DILARANG NIKAHI AKU – 12

Dia termenung sendiri di hadapan almari bajunya. Baju apa yang harus dia pakai? Takkanlah mahu berbaju kurung seperti tempoh hari?
Beel mencebik. Simpang 44 malaikatlah. Senyumnya melebar. Baju gaun paras lutut diambil dan dilihat. Dan seluar leggingnya berwarna hitam diambil.
Dia sudah punya idea untuk mengusik Kak Sunya!

##########

Beel membuka pintu bilik Suraya. Perlahan langkah diatur menuju ke arah Suraya yang sedang didandan mak andamnya.
Beel meletakkan jari di bibir meminta sang pedandan Kak Sunya mendiamkan diri. Dia berjalan menuju ke arah cermin dan menjerit kecil di telinga Suraya.
Suraya membuka mata yang terpejam. Mujur dia bukan jenis orang yang cepat terkejut. Pandangan dituju buat Beel yang berada di hadapannya.
“Baju apa kau pakai ni?” Suraya mengangkat tangan meminta mak andamnya berhenti.
Beel ketawa mengekek. Dia membuat pusingan badan gaya penari balet. “Cantik tak?”
Suraya mengerutkan dahi. Langsung dia berdiri mendekati Beel. Bahu Beel digenggam sekuat hati hingga Beel mengaduh. “Tukar baju sekarang!”
Beel senyum dan mengangkat bahu. “Tak nak. Kak Su lupa ke hari ni majlis tunang Kak Su? Jangan marah-marah, nanti tak cantik dah”.
Suraya mengetap bibir menahan marah. Dia kembali mengambil tempat di kerusi semula. Beel ketawa senang hati. Lidah dijelir pada Suraya dan dia berlari keluar dari bilik itu.

##########

Haikal melangkah masuk diiringi Hazan dan Puan Sri Normah di belakangnya. Di belakang lagi, Sakinah bersama tiga orang pengikut rombongan lelaki.
Salah seorangnya adalah Syakir dan sepasang suami isteri. Langkah Haikal terhenti saat memandang gadis yang baru tiba di ruang tamu itu. Puan Sri Normah dan Hazan mengerut dahi. Mengapa Haikal berhenti?
Puan Sri Normah menjengah untuk melihat apa yang membuatkan Haikal berhenti. Membulat matanya melihat Beel memakai gaun bersama seluar.
Langkah diatur laju menuju ke arah Beel. Haikal masuk ke dalam rumah setelah ditegur Hazan yang tersenyum melihat karenah Beel.
“Apa Beel pakai ni?” Puan Sri Normah mencubit lengannya sekuat hati.
Beel mengaduh. Kemudian dia tersenyum. “Opah, hari ni hari pertunangan Kak Su. Tu Abang Haikal dah masuk. Baik opah suruh mak long pergi ambil Kak Su dalam bilik”.
Puan Sri Normah menoleh seketika. Wajah Beel dipandang. “Nanti opah kerjakan kamu”. Dan langkah diatur semula ke ruang tamu. Menuju ke arah Sakinah.
Beel tergelak kecil. Seronoknya dia. Hadirin juga merupakan orang dekat semuanya. Pasti mereka sudah mengerti bagaimana sikap Nabilah Anisah, cucu kesayangan Puan Sri Normah.
Langkahnya diatur ke ruang tamu. Beel mengambil tempat di sebelah Hazan yang mewakili pihak lelaki. Sengaja, kerana sudah lama tidak bertemu Hazan.
Hazan senyum dan mengusap kepala Beel. “Comel Beel hari ni”.
Beel senyum. “Betul?”
Hazan mengangguk. Senyum diberikan buat adik sepupu bakal menantunya itu. Dan majlis diteruskan bila Sakinah tiba bersama Suraya yang lengkap memakai kebaya bersulam.

##########

Matanya terpisat-pisat menahan ngantuk. Bosannya majlis pertunangan begini. Dia sudahlah memang tidak boleh duduk diam begitu. Hazan di hadapan dicuit.
“Pak cik”.
Hazan memandang. “Kenapa ni?”
“Beel ngantuk. Ngantuk sangat”.
Hazan senyum. “Nak selesai dah ni. Nanti Beel tidur ye?”
Anggukan Beel berikan walau matanya sudah terpejam. Hazan kembali memberi perhatian pada Suraya dan Haikal di hadapannya.
Sakinah menghulurkan cincin buat pasangan itu. Suraya mengambil cincin bersaiz Haikal dan menyarungnya ke jari lelaki itu.
Seterusnya Haikal menyarungkan cincin ke jari manis Suraya. Hadirin mengucap amin. Selesai sudah majlis pertunangan ini. Suraya menyalami Haikal sebagai penutup.
Mak Jah dan Irah yang sudah siap menghidang di taman belakang memanggil hadirin yang beberapa kerat itu untuk menjamu selera.
Hazan menoleh ke belakang untuk melihat Beel kesayangannya. Senyum terukir bila gadis itu masih tersengguk-sengguk menahan mata.
“Beel” Hazan mengejut lembut.
Beel mengangkat wajah dengan mata separuh terpejam. “Dah habis ke?”
Hazan senyum lagi. “Dah. Kalau mengantuk, pergilah tidur”.
Beel mengangguk. Melihat-lihat sekeliling. Matanya cuba dibuka seluas mungkin. Dia tersenyum mendapati yang tinggal di ruang tamu hanya dia, Hazan, Haikal, Suraya dan juga opah.
Beel menggeliat. Langsung dia naik ke sofa dan melelapkan mata. Akhirnya dapat juga dia tidur sepuasnya.
Puan Sri Normah mengerut dahi melihat Beel yang sudah tertidur. Langkah diatur menuju ke arah Beel. Tubuh gadis itu digerakkan namun Beel sudah lena. Sukar untuk dikejutkan.
Suraya melihat dengan perasaan menyampah. “Tak malu betul” ngomelnya perlahan.
Haikal di sisi Suraya turut melihat. Kepala digeleng-geleng melihat opah yang tadinya mengejut Beel sudah mendodoinya pula. ‘Susah juga kalau sayang sangat ni’.
“Jom makan” Suraya menjemput Haikal dan Hazan yang sama-sama menonton drama ‘Beel’.
Haikal mengangguk. Dia mengiringi langkah Suraya namun Hazan masih di dalam. Puan Sri Normah mengangkat kepala Beel dan meletakkan bantal di bawahnya.
“Mak cik sayang betul dengan Beel kan?”
Puan Sri Normah memaling tubuh menghadap Hazan. Senyum dilemparkan buat Hazan. Dan dia mengangguk. “Beel ni dah macam cahaya hati mak cik. Kalau tak de dia, mak cik pun tak tahu macam mana nak hidup”.
Hazan ketawa kecil. “Sampai macam tu sekali?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Tapi tulah, nakal sangat. Orang macam Beel ni cuma ada orang sayang, orang benci. Dia pun belum dewasa, belum cukup matang lagi. Mak cik selalu risau, kalau mak cik dah tak de nanti … Siapalah yang nak jaga dia?”
Hazan diam mendengar kata-kata Puan Sri Normah. Tentu sekali dia akan menjaga Beel kalau itu yang Puan Sri Normah risaukan. Tapi dia hanya menyimpan fikiran itu di dalam, tidak diberitahu pada Puan Sri Normah.
Puan Sri Normah melepas nafas. Dia mencium pipi Beel tersayang dan mengajak Hazan menjamu selera di luar.

###########

Dua sahabat itu melangkah keluar dari dewan peperiksaan. Senyum lebar terukir di bibir mereka menandakan kelegaan yang amat.
“Ye!!” Beel menjerit sepuas hati. Fah di sisi dipeluk seerat mungkin.
Fah ketawa dalam pelukan Beel. Beel melepaskan pelukan dan melihat wajah ceria Fah. “Lega kan?”
Fah mengangguk. “Dah habis periksa. Dah habis belajar. Dah habis sekolah. Ringan otak aku”.
Beel mengangguk mengiakan. Langkah diatur bersama menuju ke Alphard yang setia menunggu cik mudanya. “Nak buat apa lepas ni?”
Fah diam. Kemudian senyum menggenggam tangan Beel. “Kita ajak abang pergi merayau nak tak?”
Beel senyum lebar. “Pergi mana?”
“Kau teringin nak pergi mana? Penang kan?”
Beel mengangguk. “Kau pun nak pergi Penang juga kan?”
Fah mengangguk laju. “Ok. Kalau macam tu, kita pergi Penanglah. Nanti aku deal dengan abang”.
Beel ketawa kecil. Bahu Fah dipaut. Fahlah sahabat sehidup sematinya. Tidak sabar rasanya mahu ‘merayau’ ke Pulau Pinang yang diberi gelaran Pulau Mutiara itu.

##########

Puan Sri Normah dan Sakinah mengangguk mengiakan kata-kata Hazan. Bagus juga menikahkan Suraya dan Beel pada bulan Disember. Kerana keduanya bebas dari komitmen kerja.
“Su ok ke?” Puan Sri Normah menyoal Suraya yang duduk di sisi Sakinah.
Suraya tersenyum. Puan Sri Normah mengangguk tanda memahami. Kemudian dia memandang Haikal pula. “Haikal?”
Haikal ikut tersenyum. Hazan menepuk-nepuk bahu Haikal. “Ok. Jadi kita boleh mula buat persiapan”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Betul tu. Mak cik ingat kita buat majlis kat rumah ni je. Boleh?”
Hazan mengangguk tanda setuju. Sakinah tersenyum memegang tangan Suraya. Tidak lama lagi, majlis perkahwinan antara Suraya dan Haikal akan berlangsung.

##########

Safwan mengeluh membaca surat yang diberikan bosnya. Briefcase diletakkan di atas kusyen dan dia duduk berehat di situ.
Fah yang baru selesai menghidang makanan di meja makan berlari anak menyambut abangnya. “Abang” tangan dihulur menyalami Safwan.
Safwan tersenyum. “Dah solat Isya’ ke?”
Fah mengangguk. “Dah. Abang nak makan dulu ke nak solat dulu?”
Safwan memejam mata. Fah mengerut dahi melihat reaksi Safwan. Surat di tangan Safwan dipandang. “Surat apa tu?”
Safwan membuka matanya dan duduk menegak menghadap Fah. “Fah …”
Fah menanti dengan kerutan dahi. Mengapa nada abangnya seperti mahu memujuk? Atau abang ada buat salah apa-apa padanya?
“Abang … Abang minta maaf ye”
“Kenapa?”
Safwan menarik nafas. Surat di tangan ditunjuk pada Fah. Fah tidak mengambil sebaliknya menanya, “Surat apa tu?”
“Abang memang ingat nak bawa Fah balik Terengganu cuti hujung tahun ni. Tapi … abang kena kerja”.
Fah terdiam. Terengganu. Iya, sudah lama mereka tidak pulang ke Terengganu melihat rumah abah. Terakhir kalinya adalah lima tahun lepas. Kerana abah dan ibu keduanya sudah tiada dan mereka pula hanya dua beradik.
Dia tidak kisah tidak dapat pulang ke Terengganu. Tapi jika abangnya terpaksa bekerja pada hari cuti, bagaimana dengan rencananya mahu ke Pulau Pinang bersama Beel?
“Fah” Safwan memandang adik kesayangannya itu. Cuba memujuk.
Fah senyum. “Tak pe, Fah faham. Lagi pun abang kerja keras ni untuk Fah juga kan?”
“Abang minta maaf sangat-sangat. Fah marah abang ke?”
Fah menggeleng. Mana mungkin dia marah pada satu-satu abang yang dia miliki. “Abang kena pergi mana?”
“Penang”.
Safwan mengerut dahi melihat wajah Fah yang kecewa ber’cahaya’ tiba-tiba, menggambarkan gembiranya dia mendengar perkataan ‘Penang’.
Fah langsung memaut lengan Safwan. “Fah nak ikut”.
Safwan mengerut dahi. “Selalu abang ajak ikut abang pergi buat kerja tak nak. Ni kenapa?”
“Beel ikut. Kami dah plan nak pergi Penang. Sementara abang kerja, boleh kita orang merayap”.
Safwan memandang. “Betul ni? Fah dah tak marah abang?”
Fah menggeleng. “Tak marah pun. Boleh kan Fah dengan Beel ikut?”
Pipi Fah dicuit. “Boleh. Tapi opah bagi ke Beel pergi?”
Fah terdiam mendengar kata-kata Safwan. Ya tak ya juga, apakah opah akan mengizinkan Beel ikut serta bersama mereka?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s