DILARANG NIKAHI AKU – 22

Bibir mengukir senyum pada pembantu rumah Haikal yang sedang mengemas dapur. Perlahan baju pembantu rumah itu disentuh.
“Cik Beel nak apa-apa ke?”
Beel menggeleng. “Tadi Beel dengar Haikal panggil akak Kak Nia kan?”
Nia mengangguk dengan senyuman. “Cik Beel pun boleh panggil Kak Nia”.
Beel sengih. “Kat rumah ni akak seorang je pembantu?”
Nia meletakkan kain lap di tangannya dan mengambil tempat di hadapan Beel yang sedang duduk. “Kenapa Cik Beel tanya?”
Beel mengangkat kedua bahunya. Rasanya kalau Kak Nia seorang saja, bukankah aneh? Sudahlah rumah ini besar, dan dari pemerhatian Beel ia penuh dengan ruang itulah, ruang inilah.
“Ada orang lain tapi semua keluarga akak”.
Beel membulatkan mata. “Keluarga Kak Nia?”
Nia mengangguk. “Ada seorang kakak dengan seorang abang. Tapi kakak Kak Nia balik kampung tengok mak”.
Beel mengangguk memahami. “Pak Abu tu ke?”
Nia mengangguk. “Tu abang sulung. Kakak ipar akak pun kerja kat rumah ni juga. Rumah dia kat belakang tu”.
Beel mengerutkan dahi. “Tak nampak pun”.
“Dia kat hospital. Jaga anak saudara akak masuk hospital. Katanya hujung minggu ni boleh keluar”.
Beel mengangguk. Nia menguntum senyum memandang Beel. “Cik Beel nak apa-apa ke?”
Beel menggeleng laju. Sebenarnya dia tidak tahu apa yang harus dilakukan di rumah itu. Akhirnya, Kak Nia yang dikacau.
“Oi”.
Beel menggaru-garu telinga mendengar suara itu. Kepalanya ditoleh memandang pintu dapur.
Haikal melangkah masuk. Membitbit sesuatu pada tangannya. Dan sesuatu itu diletakkan di atas meja, tepat di depan Beel.
“Apa ni?”
Nia tersenyum-senyum sendiri melihat gelagat pengantin baru itu. “Kak Nia nak sidai baju dulu”.
Haikal mengangguk dan membiarkan Nia beredar. Beel mengerut dahi memandang plasti di depannya. Plastik itu diambil dan ditolak kembali pada Haikal.
“Untuk kau”.
Beel mencebik. “Nak buat perjanjian damai ke? Tak diterima”. Dia bangun dari tempat duduknya dan melangkah ke pintu dapur.
Haikal menarik tangan Beel. “Tengoklah dulu”.
Beel menarik tangannya kembali. Mulutnya membebel-bebel sendiri sambil tangannya diusap perlahan.
“Nah” Haikal menghulur plastik itu kembali.
Beel diam. Membuat muka slamber. Haikal melepas nafas. Terasa bagai melayan adiknya pula. Kotak di dalamnya dikeluarkan dan ditunjuk pada Beel.
Beel mengerut dahi memandang kotak telefon bimbit berjenama Nokia itu. “Apa ni?”
“Ganti fon kau hari tu. Fah kata kau tak beli fon baru lagi”.
Beel mencebik. “Tak nak. Kalau saya nak, saya minta pak long belikan. Lagi pun, saya tak perlu fonlah buat masa ni”.
Haikal mengetap bibir. “Ambil”.
Beel diam. Kotak yang dihulur Haikal itu diambil. Haikal melepas nafas. “Aku harap kau gunalah fon tu. Aku ada belikan sim dengan memory card sekali”.
Beel memandang Haikal seketika dan beredar dari dapur. Haikal melepas nafas. Kepalanya menggeleng-geleng melihat reaksi Beel.
Serentak telefon bimbitnya berdering menandakan ada panggilan masuk. Nama Zamri tertera di skrin.
“Haikal, pihak polis dah jumpa Su”.
Haikal mengerutkan dahi. “Dah jumpa Su? Kat mana?”
“Pak cik hantar lokasi sekarang. Haikal cepat datang ya”.
Haikal bergegas keluar dari rumahnya. Apa yang terjadi dengan Suraya sebenarnya?

##########

Suraya ditemui oleh pihak polis di dalam keretanya yang terletak tidak jauh dari Hospital Kuala Lumpur. Namun yang mengejutkan adalah keadaan tubuhnya yang hanya ditutupi dengan sehelai cardigan putih.
Ketika itu, Suraya tidak sedarkan diri dan terdapat luka-luka di seluruh tubuhnya. Sakinah hampir saja jatuh pengsan melihat keadaan puterinya.
Suraya segera dimasukkan ke dalam wad kecemasan untuk diperiksa keadaannya. Sementara pihak polis meneruskan siasatan. Apa yang menimpa Suraya sebenarnya.
Namun yang paling tahu apa yang berlaku adalah diri Suraya sendiri.

#########

Zamri menggerakkan tubuh Sakinah yang sudah pun terlelap di dalam kereta. Sakinah bangun dengan wajah letihnya. Memandang sang suami.
“Kita dah sampai rumah”.
Sakinah mengangguk dan turun dari kereta. “I nak jaga Su kat hospital”.
“Rehat dulu malam ni, esok kita pergi hospital balik” Zamri memaut bahu Sakinah.
Sakinah diam. Langkah diteruskan hingga memasuki rumahnya. Jujur, dia tahu ada sesuatu yang besar telah menimpa Suraya.

#########

“Kau nak buat macam mana ni?”
Haikal mengerut dahi mendengar soalan Syakir. “Buat apa?”
“Su tak larikan diri dari majlis kau orang”.
Haikal terdiam. Kalaulah Suraya kembali sedarkan diri, pasti dia akan mengamuk sakan jika tahu Beel menjadi pengantin perempuan menggantikannya.
“Kau tak fikir ke?” Syakir menyoal lagi.
Haikal menggeleng. “Aku tak rasa aku ada mood nak fikir benda-benda tu”.
Syakir mengangguk. “Tapi aku rasa kau kena fikir. Kau ingat Suraya akan diam je kalau dia tahu apa yang berlaku?”
Haikal mengeluh. Mengapalah semuanya berlaku dalam satu masa? “Dahlah. Aku nak balik. Aku dah penat sangat hari ni”.
Syakir hanya memandang Haikal melangkah keluar dari pejabatnya. Haikal, Haikal …

##########

Fah berlari masuk ke bilik bila mendengar telefon bimbitnya berdering. Seketika, dia merenung nombor tak dikenali itu.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Aku ni”.
Fah mengerut dahi. “Beel ke?”
“Yelah. Siapa lagi?”
“Macam mana hari pertama jadi pengantin?”
Beel mendengus. “Kau gila ke? Bosanlah tinggal seorang-seorang. Kau datang sini boleh tak?”
Fah mengerut dahi dan berbaring di atas katil. “Dah malam ni, memang taklah. Kau lupa ke aku ni ada bodyguard?”
Beel ketawa sendiri mendengar kata-kata Fah. “Esok datang tau”.
Fah diam sebentar. “Beel ..”
“Kenapa ni?”
“Aku dah daftar kat Lim Kok Wing. Baru hari ni abang bawa aku daftar” ujar Fah perlahan.
Beel melepas nafas. “Baguslah tu. Dalam keadaan sekarang, aku tak rasa aku ada mood nak belajar”.
“Kau tak marah ke?”
“Taklah. Kau ingat aku ni kawan jenis apa? Aku faham, kalau kau tunggu aku, agaknya sampai mati pun tak sambung belajar” Beel mundar-mandir di bilik tidurnya.
Fah tersenyum seolah Beel dapat melihatnya. “Kau dah call opah ke?”
“Dah. Aku rasa nak balik rumah …” Beel mula merengek.
“Kenapa tak balik je?”
Beel mengeluh. “Opah kata, kalau dah kahwin kena duduk dengan suami. Walaupun kahwin tanpa rela, tetap kena tinggal dengan suami. Hish, aku tak anggap pun pak cik longkang tu suami aku”.

##########

Haikal mencebik mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Beel. Langsung, rambut gadis itu ditarik sekuat hati.
“Sakitlah!” Beel memandang Haikal di belakangnya.
Haikal menjelir lidahnya dan ketawa mengekek. Beel yang geram berlari mengejar Haikal yang melarikan diri.
“Kenapa tu?” Fah di talian menyoal.
“Ada anjing gila masuk bilik aku” Beel mengetap bibir memandang Haikal di bahagian bawah.
“Anjing gila?”
“Fah, aku letak dulu. Janji esok kau datang tau. Jangan lupa ajak abang Wan sekali” Beel tersenyum di depan Haikal. Sengaja menguatkan suaranya.
Haikal berdiri tegak bila Beel meletakkan telefon bimbitnya di atas katil. Langkah diatur menuju pada Beel.
“Kau ajak Wan datang sini?” Haikal menyoal.
Beel mengerut dahi. “Saya tak ajak abang Wan. Saya ajak Fah”.
Haikal memandang Beel dengan wajah serius. “Kau tak rasa ke kau kena tanya aku dulu?”
“Kenapa pula?” Beel memandang Haikal kembali.
Haikal mengetap bibir. “Aku suami kau”.
Beel berdehem. “Kita cuma suami isteri pada nama. Sebelum awak nak saya anggap awak suami saya, saya nak tanya. Pernah tak awak anggap saya ni isteri awak?”
Haikal terdiam. Beel menggeleng kepalanya. Lelaki tak munasabah langsung. Lantas dia masuk ke bilik air dan menutup pintu.
Haikal terduduk di atas katil. Kata-kata Beel benar. Dia sendiri tidak pernah menganggap Beel isterinya. Tapi mengapa dia terasa marah bila Beel mengajak Safwan datang ke rumahnya?

##########

“Awak”.
“Awak, bangunlah. Awak”.
“Awak …”
Haikal mengalih bantal yang menutupi kepalanya. Matanya memandang Beel yang berada di hadapannya. “Nak apa?”
Beel memandang Haikal. Teragak-agak untuk berkata-kata. Haikal melepas nafas. Adakah patut Beel mengganggu tidurnya?
“Nak apa?”
Beel diam lagi. Bagaimana harus dia bicarakan pada Haikal. Dia haus. Haus yang teramat. Tapi dia takut untuk ke dapur seorang diri.
“Nak apa? Aku mengantuklah. Kau tak nak tidur ke?”
“Temankan” Beel mengucap perlahan.
Haikal mengerut dahi memandang Beel. Temankan? Temankan apa?
“Saya haus”.
“Habis, pergilah minum air”.
Beel mendengus bila Haikal tidak menangkap kemahuannya. “Temankan”.
“Teman apa?”
Beel menghentak kakinya. “Saya haus”.
“Ya. Dah haus pergilah minum. Opah kau tak cakap ke, kalau suami tidur tak boleh kacau!” Haikal kembali menutup muka dengan bantalnya.
Beel mengetap bibir. Mentang-mentanglah dia takut. Kalau bukan kerana takut, sudah lama dibawanya air sejuk dari dapur dan disimbah ke wajah Haikal.
“Temankanlah …”
Haikal mengeluh. Bantalnya dialih dan dia duduk memandang Beel. “Teman apa? Takkan nak pergi dapur pun nak teman?”
Beel mengangguk. “Saya takut”.
Haikal membulatkan mata. Dia yang tadinya mengantuk langsung segar. “Kau takut? Takut apa? Takut hantu?”
Beel mengangguk. Tidak suka dirinya diperlekehkan Haikal, namun apa yang boleh dilakukan?
Haikal ketawa mengekek. Kepalanya tergeleng-geleng dalam tawanya. Dia memandang Beel seketika dan ketawa lagi.
“Cepatlah!” Beel menarik baju lelaki itu.
“Yelah. Selagi aku tak teman, selagi tulah kau kacau aku kan?”
Beel diam. Haikal melangkah keluar dari bilik dan berjalan ke dapur. Beel mengejar dari belakang. Tahu sangat Haikal sengaja berjalan laju kerana mahu mengusiknya.
Sebaik dapat mengejar Haikal, baju Haikal dipegangnya. Haikal senyum sendiri. Pertama kalinya terasa dirinya diperlukan Beel.
“Dah. Tu dapur, pergilah”.
Beel mendengus. Langkah diatur perlahan menuju ke dapur. Sesekali dia menoleh pada Haikal yang menanti.
“Gelapnya” Beel mengucap perlahan. Langkah diatur menuju ke suis lampu. Dia melangkah perlahan-lahan. Tangannya yang tidak menyedari ada gelas kaca berdekatan menolak kaca itu hingga ia jatuh dan pecah berderai.
Beel terkejut. “Ha .. Ha .. Hantu!!” Dia berlari keluar dari dapur dan langsung memeluk Haikal.
Haikal mengeluh. “Mana ada hantu. Kau ni …”
Beel diam dalam pelukan Haikal. Haikal menolak tubuh Beel perlahan dan menarik tangannya menuju ke dapur. Suis lampu dibuka dan dia memandang Beel.
Beel mencebik. Tangannya ditarik dari pegangan Haikal.
“Siapa yang pecahkan ni?” Haikal menyoal.
Beel sengih menayang giginya. Haikal mengeluh. “Sendiri buat fasal, sendiri takut”.
Beel diam. Penyapu dicapai dan dia menyapu kaca yang berteraburan di atas lantai. Sambil bibirnya terkumat-kamit menyumpah Haikal.
Air di dalam peti ais dituang ke dalam gelas dan dia meneguknya. Haikal menanti kebosanan. Wajah Beel dipandang dan dia tersenyum.
“Lain kali, kalau takut bolehlah peluk saya lagi kan?”
Beel memandang. “Gatal!”
Haikal ketawa kecil. Sengaja dia meninggalkan Beel sendirian di dapur. Tergopoh-gapah Beel membilas gelas dan mengejar Haikal. Tengoklah, ada waktunya nanti dia akan membalas dendam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s