DILARANG NIKAHI AKU -28

Safwan berlari anak menuju ke arah mejanya bila mendengar bunyi telefon bimbitnya berdering. Bila nama Beel yang tertera, segera butang hijau ditekan menerima panggilan masuk.
“Assalamualaikum” kedengaran suara Beel memberi salam.
“Waalaikumussalam. Beel sihat tak? Kenapa call abang Wan time macam ni?”
Beel melepas nafas. “Beel tahu abang Wan kat office. Sorry sebab kacau. Beel nak bagitahu”.
Safwan mengerut dahi. “Bagitahu?”
Beel diam sebentar. “Wanwan .. Wanwan …”
“Kenapa ni?” Safwan langsung memberhentikan kerjanya. Menumpukan sepenuh perhatiannya pada Beel di talian.
“Wanwan dah tak de”.
“Pergi mana?” Safwan menyoal meminta kepastian. Ke mana pula perginya arnab pemberiannya semalam?
“Kena langgar” ucap Beel lambat-lambat dan satu-persatu.
Safwan terdiam. Kena langgar? Bererti maksud Beel ‘dah tak de’ itu adalah sudah tiada di dunia. Sudah mati.
“Beel minta maaf”.
“Kenapa nak minta maaf? Bukan salah Beel kan?”
“Sebab Beel tak jaga hadiah abang Wan elok-elok”.
“Apa yang jadi bukan salah Beel. Wanwan kena langgar bukan salah Beel. Lagi pun, Beel mesti dah jaga Wanwan sebaik mungkin kan?”
Beel mendiamkan diri. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia memberitahu Haikal yang melanggarnya. Namun niat dibatalkan bila teringat pesan opah.
‘Jadilah isteri yang baik’. Beel menarik dan melepas nafas. “Abang Wan ..”
“Ya”.
“Beel tak sengaja tau”.
“Beel, kan abang Wan dah cakap. Bukan salah Beel”.
“Ok” Beel bersuara perlahan.
Safwan tersenyum. “Jangan fikir banyak sangat. Ada rezeki, abang Wan belikan Beel arnab lagi”.
Beel tersenyum tawar. “Tak naklah. Nanti kena langgar lagi”.
Safwan diam. Beel menarik nafas. “Abang Wan, Beel letak dulu. Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam”.

##########

“Aku dah tahu mana Fah belajar” Syakir menjongket kening memandang Haikal. Berbangga dengan maklumat terbarunya.
Haikal memandang kosong. Tiada respon yang mahu dia berikan. Dia masih memikirkan soal kejadian pagi tadi.
Bunyi ketukan pintu membantutkan niat Syakir untuk terus bercerita soal gadis kesayangannya. Haikal membetulkan duduk. “Masuk”.
Linda masuk sambil membawa buku jadualnya. Dia menunduk memberi hormat pada Haikal dan Syakir.
“Ni tiket yang En.Haikal minta saya print” Linda menghulurkan tiket pada Haikal.
Syakir mengerutkan dahi. Tiket? Tiket ke mana? Dia menyambut huluran Linda dan meneliti nama pada tiket itu. “Kau dengan Beel ke?”
“Hari ni saya ada meeting tak?” Haikal menyoal.
Linda mengangguk. “Pukul 3.00 petang nanti ada client datang. Lepas tu, ada meeting luar dengan wakil syarikat Terna Design”.
Haikal mengangguk. Linda memandang. “Kalau dah tak de apa-apa ..”
“Awak boleh keluar. Terima kasih”.
Linda mengangguk dan beredar dari bilik. Syakir menghulurkan tiket semula pada Haikal. “Kau nak balik Kuwait?”
Haikal mengangguk. “Fasal wasiat atuk aku tulah”.
Syakir membuat mulut ternganga. “Baru aku ingat. Tapi Beel nak ikut ke?”
“Aku suami”.
Syakir ketawa mendengar kata-kata yang baru Haikal ucapkan. “Aku suami? Kau kena layan dia elok-eloklah. Nanti melepas mahu tak rugi”.
Haikal mencebik. “Aku nak bagitahu tak sempat lagi”.
Syakir mengerutkan dahi. Tiket itu diambil kembali. Meneliti tarikh yang tertera. “Bukan esok ke? Tak sempat kau cakap? Nak pergi esok?”
Haikal mengeluh. “Kau ingat Beel tu senang nak urus ke?”
Syakir mengangkat bahu. “Memang senang. Kalau kau tak nak, kau ceraikan dia. Aku rasa bakal abang ipar aku pun, ada hati kat Beel juga”.
Haikal mengambil fail yang berada di hadapannya dan menggunakannya untuk mengetuk kepala Syakir. Geram dengan apa yang dia ucapkan.
“Aku cakap betullah!” Syakir mengucap kuat. Kepalanya yang kesakitan diusap.
“Baik kau tutup mulut kau tu. Tak de insurans langsung” Haikal menjeling. Pening dia memikirkan? Bagaimana caranya untuk memberitahu Beel?

#########

“Cik Beel”.
Beel menoleh memandang Kak Nia yang berdiri tegak di pintu ruang menonton televisyen. Matanya dibulatkan, menyoal kalau ada apa-apa.
“Tuan telefon”.
Beel mengerut dahi. “Tuan? Papa ke?”
Nia mengangguk, mengiakan kata-kata Beel. Beel berlari anak menuju ke telefon rumah yang terletak kemas di ruang tamu.
“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Beel ke ni?”
Beel mengangguk walau tidak dilihat Hazan. “Ya. Papa sihat?”
“Sihat. Mama ada masalah sikit, dalam hospital sekarang. Tapi mungkin esok boleh keluar dah”.
“Mama sakit apa?”
“Biasalah, mama Beel tu ada asthma”.
Beel membuat mulut berbentuk huruf ‘O’. Rupanya mama punya penyakit asthma atau lebih dikenali sebagai lelah. “Kirim salam mama”.
“Mama ada depan papa ni. Papa nak tanya sikit”.
“Tanya apa?”
“Ada Haikal cakap apa-apa?”
Beel terdiam. Cakap apa? Dia dan Haikal pun masih belum bertegur sapa. Malas mahu melayan mood Haikal yang selalu ke laut itu. Sekejap baik, sekejap jahat.
“Beel” Hazan memanggil bila Beel berdiam.
“Ya, papa”.
“Ada tak?”
Beel menggeleng. “Tak de”.
Hazan melepas nafas. Sudah dia agak. Anak lelakinya ini, sudah menjadi suami pun masih tidak pandai menggunakan haknya. “Beel kena datang sini”.
Beel mengerut dahi. “Sini mana? Kuwait ke?”
“Ya sayang”.
Beel diam seketika. “Kenapa? Ada apa-apa ke?”
“Haikal memang tak bagitahulah ni. Tiketnya esok”.
“Esok?” Beel menguatkan suaranya. Bibir diketap menahan geram dengan sikap Haikal. Mengapa langsung tidak mengkhabarkan apa-apa?
“Beel, doktor nak tengok mama ni. Papa kena letak dulu. Apa-apa hal, bincang dengan suami Beel. Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam” Beel meletakkan gagang telefon. Mengapa pula dia harus ke Kuwait? Apa yang berlaku di sana?

##########

Suasana di hospital tenang. Setenang keadaan di bilik Suraya ketika ini. Sakinah setia menjadi teman puteri kesayangannya.
Zamri baru saja ke Kuala Lumpur semula pagi tadi. Katanya ada hal syarikat yang harus segera diselesaikan.
Sakinah meletakkan majalah yang sedang dibacanya ke atas meja. Dia melangkah ke arah Suraya yang masih melelapkan mata.
Selimut ditarik hingga menutupi mata Suraya. Keadaan Suraya sudah bertambah baik. Walau kini, dia masih tidak mengenali orang sekeliling. Sekurang-kurangnya dia tidak takut dengan orang lagi.
Sesiapa pun yang datang disambut dengan hati terbuka. Namun mulut asyik menyoal soalan yang sama. Ini siapa, itu siapa. Sakinah sendiri kadang terlupa oleh Suraya.
Sakinah mengusap kepala Suraya. Dia benar-benar berharap Suraya cepat sedarkan diri. Cepat-cepat bangun dan menjadi Surayanya yang dulu.

#########

Haikal meletakkan briefcase di atas kerusi di meja makan. Mengambil tempat di hadapan Beel yang sedang menjamah makan malam.
Beel buat-buat tak tahu. Namun sebaik Haikal dilihat Nia, Nia langsung menghidangkan nasi putih di dalam pinggan.
Haikal tersenyum mengucapkan terima kasih. Gulai tempoyak yang dijamah Beel amat kuat baunya. Haikal sebenarnya sangat bencikan benda yang berkait dengan durian, namun ditahannya. Soal ke Kuwait harus dimaklumkan pada Beel.
Nia menutup gulai tempoyak di hadapan Beel menyedari Haikal membuat lagak ingin termuntah. Dan dia beredar dari ruang makan.
Sepemergian Kak Nia, Beel langsung membuka gulai tempoyaknya kembali. Peduli apa dia dengan Haikal?
Haikal mencedok ayam masak lada hitam yang tersedia. Sudu dicapai dan dia mula menjamah.
Beel mengetap bibir. Dia tidak suka betul melihat orang makan nasi menggunakan sudu. “Bisinglah”.
Haikal mengangkat wajah. Tersedar Beel makan menggunakan tangan. Tandanya tidak suka bila dia menggunakan sudu. Haikal menelan liur. Sudu diletakkan dan dia membasuh tangannya.
“Awak” Beel dipanggil.
Beel tidak menjawab. Memandang juga tidak. Terus menjamah gulai tempoyak masakan opah yang dihantar Fah dan abang Wan tadi. Bukan senang dia dapat makan masakan opah.
“Beel”.
Beel diam lagi. Menyelesaikan suapan terakhir dan mencapai air basuh tangan yang disediakan Kak Nia.
“Beel” Haikal memanggil lagi. Kali ini lebih lantang dan tegas suaranya.
Beel mengangkat wajah namun tidak mengeluarkan suara. Haikal melepas nafas. “Awak marahkan saya lagi?”
Beel menelan liur. Pastilah marah. Tidak tahukah Haikal arnab itu adalah pemberian orang? Jika tidak dijaga dengan baik, pastilah rasa bersalah. Yang penting, dia juga sudah lama teringin untuk memiliki arnab sendiri.
“Saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja. Saya langsung tak perasan ada Wanwan kat belakang waktu tu” Haikal memandang penuh mengharap. Dia benar-benar berharap keserabutan ini dapat diselesaikan.
Beel diam. Mata masih memandang Haikal namun tiada respon atau tindakbalas yang diberikan. Biar Haikal tahu betapa marahnya dia.
“Awak maafkan saya boleh?”
Beel mengangguk. Pun begitu, dia tetap membisu. Haikal diam, tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi. Memang benarlah kata orang. Perempuan susah dilayan dan susah difahami.
Sedangkan Beel yang berperangai kanak-kanak pun susah dilayan, apatah lagi perempuan normal yang berperilaku sesuai usia mereka?
“Ada nak cakap apa lagi?” Beel menyoal, bosan menanti.
Haikal diam seketika, mengambil nafas. “Awak maafkan saya kan?”
Beel membuat muka. “Tak boleh ke guna kau aku yang macam awak selalu buat tu?”
“Awak maafkan saya tak?” Haikal menyoal, tidak mempedulikan riak wajah Beel.
“Dah” Beel menjawab sepatah.
“Saya minta maaf. Saya janji lepas ni, saya takkan buat awak ..”
“Nak cakap apa sebenarnya ni?” Beel memotong kata-kata Haikal.
“Papa suruh kita pergi Kuwait”.
Beel memandang. Lama, merenung wajah Haikal. “Apa? Bila? Kenapa?”
“Pergi Kuwait. Saya dah beli tiket, flight esok. Saya memang nak bagitahu awal-awal, tapi saya tak tahu macam mana nak cakap”.
“Kenapa?”
Haikal menarik nafas. “Awak marahkan saya. Kalau awak tengah marah, saya cakap apa pun awak tak nak dengar kan?”
Beel mencebik. Perlahan senyum terukir di wajahnya. “Saya tanya kenapa kita kena pergi Kuwait”.
Haikal terdiam. Baru tersedar dia tersalah faham. “Ada wasiat atuk saya. Kalau kita dah sampai, nanti awak faham sendiri. Nak cerita susah”.
Beel mengangguk. Haikal memandang Beel yang masih di tempatnya. “Fasal arahan awak tak boleh keluar tu, saya tarik balik”.
“Apa?”
“Fasal arahan tu, saya tarik balik. Mulai hari ni, awak boleh pergi mana awak nak. Selagi awak tak buat benda jahat dahlah”.
Beel menguntum senyum. Namun hanya seketika. Haikal sudah mula tersenyum memikirkan Beel tidak lagi marah padanya. Tapi senyumnya mati bila Beel kembali bermasam muka.
“Sebenarnya papa dah bagitahu. Saya dah tahu fasal Kuwait tu” Beel bangun dari duduknya.
“Kenapa awak tak bagitahu saya yang awak dah tahu?” Haikal seperti tidak berpuas hati. Punyalah dia berhempas-pulas memikirkan cara untuk memberitahu Beel, rupanya Beel sudah tahu?
“Awak tak tanya” ucap Beel perlahan dan bangun dari kerusi. Beredar dari ruang makan. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu, betapa dia puas dapat mengenakan Haikal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s