DILARANG NIKAHI AKU – 15

“Opah”.
“Hmm..”
“Opah marahkan Beel ke?” Beel yang sedang berbaring di ribaan opahnya menyoal.
Puan Sri Normah menggeleng. “Opah tak marahkan Beel .. Cuma opah nak tahu apa yang terjadi sebenarnya?”
Beel diam. Wajah opah dipandang. Matanya dipejam. “Hari ni Beel ada buat salah dengan opah”.
“Salah?” Puan Sri Normah mengerutkan dahi.
Beel memberi anggukan. “Beel keluar tak minta izin. Tak bagi tahu opah langsung. Kan?”
Puan Sri Normah tersenyum. “Tak pe. Opah tahu waktu Beel keluar tadi opah tengah bincang dengan orang kedai pengantin fasal pelamin Kak Su kan?”
Beel mengangguk. Padanya pasti disebabkan dia tidak meminta izin dari opah, Tuhan mentakdirkan dia dikejar lelaki bermotosikal tadi. Mujur saja dia uzur, jika tidak jenuh juga mahu mengqadha’ waktu solat yang dia tertinggal kerana bersembunyi.
Puan Sri Normah mengusap pipi cucu kesayangannya. “Beel tengah fikir apa?”
Beel menggeleng. Hanya senyum yang dilemparkan buat opahnya. Tubuh opah dipeluk seerat mungkin.

##########

Haikal memasuki kedai Nokia yang dilihatnya. Teringat telefon bimbit Beel yang digilisnya semalam.
Seingatnya telefon bimbit yang Beel gunakan berjenama Nokia. Langkah kakinya terhenti buat beberapa ketika.
‘Kenapa aku nak belikan dia fon baru?’ Bukankah dia tidak sengaja? Juga bukan salahnya telefon bimbit itu terjatuh. Tapi Beel yang bertindak terburu-buru dengan melintas jalan.
Kepala digeleng. Apa-apa pun, ia tetap salahnya. Jadi dia tetap harus memberikan telefon bimbit baru untuk kegunaan Beel.

##########

Fah melepas nafas. Dengan telefon bimbit dipasang pembesar suara, dia berbaring. “Habis kau ok tak ni?”
Beel diam mendengar soalan temannya. “Bolehlah. Lagi pun, sebenarnya aku ni tersesat je. Lepas tu, fon habis bateri. Tu yang gelabah”.
Fah mengeluarkan suaranya tanda setuju. “Fon kau?”
“Tak pelah. Malas nak fikir. Buat masa sekarang ni, tak yah gunalah dulu”.
Fah mengerut dahi. “Mana boleh macam tu! Susah nak contact kau nanti”.
“Taklah. Aku dengan kau je kan. Tengoklah nanti aku belilah. Sekarang aku malas nak cakap dengan opah. Nanti macam-macam dia tanya”.
Fah mengeluh. “Beel, opah tu macam tu sebab dia sayang kau. Habis, macam mana aku nak contact kau ni?”
“Alah, telefon rumah kan ada. Apa susah?”
“Yelah. Tahun depan kau nak sambung mana?”
Beel diam. “Aku ikut kau je lah. Kita pergi Lim Kok Wing nak?”
Fah diam. “Tengoklah dulu. Aku kena tanya abang. Fasal Penang tu ..”
“Kenapa? Tak jadi ke?”
Fah ketawa kecil dalam talian. “Jadi tu memanglah jadi, tapi … kau dah bagi tahu opah ke?”
Beel diam. Dia lupa pula untuk memaklumkan opahnya. Maklumlah sejak kejadian sehari lalu, opah banyak menghabiskan masa bersama Suraya. Beel faham.
Dia telah mendengar semuanya dari Irah. Dia juga memang bukan berniat untuk merampas semuanya dari Suraya seperti yang Suraya fikirkan. Cuma kalau itu yang Suraya rasakan, dia juga tidak boleh melakukan apa-apa.
Dia juga hairan dengan cerita Irah. Haikal dan Suraya bergaduh kerananya? Apakah itu bermaksud Haikal juga risaukannya? Nafas dilepas. Tidak mungkinlah.
‘Takkanlah pak cik tu risau kat aku. Merapu gila!’

###########

Suraya menjeling Beel yang mendekati Puan Sri Normah. Suka benar mengganggu waktunya bersama opah.
Puan Sri Normah mengerut dahi melihat gelagat Suraya. Lantas kepalanya ditoleh ke belakang. Senyum diukir buat Beel yang berada di berdiri tegak bagai pengawal bangunan.
Suraya langsung menghempas garfu yang berada di tangannya. “Tak pelah opah. Su nak call Haikal jap. Kenapalah tak sampai-sampai lagi?”
Puan Sri Normah tersenyum dan Beel mengambil tempat di sisi Puan Sri Normah. “Opaaah..”
Puan Sri Normah ketawa kecil dan mengangguk. Kalau Beel membuat nada suara begini, pasti ada sesuatu yang dia mahukan dari opahnya. “Kenapa Nab opah ni?”
Beel sengih. “Beel nak … Beel …”
“Nak apa?”
“Beel nak ikut abang Wan dengan Fah pergi Penang boleh?”
Puan Sri Normah membulatkan mata. “Penang?”
Beel mengangguk. Masih lagi menguntum senyum. Puan Sri Normah menggeleng. “Tak nak. Jauh sangat tu. Penang tu kat utara tau. Tak boleh, opah tak bagi”.
Beel merengek mendengar kata-kata opahnya. “Naklah. Nak ikut abang Wan. Beel pergi seminggu je. Beel janji”.
Puan Sri Normah menggeleng. Tubuh Beel dibelakangkan. Tidak pernah dia terpisah dengan Beel sejauh itu. Tidak mahulah dia. Bagaimana kalau ada sesuatu yang menimpa cucunya?
“Opaaaaaah…”
Puan Sri Normah mengeluh. Siapa yang dapat menolak rengekan manja Beel? Wajah itu dipandang kembali. “Pergi berapa orang?”
Beel senyum. “Opah izinkan?”
“Berapa orang perginya?”
“Tiga”.
“Tiga?” Puan Sri Normah mengerutkan dahi.
Beel mengangguk. “Abang Wan, Fah dan Beel lah”.
“Ajak Irah temankan Beel”.
“Kak Irah ke?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Kalau ada Putih, opah suruh Putih temankan Beel. Tapi dia tak de, Beel ajak Irah boleh?”
Beel sengih dan memeluk opahnya sekuat hati. “Boleh sangat. Asalkabn opah bagi izin, semua Beel boleh buat!”
Puan Sri Normah tersenyum. Kegembiraan Beel adalah kegembiraannya. “Tapi kena balik sebelum majlis Kak Su”.
“Ok! Beres bos! Sayang opah!” Beel mencium pipi Puan Sri Normah dan berlari masuk ke dalam rumah semula. Tidak sedar kelakuannya diperhati kakak sepupunya yang kuat cemburu.

###########

Irah menoleh ke belakang bila mendengar namanya dipanggil Cik Beel. Rupanya Cik Beel sudah terpacak di pintu dapur.
“Ya?”
Beel sengih. Dia mengambil tempat di sisi Irah yang sedang menyediakan bahan untuk masak tengah hari. “Beel nak ..”
Mak Jah di sinki menoleh. Kepalanya digeleng. Pasti ada sesuatu yang dimahukan Cik Beel. Jika tidak, suaranya tidak semanja itu.
Irah menjongket kening. Menanti kata-kata Beel. Beel menarik nafas dan melepasnya. Konon meredakan debaran di hati. “Beel nak ajak Kak Irah ikut Beel boleh?”
Irah mengerutkan dahi. “Ajak ke mana?”
“Penang”.
Irah menelan liur. “Jauhnya”.
Beel senyum. “Jangan risau. Opah yang suruh Kak Irah temankan Beel. Boleh kan? Kalau opah yang suruh, mesti Kak Irah kata boleh kan?”
Irah ketawa kecil. Anggukan diberikan. Mak Jah ikut ketawa. Bilalah agaknya Cik Beelnya ini akan bersikap lebih matang? Sentiasa bermain-main saja. Mujurlah mudah membuat orang tersenyum.
Beel melonjak kegembiraan. Langsung tubuh Irah dipeluk. Mak Jah ketawa lagi dan menggeleng kepalanya. Cik Beel, Cik Beel.
Irah meronta dalam pelukan Beel. “Cik Beel, Kak Irah bau dapurlah”.
Beel mengangkat bahu dan mengeratkan pelukannya. Dia benar-benar gembira ketika ini. Sudah lama dia teringin ke Pulau Mutiara itu, akhirnya impiannya akan tercapai!

##########

Beg kertas bertulis Nokia itu dipandang. Nafas ditarik dan dia mencapai beg itu. Langkah diatur menuju ke taman belakang Villa An. Selalunya waktu begini, opah akan duduk-duduk di taman.
“Assalamualaikum”.
Puan Sri Normah mengangkat wajah. Tersenyum memandang Haikal. Makanan ikan kembali diletakkan di tempatnya dan Puan Sri Normah duduk di meja batu.
“Waalaikummussalam. Haikal datang seorang?”
Haikal mengangguk. “Opah sihat?”
“Sihat. Haikal sihat, opah boleh nampak. Papa macam mana?”
Haikal ketawa kecil. “Papa sihat. Dia teruju betul nak sambut menantu”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Baguslah tu. Nanti jaga Su elok-elok ya?”
Haikal tersenyum. “Papa kata, mama dengan family mama pun turun dari Kuwait”.
Puan Sri Normah diam. “Turun dari Kuwait?”
Haikal mengangguk. “Mama ada seorang kakak dengan suami dia. Lepas ada serang adik perempuan dengan seorang adik lelaki. Yang lelaki tu dah kahwin. Yang perempuan masih belajar lagi, tua lima tahun je dari Haikal”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Memang besar-besaranlah kenduri ni”.
Haikal ketawa kecil. Matanya melilau melihat sekeliling. Mencari seseorang.
“Cari Su ke? Dia tak de, dia keluar dengan Sakinah. Nak cari tudung rasanya”.
Haikal menggeleng. Puan Sri Normah mengerutkan dahi. “Habis cari siapa?”
“Beel ada?”
Puan Sri Normah diam. Kemudian dia menjawab, “Beel tak de. Dia keluar dengan Safwan”.
“Keluar berdua je?”
Puan Sri Normah ketawa kecil. “Kenapa Haikal ni? Risau semacam je”.
Haikal diam. Puan Sri Normah memandang. Hatinya mula sangsi dengan sikap Haikal. “Kalau berdua opah pun tak izinkan. Mestilah ada Fah sekali”.
Haikal menguntum senyum. Apa yang tidak kena dengan dia sebenarnya? Dia ada masalah mentalkah? “Lama ke?”
“Seminggu. Kenapa Haikal cari Beel?”
Haikal menggeleng. “Tak pelah. Kalau dia tak de tak pe”.
Puan Sri Normah mengangguk. Haikal mengeluh. Nampaknya kena tunggu Beel balik, barulah dia boleh menyerahkan telefon bimbit itu. Itu pun, kena tunggu majlis perkahwinannya dengan Suraya selesai kerana selepas seminggu adalah tarikh tepat majlis perkahwinannya.

##########

Kasut dibuka dan dia berlari masuk ke dalam air. Dia tersenyum menenggelamkan dirinya dalam air laut. Sudah lama dia tidak mandi di dalam air laut.
Fah ketawa melihat gelagat Beel. Begitu juga Safwan di sisinya. “Dah lama sangat tak nampak laut Beel tu”.
Fah mengangguk mendengar kata-kata abangnya. Irah di belakang dipanggil. “Kak Irah, jom kita join Beel”.
Irah tersenyum. Langkah diatur mengikut Fah. Safwan tersenyum dan duduk di kerusi malas yang tersedia.
Gelagat Beel dan Fah diperhati. Dan dia menguntum senyum manis.

##########

Syakir memberhentikan kereta Porsche milik Haikal di hadapan hotel. Entah apalah nasibnya. Kata mahu pergi bersama, tapi sejak dari Kuala Lumpur tadi yang memandu adalah dia seorang. Syakir, Syakir … nasib kaulah.
“Meeting kau sampai pukul berapa?”
Haikal memandang jam kereta. “Meeting tu habis pukul 3.00 petang. Kau pergilah jalan-jalan ke, makan-makan ke. Resort yang aku tempah tu, tak jauh dari sini”.
Syakir mengangguk. “Turunlah cepat”.
Haikal mencebik. “Garangnya driver aku ni”.
“Tak yah nak mengada. Baik kau turun sekarang. Lambat padan muka”.
“Ya..” Haikal mencapai briefcasenya di tempat duduk belakang dan membuka pintu kereta.
“Setiausaha kau tak datang ke?”
“Dia dah tunggu kat dalam. Aku pergi dulu”.
Syakir mengangguk. Dia memandu kereta hingga ke tempat meletak kenderaan. Sudah tiba di Pulau Pinang akhirnya. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah makan laksa Penang!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s