DILARANG NIKAHI AKU – 16

Syakir membulatkan mata melihat gadis bertudung yang sedang berlarian di tepi laut itu. Perlahan bibirnya mengukir senyuman. Bagaimana boleh terkebetulan begini? Fah!
Syakir berlari anak menuju ke arah Fah. Tidak perasan ada Safwan yang juga datang mendekat. Bahu Fah disentuh.
Fah mengerut dahi dan menoleh ke belakang. Beel sudah senyum-senyum macam kambing. “Syakir?”
Syakir mengangguk. “Macam mana awak berdua boleh ada kat sini?”
“Sebab aku ada kat sini”.
Syakir menoleh ke belakangnya. Dia terdiam melihat Safwan yang galak menjongket keningnya. Terlupa pula Fah ini ada abang kesayangan.
Safwan menghulurkan tangan. Dan Syakir menyambutnya. Beel ketawa geli hati melihat gelagat Syakir yang jelasnya takut pada Safwan.
“Kita orang dah dua hari kat Penang. Awak baru datang ke?” Beel menyoal, matanya melihat-lihat sekeliling. Manalah tahu pak cik gila itu ada bersama.
Syakir mengangguk. Memandang Fah yang cantik dengan senyumannnya. Namun disiku Safwan. “Kau lupa ke abang dia kat sini?”
Syakir sengih. “Baru sampai ni. Saya datang dengan Haikal”.
Beel mencebik. “Haikal lagi?”
Syakir mengangguk lagi. “Tapi dia tengah meeting. Sebab tu saya jalan-jalan”.
“Ingatkan datang holiday” Fah menyampuk.
Syakir tersenyum. Beel sudah menggeleng-geleng kepalanya. ‘Apalah Syakir ni, kalau pun sukakan Fah, coverlah sikit. Tak nampak ke abang Wan berdiri sebelah Fah tu?’
“Kau tidur mana?” Safwan menyoal.
“Haikal kata ada resort sekitar sini”.
Safwan mengangguk. Memang ada, kira-kira 15 minit saja dari hotel ini. Mujur juga mereka tidak tidur di hotel yang sama. Rimas pula dia melihat Safwan yang terus-terusan memandang Fah.
Anak mata Beel melilau mencari seseorang. Abang Wan dipandang, “Abang Wan, mana Kak Irah ni? Rasanya dah lama dia kat atas tu”.
“Memang ada nampak dia tadi. Dia kata nak pergi ambil tuala untuk kau orang lah”.
Beel senyum. Tangan Fah ditarik. “Jomlah sambung!”
Fah senyum dan menunduk pada Syakir. Berlari anak mengejar Beel yang sudah berendam. Syakir melepas nafas. Cantiknya dia sesuai nama. Fah.
Safwan berdehem. “Dia baru 18 tahun”.
Syakir terdiam. Wajahnya bertukar kelat mendengar kata-kata Safwan. Safwan memandang kosong. Kemudian dia tergelak kecil. “Dah berapa lama kau kat sini? Haikal tak cari kau?”
Baru saja Safwan menyoal, telefon bimbit Syakir berdering menandakan ada panggilan masuk. Dia langsung meminta diri dan beredar.

#########

“Kau pergi mana ni sebenarnya?”
Syakir sengih melihat Haikal sudah berdiri di sisi Porschenya sambil mencekak pinggang bagai emak tiri.
“Kau pergi mana?” Haikal menyoal sambil membuka pintu kereta.
Syakir hanya mengekalkan sengihannya. Enjin kereta dihidupkan dan dia memakai tali pinggang keledar. “Kau nak tahu tak apa aku jumpa?”
Haikal mengerut dahi. Dia teringat sesuatu. “Tak kisahlah apa kau nak cakap, aku cakap dulu. Kita pergi resort letak barang je tau, pukul 4.00 petang nanti aku ada meeting lagi”.
Syakir mengeluh. “Meeting lagi?”
Haikal ketawa kecil. “Kan aku dah cakap, jadual aku padat. Kau pun dah tahu kan?”
“Memanglah. Aku tak delah fikir sepadat ni. Habis kita pergi resort ni letak barang je?”
Haikal mengangguk. “Solat lepas tu pergi hotel baliklah”.
“Makan?”
Haikal memandang. “Kat hotel je lah”.
Safwan menggeleng-geleng. “Kenapalah kau tak ambil bilik hotel je?”
Haikal ketawa. Kali ini ketawa sepuas hati. Ketawa habis-habisan. Wajah Syakir dipandang. “Dah berapa lama kita kawan, Kir? Kau tak kenal aku lagi?”
Syakir memandang sekilas. Kemudian mata kembali tertumpu pada pemanduannya. “Dah kenapa kau?”
Haikal menggeleng-geleng. “Aku ni bukan suka hotel. Sebab tulah aku ambil resort. Kalau hotel, keluar nampak apa? Nampak lif, nampak dinding nampak pintu. Kalau resort keluar nampak tumbuh-tumbuhan, bukit-bukau, nampak langit, nampak sungai. Sebab tulah aku ambil resort. Aku sukakan benda semulajadi”.
Syakir mencebik. “Menyampah aku dengar. Aku tahulah kau tu pencinta alam semulajadi. Mr.Flora and Fauna”.
Syakir ketawa sendiri. Mr.Flora and Fauna? Kelakar pula ‘nickname’ yang dia berika pada Haikal itu. Seperti nama .. entahlah. Yang pasti rasanya gelaran itu lebih sesuai digunakan untuk kaum wanita bukan lelaki.
“Ha, macam mana meeting kau tadi?”
Haikal menarik nafas. Memandang Syakir dan mula bercerita tentang pertemuannya dengan klien dari Denmark tadi.

#########

Suraya tersenyum memandang majalah kasut itu. Ketika berarak pengantin, dia mahu memakai kasut tumit tinggi yang tebal. Biar dia boleh sama tinggi dengan Haikal, dalam masa sama kakinya juga tidak letih.
Berapa pasang kasut harus dia beli? Kasut kahwin, kasut berbulan madu .. Suraya senyum sendiri. Majalah itu diselak lagi helaian demi helaian.
Sakinah duduk menyertai Suraya di ruang tamu. “Su tengah buat apa?”
Suraya memandang mamanya dan menguntum senyum. “Mama rasa mana cantik?”
Sakinah tersenyum mengusap pipi Suraya. “Mama rasa Su pakai apa pun cantik”.
Suraya ketawa kecil. Mama dipeluk seerat mungkin. “Mama”.
“Ya sayang”.
“Macam tak percaya Su dah nak kahwin kan?”
Sakinah menggeleng-geleng kepalanya. Memanglah memilik anak perempuan satu kebahagiaan buatnya. “Mana boleh tak percaya. Kenalah percaya. Kalau Su tak percaya, siapa yang nak naik pelamin nanti?”
Suraya bersandar pada mamanya. Bahagianya dia. Keletihannya pada cuti kali ini akan terbayar sebaik dia, Suraya Hanisah bt Zamri menjadi isteri yang sah pada Haikal Hadzim b Hazan.

#########

“Ya opah. Beel ok. Beel baik sangat”.
Terdengar keluhan dari corong telefon. “Beel baik sangat? Opah je yang rindukan Beel? Beel tak rindu opah ke?”
Beel ketawa kecil mendengar kata-kata opahnya. “Rindu. Nanti Beel balik, Beel nak peluk opah puas-puas”.
Fah yang sedang melihat pemandang dari tingkap menoleh. Kepalanya digeleng-geleng melihat gelagat Beel. Kalaulah orang tidak tahu, pasti memikirkan dia sedang berbual dengan kekasih hati.
Rupanya berbual dengan nenek. Dia mencapai bantal dan membalingnya pada Beel. “Gedik”.
“Kenapa tu?”
Beel sengih memandang Beel. Jari telunjuknya ditunjuk sebagai tanda ‘Jaga kau’. “Tak de apa-apalah opah. Fah ni, kena sampuk agaknya”.
“Kena sampuk?”
Beel ketawa lagi. “Oklah opah. Nanti Beel telefon lagi. Beel letak dulu. Assalamualaikum” Beel langsung mematikan panggilan dan berlari mengejar Fah di dalam bilik yang tidak berapa luas itu.
“Waalaikummusalam” Puan Sri Normah meletak gagang telefon. Mak Jah yang sedang menghidang air dipandang.
“Jah”.
“Ya puan sri” Mak Jah mendekati Puan Sri Normah.
“Awak yakin Beel tu pandai jaga diri?”
Mak Jah tersenyum dan mengambil tempatnya. “Puan sri lupa yang Cik Beel dah 18 tahun?”
Puan Sri Normah tersenyum. Rupanya cucu kesayangannya itu sudah belasan tahun. 18 tahun, sedikit saja lagi umurnya akan mencecah 19 tahun dan kemudiannya 20 tahun.
“Puan sri kena yakin dengan Cik Beel. Lagi pun dia perempuan, lambat-laun akan pindah dari rumah ni juga. Kalau dia dah kahwin nanti, tetap kena ikut suami” Mak Jah mengeluarkan pendapatnya.
Puan Sri Normah ketawa kecil. Teringat pula ketika Beel membantunya melilit kertas putih pada lidi bunga telur tempoh hari. Mak Jah tiba-tiba mengusiknya dengan mengatakan tak lama lagi mereka akan membuat persiapan untuk Beel pula.
Namun Beel langsung meletak kertas ditangannya. Katanya jika dia kahwin, siapa yang akan menjaga opah? Lagi pun, orang sepertinya pasti tidak ada orang yang mahu.
Kemudian Irah pula bertanya, bagaimana kalau tetap ada orang yang mahu memikat Beel? Tapi Beel boleh pula mengeluarkan idea, dia akan memakai sepanduk bertulis ‘Dilarang nikahi saya’.
Puan Sri Normah ketawa sendiri. Dari manalah agaknya Beel mendapat kata-kata itu? Dilarang nikahi saya?
“Puan sri teringat Cik Beel ke?”
Puan Sri Normah memandang Mak Jah yang menyoal. Anggukan diberikan. “Jah pun mesti teringat dia kan? Sunyi rasa rumah ni tak de Beel”.
“Yelah sunyi. Rasanya makin aman adalah. Belum sampai seminggu dia pergi, dah mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena?”
Puan Sri Normah dan Mak Jah berpandangan. Puan Sri Normah melepas nafas. Tidak memandang juga dia sudah tahu itu suara siapa. Apa sebenarnya yang membuatkan Sakinah tidak puas hati dengan Beel?

##########

Bibirnya mengukir senyum manis. Langkah diatur pada Fah dan tudungnya ditarik hingga wajah tudung Fah berubah.
“Beel!” Fah memarahinya. Sambil tangan membetulkan kembali tudungnya.
Beel melarikan diri dari Fah. Tahu lambat atau cepat Fah pasti akan mengejarnya. Safwan dan Irah di belakang hanya ketawa. Beel, Beel. Nakal betul.
Sesudah membetulkan tudung, Fah berlari menuruni tangga menuju ke kolam renang. Geram benar dia pada teman seorang ini. Kalau sehari tidak mengusik, memang tidak sah.
Beel melajukan larian namun kepala ditoleh ke belakang. Bila melihat Fah mendekat, dia menoleh semula. Namun ia sudah terlambat bila tubuhnya melanggar seseorang.
Fah mematikan langkah. Lelaki itu, lelaki yang dilanggar Beel sudah jatuh ke dalam kolam. Bukan itu saja, makanan yang dipegang lelaki itu juga ikut ‘jatuh’ ke dalam kolam seperti tuannya.
Beel diam pada posisinya. Liur ditelan. Apa yang telah dia lakukan? Dia mengundur sedikit dan memandang ke arah kolam renang. Kepala ditunduk memohon maaf. “Maaf”.
“Kau?”
Beel mengerut dahi. Suara itu? Rasanya itu suara pak cik longkang. Apa mungkin …?
Haikal memandang dari kolam renang. Geram betul dia! Sudahlah dia memakai kot bersama kemeja untuk menghadiri mesyuaratnya sebentar lagi. Rencananya mahu bersarapan kemudian terus ke bilik mesyuarat. Tapi ..
“Pak cik longkang?”
“Kau ni kan, asal aku nasib malang je, mesti sebab kau!”
Beel sengih. Tidak jadi meminta maaf buat kali kedua. Seronok pula dia melihat Haikal di dalam kolam itu. Kolam juga sudah kotor kerana makanan Haikal.
Lidah dijelir pada Haikal. “Padan muka!”
“Kau!” Haikal menggenggam penumbuknya. Syakir yang baru tiba tergelak melihat Haikal. Kemudian dia memandang Beel dan ketawa lagi.
Haikal memandang dengan wajah mencuka. “Dah tak yah nak gelak sangat, tolong aku”.
Syakir mengangguk dalam tawanya. Tangan dihulur dan Haikal menyambutnya. Fah berlari anak pada Beel. Dia tahu pasti akan terjadi pergaduhan antara Haikal dan Beel nanti.
“Hai Syakir!” Beel mengangkat tangan melambai Syakir.
Haikal mengerut dahi. Syakir dipandang. “Kau tak cakap dengan aku pun budak ni ada kat sini”.
Syakir sengih. “Memang nak cakap tapi aku lupa”.
“Lupa?”
Beel mencebik. “Tulah, kalau awak tahu saya ada kat sini tak dapatlah saya tolak awak macam tadi”.
Haikal mengetap bibir. “Kau kalau tak menyakitkan hati aku tak boleh ke?”
“Tak boleh” Beel menjelir lidah.
Fah menarik tangan Beel. “Beel, kau yang salah”.
“Biarlah. Kalau dengan pak cik longkang ni, walaupun aku yang salah, aku takkan minta maaf”.
“Siapa kau cakap longkang?”
“Entah. Yang jatuh kolam tadi, siapa agaknya?”
“Kau yang tolak aku”.
“Awak yang langgar saya”.
Syakir memandang Fah dan Fah memandang Syakir. Kalau beginilah keadaannya, sampai esok pun mereka tidak akan berhenti bergaduh.
“Kau ada meetingkan?”
Haikal membulatkan mata. Jam tangannya dipandang. Sudah 7.45 pagi, bererti dia hanya punya masa 15 minit sebelum mesyuaratnya bermula. “Jaga kau. Nanti aku kerjakan”.
Beel menjelir lidah. Dan melambai tangan pada Haikal yang ditarik Syakir. Fah memandang. “Beel”.
“Apa?”
“Tak baiklah kau ni”.
Beel senyum. “Aku memang tak baik”.
Fah melepas nafas. Dia mengikut Beel berpatah balik semula. Pasti mereka akan disoal abang dan Kak Irah yang baru tiba. Dan jawapan Beel, ‘Tak de apa-apalah’.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s