DILARANG NIKAHI AKU – 09

“Kawan Beel tu nama apa?”
Haikal mengerut dahi. Langsung wajahnya dihala pada Syakir yang sedang memandu. “Kawan Beel?”
Anggukan Syakir berikan. “Nama?”
“Fah. Nama penuh aku tak pastilah”.
“Fah” Syakir menyebut perlahan. Gadis itu kelihatan menarik pada matanya. Memenuhi ciri-ciri yang dia mahukan pada seorang gadis.
Haikal ketawa kecil melihat Syakir tersenyum-senyum sendiri. “Nak accident ke kau ni?”
“Dia tu comel kan?”
“Fah ke?”
Syakir mengangguk. “Comel kan?”
Haikal ketawa lagi. “Kau suka dia ke?”
Syakir mengangkat bahu. Dia akui memang dia tertarik dengan gadis itu. Perkataan suka memang cukup untuk menggambarkan perasaannya. Syakir pasti, sedikit masa lagi perasaan itu akan berubah dari suka pada sayang.
“Gila!” Haikal menjeling, menyampah melihat gelagat Syakir.

##########

Fah memandang Beel di sisi. Sejak meninggalkan restoran tadi, Beel tidak habis-habis merungut. Membebel sana sini menyatakan sakit hatinya.
“Beel” Fah memanggil lembut.
Beel memandang dengan kerutan dahi. “Apa?”
Fah diam seketika. Ikutkan hati dia mahu memarahi Beel atas kelakuannya. Tapi dia tahu bagaimana sikap temannya itu. Kalau dimarah, silap hari bulan dimarahnya kita balik.
“Kau nak cakap aku salah ke?” Beel menyoal.
Fah mengeluh. “Kenapa kau cari fasal?”
“Bila masa aku cari fasal? Dari cari fasal, baik aku cari duit!” Beel menjeling.
“Macam mana kalau dia bagi tahu opah?”
Beel diam. Dia paling tidak suka opah tahu dia membuat masalah. Walau opah tidak marah padanya, dia tahu jauh di sudut hati opah merisauinya.
“Diam. Tahu takut” Fah menjeling.
“Bukan takut. Aku tak nak opah risau”.
“Samalah tu. Kau nak buat macam mana ni?” Fah menjongket kening.
Beel memandang Pak Lan. Kalau begitu, dia harus segera tiba di villa. Opah harus ditemui sebelum Haikal.
“Pak Lan, bawa laju-laju. Beel nak sampai cepat! Laju lagi!”
Fah mengeluh. Tergeleng-geleng kepalanya melihat kelakuan Beel.

##########

Mak Jah menghidangkan kuih yang baru dibuatnya pada Puan Sri Normah yang sedang melihat ikan di kolam. Ucapan terima kasih diucapkan dan Puan Sri Normah menjemput Mak Jah duduk bersama.
“Puan sri risaukan Cik Beel?” Mak Jah menyoal majikannya.
Puan Sri Normah tersenyum. “Bila-bila masa je Mak Jah. Saya ni dah tua. Beel pula tak matang-matang. Kalau saya pergi, siapa nak jaga dia?”
Mak Jah diam mendengar kata-kata Puan Sri Normah. Mengapa tiba-tiba Puan Sri Normah mengutarakan soal sebegitu? “Puan sri sakit ke?”
Puan Sri Normah melepas nafas dengan senyuman. “Kalau sakit je meninggal?”
Mak Jah senyum. Puan Sri Normah memandang. “Bila Putih habis belajar?”
Mak Jah diam seketika. Ingatan melayang pada Putih puterinya. Putihlah yang selalu melayan Beel sejak Beel pindah masuk ke rumah itu. Kerana itu jugalah, Beel rapat dengan Putih.
“Mungkin lagi dua tahun”.
Puan Sri Normah mengangguk. Jika ada Putih nanti, sejuklah sikit hatinya. Putih punya sikap yang lembut dan mampu melembutkan Beel yang keras. Setidaknya, Putih dapat menjaga Beel dan melindunginya.
“Opah”.
Puan Sri Normah dan Mak Jah memandang empunya suara. Beel mendekati opahnya. Mak Jah bangun dan meminta diri bila Beel duduk di sisi Puan Sri Normah.
“Kenapa ni?” Puan Sri Normah menyoal hairan. Selalunya Beel berlari-larian memeluknya, hari ini lain pula.
Beel sengih. Dari mana harus dia mulakan. ‘Ada tak Haikal datang jumpa opah?’ atau ‘Haikal ada datang sini ke?’. Bagaimana harus dia menyusun ayat?
Puan Sri Normah mengerutkan dahi melihat Beel. Pipi Beel disentuh perlahan. “Kenapa?”
“Aaa … Ada tak .. Haikal kan, dia ..”
Puan Sri Normah berdehem. Sudah berapa kali dia pesan. Pada Haikal gelaran abang harus digunakan. Bukankah sudah terang-terangan Haikal itu lebih tua darinya?
Beel diam seketika. Tahu opah menegurnya. Dia tidak punya masa bertikam lidah. Dia harus tahu apakah Haikal datang mengadu atau tidak.
“Abang Haikal ada datang sini?”
Puan Sri Normah membuat muka hairan. Kemudian bibirnya melebar mengukir senyum. “Kenapa tiba-tiba tanya fasal Haikal ni?”
Beel diam. “Saja tanya. Ada datang tak?”
Puan Sri Normah diam berfikir. “Rasa-rasa opah tak de”.
Beel melepas nafas lega. Ertinya dia sempat menyelamatkan keadaan. Pipi opah dicium tanda suka hati.
Puan Sri Normah menggeleng-geleng. Entah apalah yang tidak kena dengan cucu kesayangan seorangnya itu.

##########

Suraya memusing tubuh di hadapan cermin. Rambut paras dadanya diikat separuh. Dia memakai blouse berlengan separas siku bersama kain lycra yang keduanya berwarna merah jambu.
Nafas ditarik. Berdebar rasanya mahu keluar makan malam bersama Haikal. Suraya senyum sendiri.
Dulu ketika keluar makan dengan Zack atau Helmi, dia tidaklah segementar ini. Perasaannya juga tidak berdebar begini. Mungkinkah Haikal adalah yang tepat buatnya?
Senyum diberi pada mama yang baru masuk ke biliknya. Tangan Sakinah memegang lengan Suraya. Tubuh gadis itu dipusing.
“Cantik anak mama”.
Suraya tersenyum. “Betul mama rasa Su cantik?”
Sakinah ketawa kecil. Bahu Suraya dipaut. “Betul. Mama suka anak mama macam ni. Ingat, Haikal ni yang terbaik untuk anak mama. Mama tak nak Su sia-siakan dia”.
Suraya tersenyum dan mengangguk. Pasti, dia tidak akan membiarkan Haikal terlepas dari tangannya. Haikal hanya miliknya. Dia seorang.

###########

Haikal tersenyum membukakan pintu kereta buat Suraya. Dia akui Suraya nampak cantik malam ini. Padanya mana-mana lelaki yang memandang pasti akan memandang buat kali kedua.
Kereta Porschenya dipandu ke restoran yang telah ditempah mejanya. Dia mahu makan malam ini menjadi makan malam terbaik buat mereka berdua.

###########

Getah paip dicapai dan airnya dihidupkan. Beel menguntum senyum pada opah dan Mak Jah yang sedang berbual di lokasi kegemaran opah, tepi kolam ikan.
Beel menghalakan getah paip pada pokok-pokok yang hidup di taman itu. Menyirami pokok-pokok kesayangan opah.
Puan Sri Normah memandang Mak Jah. Sejuk hatinya melihat Beel pagi ini. Selalu hari cutinya ada saja hal yang mahu dilakukan. Keluar membeli itulah, mencari inilah tapi hari ini katanya mahu ‘melekat’ dengan opahnya.
“Ada awak nampak baju yang saya nak hadiahkan pada Beel tu?” Puan Sri Normah menyoal Mak Jah.
Mak Jah diam seketika. “Kalau tak silap saya, ada dalam laci kat bilik puan sri”.
Puan Sri Normah mengangguk-angguk. “Jom. Ikut saya ambil baju tu. Alang-alang, Beel nak duduk rumah je hari ni”.
Mak Jah tersenyum. Dia pun membantu Puan Sri Normah bangun dari kerusi. Meninggalkan Beel yang seronok sendirian dengan air yang dimainnya.
“Opah” Beel memanggil. Beel mengerutkan dahi bila tiada jawapan dari opah. “Opah” panggil Beel lagi.
Beel langsung memaling tubuhnya. Terkejut bila mendapati Haikal yang berada di belakangnya. Air dari getah paip di tangan Beel pula turun bagai hari hujan. Beel ‘menyiram’ Haikal.
Haikal mengetap bibir bila dirinya basah kuyup disiram Beel. “Woi!”
Beel tersentak. Getah paip terlepas dari pegangannya. Haikal dipandang.
“Buta ke?” Haikal meninggikan suara.
Beel mencebik. “Awak tu yang muncul tiba-tiba. Padanlah muka. Patutnya bercakaplah bagi saya tahu ada orang kat belakang. Ni senyap je” Beel merungut.
Haikal diam. Memang salahnya tidak menjawab panggilan Beel. Tapi .. “Awak tak salah ke? Mintalah maaf”.
“Kenapa pula?” Beel menyoal dengan kerutan dahi.
“Hari tu kat restoran aku tak kira lagi. Ni kat sini pula. Kau minta maaf cepat!” Haikal mengangkat jari telunjuknya.
Beel diam bila menyedari suara Haikal meninggi. Getah paip dicapai perlahan dan dihalakan pada Haikal. Beel ketawa terbahak-bahak bila Haikal kelam-kabut melarikan diri.
“Woi budak. Kau tutup air tu sekarang!”
Beel menjelir lidah. Bahasa yang digunakan Haikal sudah kasar. Ertinya Haikal benar-benar marah. Beel ketawa lagi. Seronoknya!

##########

“Puan sri! Puan sri!”
Mak Jah dan Puan Sri Normah memandang Irah yang kelam-kabut masuk ke dalam rumah. Mak Jah mengerutkan dahi. “Kamu ni kenapa Irah?”
Irah tercungap-cungap melepas nafas. Dia diam sebentar memandang majikan dan Mak Jah, mengambil nafas.
“Cik Beel, Cik Beel” Irah menunjuk ke arah taman.
Puan Sri Normah mula tidak sedap hati. Apa yang terjadi pada Beel? Apakah Beel jatuh atau .. “Mak Jah, cepat bawa saya pergi taman. Cepat”.
Mak Jah mengangguk. Tubuh Puan Sri Normah dipapah ke taman selaju mungkin. Membulat mata Puan Sri Normah melihat kerja Beel.
“Beel!” Puan Sri Normah berlari anak menuju pada cucunya.
Beel mencari suara yang didengarnya. Opah! Wajah opah dipandang. Namun, getah paip di tangannya masih lagi dihalakan pada Haikal.
Haikal mendengus. Mengalih dari getah paip Beel. Mengibas tubuh yang sudah basah kuyup. Masam mencuka wajahnya.
Puan Sri Normah mengetap bibir. Getah paip di tangan Beel dicapai dan Irah segera menutup air yang mengalir.
“Apa Beel buat ni?” Puan Sri Normah mencubit lengan gadis itu.
Beel mencerut muka menahan sakit. Lengannya disapu perlahan. “Haikal yang cari fasal dulu. Beel tak salah”.
Haikal diam di tempatnya. Ikutkan hati mahu saja gadis itu dibebel, dimarah dan dipukul. Namun memikirkan ada Puan Sri Normah bersama, diam membisu.
“Minta maaf dengan abang sekarang” Puan Sri Normah memandang Beel dan Haikal silih berganti. Mengapa cucunya senakal ini?
“Tak nak” Beel menjauhkan diri dari opahnya.
“Nabilah Anisah!” Puan Sri Normah meninggikan suara.
Haikal mendekati. Bimbang pula dia bila Puan Sri Normah meninggikan suara. “Tak pe opah. Saya boleh balik tukar baju je”.
Puan Sri Normah memandang Haikal. “Tak boleh. Beel dah melampau. Macam mana pun, dia tetap kena minta maaf dengan Haikal”.
Haikal diam. Kalaulah dia tahu Puan Sri Normah akan marah begini pasti dia akan lari sebaik saja Beel menyiramnya tadi. Bukannya mencari fasal hingga ia menjadi hal besar.
“Beel tak nak minta maaf!” Beel meninggikan suara.
Puan Sri Normah mengerutkan dahi. Langkah diatur pada Beel. Tangan gadis itu ditarik. “Kenapa degil sangat? Opah kata minta maaf”.
Beel menggeleng. “Beel kata Beel tak nak”.
“Nabilah!”
Beel diam. Air matanya mula bertakung. Terkejut bila ditengking opahnya. Mata dipejam dan air matanya mengalir. Tidak pernah opah meninggikan suara padanya. Mengapa opah memarahinya hanya kerana seorang lelaki yang baru mereka kenali?
Puan Sri Normah terdiam melihat air mata yang mengalir dari mata Beel. Baru dia sedar dia telah menengking cucunya. “Beel”.
Beel mencebik menahan esakan. “Opah dah tak sayang Beel! Opah lagi sayang dia!” Jari ditunjuk pada Haikal.
Haikal diam di posisi. Apa yang harus dia lakukan? Mahu menyampuk dihalang Mak Jah. Takkanlah dia harus melihat saja?
Beel menggeleng-geleng bila opah menghampiri. Air mata jatuh berderaian mengingat suara opah meninggi. “Beel tak nak duduk rumah ni dah. Opah tak sayang Beel. Opah tak sayang Beel!”
“Beel” Puan Sri Normah cuba memujuk. Namun tubuhnya ditolak cucu kesayangannya itu. Beel berlari menuju ke pintu pagar dan keluar dari pagar kecil.
Puan Sri Normah rebah. Apa yang telah dia lakukan?
“Opah!” Haikal berlari anak memapah tubuh Puan Sri Normah.
“Puan sri ok?” Irah menyoal. Mak Jah di sisi mencubit. Sudah tahu mahu tanya lagi. Jawapannya pastilah tak ok.
“Opah” Haikal memanggil.
Puan Sri Normah memandang Haikal. “Opah nak masuk dalam. Biarkan je Beel tu. Sekali-sekala kena dimarah juga”.

##########

Fah memandang abangnya yang sedang memandu sekilas. Telefon bimbitnya yang berada di tangan sedari tadi dipandang pula. Sudah berkali-kali Beel dihubungi namun tiada jawapan.
“Abang rasa Beel pergi mana?”
Safwan menggeleng. Dia sendiri tidak tahu. Dia harus tiba di Villa An sesegera mungkin. Ke mana perginya Beel? Sudah jam 10 malam masih juga belum pulang.
Fah berlari masuk ke dalam villa sebaik saja tiba di rumah itu. “Opah”.
“Fah, Fah tahu mana Beel pergi?” Puan Sri Normah menyoal bila melihat wajah itu.
Fah menggeleng. “Dah banyak kali Beel cuba call tapi tak dapat”.
Puan Sri Normah resah. Ke mana perginya Beel? Kawan yang Beel rapat cuma Fah seorang. Kalau tidak ke rumah Fah ke mana lagi dia?
Haikal memandang Puan Sri Normah. Dia telah pulang menukar baju dan datang kembali. Terasa bagai kesalahannya pula.
Jika dia menahan Puan Sri Normah memarahi Beel tadi, tidaklah begini jadinya. Beel pun satu, sudah dewasa boleh lagi buat perangai kanak-kanak. Dimarah sediki sudah lari dari rumah.
Safwan memandang Haikal dengan wajah kurang senang. Pasti Haikal penyebabnya. Opah disalam. Begitu juga Sakinah yang berada di ruang tamu.
“Wan tahu Beel pergi mana?”
Sakinah mengeluh. “Dah tahu cucu ibu tu manja. Kenapa dimarahnya budak tu?”
Puan Sri Normah memandang Sakinah. Sakit hatinya dengan kata-kata menantunya itu. Namun dia diamkan saja. Beel lebih dirisaui ketika ini.
Fah mengusap belakang opah. Dia tahu opah pasti risaukan Beel. Ke manalah agaknya Beel pergi? Tidak pernah pula Beel merajuk begini. Pasti ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuannya.

##########

Suraya mengerut dahi bila mendapati ada kereta Safwan dan Haikal di rumahnya. Apa yang terjadi? Jam tangan dipandang.
Sudah jam 11.00 malam tapi mengapa Safwan dan Haikal masih berada di sini. Langkah diatur laju masuk ke dalam rumah.
“Kenapa ni?” Suraya menyoal.
Semua mata memandang Suraya. Suraya melihat wajah-wajah di ruang tamu. Sepertinya semua sedang merisaui sesuatu.
Dia mengambil tempat di sebelah mama. Wajah mamanya dipandang. “Kenapa?”
“Beel lari” Sakinah mengucap perlahan.
Suraya mengerutkan dahi. “Beel?”
Sakinah mengangguk. Suraya bersandar pada sofa. Apa lagilah masalah yang ditimbulkan Beel? Fikirnya ada kecemasan yang berlaku, rupanya Beel lari. Cuma itu?
“Macam budak-budak” Suraya merungut. Tidak sedar suaranya meninggi.
Puan Sri Normah memandang. Tadi emak, ini anak pula. “Su, kalau rasa tak nak membantu diam je. Jangan susahkan hati opah boleh?”
Fah memandang. Memang dia tahu perangai Suraya dari kecil begitu. Tempoh perkenalannya dengan Beel bukan sekejap hingga dia tidak tahu siapa yang senang dan tidak senang dengan Beel.
Suraya memandang Haikal. Kelihatannya Haikal juga merisaui Beel. Langkah diatur pada Haikal yang berada agak jauh dari mereka.
“Awak tunggu Beel juga?”
Haikal tersenyum memandang Suraya. Anggukan diberikan. Suraya menarik nafas. “Rasanya baik awak balik je. Beel tu dah besar, dia pandailah balik sendiri”.
Haikal diam. “Tapi …”
“Haikal” Suraya memanggil namanya. Mengharap agar Haikal menuruti permintaannya.
“Awak baru balik kerja kan? Awak rehatlah”.
“Haikal” Suraya membulatkan mata. Tidak menyangka itu jawapan yang Haikal berikan.
Haikal senyum. “Awak rehatlah dulu. Saya nak tunggu Beel balik”.
Suraya diam. Wajahnya masam mencuka mengambil failnya di atas meja. Langkah diatur laju menaiki tangga. Menyampah!
Puan Sri Normah menggenggam tangan Beel. Mana perginya cucu kesayangannya ini? “Nab, mana Nab pergi?”
Haikal memandang. Nama itu, nama itu. Nab?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s