JULIA – BAB 70

Julia memaling tubuh. Wajah di hadapannya ditatap. Salim bersama dua orang pengawal di belakangnya. Dan di sisi Salim, terdiri Dr.Hassan.
Senyum diberi buat Dr.Hassan. Has yang baru memaling tubuh hanya memandang. Senyumnya nipis hingga kelihatan seperti tidak senyum langsung.
“Awak…” Julia memandang wajah Salim, ingin membuka kata-kata tapi tidak tahu apa yang harus dibicarakan.
Salim diam. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mengapa dia memanggil Julia tadi?
Dr.Hassan melihat saja. Entah bagaimana suasana janggal itu terjadi. Dia tahu Salim dan Julia banyak yang ingin diperkatakan. Lebih-lebih lagi Salim yang selalu menanti peluang untuk bertemu Julia. Tapi tika tiba masanya, keduanya membisu.
“En.Salim” salah seorang pegawai polis itu memanggil.
Salim mengangguk. Dia sudah melebihi masa keluar yang dibenarkan. Dia tahu. Langkah diatur maju. Meninggalkan Julia dan Has di belakang. Dr.Hassan menghantar hingga kereta polis.
Akan adakah lagi peluang bertemu Julia?

*………….*

“Macam mana tadi?”
Julia tersenyum pada suaminya. Kemudian sama-sama memandang Has melalui pintu masuk dan langsung meluru ke arah tangga.
Luqman menarik nafas. Tangan Julia ditarik ke arah sofa. “Jumpa Salim ke?”
Julia menarik nafas. Senyum lagi. Kepala dilentokkan ke bahu Luqman. Jemari Luqman digenggam erat.
“Abang Hakim … Nanti kita pergi tengok Salim boleh?”
Luqman diam. “Tengok Salim?”
Julia mengangguk. Kepalanya diangkat, memandang Luqman. “Lia rasa dia banyak benda nak cakap dengan Lia. Kita pergi boleh?”
Luqman mengangguk. Julia tersenyum. Bilalah agaknya masanya akan tiba?

*…………..*

Dia diam memandang meja di hadapan. Begitu juga bos. Diam, cuma bos memandangnya tidak memandang meja. Dari mana harus dia mulakan?
“Cepatlah cakap. Aku rasa banyak lagi benda yang kau rahsiakan” Salim memandang wajah Zakuan. Geram benar dia, sudahlah masih banyak yang harus dibualkan tapi Zakuan membisu pula. Kalau bukan kerana dia dikawal, pasti dia sudah mengamuk sakan pada Zakuan.
Zakuan mengangkat wajah. Liur ditelan. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan walau di kepala tersusun 1001 ayat.
“Dah bisu ke?” Salim menyoal.
Zakuan menarik nafas. “Shark rampas customer kita”.
Salim mengerutkan dahi. Shark rampas pelanggan mereka? Lalu apa masalahnya? Pelanggan mereka bukanlah terlalu sedikit hingga ‘rampasan’ Shark akan menyebabkan mereka jatuh miskin.
Zakuan bagai tahu apa yang bermain di fikiran bosnya. “Mr.Leong dan Mr.Thiti”.
Salim mengangguk. Patutlah. Memang Mr.Leong dan Mr.Thiti merupakan pelanggan besar bagi Geng Helang Hitam. Mereka berdua saja sudah mendatangkan untung jutaan ringgit.
“Shark main cara kotor. Kita dah cuba beli Mr.Leong dengan Mr.Thiti tapi tak berjaya”.
“Biasalah kalau Shark main kotor. Yang kau pun bodoh sangat biar Nizam pergi seorang tu kenapa?”
Zakuan menggeleng. “Tak de siapa yang tahu bila Nizam pergi”.
“Maksud kau?”
“Saya dah beritahu Nizam fasal Shark. Tapi Nizam kata jangan bagitahu bos. Dia takut bos bertindak luar kawalan” Zakuan memperlahankan suaranya. Bimbang tersalah kata.
Salim diam. Memang Nizam mengenalinya. Mengetahui maksud di setiap tindakan dan kata-katanya. Pasti Nizam memikirkan baik buruknya dahulu.
Jika dia tahu apa yang Shark lakukan, dia tidak akan diam di dalam bilik berpagar besi ini. Dan itu akan memberatkan hukuman dan menambah kesnya. Sedang kes sekarang juga masih belum selesai dibicarakan.
Nizam memang pembantu yang teliti. Barangkali ia mungkin juga disebabkan dia dan Nizam tumbuh besar bersama.
“Nizam pergi sendiri. Dia tak bawa orang. Masa saya kat gudang, orang Shark call suruh pergi tempat tu. Masa tu Nizam dah…”
Salim menggenggam penumbuk. “Baguslah. Kau ingat aku dalam ni aku bukan ketua kau orang?” suaranya meninggi.
Pegawai yang mengawal mengetuk pintu pagar besi beberapa kali. Menandakan Salim hampir melebih had. Dia harus ingat dia di dalam tahanan.
“Bos”.
“Apa bos bos?”
“Saya minta maaf”.
Salim mengetap bibir. “Kau tahu aku paling tak suka perkataan tu. Aku tak kira. Macam mana susah pun, kau kena balas dendam. Cari jalan untuk habiskan Shark secepat mungkin”.
Zakuan mengangguk. Senyum dihulur. “Saya janji”.
Salim mengangguk. Dia harus menuntut bela atas kematian Nizam. “Kau jangan lupa suruh Anas hantar En.Karim ke sini. Aku nak tahu kalau NiAm ada tinggalkan apa-apa permintaan”.
“Baik bos”.
Salim menarik nafas. Dia tiba-tiba teringat wajah yang dilihat di majlis pengebumian Nizam tempoh hari. “Apa kaitan Nizam dengan Mukrimah?”
Zakuan diam sebentar. “Saya pun kurang tahu. Rasanya Cik Mukrimah gadis yang Nizam suka”.
Salim diam. Bagaimana ia boleh terjadi? “Bercinta ke?”
Zakuan diam seketika. Dia juga tidak tahu apa yang terjadi di antara Nizam dan Cik Mukrimah sebenarnya. Akhirnya dia cuma menggeleng.
Pegawai di luar mengetuk lagi menandakan masa sudah tamat. Salim menarik nafas memandang Zakuan. Jika benar Mukrimah gadis yang disukai Nizam, pasti akan ada berita yang bakal En.Karim sampaikan.

*…………..*

Has tersenyum memandang Dato’ Norman. Long dress yang tersusun di atas meja dipandang. Tak cukup dengan itu ada pula beberapa blouse cardigan yang memang menjadi kegemarannya.
“Banyaknya papa beli”.
Dato’ Norman memandang Datin Mariah di sisi. Keduanya tersenyum. Mereka fikir mahu mengubat kesedihan hati puteri tersayang. Tapi kelihatan seperti tidak berjaya pula.
Luqman dan Julia senyum memandang papa. Dato’ Norman bagai terpinga. Nampaknya kesedihan Has bukanlah sedikit. Kerana selalu tiap kali dia bersedih, hadiah yang dibeli pasti dapat memujuk.
Has memandang Julia. “Baju ni separuh untuk Ju”.
Datin Mariah melangkah pada Has yang sedang membelek baju di meja. “Mukrimah pilihlah sama-sama. Ju, sini”.
Julia mengangguk. Langkah diatur menuju ke arah mereka. Namun bunyi loceng rumah mengalih perhatian.
Pembantu yang setia berdiri di pintu berlari anak keluar. Menyambut kehadiran tetamu. Berkerut dahi melihat wajah tak dikenali itu.
“Boleh saya bantu?”
“Saya Zakuan. Hari tu, saya ada datang sini”.
Pembantu itu tersenyum. “Boleh saya tahu En.Zakuan nak jumpa siapa?”
“Cik Mukrimah dan keluarga”.
Pembantu itu mengangguk. “Sekejap ye”.

*…………..*

Kesemuanya memandang Zakuan bersama peguam tak dikenali namanya itu. Dato’ Norman di sisi Datin Mariah. Dan Julia di sisi Has. Luqman pula duduk sendirian di sofa satu.
Zakuan tersenyum. “Kenalkan ni En.Karim. Peguam Sa-Nu”.
Tunduk hormat diberikan. “Saya nak bacakan wasiat En.Nizam. Tapi ada lagi seorang saksi tak ada”.
Has mengerut dahi. Wasiat? Wasiat apa yang Nizam tinggalkan? Dan siapa pula saksi yang dikatakan En.Karim? Sekilas, matanya memandang kotak yang dibawa Zakuan tadi. Apa agaknya tujuan Zakuan membawa kotak itu ke sini?
Datin Mariah memandang Dato’ Norman di sisinya. Sama-sama menarik nafas. Nampaknya pemuda bernama Nizam ini benar-benar menyayangi puteri mereka.
Seorang pembantu masuk dari luar. Di belakangnya tersenyum Dr.Hassan. Has menguntum senyum. Begitu juga yang lain.
Julia ketawa kecil. Namun hanya perlahan bimbang didengari Has sekaligus mengecilkan hatinya. Jadi saksi yang dikatakan adalah pak su. Nampaknya Nizam membuat pilihan tepat.
Setelah Wani beredar selepas menghidangkan air, En.Karim mengeluarkan sekeping sampul dari briefcasenya. “Kalau semua dah sedia, saya nak bacakan wasiat En.Nizam”.
Semuanya berdiam diri. Julia menggenggam erat tangan Has. Tangan sahabatnya itu benar-benar sejuk dan menggigil.
“Saya Nizam b. Abdullah menulis surat ini dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan sesiapa. Dengan ini, saya Nizam b. Abdullah menyerahkan semua peninggalan saya kepada Cik Mukrimah Muhasibah bt. Norman Hakim. Dengan bersaksikan semua ahli keluarganya dan Dr.Hassan bagi pihak saya. Apa yang akan diterima Cik Mukrimah ialah sebuah rumah banglo yang terletak di Brunei, sebiji kereta Peugeot yang menunggu masa untuk diambil dan wang tunai bernilai RM 300,000,000.00 ( tiga ratus juta ). Turut bersamanya adalah resort yang telah mula beroperasi tiga tahun lalu di Kedah dan sebuah kedai kek yang telah dibuka pada tahun 2008 di Sarawak. Di mana keseluruhan keuntungan kedua-dua resort dan kedai kek ini adalah milik saya 100%. Mulai detik ini, ia telah menjadi hak milik mutlak Cik Mukrimah Muhasibah sepenuhnya”.
En.Karim memandang wajah-wajah di hadapannya. “Ada bantahan?”
Semuanya menggeleng. Has terdiam. Mengapa perlu Nizam meninggalkan semua ini untuknya? Bukankah lebih baik dia menghadiahkannya kepada pertubuhan kebajikan?
Mata dipejam. Air mata lagi. Dia sudah bosan menangis. Namun air matanya tetap juga tidak berhenti mengalir. Terasa tubuhnya sangat letih akhir-akhir ini.
“Has” Julia memandang saat air mata Has menitis di atas tangannya.
Has membuka mata dan senyum dikuntum. “Saya ok”.
En.Karim menganggguk. “Kalau tak de bantahan, saya minta semua saksi tanda tangan di sini ikut nama masing-masing”.
“Boleh tak saya tak nak terima semua tu?” suara Has memecah kesunyian.
Seisi ruang tamu memandangnya. En.Karim tersenyum lebar. “Rasanya En.Nizam pun dah tahu yang Cik Mukrimah akan cakap macam ni”.
Has mengerut dahi. En.Karim menarik nafas, “Tak boleh. Macam mana pun, Cik Mukrimah kena tanda tangan surat pindah milik dulu. Sebab semua En.Nizam dah uruskan. Cuma tunggu tanda tangan Cik Mukrimah dan semuanya akan jadi milik Cik Mukrimah macam yang En.Nizam mahukan. Kalau tak, ia mungkin akan menyusahkan semua pihak yang terlibat”.
Has diam. Tiada lagi senyuman pada wajah. Apa lagi kejutan dari Nizam yang bakal diterima? Tahukah Nizam bahawa apa yang dilakukan Nizam hanya akan membuatkan dia bertambah sedih?
Julia memaut bahu Has. Has memandang dan menggeleng. Dia cuma berharap semuanya cepat berakhir. Dia mahu masuk ke bilik. Bersendirian.
Usai urusan mereka, En.Karim dan Zakuan meminta diri untuk beredar. Sempat Zakuan menghulurkan kotak yang dilihat Has padanya.
Katanya itu pemberian Nizam. Dan selepas membuka kotak itu, pasti Has akan menerima semua peninggalan Nizam seperti yang sepatutnya.
Datin Mariah memandang Has yang masih duduk di sofa memandang kotak yang dihulur Zakuan tadi. Anak gadisnya dipanggil.
“Mukrimah”.
“Has penat. Has masuk bilik dulu” nafas ditarik dan dia melangkah sambil memeluk kotak di hadapannya.
Datin Mariah ingin mengejar namun ditahan Julia. “Mama…Ju rasa, baik kita bagi Has waktu untuk bersendirian dulu”.
Datin Mariah menguntum senyum pada Julia dan mengangguk. Harapannya semoga Has dapat mengawal kesedihannya. Mudah-mudahan puterinya itu akan kembali seperti sedia kala.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s