DILARANG NIKAHI AKU – 13

Berkerut dahi Haikal membaca jadual kerja yang diberikan setiausahanya. Wajah setiausaha yang bernama Linda itu dipandang serius.
“Apa ni Linda?”
Linda diam. Tahu bahawa majikannya marah dengan jadual kerja yang tak dapat dielakkan.
“Kan saya dan cakap. Disember ni kosongkan semua jadual saya. Saya ada kenduri kahwin. Pengantinnya saya! Takkanlah saya nak biar bakal isteri saya buat persiapan sendiri-sendiri?”
Linda menunduk. Memang Haikal majikan dan bos yang baik. Tapi bila dia marah, agaknya harimau pun tak berani dekat.
“Janganlah diam je. Saya tanya, awak jawab. Bukan saya tanya, awak tutup mulut. Buka mulut awak tu Linda!!” Haikal meninggikan suara. Marah benar dia pada Linda.
Sudah beberapa kali dia berpesan pada Linda, Disembernya harus bebas dari komitmen kerja. Tolak semua klien yang ingin berurusan dengan mereka pada Disember.
Haikal menarik nafas. Dia sudah merencana untuk membantu Suraya memilih barang-barang untuk kenduri. Apatah lagi, Suraya sudah semangat mahu menyiapkan bilik pengantin dan sebagainya. Apa yang harus dia lakukan jika Suraya merajuk?
“Saya minta maaf En.Haikal” Linda mengucap perlahan selepas beberapa ketika Haikal mendiamkan diri.
Haikal diam. Nafas dilepas. Fikirnya mahu membantu Suraya tapi ini apa? Harus berada di Pulau Pinang selama tiga hari?
“Itu pun saya dah cuba kosongkan jadual En.Haikal. Cuma yang kat Penang tu memang tak boleh nak elakkan”.
Haikal menarik nafas. “Dah lah. Apa awak cakap pun, saya kena pergi juga kan?”
Linda mengangguk perlahan. Haikal mengangkat tangan meminta Linda keluar dari biliknya. Nafas dilepas. Tiga hari adalah tempoh kerja semata.
Dia akan meminta Syakir menemaninya dan mereka akan bercuti pada hari keempat. Hanya empat hari yang dia ada, jika tidak jenuh juga dia mahu memujuk Suraya.

##########

Beel termenung sendiri di mejanya. Apa yang harus dia lakukan? Keputusannya telah diperoleh. Dia telah pun mula bercuti.
Masalahnya opah sibuk menyiapkan majlis perkahwinan Suraya. Rumahnya juga sudah seperti kedai kahwin. Penuh dengan barang hantaranlah, bunga telurlah. Rimas pula jadinya.
Iyalah kenduri besar-besaran. Yang Beel dengar dari mak longnya yang kuat berlagak itu, pihak media turut dijemput. Siapa yang tidak mengenali Puan Sri Normah?
Sebenarnya Beel tahu sangat itu kerja mak long dan Kak Su yang gilakan nama itu. Mahu memberitahu semua orang bahawa cucu Puan Sri Normah bakal mendirikan rumah tangga.
Bagaimana dia mahu memberitahu opah yang dia mahu bercuti bersama abang Wan dan Fah ke Pulau Pinang?

##########

“Aku pergi dulu”.
Beel mengangguk. Melambai tangan pada Fah yang sudah masuk ke dalam kereta Safwan. Awalnya mereka keluar bersama tapi Safwan punya kecemasan dan Fah harus dibawa bersama.
Dia tersenyum melangkah pada Alphard yang setia menanti. Langkah diatur perlahan. Namun, perasaannya tiba-tiba tidak enak. Mengapa dia berperasaan begini?
Kepala ditoleh ke belakang. Tiada apa-apa. Hanya orang-orang yang masing-masing sibuk dengan urusan mereka. Tapi mengapa dia terasa seperti diekori?
Beel berlari anak dan dia menoleh. Baru dia perasan dia diekori sekumpulan ‘mat motor’. Nafasnya turun naik. Apa yang harus dia lakukan? Alphard masih jauh di hadapan.
Walau boleh dilihat dengan mata kasar, untuk sampai kepadanya harus melalui satu kawasan sunyi. Beel menarik nafas. Bagaimana pun, dirinya harus diselamatkan terlebih dahulu.

#########

Puan Sri Normah memandang jam dinding. Sudah jam 11.00 malam. Tapi Beel masih tidak pulang-pulang. Ke mana pula perginya?
Mak Jah di sisi Puan Sri Normah cuba menenangkan Puan Sri Normah dengan andaian positifnya. Tapi ia bukan membuatkan Puan Sri Normah lega sebaliknya bertambah risau.
Suraya merungut-rungut sendiri. ‘Hari tu baru je hilang. Ni hilang lagi. Kalau tak cari fasal setahun tak boleh ke?’
“Opah. Opah ada gaduh dengan Beel ke?” Suraya menyoal opahnya.
Puan Sri Normah mengerut dahi. Baru dia ingat sekarang. Hari ini dia langsung tidak punya waktu untuk cucunya itu. Dari pagi hingga petang sibuk berbincang dengan wakil butik mengenai persalinan pengantin Suraya dan Haikal.
Sedar-sedar rupanya Beel tiada di rumah itu. Beel juga, keluar tidak meminta izin atau memberitahu. Selalunya gadis itu akan memaklumkan mana saja dia pergi tapi kenapa kali ini tidak?
“Ada ke tak de? Cucu opah ni mengadalah. Penatlah Su macam ni. Dia tak tahu ke semua orang sibuk buat persiapan? Dia boleh pula buat perangai macam ni” Suraya memandang opah dengan wajah marahnya.
Puan Sri Normah diam mendengar kata-kata Suraya. Zamri berdehem. Tidak suka dengan kata-kata yang dikeluarkan puterinya. “Hormat sikit opah kamu tu tak boleh ke?”
Suraya mendengus. Sakinah di sisinya memujuk. Dia juga geram dengan Beel. Mengapalah harus buat hal di waktu sebegini? Tidak cukupkah dengan perhatian yang diberikan selama ini? Masih ingin perhatian lagi.
“Puan sri! Puan sri!”
Puan Sri Normah berdiri bila mendengar suara Pak Lan yang berlari-lari masuk ke dalam. Wajah Pak Lan yang sedang mengah kerana berlari itu dipandang.
“Mana Beel? Kenapa sekarang baru balik? Telefon, kenapa tak telefon cakap apa-apa? Beel mana?”
Suraya mengeluh. “Risau sangat”.
Pak Lan mengerut dahinya. “Cik Beel tak balik lagi ke?”
“Dia tak keluar dengan awak ke?” Puan Sri Normah membulatkan mata.
“Memang dia keluar dengan saya. Tapi dia turun makan dengan Cik Fah. Dari tadi saya tunggu Cik Beel tapi dia tak muncul-muncul. Saya dah cuba cari kat kawasan sekitar situ tapi tak jumpa. Saya ingatkan …”
Puan Sri Normah semakin gelisah. Irah yang berada di hujung sofa dipandang. “Irah, cepat telefon Fah. Tanya kalau ada Beel cakap apa-apa. Lepas tu cuba telefon Beel lagi. Kalau-kalau ada jawapan”.
Irah mengangguk dan mula mendail. Puan Sri Normah berjalan mundar-mandir merisaui cucunya. Ke manalah Beel menghilang?
Haikal juga. Dari jam 9.00 malam tadi dia keluar mencari Beel. Takkan tiada walau sepatah khabar apa-apa? Pulang juga tidak. Telefon juga tak dijawabnya.
“Mama” Suraya mengerut dahi memandang mamanya. Memprotes.
Sakinah mengeluh. “Kita tunggu Beel balik dulu”.
“Beel, Beel, Beel” rungut Suraya.
Haikal yang baru tiba melangkah masuk ke ruang depan. Melihat Puan Sri Normah yang resah gelisah, opah dipanggil.
“Opah”.
“Haikal, jumpa Beel?”
Haikal menggeleng. Wajah opah dipandang. Kasihan pula dia. Ke mana perginya Beel sebenarnya? Mengapa tidak memberi khabar apa-apa? Takkanlah merajuk lagi? Tidak tahukah dia opah sedang sibuk menguruskan urusan perkahwinan Suraya?
Serentak itu, Safwan masuk bersama Fah. Fah berlari anak menuju pada opah. “Opah”.
“Fah tahu mana Beel pergi?”
Fah menggeleng. “Dah cuba call?”
Puan Sri Normah mengangguk. Irah dipandang sekilas. “Dah cuba tapi tak dapat”.
Fah mengerut dahi. Tadi rasanya dia dan Beel berpisah dalam keadaan baik. Tidak pula terlihat Beel merajuk atau ‘mood’ tidak baik. Atau jangan-jangan …
Fah menggeleng laju. “Astaghfirullah, apa aku fikir ni?” Fah membebel sendirian.
Suraya rimas melihat suasana kelam-kabut yang merisaukan Beel. “Haikal, awak baliklah. Esok kita kena pergi tengok pelamin kan?”
Haikal senyum. “Awak pergilah tidur. Saya nak keluar cari Beel balik”.
“Haikal” Suraya memandang.
Haikal menggeleng. Malas mahu melayan. Opah dipandang. “Macam mana ni opah?”
Safwan menarik nafas. “Biar Wan dengan keluar dengan Haikal. Kita orang cari Beel lagi”.
Suraya bangun berdiri. Geram dan sakit hati semuanya bersatu. “Baguslah. Dari dulu sampai sekarang asyik Beel je. Opah memang ada seorang cucu je kan? Beel, Beel, Beel. Dah risau sangat macam ni, kalau kena rogol bagus juga. Barulah berbaloi risau kan?”
Zamri membulatkan mata. Spontan tangan melayang pada pipi Suraya. “Siapa ajar Su cakap macam ni? Beel tu adik kamu, kamu sedar tak?”
Suraya memandang papanya dengan mata yang sudah ditakungi air. “Habis Beel pernah anggap Su kakak dia? Semua orang dalam rumah ni kisahkan Beel je. Agaknya kalau dia kena rogol pun, dia masih yang terbaikkan?”
Puan Sri Normah menahan sabar mendengar kata-kata Suraya. Dia tidak boleh terlalu marah. Itu akan membahayakan kesihatannya. Fah di sisi dipaut seerat mungkin.
“Awak pun sama” Suraya membiarkan air matanya mengalir membasahi pipi, memandang Haikal. “Kadang-kadang saya tertanya, awak ni bakal suami saya ke bakal suami Beel?”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s