JULIA – BAB 73 (Akhir)

Dia mengerut dahi melihat isteri yang tersenyum dari tadi. Isterinya pula hanya senyum, senyum dan senyum. Entah apa yang menggembirakan isterinya, dia tidak tahu.
“Ada apa-apa ke?” Luqman menyoal Julia yang duduk berlutut di hadapannya.
Julia menguntum senyum manis. Sebuah kotak kecil yang terletak kemas di sisinya dihulur pada Luqman. “Hadiah”.
Luqman mengerutkan dahi. Apa yang tak kena dengan isteri tersayangnya hari ini? Ada sedikit yang berlainan dengannya. Kotak itu dibuka perlahan. Rebennya ditanggalkan.
Julia menanti penuh kesabaran. Hanya melihat Luqman menarik reben dan membuka kertas pembalut hadiah. Senyum tidak lekang dari bibir.
“Stokin baby?” Luqman memandang.
Julia sengih. “Suka tak?”
Luqman mengerutkan dahi. Mengapa stokin baby yang diletak di dalam kotak kecil itu? Atau..jangan-jangan..
“Lia mengandung?”
Julia tersenyum lagi. Anggukan diberikan. Perlahan tangannya menyentuh perut. Wajah Luqman ditatap.
Luqman langsung turun dari katil dan duduk di sisi Julia. Tubuh itu dipeluk erat. Gembiranya hingga tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Dia akan menjadi seorang ayah dan Julia akan menjadi seorang ibu.
Dia akan menjadi ayah yang baik. Membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Bukankah punya anak sendiri merupakan impian setiap pasangan suami isteri?

*…………..*

Langkah diatur beriringan menuruni tangga. Wajah yang menunggu di ruang tamu dilihat memberi senyuman padanya.
Luqman mendahului dan memimpin Julia ke arah tetamu. Malam tadi, Dr.Hassan menelefon Julia memberitahu Salim ingin bertemu. Jadi, pembantunya akan datang mengambil mereka paginya.
“Selamat pagi cik muda” pemuda itu memberi tunduk hormat.
Julia memandang dan tersenyum. “Johan”.
Johan mengangguk. “Anas tengah tunggu kat luar. Boleh kita pergi?”
Serentak itu, Has muncul dari dapur membawa sebuah jag air mawar di tangannya. Luqman dan Julia tersenyum memandang.
Julia memandang Johan semula. Dia teringat sesuatu. “Johan ganti tempat Nizam ke?”
Johan mengangguk. Sekilas dia memandang wajah adik ipar cik muda. Satu banglo sudah tahu bahawa dia adalah bakal isteri En.Nizam.
Has hanya menguntum senyum. Mendengar nama Nizam membuatkan hatinya bergetar. Nafas ditarik. Dia mahu ke kubur, mendoakan Nizam dan menghadiahkan Yasin padanya.
“Has nak pergi kubur ke?” Luqman menyoal.
Has mengangguk. “Has pergi dulu”. Dan dia melangkah keluar bersama air mawarnya. Menuju ke arah Peugeot berwarna hijau epal yang baru diambilnya semalam.
“Silakan” Johan memberi laluan pada Julia dan Luqman.
Julia menguntum senyum dan melangkah keluar. Luqman dan Johan mengikut dari belakang.

*……………*

Dr.Hassan menarik nafas mendengar kata-kata Salim. ‘Lim rindu Ju’.
“Lim tahu tak Ju…” ayat Dr.Hassan mati. Tidak tahu bagaimana untuk memberitahu pada anak saudaranya bahawa Julia telah menjadi isteri Luqman yang sah.
Salim mendiamkan diri. Dia akan tinggal di dalam ini untuk 10 tahun yang akan datang. Itu adalah kata akhir dari hakim hasil perbicaraan kelmarin.
Menurut En.Karim, itu pun sudah dikira hukuman yang paling ringan buat Salim. Kerana kesalahan yang disabit adalah mengedar dadah serta menyeludup dan menjual senjata haram.
“Pak su minta Lim jaga diri dalam ni elok-elok. Pak su nak ke China, mungkin setengah tahun kat sana. Jadi tak boleh nak jenguk Lim”.
Salim mengangguk. Mahu tidak mahu itulah satu-satunya pilihan yang dia ada. Dia juga merasakan dia patut berehat seketika. Dia sudah terlalu penat dan letih selama ini.
“Pak su”.
Dr.Hassan mengangkat wajah. Salim dipandang. “Pak su rasa mungkin hari ni Ju datang. Nanti Lim cakaplah apa Lim nak cakap dengan dia”.
Salim diam seketika. Julia akan datang melawatnya? Senyum terukir. Bagaimana agaknya keadaan mereka nanti?
“Pak su balik dulu” Dr.Hassan meminta diri. Terubat hatinya melihat senyuman Salim. Harapannya semoga Salim dapat menyesuaikan diri di dalam ini.

*…………….*

Julia memandang luar bila mendengar bunyi tapak kaki melangkah. Salim muncul dengan dua orang pengawal di sisinya.
Julia tersenyum nipis. Salim memandang. Garinya dibuka oleh pengawal dan pintu pagarnya dikunci. Namun langkahnya mati saat melihat wajah Luqman di sisi Julia.
Terlupa pula dia Julia sudah berpunya. Luqman membetulkan duduk. Wajah Salim dipandang sekilas. Namun hanya seketika. Dan dia memandang Julia.
Julia tersenyum. Terasa janggal pula bila dua lelaki ini bertemu. “Kenalkan. Ni Luqman. Luqman. Salim”.
Salim mengangguk. Mengapa Julia membawa lelaki ini bersama? Merosakkan ‘mood’ sahaja. Wajah Luqman dipandang. “Tunang awak kan?”
Luqman membisu. Mengapa jadi begini pula? Perasaannya lain dari sewaktu mereka bertemu untuk menjalankan kerjasama Sa-Nu dan Hakim Legacy. Dan, mengapa mereka harus berpura-pura tidak mengenali satu sama lain di hadapan Julia?
Julia memandang Luqman sekilas dan memandang Salim kembali. “Luqman .. Luqman suami saya”.
Salim terdiam. Wajah Julia dipandang lama. Suami? Bererti Julia dan Luqman sudah punya ikatan yang sah? Mereka sudah berkahwin. Julia kesayangannya telah mengahwini lelaki lain.
Julia diam. Wajahnya menunduk. Sudah dia jangka Salim akan terkejut dengan berita itu. Bererti, tidak ada yang memberitahu Salim perkara itu baik Zakuan mahupun Dr.Hassan.
Luqman diam. Dia sedar akan apa yang terjadi. Pasti Salim kecewa mendengar berita itu. Tapi apa yang boleh dilakukan?
Salim menarik nafas sedalamnya. Air mata yang hampir mengalir ditahan agar tidak menitis. Kalau kerana Julia, mudah benar air mata lelakinya jatuh. Sedangkan selama berbulan-bulan dia dalam penjara, tiada walau setitis air matanya yang jatuh menitis.
“Tahniah” ucapnya perlahan.
Julia mengangguk. “Saya mengandung 3 bulan”. Entah mengapa, dia merasakan berita itu patut dimaklumkan pada Salim.
“Mengandung?” Salim mengangguk. Senyum cuba diukir namun tidak berjaya. Nampaknya, Julia langsung tak pernah terusik kerananya. Hatinya hanya pada Luqman seorang.
“Awak sihat? Lagi berapa lama dalam ni?” Julia menyoal. Mencari topik untuk dibicarakan.
Salim memandang. “Sihat. Kalau ikut keputusan perbicaraan semalam, penjara 10 tahun”.
Julia mengangguk. “Saya harap awak selesa dalam ni”.
Salim diam. Bila ada Luqman bersama, apa yang bermain di fikirannya langsung tidak sama dengan apa yang diucapkan. Banyak yang ingin dikatakan, tapi semua tidak terkeluar.
Julia menarik nafas dan melepas nafas. Dia bingung pula. Rasanya banyak yang ingin dibualkan. Namun mengapa suasana sepi begini?
“Pak su kata dia nak pergi China” Julia teringat kata-kata Dr.Hassan ketika menghubunginya malam tadi.
Salim mengangguk. Melihat wajah Julia sudah cukup mendamaikan hatinya. Namun berita yang diberikan Julia adalah pedang yang menusuk jantungnya. “Julia”.
Keningnya dijongket. Menunggu kata-kata Salim yang seterusnya.
“Pernah tak … walau sedetik, cuma sedetik. Awak pernah rasa suka kat saya walau pun sedetik?”
Luqman sudah tidak senang duduk namun dia diam saja. Padanya jika Salim menyoal hal itu, samalah seperti tidak menghormati kehadirannya sebagai suami Julia.
Julia terdiam. Fikirnya Salim sudah lupa akan hal itu. Dia sendiri sudah melupakan apa yang Salim lakukan padanya. Kata-kata umi benar.
Apa yang sudah berlalu, biarkanlah ianya berlalu. Jangan dikenang kembali. Kita hidup pada masa kini dan menyusun masa depan yang masih belum diketahui bagaimana. Bukanlah untuk masa lalu yang tak dapat diulang.
“Maaf”.
Nafas dilepas. Air mata yang ditahan jatuh juga akhirnya. Mata dipejam lama. “Saya faham”.
Luqman diam di tempatnya. Hanya menjadi penonton setia. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada Julia sepanjang Julia dalam tahanan. Dia tidak tahu bagaimana dalamnya perasaan Salim pada Julia. Jadi, dia tidak punya hak untuk mencampuri urusan mereka.
Julia diam. Sudah lama dia tak berperasaan begini. Kecewakah Salim dengan ucapan maafnya?
“Awak tak perlu datang lepas ni. Saya jamin saya akan hidup sampai anak awak dewasa” Salim mengucap dalam hibanya. Wajahnya cuma menunduk.
Julia membisu. Tidak tahu apa yang harus diucapkan. Akhirnya anggukan diberi tanda setuju. Persetujuan dicapai.
“Kalau ada masa, awak jenguklah mak cik Nafisah. Dia rindu sangat dengan awak. Awak boleh minta Johan susunkan”.
Julia mengangguk. Dia juga rindu pada mak cik Nafisah. Mak cik yang banyak menjaganya dan menjadi penghibur hati ketika dia bersedih.
Salim teringat pada Mukrimah tiba-tiba. Langsung wajahnya diangkat, memandang Julia. “Mukrimah ok?”
Julia mengerutkan dahi. Mukrimah? Has? “Ok”.
“Cakap dengan dia, saya minta maaf atas apa yang berlaku pada Nizam. Saya pun tak tahu apa yang terjadi”.
Julia mengangguk lagi. “Saya minta maaf”.
Luqman memandang Julia sekilas. Mengapa ucapan maaf perlu diberikan? Salim menggeleng. “Awak tak salah. Saya yang salah. Baliklah, Julia”.

*…………..*

‘Semua yang saya buat bukan sebab nak tutup rasa bersalah saya pada Julia. Saya buat semua ni sebab saya sukakan awak. Saya sukakan Mukrimah Muhasibah. Saya tak faham kenapa bos tunduk sangat dengan Julia. Sampailah saya jumpa awak. Awak buat saya sedar. Bila kita dah sayangkan seseorang, kita tak nak orang tu marah. Kalau boleh semua yang dia nak kita nak tunaikan. Semua yang buat dia gembira, akan buat kita gembira juga’.
Air matanya menitis mengingat semula kata-kata itu. Nafas ditarik dan mata dipejam. Membiarkan air mata mengalir membasahi pipi.
Nisan disentuh dan dia tersenyum sendiri. Has mengetap bibir. Air matanya dikesat.
‘Seandainya awak masih hidup, saya akan buat awak tahu betapa saya hargai awak. Terima kasih sebab buat saya rasa bahagia. Semoga awak ditempatkan di sisi Nya. Nizam Abdullah’.

*……………*

“Kenapa Lia diam je?”
Julia menarik nafas. Luqman yang sedang memandu dipandang.
“Abang Hakim”.
Luqman memandang sekilas. Apalah agaknya yang difikir Julia? Sejak mereka pulang dari melawat Salim, Julia hanya membisu.
“Apa yang Lia fikir ni?”
Julia mencebik bibir. “Kalaulah..kalau Lia tak kena culik dengan Salim, agaknya apa yang jadi?”
Luqman ketawa kecil. Ada-ada saja. “Apa yang Lia nak tahu?”
Julia ketawa kecil. Bahunya diangkat. Apa yang difikirkan? Kalau Salim tidak menculiknya, apakah dia akan berada di sisi abang Hakim seperti sekarang?
Jika dia tidak hilang ketika itu, agaknya bagaimana keadaan mereka sekarang? Dia dan Salim saling tidak mengenal. Lalu Has dan Nizam bagaimana? Apa cereka mereka agaknya?
“Lepas saya habis belajar, saya akan tetap masuk meminang Lia. Jadi, macam mana pun di akhirnya Lia tetap akan jadi suri hidup saya” Luqman tersenyum sambil mematikan enjin keretanya.
Baru Julia sedar mereka sudah tiba di rumah abi. Dia melepas nafas. Senyum diberi pada Luqman yang sudah membuka pintu kereta untuknya.
“Silakan, sayang”.
Julia memaut lengan abang Hakim. Kata-kata abang Hakim benar. Walau apa yang berlaku, abang Hakim akan mencari jalan untuk menjadikan dia suri hidupnya.
Itu sudah cukup buat Julia. Semoga apa yang berlaku semua ada hikmahnya. Harapannya semoga bahagia ini berkekalan hingga akhir hayatnya. Amin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s