DILARANG NIKAHI AKU – 04

Dia mengundur kereta setelah memastikan tiada kereta yang lalu di belakang. Namun, entah dari mana muncul sebuah proton Saga SV dari belakang. Kerana dia tidak sempat membrek, maka keduanya pun berlanggar.
Suraya mendengus. Lantas tali keledar dibuka dan dia turun dari keretanya. Nafasnya turun naik melihat bumper yang sedikit rosak.
Seorang lelaki turun dari Saga SV. Langkah diatur mendekati Suraya. “Saya minta maaf, cik. Saya betul-betul tak sengaja”.
Suraya mengangkat wajah, memandang lelaki itu. Dahinya berkerut menahan marah. “Awak muncul dari mana? Tiba-tiba je meluru”.
Lelaki itu menunduk lagi, memohon maaf. “Saya betul-betul tak sengaja, cik”.
Suraya senyum paksa. Mahu marah pun apa guna. Ia sudah pun berlaku. “Habis nak buat macam mana ni?”
“Saya boleh bayar ganti rugi kalau cik nak”.
Suraya diam. Hal wang bukanlah masalah. Masalahnya adalah dia malas mahu menghantar kereta ke bengkel. Lagilah, bila memikirkan harus menaiki Alphard bersama Beel tiap pagi untuk ke kerja.
“Boleh tak?”
Suraya mengerutkan dahi. Hanya berdiam diri. Pintu kereta Saga SV itu terbuka. Lelaki di hadapannya dan Suraya sama-sama memandang ke arah kereta.
“Syakir” lelaki itu memanggil.
Syakir mengangkat wajah memandang Haikal yang mendekat. “Teruk ke?”
Suraya menarik nafas. “Macam ni lah, encik”.
Haikal dan Syakir memandang empunya suara. Haikal mengerut dahi. Bagai pernah kenal wajah ini. Siapa ya?
“Boleh encik bagi kad? Nanti bila saya hantar bengkel, saya akan telefon encik”.
Syakir tersenyum. Kad dikeluarkan dari poket seluarnya. Suraya menyambutnya dan mengucapkan terima kasih. Dan meminta diri.
Dia sudah lewat untuk bertemu kliennya. Pasti setiausahanya telah lama menanti. Haikal dan Syakir hanya melihat Honda City berwarna putih itu meluncur pergi.
Siapa gadis itu? Di mana dia pernah melihatnya? Hidupnya bukan dikelilingi gadis-gadis hingga wajah itu boleh dia lupakan.
Syakir memandang temannya. “Dah lah, jom”.
“Suraya Hanisah”.
Syakir mengerut dahi. “Dah kenapa sebut nama tunang kau tengah-tengah dunia ni?”
Haikal mengambil telefon dari poket. Gambar Suraya Hanisah yang diberikan papa dicari. Lantas, gambar itu ditunjuk pada Syakir.
Syakir membulatkan mata. Biar betul. Jadi gadis tadi, gadis yang dilanggarnya tadi adalah Suraya Hanisah?
“Kan?” Haikal menyoal dan Syakir mengangguk.
Haikal ketawa kecil. Pertemuannya dengan opah tempoh hari terbayang. Secara semulajadi. Nampaknya ia memang terjadi tanpa sangkaannya, semuanya kebetulan.
“Tak sangka betul” Syakir menghulurkan telefon Haikal kembali.
Haikal mengangguk dan tersenyum. Syakir menepuk-nepuk bahu temannya. “Berjodoh betul kau dengan dia”.
Haikal hanya senyum. Dan mereka masuk kembali ke kereta menuju ke destinasi.

##########

Beel ketawa sendiri mendengar kata-kata Safwan. Fah di sisi Safwan dipandang. “Nak pergi mana hari ni?”
Fah melepas nafas. “Dah setiap hari merayau pun tak bosan lagi?”
Beel mencebik. “Memanglah tak bosan. Selalu dengan Pak Lan, hari ni dengan Abang Wan. Abang Wan nak bawa pergi mana?”
Safwan tersenyum. Memang dia rapat dengan Nabila sejak kecil kerana mereka bertiga membesar bersama.
Beel bersandar pada kerusi semula. Seronok betul hari cuti begini. Bebas dari sekolah. Bebas dari belajar. Kebetulan hari ini, Fah mengatakan abang Wan mahu mengajak mereka keluar.
Fah memandang Beel sekilas. Kemudian pandangan dituju pada abangnya. “Abang, nak pergi mana ni?”
Safwan tersenyum. “Kalau bagi tahu awal-awal tak surprise lah, Fah dengan Beel kena tunggu je lah ye”.
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata Safwan. Memandang Fah seketika dan sama-sama tergelak kecil.

###########

“Ooh ya, budak sekolah yang jatuhkan fon kau hari tu apa cerita?”
Haikal mengerut dahi mendengar soalan itu. Kenapa tiba-tiba Syakir menyoal tentangnya? “Kenapa kau tanya ni?”
Syakir mengangkat bahu. “Tiba-tiba teringat”.
Haikal diam seketika. Dia malas mahu mengingat sebenarnya. Memang dia selalu berdoa tidak mahu bertemu dengan gadis kecil itu lagi. Baru belasan tahun tapi sudah punya sikap yang menjengkelkan.
“Diam?”
“Tak de apa-apalah. Nak cerita apa?”
“Kau tak jumpa dia dah?”
Haikal mencebik. “Nak jumpa buat apa? Menyampah jadinya. Simpang 44 malaikat aku jumpa budak tu lagi”.
Syakir ketawa kecil. “Selalunya kau kalau jumpa budak, kau buat tak hairan je. Tapi dengan budak ni lain pula”.
Haikal mengerut dahi. Wajah sahabatnya itu dipandang. “Apa yang lain?”
“Yelah. Selalunya kalau ada orang cari fasal kau selesaikan dengan cara dewasa, padanlah dengan status 30-an kau tu. Tapi dengan budak ni, dengan kau-kau pun jadi budak sekali. Dia marah, kau gaduh dengan dia balik. Kau perasan tak?”
Haikal terdiam. Dahinya berkerut. Benar kata-kata Syakir. Selalunya dia bukan jenis yang melayan benda remeh sebegini. Tapi mengapa dia boleh terikut-ikut rentak gadis ini?
Syakir memandang. “Kau jangan cakap dengan aku yang kau tak perasan”.
Haikal diam. Kemudian dia menjawab, “Mana ada lain. Sama je. Kau je yang terlebih perasan”. Menindakkan kata-kata Haikal. Walhal, dia sendiri memikirkan apa yang terjadi dengan dirinya sebenarnya.

###########

Suraya menekan butang merah tanda mematikan panggilan. Tersenyum pada mama yang berada di hadapannya.
“Zack kan?”
Suraya tersenyum dan memberi anggukan. Sakinah melepas nafas. “Mama rasa Zack tu dah kejar kamu dari zaman sekolah lagi kan?”
Suraya mengangkat kening. Berbangga ada lelaki yang masih mengejarnya setelah sekian lama. Sakinah mengerut dahi. “Tak nak pertimbangkan langsung?”
Suraya tersenyum lagi. “Kenapa mama tanya?”
“Umur Su pun dah sesuai kalau nak kahwin. Mama rasa baik Su terima je Zack tu. Tengok pun macam baik budaknya” Sakinah mengeluarkan pendapatnya.
Suraya tersenyum lagi dan menggeleng. “Belum yang terbaik untuk Su, mama”.
Sakinah mengerutkan dahi mendengar kata-kata puterinya. Belum yang terbaik? “Bukan ke Zack tu bagus orangnya? Kerja pun doktor. Ada klinik sendiri lagi. Apa yang belum terbaik?”
Suraya melebarkan senyum. Wajah kawan pemuda yang melanggarnya tempoh hari terbayang di ruang mata. Dia pasti kawan pemuda itu meminatinya. Sekali pandang juga dia sudah dapat merasakannya.
Dia cuma perlu menunggu. Mereka pasti akan bertemu kembali. Lagi pun, kalau dari segi penampilan, kawan pemuda itu memang kelihatan seperti orang berada dan bagus statusnya.
Sakinah menarik nafas melihat Suraya yang tersenyum sendirian dari tadi. Apa yang bermain di fikiran Suraya pun dia kurang pasti. Yang pasti, Suraya gembira dia juga tumpang gembira.

###########

Haikal mematikan enjin sebaik meletakkan kereta di dalam garaj. Kemudian, langkah diatur ke taman belakang villa itu.
Opah yang sedang mengerjakan pokok-pokoknya ditegur.
“Haikal, tak cakap dengan opah pun nak datang” Puan Sri Normah membuka sarung tangan dan menyalami anak muda itu.
Haikal senyum. “Kebetulan, hari ni free. Tulah datang melawat”.
Puan Sri Normah ketawa kecil. “Melawat? Macam sakit pula opah ni”.
“Opah sihat?”
Puan Sri Normah mengangguk. Langkah diatur ke kerusi meja batu putih yang tersedia. Bila dia mengambil tempat, Haikal ikut duduk di situ.
“Hazan dah ada kat Malaysia?”
Haikal menggeleng. “Masih kat Kuwait”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Nanti kirim salam dekat Hazan. Dengan isteri dia, orang arab tu. Apa nama dia?”
“Humaira’. Opah kenal mama”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Pernah jumpa. Tapi muka dia ingat-ingat lupa. Humaira’. ”
Haikal tersenyum. Tiba-tiba opah melambai tangan. Haikal mengerutkan dahi.
Puan Sri Normah tersenyum. Haikal dipandang. “Suraya dah balik”.
Haikal menguntum senyum. Rasa berdebar pula tiba-tiba. Bagaimana agaknya respon gadis bernama Suraya Hanisah itu?
“Opah panggil Su ke?”
Puan Sri Normah mengangguk. Dan dia memandang Haikal yang masih belum memandang Suraya. “Haikal, kenalkan. Ni lah cucu sulung opah, Suraya”.
Haikal bangun dan memaling tubuhnya. Memandang Suraya dengan senyuman. “Assalamualaikum, Cik Suraya”.
Suraya mengerut dahi melihat wajah itu. Wajah itu … “Awak?”
“Nama saya Haikal” tangan dihulur tanda salam perkenalan.
“Suraya” Suraya tersenyum dan menyambut huluran Haikal.
Puan Sri Normah tersenyum sendiri. Nampaknya Suraya dan Haikal sudah bertemu sebelum ini. Pasti rencana menyatukan mereka akan jadi lebih mudah selepas ini.
“Su duduklah sekali” Puan Sri Normah menjemput.
Suraya tersenyum. “Baik jangan. Su nak naik bilik. Lagi pun, opah ada tetamu kan?”
Puan Sri Normah senyum. Dan anggukan diberi tanda memberi keizinan. Suraya meminta diri dan masuk ke dalam rumah.
Haikal senyum memandang Puan Sri Normah. Nampaknya, Suraya gadis yang bersopan-santun dan menghormati orang tua. Tidak salahlah pilihan atok buatnya.

##########

Beel mengerut dahi melihat sebuah Porsche meluncur keluar dari Villa An. Pak Lan di tempat pemandu dipandang. “Siapa tu, Pak Lan?”
Pak Lan menggelengkan kepala. “Pak Lan pun tak tahu, Cik Beel”.
Beel mengerut dahi. Apakah opah ada tetamu? Atau mungkin teman Kak Su? Biarlah siapa pun, dia tidak mengacau hidup Beel.
Dia berlari anak mengejar opah yang baru masuk ke dalam rumah. Langsung tubuh opahnya dipeluk dari belakang.
“Opah!” Beel sengih.
Puan Sri Normah menggeleng-geleng. “Ya Allah, opah tengah busuk ni. Beel baru balik?”
Beel mengangguk dan melepaskan pelukannya. “Ada orang datang?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Kawan opah”.
Beel mengerutkan dahi. “Kawan opah guna kereta Porsche?”
Puan Sri Normah membuat muka. “Kenapa, tak boleh?”
Beel memandang opahnya. Tahu opah bergurau. “Siapa?”
“Kawan opah. Beel tak kenal kalau nak kenalkan pun”.
Beel mencebik. Lantas tangan dipaut pada tangan opah. Mengatur langkah ke arah tangga. Suraya turun berlari anak. Memandang opah yang sedang melangkah.
“Haikal dah balik?”
Beel diam. Siapa pula Haikal ini? Ada saja lelaki yang mahu menemui Kak Su. Cuma Kak Su yang jual mahal, mahu jadi anak dara tua agaknya. Beel senyum sendiri.
“Dah” Puan Sri Normah menjawab sepatah.
Suraya mengangguk dan tersenyum. Namun tidak dapat menutup kekecewaan yang jelas terpancar pada wajah.
Tiba saja di bilik Puan Sri Normah, Beel langsung menanya tentang lelaki bernama Haikal itu.
“Bakal suami Suraya”.
Beel mengerut dahi. Beberapa saat kemudian, dia menguntum senyum. “Bakal suami?”
Puan Sri Normah tergelak melihat respon Beel. “Kenapa?”
“Bagus kalau Kak Su kahwin. Tak yah lah opah dengar Beel gaduh dengan Kak Su lagi”.
Puan Sri Normah langsung ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Ada-ada saja cucunya seorang ini.
“Dah, pergi masuk bilik, mandi. Opah pun nak mandi ni”.
Beel sengih. Langkah diatur keluar dari bilik Puan Sri Normah. Alangkah indahnya hidup jika Suraya berkahwin dan pindah keluar dari Villa An. Dia akan menjadi manusia yang paling bahagia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s