DILARANG NIKAHI AKU – 20

Beel diam memandang opah membantu Irah memasukkan pakaiannya ke dalam bagasi. ‘Kesibukan’ itu hanya menjadi tontonan Beel.
Puan Sri Normah memandang Beel yang sudah pun menyalin pakaiannya. Dia yang tadinya memakai baju pengantin kini sudah memakai t-shirt hijau berlengan pendek bersama seluar slex berwarna hijau lumut.
“Beel” Puan Sri Normah mengatur langkah.
Beel mendiamkan diri. Tidak memandang, tidak juga menjawab. Puan Sri Normah mengambil tempat di sisi cucunya. “Beel”.
“Opah bukan kena layan tetamu ke?” Beel memandang.
Puan Sri Normah diam seketika. Kemudian soalan diberikan pada Beel. “Ni memang nak suruh opah layan tetamu ke nak menghalau?”
Beel mengukir senyum paksa. Sekadar berpura-pura supaya tidak kelihatan dari mata opah. “Tak pe. Ada Kak Irah dah ok. Opah pergilah layan tetamu. Nanti dia orang pelik pula opah tak de”.
Puan Sri Normah melepas nafas. Tahu bahawa cucunya itu berpura. Cucunya ini bukanlah pandai berlakon menyembunyikan perasaan.
“Tak pe, opah turunlah”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Irah”.
“Ya puan sri”.
“Kamu tolong kemas barang Beel ye. Saya nak turun”.
Irah tersenyum dan mengangguk. Beel memandang opahnya keluar dari bilik dan dia berbaring. Mengiring membelakangi Irah.
Irah memandang Cik Beel yang sudah terbaring. “Cik Beel”.
“Beel ok” Beel menjawab tanpa menoleh.
“Cik Beel nak apa-apa?” Irah menyoal lagi.
Beel diam sebentar. “Ada”.
“Apa yang Cik Beel nak? Akak boleh ambilkan”.
Beel bangun dari pembaringan. Wajah Irah dipandang. “Boleh akak ganti tempat Beel pindah rumah pak cik Hazan?”
Irah melepas nafas. Baju yang diambil dari almari diletakkan ke dalam bagasi dan dia melangkah ke arah Beel.
“Cik Beel tak suka dengan apa yang berlaku?”
Beel mengerut dahi. “Apa akak tanya ni? Gilalah kalau Beel suka. Mana ada orang suka jadi bidan terjun macam ni. Akak pun kalau jadi Beel, tak nak punya ambil tempat Beel. Lagi-lagilah kena kahwin dengan bakal suami kakak sendiri. Untung kakak sepupu bukan kakak kandung. Kalau tak, mati agaknya”.
Irah ketawa melihat gelagat Beel. Beel langsung membisu melihat Irah ketawa. Irah tersengih. “Saya minta maaf, Cik Beel”.
“Kenapa akak gelak?”
“Akak rasa Cik Beel akak dah balik”.
Beel ketawa terbahak-bahak. Cik Beel saya dah balik? “Akak nak kata, yang dari tadi duduk dalam bilik ni bukan Beellah?”
Irah mengangguk. “Cik Beel akak orangnya ceria bukannya masam mencuka”.
Beel mencebik. Beberapa saat bibirnya mengukirkan senyum. “Betullah apa akak cakap tu. Kahwin je pun, bukan kiamat. Kenapa nak moody kan? Beel orang happy sentiasa”.
“Betul”.
Beel menarik nafas dengan senyum manisnya. “Kena kahwin paksa je pun .. Kan kak Irah?”
Irah tersenyum melihat semangat cik mudanya sudah kembali pulih. Namun, tidak banyak yang boleh dia lakukan. Apa yang penting, dia harus berdoa Beel tabah menghadapi hari-hari mendatang.

##########

Bibir mereka menguntum senyum pada tetamu terakhir itu.
“Tak nampak pengantin perempuan sejak tok kadi balik tadi”.
Puan Sri Normah tersenyum. Begitu juga Sakinah dan Zamri. Haikal yang mendengar hanya berdiam diri.
“Penat sangat agaknya” Puan Sri Normah tersenyum pada tetamu.
Tetamu yang merupakan sepasang suami isteri itu menguntum senyum keduanya. Dan meminta diri, beredar dari Villa An.
Haikal melepas nafas. Lega hatinya bila semua tetamu sudah pulang. Yang dia nampak ketika ini hanyalah katil dan bantal di rumahnya. Cepatlah pulang.
Hazan memimpin tangan Humaira’ menuju pada Puan Sri Normah. Puan Sri Normah menguntum senyum. Bagaimanalah keadaan Beel sekarang? Sudah selesaikah dia mengemas barangnya?
Humaira’ memandang Hazan dengan pandangan tanda tanya. Hazan mengangguk dengan senyuman. Tangannya yang menggenggam jemari Humaira’ dieratkan tanda mereka harus menunggu.
Haikal mengerut dahi melihat Beel menuruni tangga dengan baju kasualnya. Dahi ditepuk dengan pandangan mata memberi amaran.
Beel sengih bila opah dan pak long menoleh memandangnya. “Beel dah siap”.
Haikal menggenggam penumbuk menahan marah. Sudahlah mamanya tidak tahu apa-apa soal mereka berdua. Boleh pula Beel berkelakuan begitu di hadapan mamanya.
Hazan menguntum senyum memandang Beel. “Dah sedia nak balik rumah?”
Beel menguntum senyum manis, sengaja mahu menambah sakit hati Haikal. “Dah. Jomlah balik”.
Puan Sri Normah memandang cucunya itu. Dia memanglah gembira kerana semangat Beel sudah pulih seperti sediakala. Namun, tetap dia merisaui Beel. Adakah dia dapat menyesuaikan diri di rumah Hazan?
Sakinah mencebik melihat kelakuan anak saudaranya itu. Menyampah pula dia. Ke mana sajalah Suraya? Hingga sekarang masih juga belum ada khabar beritanya.
Zamri melangkah mendekati Beel. Kepala Beel diusap. “Beel jaga diri baik-baik. Pak long minta maaf sebab marah Beel pagi tadi”.
Beel menggeleng laju. “Beel tahu pak long paling sayang Beel kan?”
Sakinah menjeling. Zamri tersenyum dan memeluk Beel. Sakinah melangkah mendekat. Tangan dihulur, menyuruh Beel menyalaminya.
“Jangan buat perangai kat tempat orang”.
Beel diam. Membuat muka tidak tahu. Mak Jah dan Irah dipandang. Beel berjalan ke arah mereka yang berada sedikit belakang dari opah.
“Mak Jah, Kak Irah, Beel pergi dulu”.
Mak Jah mengangguk-angguk dengan linangan air mata. Tidak pernah terlintas di hatinya cik muda akan meninggalkan rumah ini.
Irah memaut bahu Mak Jah. Beel memeluk keduanya sekaligus. “Jangan risaukan Beel. Beel pergi tak lama”.
Beel kembali melangkah mendekati opahnya. Irah dan Mak Jah saling memandang. Apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Beel? Dia pergi tidak lama?
Beel menahan air matanya dari mengalir. Tubuh opah dipeluk erat dan pipi opah dicium. Dia tahu saat ini opah tidak akan berkata-kata sepatah pun. Semuanya kerana tidak mahu Beel mengubah keputusannya.
“Jom” Beel memandang Hazan.
Hazan menarik nafas sedalamnya. Haikal dipandang. “Haikal, ambil beg isteri kamu”.
Haikal diam dan menurut. Namun, dalam hati dia merungut sendiri. Terpaksalah berpura di hadapan mama yang tidak tahu apa-apa.
Hazan memaut bahu Beel dan meminta diri. Humaira’ menurut di belakang mereka. Senyuman terukir di bibir, nampaknya suaminya begitu menyayangi menantu mereka itu.
Beel diam menuruti langkah Hazan memasuki kereta. Bagaimanalah agaknya hidup selepas ini?

##########

“Abang!”
Safwan menoleh memandang suara yang memanggil, Fah.
“Abang ok ke?” Fah mendekati abangnya.
Safwan menjongket kening. Senyuman diberi buat adik tersayang. “Ok. Kenapa Fah tanya macam tu?”
“Abang terkejut sebab Beel yang nikah dengan abang Haikal?”
Safwan melepas nafas. Dia mengambil tempat di kusyen yang terletak di ruang tamu. Bantal kusyen ditepuk, mengajak Fah duduk bersama.
“Fah dah tahu ke?”
Fah menggeleng. “Kak Su hilang”.
Safwan memandang Fah dengan kerutan dahi dan wajah penuh tanda tanya. “Hilang?”
Fah mengangguk. “Pagi tadi masa semua orang kalut-kalut, orang cari Kak Su. Tapi bilik Kak Su kosong, tak de orang”.
Safwan diam sebentar. Mustahil seorang bakal pengantin menghilangkan diri pada tarikh pentingnya. “Dah call ke?”
“Kak Su tinggal fon dalam bilik” Fah bersandar pada kusyen yang menjadi tempat duduknya.
Safwan memandang Fah lama. Ada sesuatu yang tidak kena. Suraya bukanlah jenis gadis yang suka menimbulkan masalah. Perkenalannya selama berpuluh tahun dengan Suraya membuatkan gadis itu dia kenal luar dalamnya.
Mustahil Suraya melarikan diri. Jikalau begitu, takkanlah Suraya diculik? Bukankah Villa An memiliki pengawasan yang amat ketat?
“Abang” Fah memanggil abangnya yang termenung.
Safwan memandang Fah dengan kerutan dahi. Apa sebenarnya yang berlaku? Fah diam sebentar.
“Fah nak cakap apa?”
“Abang macam tak suka je Beel kahwin”.
Safwan mengangguk. “Fah suka dia kahwin? Abang rasa dia pun tak nak kahwin kan?”
Fah mengangguk, mengiakan. Memang benar apa yang abang katakan. Tapi entah mengapa Fah merasakan abang sangat berlainan hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s