DILARANG NIKAHI AKU – 23

Fah membuka pintu kereta sebaik abangnya mematikan enjin. Tidak sabar rasanya mahu bertemu Beel.
Namun langkahnya terhenti bila melihat keadaan sekeliling. Rumah ini langsung tidak sama dengan apa yang dia bayangkan.
Kelihatan seperti rumah kampung yang terletak di bandar. Pasti banyak kos yang dihabiskan untuk membina rumah sebegini.
Beel berlari anak keluar dari rumah bila mendapati kereta abang Wan berada di garaj. “Fah!”
Fah tersenyum mendengar suara itu. Dia mencari arah suara Beel. Sedikit terkejut bila tubuhnya tiba-tiba dipeluk dari belakang.
“Fah”.
“Beel”.
Dan mereka berpelukan lagi. Safwan berdiri bersandar pada keretanya. Ketawa sendiri melihat gelagat Fah dan Beel yang bagaikan hero heroin filem Hindustan.
“Abang Wan” Beel melambai pada lelaki itu.
Safwan menguntum senyum melangkah pada Beel. “Sihat?”
“Sihat” Beel tersenyum. Tangan dihulur pada Safwan dan dia menyalami abang angkatnya itu.
Safwan menguntum senyum dan mengusap kepala Beel. Fah menggeleng-geleng melihat gelagat teman baiknya itu.
Bunyi suara berdehem dari belakang mereka membuatkan ketiga-tiganya menoleh.
Haikal mendekati Beel. Matanya tertuju pada tangan Beel yang berada dalam pegangan Safwan. Tidak tahukah Safwan bahawa Beel sudah sah menjadi isterinya?
Fah menarik tangan Beel bila perasan mata Haikal yang merenung tajam. Beel memandang Fah, tidak memahami tindakan sahabatnya itu.
“Saya nak pergi kerja” Haikal berkata separuh berbisik pada Beel.
Beel mengerut dahi. Ada dua perkara yang menghairankan di sini. Pertama, gelaran yang Haikal gunakan. Saya? Rasanya sudah lama Haikal berhenti menggunakan gelaran saya-awak dengannya.
Yang kedua, mengapa Haikal perlu memberitahunya ke mana dia pergi? Dia sendiri juga langsung tidak mahu ambil tahu ke mana Haikal pergi.
“Dengar tak?” Haikal menyoal.
Beel mengangguk. “Pergilah. Fah,jom masuk dalam”.
Haikal memandang Beel yang berlalu sambil menarik tangan Fah. Bibirnya diketap kegeraman. Apakah Beel membalas dendam kerana hal malam tadi?
Safwan menunduk hormat pada Haikal dan berlalu mengikut Beel dan Fah. Haikal mengetap bibir menahan geram. Patutkah seorang isteri bertindak sebegitu dengan seorang bernama suami?

##########

Sakinah menarik nafas sedalam mungkin. Zamri di sisi memandang. “Jom”.
Sakinah tersenyum nipis dan turun dari kereta. Mereka berjalan beriringan memasuki balai polis. Sudah ada pegawai polis menunggu untuk membawa mereka menemui Inspektor Fakri yang bertugas mengendalikan kes Suraya.
“Jemput duduk” Inspektor Fakri tersenyum tika Zamri dan Sakinah melangkah masuk.
Mereka mengambil tempat pada kerusi yang tersedia. Inspektor Fakri mengangguk pada pegawai polis tadi dan dia beredar dari bilik.
Zamri dan Sakinah diam menanti laporan yang bakal Inspektor Fakri berikan. Inspektor Fakri meletakkan laporan yang diterima dari makmal di atas meja.
“Inspektor boleh mulakan” Zamri memberi isyarat agar Inspektor Fakri mula berkata-kata.
Inspektor Fakri melepas nafas. Dia cuba mencari ayat yang terbaik dalam menjelaskan hasil laporan dari pihak makmal.
“Hasil siasatan mendapati tubuh badan Cik Suraya lebam teruk disebabkan dipukul dan dibelasah teruk. Dalam masa yang sama, selaput dara Cik Suraya juga …”
Sakinah memandang Zamri. Kemudian memandang Inspektor Fakri semula. “Apa yang inspektor nak cakap ni?”
“Kami mengesyaki Cik Suraya dirogol”.
Sakinah terdiam. Begitu juga Zamri. Kata-kata Inspektor Fakri bagaikan mengunci peti suara mereka hingga keduanya tidak mampu bersuara.
“En.Zamri, Pn.Sakinah” Inspektor Fakri memanggil pasangan suami isteri itu.
Sakinah menggeleng-geleng. “Tak mungkin. Inspektor tipukan? Tak mungkin, tak mungkin”.
Zamri memaut bahu isterinya. “Sakinah”.
Sakinah memandang suaminya. “Tak. You, I tahu inspektor tipu kita. Anak kita tak mungkin kena rogol. Anak kita masih suci. Tak mungkin”.
Zamri melepas nafas. Dia memanggil nama isterinya lembut. Cuba untuk menenangkan. Namun Sakinah masih menggeleng-geleng kepala. Tidak boleh menerima kenyataan yang disampaikan Inspektor Fakri.
Inspektor Fakri hanya menjadi pemerhati. Laporannya masih belum berakhir. Tapi melihat keadaan Sakinah dia tidak sampai hati untuk melanjutkan laporannya.

##########

Syakir ketawa berdekah-dekah mendengar cerita Haikal. Dia memandang Haikal lagi dan meneruskan tawanya.
“Oi!” Haikal menegur.
Syakir mengangkat tangan tanda tidak dapat mengawal diri. “Lawaklah kau ni!”
“Apa yang lawaknya? Kau tahu tak aku tengah sakit hati?”
Syakir berhenti ketawa. Wajahnya memandang Haikal serius. “Kenapa kau sakit hati pula?”
Haikal diam. Syakir dipandang. Iya, mengapa pula dia sakit hati?
“Aku suami. Mestilah aku geram bila isteri aku buat macam tu” Haikal memandang Syakir.
Syakir mengerut dahi. “Kau macam dah sayangkan budak tu”.
Haikal membulatkan mata. “Apa kau merapu ni? Aku dengan dia, baru dua harilah kahwin. Ingat aku ni apa, tiba-tiba je nak sayang dia”.
Syakir memandang. “Tak delah. Kau marah sangat dia ajak Wan datang rumah kau. Sedangkan dia dengan Wan dah kenal dari kecil”.
“Aku tengah cakap yang aku tak suka. Bukan aku cemburu!” Haikal menyangkal kata-kata Syakir.
“Aku tak kata kau cemburu”.
Haikal mencapai pen di atas meja dan membalingnya ke arah Syakir. Geram dengan Syakir yang sengaja mengenakannya.
“Aku tanya betul ni, kau dah sayangkan dia ke?”
“Apa kau merapu ni Syakir?”
“Cara kau marah. Aku dah lama tak nampak kau marah macam ni. Macam kau cemburu kalau ada lelaki lain pikat Nab dulu”.
Haikal terdiam. Syakir menjongket kening. Tapi takkanlah dalam masa dua hari saja sudah boleh mengubah perasaan Haikal pada Beel? Dari benci pada sayang?
Haikal menarik nafas sedalam mungkin. “Ok. Aku tak marah. Aku tak suka dia bawa lelaki lain masuk rumah aku tu je. Lepas tu, aku cakap dengan dia .. Aku nak pergi kerja, dia kata pergilah. Aku tak boleh terima jawapan dia tu. Tu je. That’s all”.
Syakir mengangguk memahami. Nampaknya Haikal sendiri tidak tahu apa perasaannya pada Beel. Tidak seperti dia yang tahu, yakin dan pasti bahawa dia sukakan Fah.
Kiranya perkahwinan ini bukanlah semudah yang disangka. Kalau Haikal benar-benar jatuh cinta pada Beel, bagaimana pula dengan Suraya? Dia pasti akan kembali merampas Haikal nanti.

#########

Suasana malam itu sangat tenang. Seperti tahu apa yang tersirat di hatinya. Sepertinya langit sudah tahu bahawa esok adalah hari bahagianya. Hari dia akan bergelar isteri kepada seorang Haikal Hadzim.
Suraya tersenyum memandang jarinya yang berinai. Bagai tidak percaya esok jarinya akan disarung dengan cincin perkahwinan.
Dia benar-benar berharap semuanya akan berjalan lancar. Terutama adik sepupunya yang suka membuat hal itu. Suraya amat berharap Beel tidak menimbulkan kekecohan esok.
Suraya turun dari tempat duduk pemandu dan duduk di bahagian penumpang belakang. Pintu kereta bahagian pemandu dibiarkan terbuka.
Dia duduk menghadap keluar. Hanya punggungnya yang berada di kerusi kereta manakala kaki memijak jalan raya. Bersandar menikmati keindahan bulan dan bintang.
“Haikal Hadzim” Suraya tersenyum sendiri menyebut nama itu.
Tempoh perkenalan yang singkat bukanlah masalah buatnya. Apatah lagi, Haikal berjaya membuktikan bahawa dia boleh menjadi suami yang baik juga bapa mithali untuk anak-anak mereka kelak.
Haikal pandai melayan rajuknya. Haikal pandai mengambil hati opah. Haikal boleh membuatkan papa dan mama selesa dengannya. Yang paling penting, Haikal sentiasa tahu apa yang dia mahukan.
Jam tangan dikerling bila terasa dia sudah lama di luar. Sudah pukul 2.30 pagi. Dia sendiri tidak sedar bahawa masa begitu cepat berlalu.
Suraya bangun dari duduknya dan menutup pintu kereta. Baru hendak melangkah ke tempat duduk pemandu, dia kaku sendiri bila tiba-tiba tubuhnya dipeluk dari belakang.
Suara lelaki tak dikenali yang didengar dari belakangnya membuatkan Suraya berdebar. Mujur kaki memakai kasut tumit tinggi, langsung kaki lelaki itu dipijaknya.
Sementara lelaki itu mengaduh, Suraya melepaskan diri. Namun lelaki itu lebih cekap menangkap tubuh Suraya kembali.
Pintu kereta bahagian belakang dibuka kembali oleh lelaki itu. Suraya mencuba sehabis daya untuk melepaskan diri namun usahanya sia-sia.
Lelaki bermata sepet itu menolak tubuh Suraya sekuatnya. Hingga Suraya akhirnya terbaring di atas kerusi kereta.
Suraya menahan nafas yang naik turun. Dia harus menyelamatkan diri tak kira apa berlaku. Dia harus berusaha pulang untuk hari perkahwinannya yang hanya tingga beberapa jam saja lagi.
Suraya menahan air matanya dari mengalir. Lelaki itu sudah mula membuka tali pinggangnya dan menanggalkan pakaian.
Suraya langsung menendang lelaki itu sekuat hati. Dan sebaik lelaki itu rebah, Suraya berlari sekuatnya. Namun lelaki itu lebih pantas mengejar.
Perut Suraya ditumbuk hingga dia lemah dan tidak berdaya melawan. Tubuhnya dibaringkan kembali pada kerusi kereta.
Lelaki itu sudah mula berbaring di atas tubuhnya. Pipi Suraya mula dibelai dan wajah Suraya ditenung lelaki itu.
“Cantik”.
Suraya bertindak agresif bila telinga lelaki itu digigitnya. Lelaki itu semakin marah bila telinganya berdarah. Suraya ditumbuk dan ditampar dengan senyuman.
Kedua tangan Suraya dilipat ke belakang hingga Suraya kaku dan tidak boleh bergerak. Dia lemah-selemah-lemahnya apabila lelaki itu terus membelasah tubuhnya.
Suraya menggeleg-geleng tanda melawan. “Jangan, jangan, jangan!!”
Matanya terbuka melihat sekeliling. Dia berada di tempat tak diketahui. Tubuhnya diteliti satu-persatu. Dia berpakaian lengkap dan tangannya …
Suraya melihat keadaan sekeliling. Hospital? Apakah dia berada di hospital?
“Cik Suraya dah sedar?”
Suraya menggeleng laju. Suara jururawat di hadapannya didengari bagaikan suara lelaki itu. Lelaki itu ..
“Jangan! Jangan!” Suraya menahan nafas yang naik turun. Menjauhkan diri bila jururawat itu mendekat.
“Cik Suraya!” jururawat itu cuba menyentuh tangan Suraya.
Suraya menggeleng lagi. Air matanya sudah berderaian kerana ketakutan. Kejadian tempoh hari bagaikan berulang di fikirannya. Seolah flash-back yang nyata.
Jururawat itu menekan butang kecemasan memanggil jururawat lain. Nampaknya Cik Suraya mengalami trauma dari apa yang menimpanya.
Suraya disuntik ubat penenang yang membuatkan dia terlelap kembali. Jururawat tadi bergegas ke kaunter untuk menghubungi keluarga pesakit.
Mereka harus dimaklumkan tentang keadaannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s