DILARANG NIKAHI AKU – 21

Siap memakai pijama tidurnya, Beel keluar dari bilik air bersama tuala yang disangkut pada bahu.
Dia melepas nafas melihat keadaan bilik yang diduduki. Penuh bunga sana-sini. Juga tersangkut gambar Kak Su dan Haikal di dinding.
Beel merenung gambar itu. Kalau betullah Kak Su mahu mengahwini Haikal, mengapa menimbulkan masalah pada hari perkahwinannya?
“Kak Su, Kak Su”.
Pandangan dihala ke arah pintu bila pintu bilik terbuka. Haikal masuk dengan pakaian pengantinnya.
“Kau dalam bilik ni?” Haikal menyoal, terkejut melihat Beel berada di bilik itu.
Beel mengangguk. Langkah diatur ke bagasinya untuk menyusun barang di almari. Sikat dikeluarkan untuk menyikat rambutnya yang masih basah.
“Bukan aku suruh kau masuk bilik tamu ke?”
Beel memandang sambil mencebik. “Awak ingat saya nak sangat ke masuk bilik ni? Mak cik Humaira’ yang suruh. Dia kata ni bilik pengantin”.
Haikal diam. “Mama masuk ke bilik ni?”
Beel menggeleng. “Tapi dah alang-alang mak cik Humaira’ suruh masuk bilik ni, saya nak duduk teruslah. Ingat saya ni rajin sangat ke nak pindah-pindah?”
Haikal melepas nafas lega. Mujur mama tidak masuk. Apa yang harus dia lakukan jika mama melihat gambar Suraya yang tertera di bilik itu? Pasti seribu satu soalan dikeluarkan mama.
Haikal berjalan menuju ke almarinya. Butang baju dibuka satu-persatu. T-shirt di dalam almari dicapai bersama seluarnya. “Tapi nanti kau kena keluar juga. Aku tak suka kau duduk bilik ni”.
Beel mencebik. Dia menoleh pada Haikal yang sudah siap memakai t-shirt dan seluar. Seketika dahinya berkerut, bila Haikal menyalin pakaiannya? “Tak nak”.
Haikal memandang Beel. “Kena juga. Bilik ni Su yang siapkan untuk kami. Nak tak nak, kau kena duduk bilik tamu”.
“Tak nak. Beel kata Beel tak nak, Beel tak naklah”.
Haikal menjeling sambil melangkah ke arah katil. Beel mengerutkan dahi melihat Haikal berbaring. “Awak nak buat apa?”
“Nak tidurlah. Kau ingat kau seorang je penat?”
Beel berlari anak menuju pada katil yang berada di tengah bilik. “Awak tidur luar. Kalau tak pun tidur kat sofa tu”.
Haikal membulatkan mata dengan kerutan dahinya. “Apa kau merapu ni? Dah malam ni, kau tidurlah”.
Beel mengetap bibir melihat Haikal menarik selimut menutupi separuh tubuhnya. Bibirnya tersenyum bila teringat ‘senjata’ yang dibawanya dari rumah opah.
“Bangun” Beel memandang serius.
Haikal mengeluh perlahan. Matanya dibuka memandang Beel. “Apa kau buat ni?”
“Saya suruh awak tidur kat sofa tu” Beel memegang erat pisau pemotong buah di tangannya.
Haikal melepas nafas. Beel menjongket kening, “Pisau ni nampak kecil. Ingat tak boleh cederakan orang ke?”
Haikal mengetap bibir menahan marah. Sudahlah dia penat, harus melayan karenah kanak-kanak ini lagi. Beel membulatkan mata. Pisau di tangan diacah pada Haikal.
“Cepatlah!” Beel meninggikan suara.
Haikal mencapai bantal dan beredar dari katil. “Macam budak-budak. Kau ingat aku teringin sangat ke nak sentuh kau tu?”
Beel mengetap bibir. “Tak teringin sudah. Macamlah awak tu layak sangat. Lagi satu, saya takkan keluar dari bilik ni. Peduli apa Kak Su yang siapkan. Kalau betul dia nak kahwin sangat dengan awak, kenapa dia lari?”
Haikal memekakkan telinga walau hati berdarah mendengar kata-kata Beel. Biarlah apa yang Beel katakan, buat masa ini dia cuma mahu tidur melepaskan letihnya.

#########

Dia mengukirkan senyum buat Mak Jah yang melangkah masuk ke dalam bilik menatang segelas air susu.
“Puan sri”.
Puan Sri Normah mengangguk, menjawab panggilan Mak Jah. Dia masih lagi memikirkan Beelnya. Bagaimanalah keadaannya ketika ini?
“Puan sri teringat Cik Beel?”
Puan Sri Normah mengangguk. “Dia tak pernah berpisah dengan saya, Jah. Boleh ke dia tidur malam ni?”
Mak Jah mengukirkan senyum. Mengambil tempatnya di sisi Puan Sri Normah. “Puan sri kena yakin dengan Cik Beel. Lagi pun, dia pandai jaga diri”.
“Sebab dia pandai jaga diri lagi saya risau. Silap hari bulan, pening kepala orang kat rumah sana tu dengan perangai dia” Puan Sri Normah bersandar pada sofa yang menjadi tempat duduknya.
Mak Jah ketawa mendengar kata-kata Puan Sri Normah. “Puan sri yang risau terlebih ni …”
Puan Sri Normah melepas nafasnya. Memang dia akui, kata-kata Mak Jah benar. Dia yang terlebih merisaui cucunya itu. Tapi siapalah yang tidak risau akan Beel jika berada di tempatnya?

##########

Matanya dibuka perlahan sebaik telinga menangkap bunyi jam loceng yang diletakkan di atas meja lampu tidur. Pukul 5.30 pagi, dia harus mandi dan menunaikan solat subuh.
Beel tiba-tibe teringat bahawa ‘roommate’nya adalah seorang lelaki. Dia bangun dan melangkah ke arah sofa yang menjadi katil Haikal.
Dahi berkerut mendapati Haikal tiada di tempatnya. Beel berdiri membeku bagai pegawai keselamatan buat beberapa ketika.
“Kau cari aku ke?”
Beel menoleh ke belakang. Haikal baru keluar dari bilik air dengan t-shirt dan tuala yang membaluti kakinya.
Beel mengundur bila Haikal memandang. “Awak bangun awal pagi ke?”
Haikal mencebik. “Habis kau ingat aku ni tak sembahyang subuh ke?”
“Manalah tau kan?” Beel melangkah ke bilik air sambil memandang Haikal.
Haikal membuat muka kelat. “Aku nak solat jemaah dengan papa. Kau nak ikut ke?”
Beel sengih. “Tak pelah. Awak sembahyanglah dulu”.
Haikal mengangguk dan Beel menutup pintu bilik air. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Baguslah Haikal juga pandai sembahyang, kiranya pak cik Hazan memang seorang ayah yang baik.

##########

Zamri memandang Sakinah yang langsung tidak menjamah sarapan paginya. “Tak habis-habis lagi ke?”
Sakinah mengerut dahi. “Apa you tanya ni?”
“Yelah. Su tu dah besar. Dia tahu apa yang dia buat. Yang you risau sangat ni kenapa? Makan sarapan tu”.
Sakinah mengetap bibir. “You cakap ni macam tak risau anak kita je”.
“Bukan tak risau. You ingat I ni bapa jenis apa, I memanglah risau tapi tak perlulah nak menunjuk macam you sangat”.
“Su tu anak kita tau. Takkanlah I tak risau kalau dia hilang tanpa khabar berita macam ni?”
“Sakinah, kan kita dah discuss dengan pihak polis” Zamri cuba menenangkan isterinya.
“Polis tak polis. I dapat rasa anak I dalam bahaya” Sakinah memandang suaminya. Entah kenapa, sejak semalam dia tidak sedap hati. Dia tahu Suraya bukan gadis yang suka membuat orang lain merisauinya.
Zamri tersenyum nipis. “Eat your breakfast. Mesti hari ni akan ada berita dari Su”.
Sakinah mendiamkan diri. Makanan di depan mata dipandang. Mahu tidak mahu, sarapan itu disuap juga ke mulutnya. Mahu tidak mahu, ia tetaplah harus dijamahnya.

#########

“Mana Haikal?” Hazan menyoal Beel yang tiba di ruang makan bersendirian.
Beel tersenyum memandang pak cik Hazan dan mak cik Humaira’nya. Bahu diangkat sambil mulutnya bertutur ,” Dah mati kut”.
Humaira’ mengerutkan dahi memandang Beel. Hazan juga sama. “Apa Beel cakap tadi?”
“Tak de apa-apa. Banyaknya makanan” Beel membulatkan mata melihat berbagai jenis sarapan yang terhidang di atas meja.
Humaira’ tersenyum dan mengangguk. “Jomlah makan”.
Beel mengangguk dan mengambil tempatnya. Dia melihat sekeliling ruang itu. Katanya ada keluarga Humaira’ yang turun ke Malaysia, tapi mengaa rumah ini sunyi saja?
“Opah kata adik-beradik mak cik Humaira’ datang Malaysia juga. Tak nampak pun” Beel menyoal sambil mencedok mee goreng yang tersedia.
“Dia orang dah balik Kuwait dah. Semuanya sibuk. Beel” Hazan mengangkat wajah memandang menantu kesayangan.
Beel memandang dengan pandangan hairan bila Hazan tiba-tiba memanggilnya dengan nada serius.
Hazan menarik nafas. “Beel tak boleh panggil mak cik dengan pak cik. Beel panggil papa mama boleh? Macam abang Haikal?”
Beel menahan tawa bila Hazan menyebut abang Haikal. Saat itulah, Haikal muncul entah dari mana. Mengambil tempat di sebelah Beel.
“Kamu tak ajar isteri kamu ke?” Hazan menyoal.
Haikal mengerut dahi. “Ajar apa?”
“Panggil mama papa. Bukan mak cik pak cik. Boleh mama minta macam tu?” Humaira’ memandang pasangan ‘pengantin baru’ itu.
Haikal memandang Beel di sebelahnya. Beel hanya buat-buat tak tahu dan meneruskan suapannya. Haikal memandang mama dan tersenyum.
“Memang kena panggil macam tu kan?”
Humaira’ tersenyum. “Mama suka Haikal baik macam ni”.
Beel sengih memandang Haikal. Mama-boy rupanya. Difikir lelaki dewasa, rupanya anak manja.
“Flight papa tengah hari ni. Mungkin papa stay Kuwait lama sikit. Haikal jaga Beel elok-elok”.
Haikal mengangguk. Beel ketawa kecil memandang Haikal. “Jaga Beel elok-elok”.
Haikal mengetap bibir menahan perasaan. Kalau bukan kerana mama ada bersama, alamatnya meletuslah perang antara mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s