JULIA – BAB 71

‘Buat Has..
Nak bahasakan Has apa eh? Saya sendiri pun tak tahu kenapa saya tulis surat ni. Rasa macam kelakar. Nak tergelak pun ada. Dulu bila tengok orang buat surat selalu gelakkan. Bila terkena batang hidung sendiri, lagilah gelak sakan.
Kalau saya nak bahasakan Has yang disayangi boleh? Awak jangan marah tau. Saya nak tulis semua yang saya tak boleh luahkan depan awak.
Awak tahu mula-mula sekali kita jumpa, saya memang sakit hati sangat. Terbakarnya masa jus oren tu tumpah atas kot saya. Tapi terima kasih kat jus oren tu juga, kita berjodoh.
Waktu tu saya rasa memang padan muka dengan awak. Sebab setiap kali awak buat saya sakit hati, saya akan balas dengan sakitkan hati Julia. Dan saya betul-betul minta maaf sebab hal tu. Saya tak de niat nak lukakan hati awak atau Julia sendiri.
Kalau awak nak tahu, awak mengubah saya. Dulu saya lain, tak macam yang awak kenal sekarang. Baru saya faham kenapa kehadiran Julia dapat mengubah bos 360 darjah.
Saya tak malu nak mengaku yang saya sayang awak. Nizam sayang Has. Nizam sayang Mukrimah Muhasibah. Dan walau awak tak cakap, saya tahu kita berkongsi rasa yang sama.
Saya hadiahkan rumah banglo kat Brunei untuk awak. Rumah tu ada pembantu yang tinggal. Sepasang suami isteri dengan dua orang anak. Kalau awak ada masa, awak pergilah tengok rumah tu.
Kereta Peugeot masih kat kedai. Saya tahu awak sayang dengan Iswara awak, tapi saya tetap nak hadiahkan Peugeot ni. Saya pilih sendiri. Tapi tak tahulah awak suka ke tak. Nanti awak bawa je resit ni tunjuk kat orang kedai.
Duit tu … Macam mana nak tulis? Saya tahu awak anak orang kaya, tak perlukan duit. Tapi saya tetap nak tinggalkan untuk awak. Sekurang-kurangnya bila awak guna duit ni, awak akan ingat saya. Awak jangan risau. Duit tu bukan hasil kerja haram yang say buat. Semua tu hasil titik peluh saya. Duit yang sah di sisi undang-undang.
Resort dengan kedai kek tu saya harap awak dapat terima. Resort tu untung lumayan. Kalau awak pergi, mesti awak akan suka tempat tu. Saya pilih lokasi terbaik kat Kedah tau. Kalau awak pergi senyap-senyap pun, orang akan kenal awak. Sebab saya dah kenalkan awak kat semua pekerja kat situ. Awaklah madam baru dia orang.
Kedai kek pun sama. Kedainya taklah besar mana. Tapi kemasukan sebulan adalah dalam RM 30,000.00. Kalau setahun, awak dah boleh buat macam-macam dengan duit tu.
Saya ada tuliskan alamat. Tapi kalau awak tak pergi sendiri, awak boleh minta tolong Wan bawakan. Dia mesti akan bawa awak pergi tengok resort dengan kedai kek tu.
Ada resit kedai barang kemas. Tu saya tempah cincin untuk awak. Saya harap awak suka. Nanti awak bawa resit tu cari pekerja nama Atikah. Dia akan uruskan semua untuk awak.
Fasal Sabirah hari tu, saya minta maaf. Saya tahu awak tengah intai, sebab tu saya saja-saja menggedik dengan dia. Tapi lumayan, sebab saya boleh tengok awak cemburu.
Kalau teringat, mesti senyum sendiri. Kenapa saya tulis surat ni, saya pun tak tahu. Saya rasa saya nak tulis surat ni untuk awak. Saya nak luahkan apa yang terpendam dalam hati.
Has…Has…Has…saya suka awak. Cincin tu saya tempah untuk buat cincin melamar. Memang saya tahu, awak akan tolak sebab dunia kita lain. Tapi saya tetap tempah juga.
Awak betul. Saya tak boleh keluar dari dunia saya macam tu je. Dan saya tak boleh tarik awak masuk dalam dunia kotor ni. Lagi pun, kalau awak masuk awak mesti dalam bahaya.
Nanti ucap maaf pada Julia dan Luqman. Saya bukan sengaja nak sakitkan hati Julia atau Luqman sendiri. Semoga abang dan kakak ipar awak bahagia hingga akhir hayat.
Akhir sekali, awak jaga diri baik-baik. Guna telekung dan Quran yang saya hadiahkan. Cuma tu yang saya boleh buat untuk awak. Saya minta maaf kalau kehadiran saya dalam hidup awak buat awak serabut.
Bibir ni dari tadi tak berhenti senyum. Rasa macam tengah tulis surat cinta. Ke ni memang surat cinta? Entahlah.. Kalau ada orang tengok, mesti dia sangka saya gila.
Lenguh dah tangan menulis. Waktu pun dah lewat malam. Tapi kenapa tak mengantuk? Macam mana pun, surat tetap kena berhenti tulis. Takut awak bosan pula kalau surat ni panjang sangat.
Oklah. Cik Mukrimah Muhasibah, saya minta diri ye. Harap-harap awak baca surat ni dengan senyum. Bukan dengan muka marah yang selalu saya nampak tu.’

Nafas ditarik perlahan. Mata dipejam, membiarkan air matanya tumpah. Bagaimana dia boleh membaca surat ini dengan senyuman?
Surat itu dilipat dan dimasukkan ke dalam sampulnya kembali. Telekung yang berada di dalam kotak diambil dan dipeluk erat. Nizam tetap menyediakan semuanya walau dia tahu ianya mustahil.
Esakannya mula kedengaran. Tangisannya tidak dapat dikawal lagi. Has menangis bagai anak kecil yang merengek meminta gula-gula bila teringat semua tentang Nizam.
Apa yang boleh dia lakukan? Semuanya sudah terlambat. Nizam sudah tiada. Tiada lagi Nizam untuk mendengar dia marah. Tiada lagi Nizam yang menjadi tempat dia melepaskan geram.
Air mata terus mengalir bersama esakannya. Sudah lama Has tidak menangis seperti ini. Namun kali ini, dia harus melepaskan semuanya. Supaya dia boleh kembali pada diri secepat mungkin.
Pintu bilik diketuk dari luar. Has memandang pintu yang tidak berkunci itu. Julia melangkah masuk dengan senyuman.
“Has…”
Has langsung memeluk tubuh Julia sebaik kakak iparnya itu duduk di sisinya. Terhinjut-hinjut tubuh Has menangis. Julia melepas nafas. Tubuh Has diusap dari belakang. Membiarkan Has menangis semahunya dalam pelukan.
Dia tahu Has sangat sedih ketika ini. Julia akui, Has memang hebat. Dia dapat membuatkan lelaki seperti Nizam berubah kerananya. Mana mungkin Julia dapat melupakan layanan Nizam padanya ketika di banglo?
Apatah lagi pertemuan pertama mereka. Walau pada Nizam, ia hanya gurauan semata-mata. Dia memang merasakan tubuhnya hampir dilahap lelaki itu. Kesuciannya hampir-hampir saja dirampas Nizam.
Tapi dengan Has, tindakan Nizam berlainan. Nampaknya aura dan tarikan Has memang kuat. Sehingga membuatkan Nizam seperti lembu dicucuk hidung pada mata Julia.
Sekarang..Nizam sudah tiada. Hanya tinggal Has saja. Bagaimana perasaan Has ketika ini dia hanya tahu namun dia tidak mengerti. Dia tidak tahu perit kehilangan orang tersayang kerana Luqman sentiasa berada di sisinya.
“Ju…dia buat semua untuk saya” Has melepaskan pelukan. Jemari Julia digenggam erat.
Julia mengangguk. Dia sudah lihat dan tahu betapa Nizam sayang pada Has. Senyum dikuntum buat Has. Has memejam mata dan melepas nafas. Bersama itu dia menangis lagi. Menangis semahu-mahunya. Melepaskan semua rasa. Janjinya dia mahu mengakhiri semua kesedihan hari ini, malam ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s