DILARANG NIKAHI AKU – 14

Suasana sunyi seketika selepas Suraya beredar dari ruang depan. Berlari naik ke atas dan dikejar Sakinah. Zamri hanya menggeleng-geleng kepala melihat kedua anak isterinya itu berdrama.
“Haikal” Zamri memanggil.
Haikal memandang Zamri. “Ya pak cik?”
“Pak cik rasa baik kamu cuba pergi cari Beel kat kawasan yang Pak Lan cakap tu lagi sekali. Mana tahu kalau-kalau jumpa”.
Haikal mengangguk. Apa jua cara harus dicuba? Bagaimana kalau Beel ditimpa bahaya? “Ok”.
Safwan menghampiri Haikal. “Aku nak ikut”.
Haikal mengangguk menyetujui. Kunci kereta dikeluarkan dan mereka melangkah keluar dari Villa An.
Puan Sri Normah melepas nafas. Irah dipandang. “Dapat tak?”
Irah meletak gagang telefon. Wajah majikannya dipandang. Kepalanya digeleng, “Tak dapat puan sri”.

##########

Matanya melilau melihat sekeliling. Malam makin pekat. Pasti jam sekarang sudah melepasi jam 12 malam. Tangan disapu ketakutan juga kesejukan.
Nafas dilepas. “Aku kat mana ni?”
Lari dari lelaki bermotosikal tadi menyebabkan dia terpisah jauh dari Pak Lan. Dia sendiri tidak tahu dia di mana. Selalunya dia berkereta tapi kali ini berjalan kaki pula. Bagaimana dia mahu mencari jalan pulang?
Telefon bimbitnya pula telah kehabisan bateri sejak siang tadi. Power banknya ditinggalkan di dalam kereta. Untuk menelefon rumah menggunakan telefon awam pula, dia langsung tidak membawa duit bersamanya.
“Opah, Beel nak balik” Beel mula merengek. Matanya melilau lagi. Mana satu jalan pulang? Yang dilihat cuma manusia yang tidak dikenali. Tidak diketahui nama dan orangnya.
Beel melepas nafas. Agaknya sampai bilalah dia akan berada dalam keadaan ini?

##########

Suraya menangis semahu-mahunya di atas katil. Sampai hati Haikal buat begini padanya. Apakah keputusannya menerima lamaran Haikal adalah keputusan yang tepat?
Bantal dipeluk dan matanya dipejam. Esakannya dilepas habis-habisan. Opah juga. Dari dulu, sejak Beel pindah masuk ke dalam rumah ini, opah langsung tidak kisahkannya.
Semuanya Beel. Beel, Beel dan juga Beel. Dia letih, dia bosan mendengar kata-kata opah. Itu Beel, ini juga Beel. Apakah opah memang tidak sayangkannya?
“Su” Sakinah muncul di muka pintu bilik Suraya.
Suraya membuka mata mendengar suara mamanya. “Mama”.
Sakinah menguntum senyum. Langkah diatur pada Suraya puterinya itu. Tubuh Suraya dirangkul erat. Sayangnya pada Suraya adalah amat. Dia sangat sayangkan Suraya.
“Jangan macam ni” Sakinah berkata separuh berbisik.
“Su anak angkat papa ke?” Suraya menyoal dengan deraian air matanya.
Sakinah mengerut dahi. “Kenapa Su tanya macam tu?”
“Opah tak pernah sayangkan Su. Opah tak pernah kisahkan Su. Semuanya Beel. Su tahu Beel anak kandung Pak Su Zahid kan? Habis Su ni anak angkat papa ke?”
Sakinah menggeleng laju. Tidak suka Suraya berkata begini. Tidak suka anaknya selemah ini. Suraya yang dia didik dan besarkan adalah Suraya yang kuat dan tidak suka menyerah. Suraya yang akan mempertahankan haknya dari diambil orang.
“Su anak kandung mama dengan papa. Kenapa cakap macam ni? Su yang mama kenal bukan macam ni. Dia tak lembik macam Su sekarang. Su yang mama kenal akan lawan balik. Kalau Beel rampas opah kamu, kamu kena rampas dari dia balik. Bukan menangis macam ni” Sakinah memujuk dengan kata-kata ‘semangatnya’.
Suraya memandang wajah mamanya. “Rampas balik?”
Sakinah mengangguk. Pipi Suraya diusap. “Ingat apa mama pesan ni. Suraya Hanisah bukan orang yang lemah. Bukan orang yang menyerah tapi orang yang melawan. Yang akan pertahankan hak dia sebaik mungkin”.
Suraya memandang mama. Perlahan anggukan diberikan. Dia tidak akan membiarkan dia dibuli lagi. Dia tidak akan membiarkan Beel mengambil haknya lagi. Dia akan pertahankan sebaik mungkin.

##########

Safwan mengerut dahi bila Haikal memperlahankan kereta. Haikal dipandang. “Kenapa?”
“Cuba kau tengok tu. Beel kan?” Haikal menunjuk pada seorang gadis yang berjalan di tepi jalan.
Safwan memandang. Dia mengangguk laju. “Beel tu. Cepat. Pergi kat dia”.
Haikal mengangguk dan mula memandu ke arah gadis itu. Keretanya dekat pada Beel tapi Beel makin laju berjalan.
Beel menggenggam kedua belah tangannya. Dia yakin kereta di belakangnya ini sedang mengekorinya. Telefon bimbit dari poket dikeluarkan. Berlakon konon sedang menghubungi seseorang.
Safwan memandang Haikal. “Kenapa kau jalan lagi? Berhentilah. Aku rasa Beel dah takut tu”.
Haikal memandang Safwan. Dia hanya mahu mengajar gadis bernama Beel itu. Jika tahu takut, mengapalah keluar malam-malam buta? Tidak cukupkah merisaukan orang tempoh hari?
Beel menelan liurnya. Dia nekad. Apa pun yang terjadi dia perlu melintas. Hanya itu jalan keluar yang dapat dia fikirkan sekarang.
Nafas ditarik dan dia segera berlari ke arah kanannya. Tapi kereta itu lebih pantas menahannya hingga telefon bimbitnya jatuh dan digilis tayar kereta itu.
Haikal bergegas keluar dari kereta. Segera melihat kalau-kalau Beel sudah dilanggarnya. “Awak ok tak?”
Beel mengerut dahi. Wajah diangkat memandang Haikal. Nafas dilepas. “Awak lagi? Saya ok, tu ..”
Haikal melihat arah yang ditunjukkan Beel. Membulat mata Haikal melihat telefon bimbit Beel yang sudah pecah di atas jalan raya.
“Awak ni nak balas dendam fasal Lenovo dulu tu ke?”
Haikal diam. Mengapa Safwan masih belum keluar kereta? Wajah Beel dipandang. “Yang kau merayau tengah-tengah malam ni kenapa? Tak tahu semua risau?”
Safwan mendengus. Apa yang tidak kena dengan tali pinggang keledar kereta Haikal ini? Sengaja tidak mahu beri dia berjumpa Beelkah? Mengapa harus rosak di waktu ini?
Tali pinggang keledar itu dipicit lagi. Tetap tidak menjadi. Dia memandang Beel dan Haikal yang sedang berbual sekilas. Perasaannya mula tak enak. Pasti Beel dimarahi Haikal.
Nafas dilepas seketika. Dipicit lagi, akhirnya ia terbuka juga. Segera Safwan turun dari kereta dan mendekati mereka.
“Beel” dia memanggil Beel lembut.
Beel menoleh ke belakangnya. Matanya membulat melihat wajah itu. “Abang Wan!!!”
Segera Beel berlari memeluk Safwan. Air matanya mula menitis bila Safwan bertanya apa yang terjadi dan bagaimana dia boleh terpisah dengan Pak Lan.
Haikal mengeluh. Agaknya dia memang tidak pandai memujuk. Dia tidak tahu pun bahawa Beel sendiri sedang bersedih. Fikirnya Beel merajuk lagi seperti tempoh hari.
“Sembang dalam keretalah” Haikal memandang Safwan. Safwan mengangguk dan membimbing Beel masuk ke dalam kereta.
“Kenapa abang Wan lambat?” Beel menyoal dalam esakannya.
Safwan menguntum senyum. “Beel ke mana? Kenapa tak telefon opah atau rumah? Telefon Fah ke? Opah asyik tanya je fasal Nab dia ni”.
Beel menangis lagi. Teringat apa yang terjadi pada petang tadi. Mujur saja dia mampu menyelamatkan diri. Jika tidak mungkin saja dia sudah menjadi arwah sekarang.
Haikal menjeling dari tempat pemandu. Nampaknya seperti ada sesuatu yang menimpa Beel. Pasti Beel tidak mahu bercerita kerana dia ada bersama. Entah kenapa, terasa kecil hati pula dengan sikap Beel itu.

##########

Puan Sri Normah tergamam melihat gadis yang berlari ke arahnya itu. Kelihatan wajah itu sugul, dilanda kesedihan. Dan sedang mengalirkan air mata.
“Opah …”
Puan Sri Normah menarik nafasnya. Tubuh Beel dipeluk seerat mungkin. Beel menangis lagi. Dia fikir, dia tidak akan dapat bertemu opah lagi.
Puan Sri Normah memandang Safwan dari dalam pelukan Beel. Safwan hanya mengangkat bahu dan menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak sempat berbual apa-apa dengan Beel.
Semasa di dalam kereta tadi, Beel asyik menangis saja. Safwan sendiri tidak tahu mengapa Beel tidak mahu bercerita. Selalunya Beel ringan mulut mahu bercerita tetapi kali ini dia sendiri tidak tahu apa yang terjadi.
Fah di sisi Puan Sri Normah tersenyum memandangnya. Asalkan Beel pulang, itu sudah mencukupi. Wajah abangnya dipandang dan Fah mendekati Safwan.
“Abang, jom balik. Beel dah ok tu, lagi pun kalau kita tunggu Beel buka mulut, memang sekarang bukan masanya” Fah memaut tangan abangnya.
Safwan mengangguk dan mereka mendekati Puan Sri Normah. “Opah”.
Beel melepaskan pelukannya bila mendengar suara abang Wan memanggil opahnya.
“Saya dengan Fah nak minta diri dulu”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Terima kasih dah bawa pulang Beel. Jaga diri”.
Safwan mengangguk. Fah melangkah ke arah Beel. Tangan sahabatnya itu dipaut. “Aku balik dulu. Apa-apa hal, kau call je”.
Beel mengangguk. Tubuh Fah dipeluk seketika. Dia berbisik. “Banyak yang aku nak cerita”.
Fah menguntum senyum. Dia dan Safwan melangkah keluar dari ruang depan Villa An. Puan Sri Normah memandang Haikal yang masih kekal di tempatnya.
“Haikal bolehlah balik. Dah tak de apa nak dirisaukan”.
Haikal tersenyum pada opah. Dia bangun dari sofa dan menunduk pada Puan Sri Normah. Puan Sri Normah membalas senyumnya dan mengucapkan terima kasih.
Haikal memandang Beel sekilas namun Beel langsung tidak mempedulikannya. Haikal melepas nafas dan langsung beredar. Zamri turut masuk ke biliknya sesudah pemergian Haikal.
“Jomlah. Malam ni Beel tidur bilik opah ye?”
Beel mengangguk. Dia memimpin tangan Puan Sri Normah menaiki tangga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s