DILARANG NIKAHI AKU – 07

Gadis itu mencerut muka tanda memprotes. Tidak suka dirinya diperlakukan begitu. Wajahnya dihala pada opah tanda meminta simpati.
Puan Sri Normah hanya menguntum senyum. Langkah diatur pada Beel yang telah siap digayakan oleh pembantu butik yang diupahnya.
“Opaaah” rengek Beel.
Puan Sri Normah mengusap pipi cucu kesayangannya. Hari ini, mereka sekeluarga akan makan malam di rumah Hazan. Kerana itulah, dia perlu menyiapkan Beel.
Suraya sudah pandai menyiapkan diri. Bergaya bukanlah perkara susah bagi gadis berkerjaya seperti Suraya.
Beel merengek melihat dirinya di hadapan cermin. Baju kurung berwarna oren susu bersama kain. Rambutnya diikat separuh konon untuk menyerlahkan kesopanannya. Tidak tahukah opah dia paling benci memakai kain?
Puan Sri Normah senyum lagi. Jarang dia dapat melihat Beel berpakaian sopan begini. “Cantikkan cucu saya?”
Dua pembantu butik yang diupahnya mengangguk dengan senyuman. Mengakui kebenaran kata-kata Puan Sri Normah.
“Kalau Beel tak pergi tak boleh ke?”
Puan Sri Normah menggeleng. “Orang dah jemput kita kenalah datang”.
“Dah ada pak long, mak long, opah, Kak Su lagi. Beel pergi pun nak buat apa?” Beel merengek sambil mengambil tempat di atas katilnya. Memikirkan akan bertemu dengan Haikal juga sudah buat dia sakit hati.
“Siapa nak temankan opah?” Puan Sri Normah menyoal. Anggukan diberi pada pembantu butik tanda membenarkan mereka pulang.
Setelah keduanya meninggalkan bilik, Puan Sri Normah kembali memandang Beel. Beel mengeluh. “Beel tak nak pergi”.
Puan Sri Normah memegang pipi Beel agar memandangnya. “Beel sayang opah tak?”
Beel diam. Anggukan diberikan. Taktik opah yang selalu berkesan untuk menjinakkannya. “Kalau tak sayang opah, nak sayang siapa lagi?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Kalau sayang, kena ikut opah pergi rumah abang Haikal. Boleh?”
Beel diam. Abang Haikal? Automatik bibirnya mencebik mengingat gelaran yang diberi opah. Abang? Mahu termuntah pula jadinya.
“Ikut kan?”
Beel berbaring di atas katil. Mahu tidak mahu dia kena pergi juga. Puan Sri Normah menarik Beel agar bangun semula. Beel mengeluh.
“Opah nak siap. Beel jangan baring-baring. Nanti baju kedut”.

##########

Suraya membetulkan baju kebaya pahang yang tersarung pada tubuh. Senyum diukir dan dia turun dari kereta yang dipandu Zamri.
Sakinah tersenyum memandang wajah puterinya. Tangan Suraya dicapai dan digenggam. Suraya tersenyum memandang mama. Mama terbaik yang dia ada.
Zamri melihat jam di tangan. Alphard yang dipandu Pak Lan baru saja tiba memasuki perkarangan rumah mewah itu. Mereka bertiga berjalan melangkah ke arah Puan Sri Normah dan Beel yang baru keluar dari kereta.
“Ibu” Zamri memaut tangan Puan Sri Normah.
Puan Sri Normah tersenyum. Beel yang merungut sendirian dipandang sekilas. “Tak nak macam tu”.
Beel diam. Senyum paksanya dikuntum. Suraya mengeluh. Sedikit menyampah dengan tindakan Beel. Dan mereka melangkah menuju ke pintu utama.
Hazan tersenyum bila melihat Puan Sri Normah berjalan bersama keluarganya. Haikal yang berada di dalam dipanggil. Haikal berlari anak keluar menuju ke arah Hazan. Menyambut tetamu yang datang.
“Lama tak jumpa” Puan Sri Normah menghulur tangannya dan disalam Hazan.
Hazan mengangguk. Kali terakhir dia bertemu Puan Sri Normah ketika dia berusia 6 tahun. Ketika itu, Puan Sri Normah sendiri masih belum memiliki anak. “Mak cik sihat?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Ni anak mak cik, Zamri. Isteri Zamri, Sakinah. Dan yang ni…”.
Suraya menguntum senyum manis. Tunduk hormat diberi dan tangan Hazan disalam.
“Suraya” Puan Sri Normah menghabiskan kata-katanya.
Hazan melepas nafas. Manis dan cantik. Bersopan pula. Memang tidak salahlah pilihan ayahnya mahu menyatukan Haikal dengan gadis itu.
Haikal senyum melihat Hazan senang dengan Suraya. Suraya dipandang dan mereka sama-sama tersenyum.
Puan Sri Normah menarik tangan Beel yang menyorok di balik Zamri. Beel melawan, mengeraskan tubuh. Puan Sri Normah mencubit kegeraman. Beel terpaksa menurut.
Hazan memandang Haikal. Apa yang dilakukan Puan Sri Normah? Haikal mengangkat bahu. Lebih baik papa melihat sendiri. Dia tahu pasti itu adalah Beel. Tidak habis-habis mahu membuat masalah.
“Kenalkan cucu kesayangan mak cik, Nabilah” Puan Sri Normah menolak Beel agar dapat dilihat Hazan.
“Nabilah kan?” Hazan menyoal.
Beel mengerut dahi mendengar suara itu. Bagai pernah didengari suara itu, tapi di mana ya? Wajah diangkat memandang sang empunya suara.
Hazan tersenyum lebar. Gadis 7-Eleven tempoh hari. Dan dia ketawa kecil melihat penampilan Beel. Kelihatan ayu dan sopan. Cantik.
“Pak cik?” Beel mengerut dahi.
Hazan mengangguk. “Apa khabar? Sihat?”
Beel mengangguk. “Ni rumah pak cik ke?”
Hazan menjongket kening. “Tak sangka kan? Orang dekat rupanya”.
Beel ketawa kecil. Dan ketawa lagi. Anggukan diberikan. “Kecilnya dunia”.
Haikal mengerut dahi. Bagaimana papa boleh semesra ini dengan Beel? Mereka kelihatannya sudah berkenalan. Tapi di mana? Dan bagaimana?
Suraya sudah membuat muka tanda memprotes. Geram melihat Beel menjadi tumpuan. Kelihatannya papa Haikal juga sangat menyenangi Beel. Bukankah dia yang sepatutnya menjadi watak utama malam ini?
Puan Sri Normah tersenyum lega. Dia tidak kisah bagaimana Hazan dan Beel berkenalan. Melihat Beel mesra dengan Hazan sudah menjadi kelegaannya. Sekurang-kurangnya Beel tidak akan membuat masalah malam itu.

###########

“Beel suka makan apa?”
Beel tersenyum mendengar pertanyaan Hazan. Lauk-pauk yang terhidang di atas meja dipandang. “Gulai tempoyak ikan patin”.
Hazan membulatkan mata. “Betul?”
Beel mengangguk. Hazan senyum lebar. “Samalah kita”.
“Pak cik pun suka gulai tempoyak?”
Hazan mengangguk. Haikal dipandang sekilas. Dan dia memandang Beel kembali. “Yang tak makan anak pak cik tu. Bukan tempoyak je, durian pun tak suka. Bukan nak makan, nak pandang pun tak nak”.
Beel mencebik. “Bajet orang luar tu sebenarnya”.
Hazan ketawa. “Pak cik sendukkan?”
Beel menghulurkan pinggannya. Hazan ketawa kecil. Gembira rasanya melayan dan berbual dengan gadis bernama Nabilah ini.
Puan Sri Normah tersenyum memandang Beel. Jumpa Hazan saja sudah lupakan dia. Namun dia tidak terasa malah suka hati. Bukan mudah untuk Beel mesra dengan orang yang baru dikenali.
Suraya makan dengan perasaan sakit hati. Geram betul dia melihat Hazan melayan Beel bagai puteri. Mengapa Hazan lebih tertarik dengan Beel daripadanya?
Sakinah di sisi memegang tangannya. “Su”.
Suraya mengetap bibir. ‘Sabar, Suraya’. Nafas ditarik dan senyum dikuntum. Tengoklah nanti dia akan kerjakan Beel habis-habisan. Biar Beel tahu apa yang sudah dia lakukan. Beel merosakkan malamnya!
Haikal sudah tergeleng-geleng melihat papanya melayan Beel. Nampaknya papa suka benar dengan Beel. Agaknya papa tidak sedar ramai yang sedang menjamah makan malam itu. Di matanya hanya melihat Beel seorang. Apa yang membuatkan papa begitu senang dengan Beel sebenarnya?

###########

Haikal sengih melihat Beel sendirian di dapur. Langkah diatur menuju pada Beel yang sedang membasuh tangannya di sinki. Haikal berdiri rapat di belakang Beel.
Beel memaling tubuh bila terasa sesuatu berada di belakangnya. Terkejut mendapati Haikal terlalu rapat padanya hingga tubuhnya mengenai sinki.
“Awak nak apa?” Beel menyoal.
Haikal mengangkat bahu. Wajah didekatkan pada wajah Beel. “Takut ke?”
Beel mencebik. Langsung tangannya meraba-raba mencapai garfu yang berada di dalam sinki. “Siapa takut?”
Haikal senyum. Suka dia melihat wajah pucat Beel. “Siapa agaknya?”
Beel langsung mengacu garfu pada tubuh Haikal. Haikal mengerut dahi. Beel menjongket kening dan menolak tubuh Haikal hingga dia jauh dari Beel. “Ingat saya pakai baju kurung saya tak boleh lindung diri saya?”
Haikal mendengus. Merosakkan mood betul. Baru terasa mahu mengusik. Beel sengih. “Berani datanglah”.
“Awak cabar saya ke ni?”
Beel mengangkat bahu. “Ada berani?”
Haikal memandang. Geram pula dia melihat wajah Beel. Langsung dia menuju ke arah Beel, cuba merampas garfu yang berada di tangan Beel.
Beel menjelir lidah bila Haikal tidak dappat mengejarnya. Dia berlari mengelilingi meja dan Haikal mengejar. Beel menjelir lidah. “Lambat, lambat!”
Haikal mengetap bibir. “Jaga awak. Saya dapat awak nanti …”
Beel menjelir lidah. Berlari lagi. Bila Haikal hampir padanya, sengaja garfu itu dilayangkan pada Haikal agar Haikal menjarakkan diri. “Lambat, lembap!”
Haikal mengejar. Geram mendengar kata-kata Beel. Namun tetap juga tidak dapat memegang Beel atau garfu di tangannya.
“Haikal!”
Beel berhenti berlari. Memandang pintu dapur. Begitu juga Haikal. Keduanya terdiam melihat Suraya di pintu dengan wajah masam mencuka.
Suraya maju ke dalam dapur. Pinggan-pinggan di tangannya diletakkan di dalam sinki. Patutlah Haikal tidak keluar-keluar. Rupanya seronok melayan Beel.
Beel menjeling Suraya. Malas mahu melayan. Lagi lama dia di situ, lagi teruk dia akan dimarahi. Bibirnya mencebik tanda menyampah. Garfu diletakkan di atas meja dan dia meluru keluar dari dapur.
Suraya diam di sinki. Memandang Haikal yang juga memandangnya. “Seronok main”.
Haikal melangkah ke arah Suraya. Suraya memandang Haikal serius. “Jangan dekat”.
Langkah Haikal mati. Wajah Suraya dipandang. “Su marahkan saya ke?”
Suraya memaling tubuh. Paip sinki dipulas membiarkan air mengalir. Tangannya diletak sabun dan tangannya dicuci.
“Su” Haikal memanggil.
Suraya menutup paip. “Saya tak de hak nak marah”. Dan Suraya menoleh memandang Haikal kembali. “Kita tak de apa-apa hubungan kan?”
Haikal diam. ‘Tulah kau Kal. Siapa suruh cari fasal?’
Suraya menggeleng-geleng dan mengatur langkah pergi dari dapur. Namun tangannya ditarik Haikal. “Saya minta maaf”.
Suraya menarik tangannya kembali. Senyum dikuntum buat Haikal. “Awak ada buat salah ke?”
Haikal mengeluh. “Su, apa yang awak nampak tak sama macam apa yang awak fikir”.
“Apa yang saya nampak?”
“Suraya”.
Suraya menarik nafas sedalam mungkin. Sifat cemburunya harus dikawal. Jika Haikal bosan dengan sikapnya dan berpaling pada yang lain, bukankah dia yang susah nanti?
“Awak tak salah. Saya yang salah. Kita belum ada apa-apa hubungan kan?” Suraya menguntum senyum manis.
Haikal mengerut dahi. “Awak betul-betul tak marahkan saya?”
Suraya menggeleng. “Tapi kalau awak rasa awak tak boleh tunaikan janji, kenapa awak berjanji? Janji tu untuk orang yang boleh kotakan je, kalau tak boleh kotakan, kan lebih baik kalau tak janji apa-apa?”
Haikal diam. Hanya melihat Suraya meninggalkan dapur. Nampaknya Suraya benar-benar marah padanya. Keluhan dilepaskan. Susahnya melayan seorang wanita.

###########

“Nanti bila-bila Beel datanglah tengok pak cik” Hazan tersenyum memandang Beel. Kepala gadis itu disentuh.
Beel mengangguk. Namun bila terpandangkan Haikal, dia menggeleng kembali. “Baik jangan”.
Hazan mengerutkan dahi. “Kenapa?”
“Ada hantu” Beel memuncungkan bibir ke arah Haikal yang sedang berbual dengan Zamri tidak jauh dari mereka.
Hazan tersenyum. Wajah Puan Sri Normah dipandang. “Kalau saya ada masa, saya pergi tengok mak cik”.
Puan Sri Normah mengangguk dengan senyuman. “Mak cik balik dulu. Dah tua ni, badan pun cepat penat”.
Hazan mengangguk. “Jaga diri”. Beel yang memaut tangan Puan Sri Normah dipandang sekilas. “Pandai mak cik besarkan cucu. Saya suka Beel ni”.
Puan Sri Normah ketawa. “Baguslah ada orang suka Beel ni. Tak tahu lagi dia nakal tahap apa. Dah macam monyet pun ada”.
“Opah!” Beel mencerut muka.
Hazan ketawa kecil. Puan Sri Normah memegang pipi Beel. “Ala, sayang opah. Gurau pun marah?”
Beel senyum. “Tak marah. Beel pun saaaayang opah” dan pipi opahnya dicium.
“Tak malu” Puan Sri Normah memandang.
“Dah lah pak cik. Balik dulu” Beel menyalami tangan Hazan dan memimpin opah menuju ke arah Alphard yang setia menanti.
Zamri, Sakinah dan Suraya turut meminta diri. Meninggalkan Hazan dan Haikal yang berdiri di pintu.
“Papa suka dengan budak tu?”
Hazan mengerut dahi mendengar pertanyaan anaknya. Budak tu? “Beel ke?”
Haikal mengangguk. “Nampak macam rapat je”.
Hazan ketawa. “Suka pun kenapa? Bukan boleh buat menantu. Awak tu lagi suka Su dari Beel kan?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s