal lambat.
Has memandang dan tersenyum lebar. “Ok, kenapa tak ok pula?”
Wani diam. Wajahnya memandang ke arah pintu rumah. Julia dan Luqman muncul dari dalam. Mereka mengatur langkah ke arah Has yang bersendirian di laman.
Wani meninggalkan mereka bertiga di luar. Namun langkahnya terhenti bila terlihat sebuah kereta hitam berhenti di depan rumah.
Julia dan Luqman berpandangan. Kemudian sama-sama memandang Has. Wani turut memandang seketika. Dan langkahnya berlari anak membuka pintu pagar kecil.
“Ni rumah Cik Mukrimah kan?” seorang pemuda keluar dari kereta itu.
Wani mengangguk. “Ada urusan apa?”
“Boleh saya jumpa Cik Mukrimah?”
Wani menoleh ke arah laman sekilas dan berkata, “Tunggu sekejap ye”.
Has memandang bila namanya dipanggil Wani dari jauh. Menanti pembantunya itu datang dekat. “Cik muda, ada orang nak jumpa”.
Has membulatkan mata, “Siapa?”
Wani menggeleng. Sekilas kereta hitam itu dibayang, rasanya itu kereta sama yang digunakan Nizam dan Salim ketika mereka datang ke sini suatu ketika dulu. “Rasanya tu kereta yang En.Nizam pernah guna”.
Has mengerutkan dahi bila nama itu disebut. Anggukan diberikan dan dia mengikut langkah Wani ke pintu pagar.
“Saya Mukrimah” Has memandang pemuda yang menanti itu. Rasanya dia tidak pernah lagi bertemu pemuda ini.
“Cik Mukrimah, saya pemandu peribadi En.Salim. En.Zakuan minta saya bawa Cik Mukrimah dan juga Cik Julia ke tanah perkuburan. Mayat arwah En.Nizam tengah diiring. Mungkin akan kebumi pukul 8.30 pagi”.

*……………*

Zakuan menanti di pintu pagar tanah perkuburan itu. Jam tangan dipandang sekilas. Mana pula perginya Anas ini? Mereka akan memasukkan jenazah ke liang sebentar lagi tapi Anas masih belum tiba.
Kereta terlihat dari jauh. Zakuan melepas nafas lega. Senyum diberikan buat cik muda yang terlihat dari dalam kereta.
Julia memegang tangan Has dan sama-sama keluar dari kereta. Anas menunduk dan mempersilakan mereka. Sama-sama melangkah ke arah Zakuan yang menanti.
“Cik muda. Cik Mukrimah” Zakuan memberi tunduk hormat.
Keduanya tersenyum. Julia memandang ke dalam sekilas dan menyoal ,” Dah kebumi ke?”
Zakuan menggeleng. “Baru nak kebumi. Silakan”.

*…………..*

Dia yang digari tangannya mengerut dahi melihat Julia melangkah masuk bersama Zakuan. Bersamanya Anas dan juga seorang gadis yang kelihatan serupa. Kalau tidak silap, itulah Mukrimah adik pada Luqman.
Matanya tertuju pada Julia. Rindu benar pada gadis itu. Mereka langsung tidak pernah bertemu setelah Julia dibawa lari dari banglo. Dia sendiri berada di dalam penjara. Julia pula pasti sibuk dengan persiapan perkahwinannya bersama Luqman.
Mengapa Zakuan mengambil mereka? Ada kaitankah mereka dengan Nizam? Dia bingung sendiri memikirkan perkara itu.
Mahu bertanya juga tidak boleh. Dirinya terkawal rapi dengan dua orang pegawai polis di sisi. Zakuan juga. Mentang-mentanglah dia tergari seperti itu, apa juga tidak diberitahu.
Dr.Hassan di sebelah kirinya dipandang. Berharap dia mendapatkan jawapan dari pak sunya. Dr.Hassan memandang kembali. “Lim nak tanya apa-apa ke?”
Salim mengangguk. “Kenapa Wan ambil Ju dengan Mukrimah?”
Dr.Hassan mengerutkan dahi. Dia terangguk-angguk sendiri. “Mukrimah tu perempuan yang Nizam suka. Ju datang teman rasanya”.
Salim mengerut dahi. Perempuan yang Nizam suka? Sejak bila pula Nizam menyukai gadis itu? Setahunya, mereka tiap kali bertemu hanya bergaduh bagai anjing dan kucing. Bagaimana pula boleh terjadinya Nizam menyukai adik Luqman itu?
Nampaknya apa yang tidak diketahui bukanlah sedikit seperti sangkaannya.

*…………..*

“Awak ok?” Julia menyoal Has di sisi.
Has menguntum senyum. “Rasanya hari ni ramai yang tanya soalan tu kan?”
Julia mengangguk. Majlis sudah selesai. Hadirin juga sudah beransur pergi. Hanya tinggal beberapa orang yang akan pergi juga. Selainnya semuanya orang-orang Salim sendiri. Memakai kemeja hitam semuanya.
“Ju” Has memanggil.
“Ya” Julia menjawab lembut.
Has melepas nafas. “Rasa macam letih pula”.
Julia memaut bahu Has dan mencengkam erat. “Jom balik”.
Has mengangguk. Serentak itu, Anas datang pada mereka. Menjemput kedua gadis itu untuk masuk ke kereta, dihantar pulang.
Langkah diatur menuju ke pintu pagar. Anas tetap berada di hadapan mereka dengan berjarak sekira-kira lima langkah.
“Ju”.
Langkah Julia mati tika mendengar suara yang memanggilnya itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s