JULIA – BAB 72

Suasana kenduri hari itu sangat meriah. Ternyata ramai kenalan Dato’ Norman yang datang. Mengetahui anak sulung dari keluarga Hakim Legacy akan berkahwin hari ini, semuanya datang ke kenduri itu.
Kenalan Amir juga ramai. Maklumlah, pensyarah terkenal dari universiti. Walau pada awalnya, rancangan Dato’ Norman dan Amir hanya mahu membuat kenduri kecil-kecilan namun lain pula jadinya.
Mujur katering yang ditempah sudah menyediakan makanan lebihan untuk sebarang kemungkinan. Pembantu rumah juga ramai. Jadi ia tidaklah kelam-kabut sangat.
Julia senyum sendiri di dalam bilik. Nanti dia akan dipanggil untuk turun ke bawah. Tapi buat masa ini, dia diminta berehat di dalam bilik dulu. Luqman sudah turun lebih sejam lalu.
Pintu bilik terbuka dan Has masuk dengan senyum manisnya. “Morning, bride-to-be”.
Julia ketawa kecil mendengar kata-kata Has. “Bride-to-be? Dah jadi isteri orang pun. Mana ada bakal pengantin”.
Has senyum sendiri. Tangan Julia dicapai dan digenggam. “Seronok tak?”
Bahu diangkat. “Tak tahu nak cakap perasaan macam mana. Rasa tak getar tangan ni?”
Has mengangguk dan tersenyum. Genggam tangannya dieratkan. “Jomlah turun. Abang suruh Has ajak Ju turun sebenarnya”.

*………….*

Luqman tersenyum pada keluarga yang baru turun dari kereta. Wajah-wajah itu diperhati seorang demi seorang.
“Abang!!” seorang kanak-kanak lelaki berlari memeluk Luqman.
Luqman menyambut dan mendukung kanak-kanak itu. “Pijan sihat?”
Anggukan diberikan. Luqman tersenyum memandang Pak Tua dan Mak Tua di hadapan. Dan xcsepasang anak dewasa mereka.
“Luqman ke? Selalu dengar baba cerita. Baru jumpa hari ni” anak lelaki Pak Tua menghulurkan tangan dan mereka berjabat.
Pak Tua memandang. “Kenalkan, ini anak Pak Tua yang nombor dua. Namanya Dhuha. Yang daranya Nifah”.
Luqman tersenyum pada gadis yang dipanggil Nifah oleh Pak Tua. Mak Tua melihat-lihat sekeliling. “Julia mana?”
“Ya, abang. Kakak Julia mana?” Pijan menyoal di dalam dukungan Luqman.
Luqman mengangguk dan menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Barangkali Has sudah berada di ruang tamu.

*…………..*

Membulat matanya melihat tetamu yang sedang dilayani abang Hakim. Senyum terukir dan dia langsung berlari memeluk wanita tua yang sedang berbual dengan umi.
“Mak Tua!”
Mak Tua tersenyum lebar menampakkan dua baris gigi. Tangannya terletak kemas di pippi Julia. Air mata gadis itu dikesat.
“Bukankah hari ini hari bahagia kamu? Mengapa mengalir air mata?”
Julia mengesat air mata. Anisah menggeleng-geleng. “Ju, dah comot celak kat mata tu”.
Julia mengesat air mata. “Pijan mana?”
Saat itu, Pijan berlari ke arah Julia. Muncul entah dari mana Julia juga tidak tahu. Kanak-kanak itu langsung dipeluk.
“Lama aku tak bertemu kakak. Cantik kakak hari ini” Pijan tersengih.
Julia mengangguk. Dia memang gembira. Sangat-sangat gembira. Tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan untuk menggambarkan betapa gembiranya dia.
Dia dikenalkan dengan kedua anak Mak Tua yang tinggal di kota. Dhuha dan Nifah. Nifah berumur 25 tahun manakala Dhuha pula baru berumur 20 tahun dan masih menuntut di kolej.
Pak Tua dan keluarga juga dikenalkan dengan mama, papa, umi, abi dan juga Has. Nampaknya kedua buah keluarga dapat bergaul mesra. Dhuha juga mesra dengan Luqman.
Hanya Has yang membisu. Walau senyuman tak lekang dari bibir, namun hatinya tidak ikut senyum sekali. Melihat kegembiraan yang terpancar dari wajah semua, dia teringat pada dia. Nizam.

*……………*

Julia berlari anak menuruni tangga. Senyum diberikan buat umi yang sedang mengemas meja makan. Pasti abi telah berangkat ke universiti sejurus selepas sarapan.
“Ju nak keluar” Julia menghulurkan tangan menyalami umi. Luqman sudah pun ke pejabat sedari jam 7.00 pagi tadi.
Anisah tersenyum mencium kepala puterinya. Dia tahu Has sudah pun menunggu di luar. Dia juga harus ke membuka Juwita Aleeya jam 9.00 pagi nanti.
“Dah lama tunggu?” Julia menyoal Has yang memandu proton Iswaranya.
Has menggeleng. “Baru sampai. Malas nak masuk, tu yang tunggu kat luar ke”.
Julia mengangguk. Dia tiba-tiba teringatkan wasiat Nizam yang dibaca beberapa minggu lalu. Wajah Has dipandang.
“Kenapa?” Has menyoal. Merasakan ada sesuatu yang mahu Julia tanyakan.
Julia diam seketika. Tubuhnya dialihkan mengiringi Has. “Awak dah ambil kereta yang Nizam suruh ambil tu?”
Has menggeleng. “Belum lagi. Ju nak kereta?”
Julia mencebik. Tidak mahulah dia. Mengambil lesen memandu juga belum tentu dia lulus. Masih ingat ketika mereka berumur 19 tahun dan Has belajar memandu. Melihat gerak-geri Has juga sudah buat dia pening kepala.
Has ketawa kecil. “Ingat esok lusa nak ambillah. Lagi pun, En.Zakuan kata tak boleh tangguh. Surat pindah milik semua dah selesai. Nanti dah habis periksa, Has nak pergi tengok resort kat Kedah”.
Julia mengangguk-angguk. Kemudian dia ketawa kecil. “Busy betul kan? Ju tengok awak dah macam bussiness woman pula”.
Has melepas nafas. Dia gembira dengan keadaannya sekarang. Memang menyedihkan bila teringat akan Nizam. Namun sekurangnya Has tahu ini adalah apa yang Nizam mahukan.

*……………*

Atikah berlari anak keluar dari stor bila temannya mengatakan ada yang mahu bertemu. Dua orang gadis yang menunggu di kaunter dipandang. Dia mengatur langkah ke arah mereka dengan senyuman.
“Saya Atikah” Atikah mengenalkan diri.
Dua gadis itu tersenyum memandangnya. Atikah diam walau dia hairan, bagaimana dua gadis ini boleh menyebut namanya sedangkan mereka tidak saling berkenal?
Gadis yang memakai selendang lilit menghulurkan sesuatu padanya. Has menyambut dengan senyum. Resit itu dilihat.
Dia senyum sendiri. Jadi, dua gadis ini ada kaitan dengan En.Nizam yang menempah cincin tempoh hari. Siapa agaknya gadis yang namanya Mukrimah itu?
“Tunggu sekejap ye”. Atikah melangkah ke almari dan mencapai sekeping kertas yang berada di dalam sebuah sampul surat. Bersamanya diambil sebuah kotak cincin yang terletak kemas di dalam almari kaca tingkat paling bawah.
Wajah dua gadis itu dipandang. “Maaf, siapa Cik Mukrimah?”
Gadis yang menghulurkan resit tadi mengangguk dan tersenyum padanya. “Saya”.
Atikah menghulurkan dokumen tadi, meminta gadis bernama Mukrimah itu menurunkan tanda tangannya. Setelah itu, kotak cincin dibuka dan dihulurkan pada Mukrimah.
“Ni cincin yang En.Nizam tempah hari tu”.
Atikah melihat saja Mukrimah memandang cincin itu. Lama. Hingga akhirnya kolam mata mula ditakungi air mata.
Gadis di sebelahnya pula menjadi penenang perasaan. Atikah melihat gadis itu memaut bahu Mukrimah dan mengusap belakangnya.
“Saya ok” Mukrimah tersenyum memandang teman di sisi. Temannya itu pula mengangguk-angguk dan mengukir senyuman manis. Mukrimah mengesat air matanya dan menarik nafas dengan pejaman mata.
Dalam diam Atikah mengukir senyum. Nampaknya pilihan Nizam memang tepat. Gadis bernama Mukrimah dan juga cincin yang ditempah. Dia berjaya membuatkan gadis kesayangannya terharu hingga mengalirkan air mata.
“Terima kasih Atikah”.
Atikah menguntum senyum. Hanya melihat gadis berdua itu berpimpin tangan keluar dari kedainya. Bertuahnya gadis bernama Mukrimah itu kerana mendapat bakal suami sebaik dan sepenyayang Nizam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s