DILARANG NIKAHI AKU – 26

Tangannya mengurut dada yang terkejut mendengar bunyi pintu yang terhempas. Beel menoleh memandang Haikal yang baru masuk ke bilik.
“Datang bulan ke?” Beel menyoal namun lebih pada diri sendiri.
Haikal menahan amarah di dada. Sakit benar hatinya mengenangkan peristiwa di hospital tadi.
Beel yang malas melayan mood Haikal melangkah ke pintu. Lebih baik dia keluar mencari Kak Nia. Kebetulan juga perutnya lapar, bolehlah dia meminta Kak Nia memasak sesuatu buatnya.
Haikal berlari anak dan menarik tangan Beel. Beel mengerut dahi melihat tangannya yang sudah berada dalam genggaman Haikal.
“Dah kenapa?” Beel menarik tangannya dari pegangan Haikal.
“Kau pergi hospital tadi kan?”
Beel mengangguk. Haikal menarik nafas sedalamnya. Tadi dia pergi ke hospital untuk mengetahui apakah benar Beel pergi dengan Safwan atau tidak.
Tapi melalui kantin, dia sudah tidak perlu bertanya pada kaunter jururawat. Alangkah sakit hatinya melihat Beel dan Safwan bermesraan di kantin.
Awalnya dia fikir mereka pergi bertiga. Namun lama memerhati tiada pula Fah di mana-mana. Malah yang menyakitkan hati dan mata adalah .. Dia melihat dengan mata sendiri Beel menyuap makanan pada Safwan.
“Awak sendiri dah tahu yang saya nak pergi hospital. Dan saya rasa awak sendiri tahu, yang pak long dengan mak long dah pindahkan Kak Su ke Negeri Sembilan tapi awak tak cakap apa-apa dengan saya” Beel memandang Haikal dengan mata kecewanya. Namun nada suara masih rendah.
Haikal menggenggam penumbuk. “Tu hal lain. Kau ingat lagi tak yang kau ni ada suami? Kau bermesraan dengan orang lain kat tempat awam tak malu? Bercinta bagai nak rak sampai terlupa kau tu bini orang!”
Beel mengeluh. Dia letih. Benar-benar letih. Sejak mereka menjadi suami isteri tidak ada satu hari mereka tidak bergaduh. Bermacam hal yang menjadi punca.
Tapi malam ini lain. Haikal marah kerana sesuatu yang tidak berlaku. Bila masa pula dia bercinta bagai nak rak ni?
“Diam, maknanya betulkan?” Haikal sengaja menaikkan kemarahan Beel.
Beel memandang. Lama dia berfikir, hari ini dia cuma keluar bersama abang Wan dan Fah. Takkanlah lelaki yang dikatakan Haikal adalah abang Wan?
Beel menarik nafas. Dia rasa dia sudah tahu sebabnya. “Awak ikut saya pergi hospital?”
“Aku tanya kau sedar tak yang kau tu bini orang?”
Beel mengetap bibir. Padanya perkataan bini itu lebih rendah dari isteri. Nafas ditarik sedalam. “Ok. Awak ikut saya pergi hospital, awak nampak kita orang makan kat kantin. Awak nampak saya suap abang Wankan?”
Haikal mengalih pandangan. Tidak lagi memandang Beel.
“Saya pergi dengan Fah. Fah ada sekali, tapi dia pergi tandas. Kalau awak nak tahu, Fah memang masuk tandas lama. Fasal suap-menyuap tu, saya cuma bagi abang Wan rasa makanan saya. Saya sendiri makan guna tangan, tak guna sudu. Sudu cuma guna untuk suap abang Wan je. Tu pun cuma sekali. Tapi yang awak marah sangat kenapa?”
Haikal mendiamkan diri. Beel menggeleng-geleng. “Saya dengan abang Wan kenal dari kecil. Dia sendiri dah anggap saya macam Fah. Kalau suap-menyuap tu yang buat awak tak terkawal sekarang ni, saya minta maaf walaupun awak sepatutnya dah tahu, saya dengan abang Wan dah macam adik-beradik”.
Beel berhenti sebentar. Mengapalah pergaduhan seperti ini harus berlaku? Bukan sehari dua, tapi setiap hari. “Tapi apa hak awak nak halang saya keluar dengan siapa? Saya ada hak sendiri untuk tentukan dengan siapa nak keluar”.
Haikal memandang Beel kembali. Matanya jelas menyalakan api kemarahan. Namun Beel berlagak normal. Dia sudah mula terbiasa dengan sikap Haikal yang mudah berubah angin.
“Apa hak saya? Baik, mulai hari ni saya sebagai suami awak, yang ada hak mutlak sepenuhnya atas diri awak, haramkan awak keluar dari rumah ni tanpa izin saya!”
Beel mengerut dahi. Kepalanya tergeleng-geleng dengan kata-kata Haikal. “Kalau awak marah saya keluar dengan abang Wan, awak boleh cakap je. Tak perlu nak berdolak-dalih itu ini. Tak munasabah langsung!”
Haikal membulatkan matanya mendengar kata-kata Beel. Namun Beel lebih laju membuka pintu dan beredar sebelum Haikal sempat meneruskan kata-katanya. Haikal duduk di atas sofa. Apa yang telah dia lakukan?
Langkah Beel terhenti bila ternyata Nia berada hampir dengan pintu bilik mereka. Nia yang memegang bakul baju meletakkan bakul baju itu di atas lantai.
“Cik Beel”.
“Kak Nia dengar?”
Nia mengangguk. Beel melepas nafas. Kak Nia dipandang. “Kak Nia dah habis kerja kan?”
Nia diam. Beel tersenyum nipis. “Beel nak tidur dengan Kak Nia boleh?”
Nia mengangguk lambat-lambat. Beel tidak menunggu, langsung tangan Nia ditarik beredar dari situ.

###########

Fah tersenyum memandang kalendar bulan Disember. Tinggal beberapa hari saja lagi. Nampaknya dia sudah boleh mula merancang.
Apa yang harus dilakukan? Lokasinya sudah tentulah di rumah Haikal kerana itu adalah rumah Beel sekarang.
Tidak sabar rasanya menanti hari itu. Esok, bolehlah dia mengajak abang ke Villa An untuk berbincang dengan opah soal persiapan majlis hari lahir Beel.

##########

Nia yang baru keluar dari bilik air memandang Beel yang terbaring di atas katil. Dia yang tahu Beel masih berjaga duduk di atas katil.
“Kalau Cik Beel nak menangis, Cik Beel menangislah”.
Beel duduk. Nia dipandang. “Beel tak de rasa nak menangis langsung. Rasa nak marah adalah. Apa punya orang macam tu, semua benda tak nak cakap terus-terang. Tahunya marah-marah. Tak munasabah, macam budak kecil tu. Tak munasabah”.
Nia ketawa kecil melihat Beel membebel. Beel diam seketika. Kalau tidak silapnya, sebelum ini Fah selalu mengatakan dia tidak munasabah. Takkanlah perangainya sebelum ini seperti Haikal tadi?
Beel menggeleng. Tak mungkin dia punya sikap seteruk itu. Tak mungkin, tak mungkin.
“Mungkin .. En.Haikal cemburu cuma dia tak nak cakap” Nia menyatakan pendapatnya. Iyalah, suami mana yang tidak marah jika melihat isteri sendiri bermesra dengan lelaki lain?
Beel ketawa. Memandang Kak Nia dan ketawa lagi. Kemudian berhenti seketika dan ketawa lagi. “Simpang 44 malaikat dia nak cemburu. Kelakarlah Kak Nia ni”.
Nia memandang dengan terpinga-pinga. Dia bler sedikit. Mengapa pula simpang 44 malaikat? Bukankah ia lumrah di alam perkahwinan?
Beel menarik nafas. Moodnya sudah baik semula. Hasil teori Kak Nia yang langsung tak logik. “Beel dah ok. Jom tidur, Beel mengantuk”.

##########

“Ya papa”.
“Jangan lupa. Papa minta maaf sebab tak boleh turun buat masa ni. Jadi Haikal dengan Beel kena datang sinilah. Papa dah cakap dengan En.Fahad. En.Fahad pun akan turun hujung minggu ni”.
“Ok”.
“Baguslah kalau macam tu. Nanti apa-apa kamu call papa balik”.
“Ok papa”.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam”.
Haikal memandang telefon bimbitnya. Bagaimanalah dia boleh terlupa? Sebaik saja usia pernikahannya mencecah seminggu, dia harus bertemu semula dengan En.Fahad.
Namun kali ini, isterinya perlu ada bersama. Dia harus membawa Beel pulang ke Kuwait pula. Mama masuk hospital kerana asthmanya menyerang.
“Pagi”.
Haikal menoleh ke belakang. Melihat Beel yang melangkah ke meja makan. Mengucapkan selamat pagi pada Nia yang sedang menatang dulang berisi jus durian belanda kegemarannya.
Beel membuat muka bersahaja, tersengih memandang Nia dan menghulur pinggan. Nia tersenyum sambil mencedok kue tiau goreng yang menjadi menu sarapan pagi itu.
Haikal menarik nafas. Bagaimana harus dia memberitahu Beel? Atau dia hanya perlu memberi Beel tiket kapal terbang nanti?
“Nak pergi mana?” Beel menarik tangan Nia.
Nia tersenyum. Ini mesti berkaitan dengan pergaduhan malam tadi. “Ada kerja lagi kat dapur”.
“Sarapanlah sekali” Beel memandang dengan wajah penuh mengharap.
Haikal melepas nafas. Jelaslah Beel melakukannya terang-terangan, takkanlah dia tidak tahu. Mengapalah Beel perlu berbisik segala bagai?
“Kak Nia ..” Beel mula merengek.
“Akak ada kerja lagi kan?” Haikal memandang. ‘Mengusir’ Nia berserta strategi. Kalau tidak ada Nia, lebih mudah untuk dia berbicara dengan Beel soal ke Kuwait nanti.
Nia mengangguk mengiakan. Dia menguntum senyum pada Beel dan berlalu ke dapur. Beel menghentak meja. Tahu bahawa Haikal sengaja meminta Nia beredar dari ruang makan.
Beel memulakan suapannya selaju mungkin. Dia kalau boleh tidak mahu berkata sepatah pun dengan Haikal. Lagi pun, dalam hal ini dia tidak bersalah.
Haikal memandang Beel yang bagai orang kelaparan. Entah bagaimana, Beel tiba-tiba tersedak. Membuatkan Beel terbatuk-batuk.
Haikal menghulurkan air masak buat Beel namun tangan Beel lebih cepat mencapai jus durian belandanya. Haikal menarik semula hulurannya.
Beel memandang Haikal sekilas dan meneruskan suapan. Haikal akhirnya membisu, merasakan Beel masih marah atas ‘arahan’nya semalam.
Suasana ruang makan sunyi sepi bagai tiada orang. Nia yang mengintai dari balik dinding mengeluh. Tidak adakah salah seorang yang bakal mengalah?

########

“Macam tak sihat je” Safwan meneliti wajah Beel yang padanya kelihatan agak muram dan tidak bermaya.
Beel menggeleng. “Beel ok”.
Fah mengerut dahi melihat wajah Beel. Pipi Beel dipegang menggunakan kedua tangannya. “Nampak pucatlah”.
Beel menepis tangan Fah dan menguntum senyumnya. Safwan mendekati, cuba menyentuh dahi Beel namun Beel mengelak bila teringat tindakan Haikal malam tadi.
Fah mengerut dahi melihat Beel. Apa yang tidak kena? Selalunya Beel biasa-biasa saja dengan abangnya. Safwan turut memandang Beel. Apa yang berlaku?
Beel membuat wajah bersahaja. Namun keluhan kecil dilepaskan. Apakah perlu dia mengelak sebegini?
Fah berdehem menyedari situasi aneh itu. “So, dah berapa lama kau tak tengok opah?”
Beel melentokkan kepala di bahu Fah. Fah membuat gaya bagai emak tiri. Beel ditarik hingga mereka duduk pada buaian yang tersedia di laman itu. Safwan mengikut dari belakang.
“Opah kata sejak kau kahwin ni, tak balik langsung tengok dia” Fah memandang Beel di sisinya.
Beel mengangguk. Wajah Safwan yang duduk di hadapan mereka dipandang. “Abang Wanlah ni, tak nak bawa Beel balik rumah”.
Safwan mengerut dahi. “Salah abang Wanlah ni?”
Beel mengangguk penuh semangat. “Beel ni, kalau ikutkan hati, sekarang juga nak pack barang balik rumah. Haish..”
Safwan ketawa kecil mendengar kata-kata Beel. Fah mencubit lengan Beel. “Dah kahwin, buatlah perangai isteri orang”.
“Tulah masalahnya!” Beel memandang Fah bagai melepas kemarahannya pada Haikal.
Fah menggeleng-geleng. “Opah kata, majlis hari lahir kau lagi tiga hari, kita buat kat sinilah. Nanti dia datang”.
Beel memandang Fah. Tangan mengira-ngira hari dan tarikh. Dia ketawa sendiri melihat Fah dan Safwan bersilih ganti.
“Nak 30 Disember dah rupanya. Tak sedar langsung”.
Fah mencebik. Kepala Beel diluku perlahan. Tidak sabar rasanya menanti hari itu tiba. Dia juga tidak sabar melihat reaksi Beel membuka hadiahnya nanti.

#########

Syakir bergegas berlari ke arah gadis yang dilihatnya tadi. Langkahnya menahan gadis bertudung itu.
“Assalamualaikum”.
Fah menguntum senyum. “Waalaikumussalam. Macam mana boleh..”
“Kebetulankan?”
Fah mengangguk. Boleh pula mereka terjumpa di stesen minyak Petronas saat ini?
“Awak sihat?” Syakir memandang Fah lama.
Fah mengangguk. Dia tidak boleh lama kerana Safwan sudah menunggu di dalam kereta. “Saya nak ..”
Syakir menanti ayat Fah yang tergantung. Fah tersenyum teringat majlis hari lahir Beel yang bakal berlangsung. “Jemputlah datang majlis hari lahir Beel nanti”.
“Birthday Beel?”
Fah mengangguk. “30 hari bulan ni”.
Syakir mengangguk. Kemudia menggeleng. “Saya ada kerja hari tu. Tak boleh pergilah nampaknya. Tapi, saya pergi dengan Haikal. Haikal tak tahu ke?”
Fah hanya tersenyum. Soal Haikal, dia tidak berani masuk campur. Menyebut nama Haikal juga sudah membuatkan Beel melenting. Bagaimanalah keadaan mereka di rumah?
“Fah” Syakir memanggil.
Fah memandang. “Saya pergi dulu. Abang tengah tunggu kat luar. Assalamualaikum”.
Syakir melihat Fah beredar keluar dari pintu. Keluhan dilepaskan. ‘Nak cakap fasal Beel je? Tanya khabar aku pun tak’.

###########

Beel melihat dirinya di hadapan cermin. Kata opah, dia harus memakai baju kurung untuk majlis hari ini.
Baju kurung berwarna hijau daun pisang itu adalah baju rayanya dua tahun lepas. Namun dia tidak pernah memakainya.
Sebenarnya semua baju kurung ditinggalkan di rumah opah. Baju kurung yang dipakainya ketika ini pun opah yang membawanya.
Beel melepas nafas. Sebenarnya mahu saja dia bergaduh dengan opah, tidak mahu memakai baju kurung ini. Tapi mengenangkan dia sudah lama tidak bertemu opah, dibatalkan saja niatnya itu.
Pintu bilik yang terbuka membuatkan Beel kaku di hadapan cermin. Haikal masuk sambil membawa briefcasenya. Kelam-kabut membuka laci mengambil fail yang tertinggal.
Beel terkedip-kedip di tempatnya. Haikal menoleh dan melihat Beel yang berdiri kaku bagaikan patung.
“Kata ada kerja”.
Haikal mengangguk. Awalnya dia tersenyum melihat penampilan Beel. Namun, tidak lama tawanya meledak bagai gunung berapi.
Beel mengetap bibir. Tahu sangat Haikal sedang ketawakan penampilannya. “Kau pakai macam ni cantiklah. Aku suka, macam badut!”
“Pak cik longkang!” Langsung bantal di atas katil dicapai dan dibaling ke arah Haikal.
Haikal ketawa lagi. Sempat dielak balingan Beel. Dan Beel membaling lagi. Haikal ketawa lagi. “Badut!”
Segera dia mencapai briefcasenya dan berlari keluar. Beel melepas nafas. “Tak habis-habis nak sakitkan hati orang!”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s