DILARANG NIKAHI AKU – 03

“Papa”.
Suraya terdiam. Suara papa tadi membuktikan papa marah padanya. Tapi, dia tidak salah. Dia cuma menyuarakan apa yang tersirat di hati.
Zamri mendengus. Langkah diatur mendekati Suraya. “Minta maaf dengan opah”.
Suraya mengerutkan dahi. “Su tak salah. Su tak nak”.
Zamri membulatkan mata. “Papa kata minta maaf dengan opah sekarang”.
“Tak nak” Suraya bertegas.
“Suraya Hanisah” Zamri menegaskan suaranya.
“Su tak salah. Su cakap benda betul. Opah manjakan Beel. Papa pun sama, semua Beel je”.
“Suraya!”
Suraya menjeling papanya. Lantas langkah diatur menaiki tangga, membentak. Zamri memandang Puan Sri Normah dan Beel yang setia menjadi penonton.
“Ibu, Zam minta maaf fasal Su tadi”.
Puan Sri Normah mengangguk. Dia memandang Beel. “Jomlah, Beel. Malam ni opah nak tidur dengan Beel”.
Beel senyum dan mengangguk. Lantas mereka berpimpin tangan menaiki tangga. Zamri hanya memandang. Memang maklum ibunya kurang menggemari sikap Suraya yang kuat cemburu itu.

##########

Zamri yang berada di pintu keluar bilik air memandang Sakinah yang baru masuk ke bilik tidur. Lampu bilik air ditutup.
Sakinah memandang suaminya sekilas. Mempamerkan rasa tidak puas hati kerana memarahi puteri mereka.
“Puteri you tu dah ok ke?” Zamri menyoal sambil melangkah ke arah katil.
Sakinah membisu. Langkah menghala ke cermin dan dia duduk. Namun, tubuhnya tidak menghadap cermin sebaliknya menghadap katil.
“You ni betul-betul sayang ke dengan anak kita?”
Zamri mengeluh. Mulalah tu. Ada saja drama yang mahu dimainkan isterinya ini. “Sayanglah. Kalau tak, buat apa I besarkan dia. Jaga dia. Apa yang you nak cakap ni?”
“You marah anak kita macam tu sekali. Manalah dia tak merajuk” Sakinah merungut.
Zamri memandang wajah isteri. “Sakinah, you tahu tak orang yang Su tengking tu, ibu I. Opah dia sendiri. Memang patutlah kena marah”.
“Tapi you marah dia depan Beel” Sakinah membantah.
“Apa kena-mengena dengan Beel pulak ni?” Zamri sudah membuat muka bosan. Mengapalah isteri dan anaknya sangat tidak sukakan anak saudaranya itu?
“Kena-mengena? Zam, you tahu kan yang Su tak suka Beel?”
“Habis kenapa? I marah dia sebab dia kurang ajar dengan ibu I. Beel tak de kena-mengena”.
Sakinah mendengus. “I dah tahu dah. You dengan ibu, sama je. Dua-dua lebihkan Beel. Semua Beel. You sedar tak anak kita Suraya bukan Nabilah”.
Zamri menggeleng-geleng. Malas mahu melayan marah isteri yang tiada hala tuju. Lantas dia membaringkan diri. Melepaskan letih kerana seharian bekerja.
“Orang cakap buat tak dengar. Rasanya, waktu arwah Zahid hidup lagi, you bukannya rapat pun dengan adik you tu. Mesti sebab Nirmala kan?”
Zamri langsung duduk bila nama itu disebut. Mengapa Sakinah perlu membangkitkan soal itu lagi? “Apa ni Sakinah?”
“You sayang sangat dengan Beel sebab dia anak Nirmala kan? You ingat I tak tahu yang you dengan Zahid memang rebutkan Nirmala sejak sekolah menengah lagi. Nirmala je yang tak hairankan you sebab dia sayangkan Zahid” Sakinah membuka semula cerita lama.
Zamri menarik nafas dan menutup lampu tidur. Langsung dia berbaring semula dan selimut ditarik menutupi wajah. Sakinah membaling sikat yang dipegang ke atas meja, geram dengan sikap Zamri.
Nirmala dan Nabilah. Nirmala adalah rakan sekelas adiknya, Zahid. Dia tertarik dengan Nirmala sejak kali pertama Nirmala bertandang ke rumah untuk menghadiri ulang kaji berkumpulan di rumahnya.
Dia langsung tidak tahu bahawa Nirmala sukakan Zahid. Fikirnya mereka sekadar berkawan kerana keduanya tidak menunjukkan tanda apa-apa. Dia sendiri mengekalkan status kawan dengan Nirmala sehingga usia mereka sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga.
Dia melamar Nirmala namun Nirmala menolaknya. Katanya dia sudah punya pilihan hati. Yang mengejutkan, bila Zahid mengajak ibu masuk meminang Nirmala. Langsung tidak bertanya pada yang empunya badan.
Namun bila pinangan Zahid diterima Nirmala, tahulah Zamri siapa yang menjadi pilihan hati Nirmala. Dia sendiri menanggung kecewa.
Setelah itu, keluarga mengaturkan perkahwinannya dengan Sakinah. Dia menerimanya dengan alasan mahu membuatkan Nirmala menyesal kerana menolaknya dan memilih Zahid.
Tapi sebaliknya yang berlaku. Nirmala langsung tidak ambil kisah. Dia benar-benar berbahagia dengan Zahid. Nirmala malah mendoakan kebahagiannya dengan Sakinah.
Memang dia akui, wajah Beel ada iras-iras Nirmala. Namun, yang lebih sama adalah sikap mereka yang ceria dan sentiasa membuat orang sekeliling merasa senang.
Bukan dia tidak sayangkan Suraya, dia cuma lebih tertarik dengan Nabilah anak saudaranya itu. Sikap Suraya yang kuat cemburu dan ‘queen control’ juga kadang-kala menjengkelkan.
Berbanding Beel yang hanya suka bermain, pastilah Beel yang sering membuat orang tersenyum. Sekalipun kenakalannya memeningkan kepala, Beel tahu bagaimana mahu menghiburkan kembali orang yang marah padanya.
Zamri memejam mata. Malas mahu berfikir apa-apa lagi. Yang penting, dia mahu berehat. Tidur secukupnya.

##########

Haikal terjaga dari tidur. Dahinya berkerut. Bagaimana ia boleh terjadi?
“Apa dah jadi dengan aku ni?”
Haikal mengeluh. Kepalanya tergeleng-geleng mengingat mimpi tadi. Bagaimana dia boleh bermimpi tentang gadis yang ditemui di lapangan terbang tempoh hari?
“Adoi” Haikal menjerit sendiri. Dia mendudukkan diri yang tadinya terbaring.
Mimpi tadi diingat semula. Mimpinya dia di hadapan cermin sedang bersiap untuk pergi kerja. Dan datang seorang wanita membantu dia memakaikan tali leher.
Awalnya dia tidak melihat wajah gadis itu. Ketika gadis itu mengangkat wajah memandangnya, dia terkejut sendiri.
Keluhan dilepaskan lagi. Apa maksud mimpi itu? Dan mengapa dia bermimpikan gadis itu? Siapa gadis itu sebenarnya?

###########

Haikal memberhentikan kereta di hadapan villa yang tertulis Villa An itu. Nafas ditarik dan dilepas. “Tenang Kal. Tenang. Tarik, lepas. Tarik, lepas”.
Loceng ditekan. Dan pintu pagar terbuka. Haikal mengerut dahi. Begitu mudahkah mereka membuka pintu walau belum ada yang memeriksa siapa yang datang?
Nyata sangkaan Haikal salah. Seorang wanita berlari anak menuju ke arah pagar yang terbuka. “Encik nak jumpa siapa?”
“Saya Haikal. Cucu atok Hussin” Haikal mengenalkan diri.
Wanita itu memberi senyuman. “Silakan masuk”.
Haikal mengangguk dan kembali masuk ke keretanya. Lantas kereta dipandu memasuki garaj Villa An.
Puan Sri Normah memandang pemuda yang mengikut pembantu rumah dari belakang. Pembantunya, Irah meminta diri untuk ke dapur menyediakan air buat tetamu.
“Assalamualaikum” Haikal memberi salam. Pasti wanita tua di hadapannya ini yang dikatakan Puan Sri Normah. Isteri pada Tan Sri Abdul Hamid yang merupakan teman baik atoknya.
Puan Sri Normah tersenyum. Salam dijawab perlahan. “Jemput duduk”.
Haikal mengambil tempat. Matanya melilau melihat keadaan ruang tamu villa itu. Cantik. Memang cantik dan klasik.
“Hazan tak datang sekali?”
“Papa balik Kuwait. Ada masalah sikit kat sana”.
Puan Sri Normah mengerutkan dahi. “Bukan baru sampai Malaysia beberapa hari?”
Haikal mengangguk. Ada kekecohan yang berlaku di syarikat menyebabkan papa terpaksa balik. Mama tidak mungkin dapat menanganinya sendirian.
Puan Sri Normah mengangguk-angguk memahami. “Banyak kerja lah tu. Ni Haikal datang seorang?”
Haikal mengangguk. “Papa memang nak datang sekali. Tapi ada kecemasan. Papa baru terbang pagi tadi”.
Puan Sri Normah menguntum senyum. Apa lagi yang harus dibicarakan? Dia sendiri tidak tahu bagaimana harus memulakan soal Haikal dan Suraya.
Haikal diam. Dia memandang Puan Sri Normah dan Puan Sri Normah memandangnya. Keduanya membisu. Haikal sendiri tidak tahu bagaimana harus memulakan perbualan.
Sejujurnya, papa yang menyuruh dia menemani papa datang. Namun panggilan dari Kuwait yang tidak dapat dielak mengubah rancangan. Papa tidak membenarkan dia membatalkan rancangan kerana kedatangan mereka sudah dimaklumkan pada Puan Sri Normah.
“Haikal dah jumpa Suraya?”
Haikal terdiam mendengar soalan itu. Apa yang boleh dia jawab? Hasratnya biarlah ianya tidak menjadi topik pertemuan hari ini, tapi lain pula yang berlaku.
“Dah pernah tengok muka Suraya?” Puan Sri Normah menyoal lagi, mahu mengetahui apa sebenarnya pendapat Haikal tentang Suraya.
“Papa ada bagi gambar. Tapi, jumpa empat mata tak pernah lagi”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Haikal setuju dengan perkahwinan macam ni?”
Haikal mengerutkan dahi. Perkahwinan macam ni? Perkahwinan bagaimana yang dimaksudkan Puan Sri Normah?
“Setahu opah, anak zaman sekarang tak suka perkahwinan yang dicatur kan?”
Haikal mengangguk. Mengiakan kata-kata Puan Sri Normah. “Betul. Tapi kenapa puan sri tanya saya macam tu?”
Puan Sri Normah ketawa kecil. Sudah lama dia tidak dipanggil dengan gelaran sebegitu. “Panggil opah je”.
Haikal mengangguk tanda setuju. Puan Sri Normah memandang. “Haikal setuju bila nak dikahwinkan dengan Suraya?”
Haikal mengangguk. Kata papa, samada dia mahu atau tidak dia harus kelihatan yakin di hadapan Puan Sri Normah. Biar Puan Sri Normah tidak berat hati kerana cucunya hanya 2 orang, pastilah dia sangat menyayangi mereka.
“Baguslah kalau setuju. Opah tak nak Haikal kena paksa”.
Haikal senyum nipis. Kena paksa? Papa sendiri tahu dia sudah tiada niat untuk mencari calon isteri, kerana itulah papa beria mencari Suraya Hanisah setelah wasiat atok dibacakan.
Mengapa dia sudah tawar hati mencari calon isteri? Semuanya kerana dia. Kerana dia seorang. Kerana gadis bernama Siti Aliza. Arwah Siti Aliza.
“Opah kalau boleh … Nak minta tolong boleh?”
Haikal mengangkat wajah. Minta tolong? “Boleh”.
Puan Sri Normah menarik nafas. “Suraya tu dia tak suka hidup dia dicatur orang. Kalau boleh, semua dia nak putuskan sendiri. Jadi, opah nak minta Haikal ….”
Haikal diam menanti ayat seterusnya dari Puan Sri Normah. Puan Sri Normah kemudiannya menyambung, “Boleh Haikal buat semuanya macam semula jadi? Opah minta kalau boleh Su tak tahu langsung yang Haikal ni pilihan keluarga”.
Haikal diam. Semuanya macam semula jadi? Jadi, dia harus menemukan Suraya di luar dan berkenalan. Rupanya, keluarga mereka sudah saling berkenal.
Dan konon Suraya dan dia saling jatuh cinta kemudian dia masuk meminang Suraya. Mereka pun berkahwin. Begitukah yang dimaksudkan opah?
“Boleh?” Puan Sri Normah menyoal lagi.
Haikal senyum dan mengangguk. “Insya-Allah. Saya akan buat yang terbaik”.
Puan Sri Normah tersenyum lega. Moga-moga apa yang dikatakan Haikal seiring dengan perbuatannya nanti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s