DILARANG NIKAHI AKU – 06

“Apa kau cakap?”
Haikal mendengus. Jari diletakkan di bibir. “Perlahanlah sikit. Nak jerit-jerit kenapa?”
Syakir senyum. “Jom masuk pejabat kau”. Tangan Haikal ditarik hingga tiba di pejabat pengarah syarikat.
Syakir langsung duduk di sofa yang tersedia. Haikal menggeleng-geleng melihat reaksi sahabatnya.
“Kau cakap apa tadi?” Syakir menyoal.
Haikal mengerut dahi. “Apa?”
“Budak sekolah kat airport tu adik sepupu Suraya tunang kau?”
Haikal mengangguk. Tubuh disandar pada sofa. Masak dengan sikap Syakir yang suka ‘over excited’. Mujur sudah berkawan sejak kecil, jika tidak pening dia dengan perangai Syakir.
“Biar betul! Kecilnya dunia ni”.
Haikal mengangkat bahu, senyum kambingnya dikuntum. “Tak percaya kan?”
Syakir mengangguk. “Habis, kau nak buat apa?”
“Buat apa?”
“Tu .. Budak tu, mesti akan bawa masalah nanti”.
Haikal ketawa. Apakah Syakir terlalu banyak berfikir? “Budak je pun … Setakat masalah kecil tak pe lagi. Dia tak de nya nak menyusahkan aku sampai mati”.
Syakir melepas nafas. Legalah mendengar kata-kata Haikal. Dia sendiri belum pernah melihat wajah budak sekolah yang diceritakan Haikal padanya. Yang dia tahu, namanya Nabilah Anisah dan dipanggil Beel.
“Kau ada gambar dia?”
“Beel?”
Syakir mengangguk. Haikal menggeleng, “Buat apa nak simpan gambar budak tu?”
Syakir diam. Manalah tahu kalau-kalau dunia ini benar-benar kecil hingga dia pula terjumpa gadis itu secara kebetulan?
Haikal menggeleng. Entah apa yang bermain di fikiran Syakir agaknya. Tiba-tiba menanya soal gambar. Agaknya sampai mati pun dia takkan menyimpan gambar budak sekolah itu.

###########

Beel berlari menuruni tangga. Fah dan Safwan sudah menunggunya di taman belakang. Hari ini, Safwan akan menolong dia dan Fah mengulang kaji untuk peperiksaan yang bakal menjelang.
Sakinah mengurut dada bila hampir saja melanggar Beel yang berlari. Matanya membulat memandang wajah anak saudaranya itu.
Beel kaku di posisi. Pasti dia akan dibebel mak longnya. Itu, ini. “Sorry”.
Sakinah melepas nafas. “Dah kenapa terlari-lari? Dalam rumah pula tu. Ingat rumah ni padang ke?”
Beel membuat muka. “Beel dah minta maaf kan? Sorry”. Beel membuka langkah mahu beredar.
“Tunggu” Sakinah menahan.
Beel menghentikan langkah. Tidak mahu dikatakan kurang ajar jika berlalu tanpa mendengar.
“Dah 18 tahun ni, tak de fikir nak matangkan diri sikit ke?”
Beel senyap. Ikutkan hati mahu saja dia beredar, tapi kerana masih menghormati mak longnya, telinga ditadah juga.
“Cuba jadi macam Kak Su kamu tu. 18 tahun dah boleh masuk universiti. Matanglah sikit. 18 tahun tu bukannya budak-budak lagi. Cuba tengok Kak Su..”
“Mak long” Beel memotong kata-kata Sakinah. “Mak long dah kenapa nak bandingkan Beel dengan Kak Su ni?”
Sakinah senyum sinis. “Habis nak bandingkan dengan siapa. Memang cuma ada Kak Su dalam rumah ni. Ambil sebahagian perangai Kak Su pun dah cukup”.
“Kalau Beel ambil perangai Kak Su, baik tak yah ada Beel dalam dunia ni. Beel bukan Kak Su, dan sampai bila-bila takkan jadi Kak Su. Kalau mak long nak sangat orang tiru perangai Kak Su yang bagus tu, mak long pergilah ambil anaka angkat”.
Beel mencebik dan berlari meninggalkan Sakinah. Mak long selalu saja begitu. Apa-apa Kak Su. Tak habis-habis Kak Su. Menyampah dia jadinya.
Sakinah menahan nafas yang turun naik. Geram betul dia dengan perangai Beel. Nama Nabilah Anisah langsung tidak sesuai dengannya.
Semuanya kerana ibu. Kalaulah ibu tidak terlalu memanjakan Beel, semuanya takkan jadi begini.

##########

“Fah!”
Lariannya dilajukan memeluk sahabat kesayangan yang sedang membaca buku itu dari belakang.
“Lemas!” Fah menolak tubuh Beel.
Beel sengih. Wajah Safwan yang memandangnya dipandang. “Dah lama ke tunggu?”
Safwan menggeleng. “Baru lagi”.
Fah mencebik. “Lamalah sangat. Nak tercabut dah tangan ni tunggu kau. Kau buat apa, cik puan?”
Safwan tergelak kecil melihat reaksi anak berdua itu. Beel menarik tangan Fah. Fah memandang dengan kerutan dahi. Apa yang tak kena?
Beel sengih. “Jom study kat laman depan”.
Fah membulatkan mata. “Laman depan”.
Beel mengangguk. Dipandang pula wajah Safwan. Senyum diberi. “Jomlah, abang Wan”.
Fah mencebik. “Dah kenapa? Selalu orang ajak duduk laman depan tak nak. Tak privacy lah, itu, ini. Macam-macam alasan”.
Beel langsung menarik tangan Fah dan Safwan. Malas mahu berbalah. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Hari ini, moodnya mahu belajar di laman depan, bukan taman belakang.

###########

Enjin kereta dimatikan tepat di dalam garaj Villa An. Puan Sri Normah memintanya datang untuk menghantar Suraya ke bengkel mengambil keretanya.
Apa agaknya rencana Puan Sri Normah? Apa-apa pun dia bersyukur Puan Sri Normah menaruh kepercayaan padanya untuk menghantar cucu sulungnya itu.
Haikal keluar dari Porschenya dan butang kunci ditekan. Langkah diatur menuju ke pintu. Terlihat dua orang gadis dan seorang lelaki berada di laman. Kelihatannya sedang mengulang kaji pelajaran.
Beel menggeliat. Tangan didepa tanda keletihan. Fah dan Safwan masih lagi membincangkan penyelesaian masalah matematik yang masih belum diselesaikan.
Dia berdiri dan menyekak pinggang. Melakukan senaman ringan meregangkan otot. Namun, dia diam sebaik menoleh ke belakang.
“Hai” Haikal mengangkat tangan.
Beel memaling tubuh. Safwan dan Fah memandang bila mendengar suara tak dikenali. Fah mengerutkan dahi melihat wajah itu.
“Tengah study ke?” Haikal menyoal. Sengaja mahu menyakat Beel.
Beel mengeluh. Malasnya mahu bergaduh. Masalahnya jika tidak bergaduh tak puas hati pula. Fah menarik tangan Beel. “Lelaki kat airport hari tu?”
Beel mengangguk. Safwan berdiri dan menghulur tangan pada Haikal, berjabat salam perkenalan.
“Haikal”.
“Safwan”.
“Tengah study?” Haikal menyoal.
Safwan menguntum senyum. Anggukan diberikan. Beel langsung memaling tubuh. Tidak suka Safwan beramah mesra dengan Haikal.
“Buat apa datang?” Beel menyoal dengan wajah masamnya.
Haikal ketawa kecil. “Nak bawa awak keluar”.
Beel menjelir lidah. “Tak ingin”.
Haikal ketawa lagi. Wajah Fah dipandang. Teman Beel di lapangan terbang tempoh hari. Tangan dilambai pada Fah. “Lama tak jumpa”.
Fah menunduk. Bagaimana lelaki ini boleh berada di sini? Apa hubungannya dengan Beel?
“Tak kenalkan kawan awak ke?”
“Tak perlu. Awak nak ambil Kak Su, pergilah masuk. Datang sini buat apa?” Beel membulatkan mata.
Safwan duduk kembali. Garangnya Beel dengan lelaki ini. Dari kata-kata Beel, Safwan dapat mengagak mungkin dia adalah teman lelaki Suraya.
Haikal menguntum senyum. Terlintas di akal mahu mengusik gadis itu. Tangannya menyentuh kepala Beel, menyerabutkan rambut Beel yang separas bahu.
Beel menolak Haikal. Tanda memprotes. Tidak suka dia diperlakukan begitu. Yang diizinkan menyentuh rambutnya begitu hanya abang Wan seorang. Itu pun kerana mereka membesar bersama. Jika tidak, jangan haraplah.
Safwan menarik tangan Beel. “Kasarnya”.
Beel mencebik. “Tu teman wanita kesayangan awak dah datang. Pergi jauh-jauh!”
Haikal sengaja mendekat. Tidak perasan Suraya menuju ke arah mereka. Beel sudah membuat muka. Pasti Suraya akan memarahinya, konon gatal dengan tunang orang.
“Buat apa kat sini? Kenapa tak tunggu kat dalam?” Suraya melipat tangan.
“Teman lelaki Kak Su tertarik dengan orang kat sini kut” Beel menjawab tanpa menoleh, mata tertuju pada buku nota di atas meja.
Suraya mengetap bibir. Tidak suka dengan jawapan yang diberikan Beel. Langsung dia beredar dengan perasaan menyampahnya.
Beel menguntum senyum mengetahui Suraya sudah merajuk. Pandangan kembali memandang Haikal. “Biar saya bagi tip. Kak Su tu kuat merajuk. Nak pikat dia susah sikit. Senang kata, kalau nak pikat Kak Su jangan kacau saya sebab Kak Su tak suka”.
Bahu diangkat tanda suka hati. “Dah, pergilah! Nanti dia tak nak cakap dengan awak sampai bila-bila padan muka!”
Haikal diam menahan marah. Langsung mengejar Suraya yang sedang menunggu di garaj. Beel ketawa senang hati. Senyum lebar menandakan kegembiraan.
“Nampak rapat dengan dia” Safwan menjongket kening.
Beel mengangguk. Malas mahu melayan. Lantas buku dicapai meneruskan ulang kajinya. Fah dan Safwan memandang. Dan keduanya menggeleng-geleng serentak.

###########

“Awak marahkan saya?” Haikal menyoal setelah lama memandu.
Suraya senyap membisu. Membiarkan Haikal memujuk.
Haikal memandang sekilas. “Suraya”.
Suraya diam lagi. Pandangannya tertuju ke luar tingkap. Haikal menarik nafas. Tidak suka sebenarnya memujuk perempuan merajuk. Tapi Suraya harus dipujuk juga.
Tangan Suraya disentuh tangan kirinya sedang tangan kanannya masih lagi memegang stereng. “Su”.
Suraya melepas nafas. Tangannya ditarik perlahan dari genggaman Haikal. “Saya tak suka awak rapat dengan Beel”.
Haikal mengerutkan dahi. Jadi kata-kata Beel benar? Suraya memang tidak suka dia mendekati Beel? Mengapa? Bukankah mereka adik-beradik sepupu?
“Rapat?”
Suraya memandang. “Kalau awak rasa awak nak rapat dengan dia, lepas ni jangan ganggu hidup saya”.
Haikal menahan perasaan. Hairan, pelik, aneh, marah, rimas, geram .. semuanya bergabung menjadi satu. “Saya janji lepas ni saya takkan dekat dengan dia. Pandang sebelah mata pun tak”.
Suraya diam. Pandangan masih memandang wajah Haikal. “Janji?”
Haikal mengangguk. Buat masa sekarang, segala kemahuan Suraya harus dituruti jika dia tidak mahu susah.
“Jangan dekat dengan Beel lagi tau. Saya tak suka” Suraya memandang, wajah penuh mengharap.
Haikal mengangguk. Senyum dikuntum. “Lepas ni, saya Haikal takkan dekat dengan Beel lagi. Saya janji”.
Suraya melepas nafas. Bibir mengukir senyum manis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s