DILARANG NIKAHI AKU – 32

Dia berlari meluru masuk ke dalam rumah sebaik saja Porsche milik Haikal itu mati enjinnya. Matanya mencari-cari. “Opah!!”
Puan Sri Normah yang sedang berbual dengan Mak Jah dan Irah di dapur terkejut. Suara itu, Puan Sri Normah berlari anak menuju ke ruang depan.
“Opah!”
Puan Sri Normah tersenyum melihat Beel meluru ke arahnya. Beel memeluk tubuh opahnya seerat mungkin. Rindu pada opah tak terkira. Inilah kali pertama dia menemui opah sejak berkahwin dengan Haikal.
Beel melepaskan pelukannya. Wajah opah ditatap lama hingga menitis air matanya. Puan Sri Normah mengesat air mata Beel. “Janganlah menangis”.
Beel tersedu-sedu menahan tangisnya. “Rindu sangat”.
Puan Sri Normah mengangguk memahami. Maklumlah, dia dan jarang baru berpisah buat pertama kalinya. Bukan Beel saja yang menderita kerana rindukannya, dia juga pagi petang siang malam merindukan cucunya itu.
“Manjanya!”
Beel mengerut dahi mendengar suara itu. Air matanya dikesat, membelakangi sang empunya suara. Puan Sri Normah tersenyum memandang Haikal.
“Opah” Haikal menghulurkan tangan menyalami nenek mertuanya itu.
Puan Sri Normah mengusap kepala Haikal. “Sihat?”
Haikal mengangguk. “Sihat, alhamdulillah”.
Beel mencebik. Depan opah, mulalah mahu buat perangai malaikat. Baik dan sopan konon. Blahlah lu!
“Opah” Beel mula merengek.
Puan Sri Normah menggeleng-geleng kepalanya. “Dah ada suami pun nak merengek macam ni lagi?”
Beel sengih. Ikutkan hati mahu saja dia menjawab, ada suami bagai tiada. Tapi dia diamkan saja. Mengenangkan opah pasti dapat mengesan masalah antara dia dan Haikal. Nanti opah risau pula.
“Cik Beel” Mak Jah dan Irah menegur serentak.
Beel memandang. Baru tersedar mereka berdua setia di belakang Puan Sri Normah. Langkah diatur menuju ke arah mereka berdua.
Tubuh Mak Jah dipeluk erat. Dan pipi wanita tua itu dicium. Membuktikan betapa rapatnya dia dengan Mak Jah. Kemudian Irah pula dipeluk.
“Cik Beel sihat?” Irah menyoal, rindu pada cik mudanya yang banyak karenah itu.
Beel mengangguk dengan senyum yang menampakkan barisan giginya. “Rindu Kak Irah. Tak de orang nak sikatkan rambut Beel”.
Haikal ketawa kecil. Sikat rambut pun meminta orang lain buatkan? Sah-sahlah manja terlebih. Beel memandang dengan jelingan matanya. Menyampah betul dengan Haikal. Ada saja bahan ketawanya.
“Beel datang dari airport ke?” Puan Sri Normah menyoal, mencuri perhatian Beel.
Beel mengangguk. Lengan opah ditariknya. “Jom pergi ruang depan. Beel ada belikah hadiah untuk semua orang. Dari Kuwait …”

###########

Dahinya berkerut melihat kereta Savy berwarna emas memasuki garaj setelah pagar terbuka. Beel yang sedang bermain ‘game’ di telefon bimbitnya berhenti bermain.
Nia berlari anak datang ke arahnya. “Cik Beel, nak Kak Nia buatkan air ke?”
Beel memandang Nia. Tangan diangkat tanda meminta Nia tunggu sebentar.
“Surprise!” Fah muncul dari balik pintu kereta yang terbuka.
Beel membulatkan mata. Wajah yang tadinya tak beriak langsung terukir senyum serta-merta. Nia dipandang. “Kak Nia buatkan jus durian belanda”.
Nia mengangguk. Memang maklum dengan kegemaran Beel yang satu itu. Dia meminta diri masuk ke dapur untuk membuat air.
Fah melangkah ke arah Beel sambil menjinjing sebuah beg plastik putih di tangannya. “Apa khabar?”
“Kereta siapa?”
Fah menjongket kening. Tangan dibuat gaya sotong menunjuk ke arah diri sendiri. Beel membulatkan mata dengan mulut ternganga. “Betul ke?”
“Hey! Tengok oranglah nak main-main” Fah ketawa kecil.
Beel tersenyum lebar. Tangan Fah dicapai dan digenggam. “Abang Wan belikan kau kereta?”
“Yes dear” Fah mencuit dagu Beel.
Beel langsung menarik tangan Fah duduk di dalam pondok tempat dia melepak. “Kau pujuk abang Wan ke?”
Fah menggeleng. Beg plastik putih dihulurkan pada Beel. Beel menyambut dengan wajah hairan. Beg plastik itu dibuka dan diintai isinya.
“Aku tak tahu nak bawa apa”.
Beel tersenyum. Keropok lekor memang kegemarannya tapi .. sekarang ini ada sesuatu yang lebih dia mahukan.
“Tak suka ke?” Fah menyoal, melihat reaksi Beel yang tidak seperti biasa.
Beel senyum menampakkan gigi. Fah mengerut dahi. Nampak sangat senyumnya tidak ikhlas. “Sorrylah, aku memang tak tahu nak beli apa”.
“Sukalah” Beel menguntum senyum. Kali ini senyum yang sebenar-benar senyum.
Fah menggeleng. “Gaduh dengan Haikal lagi ke?”
Beel ketawa. “Bukan pernah berbaik pun”.
“Habis kenapa?”
Beel memuncungkan mulutnya. “Teringin durian …”
Tubuh disandar pada tiang pondok.
Fah melepas nafas. Mulalah keluar perangan mengidamnya itu. “Mana nak cari durian awal tahun ni?”
Beel mengeluh. “Tak tahu kenapa? Teringin sangat ..”
Fah membuat wajah serius. Saat itu, Nia datang menghidangkan air buat mereka berdua. Fah menguntum senyum buat Kak Nia. Mengucapkan terima kasih buat pembantu rumah yang banyak berjasa.
“Kau mengandung ke?” Fah menyoal bila Kak Nia hilang dari pandangan mata.
Beel membulatkan mata dengan kerutan dahi. Tubuh Fah ditolak serta-merta. “Gila!”
Fah ketawa kecil melihat respon Beel. “Yelah. Mengidam semacam je. Sekarang bukan musim durian. Kau nak suruh aku cari kat mana?”
Beel melepas nafas. Agaknya dapat tak dia makan buah durian hari ini?

##########

Syakir ketawa dalam pemanduannya. Cerita Haikal tentang Beel selalunya mencuit hati. Comel betul isteri temannya itu.
“Kau sayang dia tak?” sengaja Syakir memberi soalan cepu emas.
Haikal memandang Syakir. Ikutkan hati mahu diluku kepala Syakir itu. Tapi gerai buah-buahan di tepi jalan lebih menarik perhatiannya. “Stop!”
Syakir mengerut dahi mendengar kata-kata Haikal. “Apa?”
“Berhenti! Stop!!!!”
Proton Saga Sv milik Syakir sedikit terhenjut apabila brek kaki ditekan mengejut. Syakir memandang Haikal dengan wajah marahnya. “Dah kenapa kau ..”
Marahnya terhenti melihat Haikal yang tersenyum. Selamba keluar dari kereta menuju ke gerai buah-buahan yang telah mereka lepasi tadi.
“Woi!” Syakir memanggil. Kepala digeleng-geleng melihat gerilaku temannya. Langsung enjin kereta dimatikan dan dia turun dari kereta. Mengikut Haikal.
“Pak cik” Haikal menegur sang peniaga.
Pak cik tua sekitar 50-an itu tersenyum memandang Haikal. “Ya nak, ada apa boleh pak cik tolong? Nak beli buah apa?”
Haikal diam seketika. Syakir yang berdiri di sisi dipandang seketika. Namun Syakir sedang khusyuk merasa buah-buahan pameran yang berada di atas meja.
Pak cik tua itu menjongket kening. Haikal sengih, bagaimana ya?
“Durian tu ..”
Seperti yang Haikal duga, Syakir terus memandangnya sebaik dia menyebut nama buah durian. Syakir melaga bahu Haikal. “Kau nak beli durian ke?”
Haikal mendengus. Mengganggu saja! Syakir menggaru kepala yang tidak gatal. Biar betul Haikal menanya tentang buah durian. Sedangkan semenjak mereka berkawan, tidak pernah sekalipun Syakir melihat Haikal makan buah durian.
Setakat memandang atau mencium baunya saja Haikal tidak suka. Busuklah. Hanyirlah. Gelilah. Berbagai alasan yang dia berikan. Tapi ini .. Apa yang berlaku?
“Anak nak beli durian?” peniaga tua itu menyoal.
Haikal mengangguk. “Mana pak cik dapat? Sekarang bukan musim durian kan?”
Peniaga tua mengangguk. “Memang pun. Adalah rezeki lebih. Sebab sekarang bukan musim, pak cik jual sebiji RM 10.00. Anak nak beli juga ke?”
Haikal mengangguk dengan senyuman. Peniaga tua itu menguntum senyum. Tiga biji buah durian diletakkan di dalam plastik. Haikal membayar RM 30.00 hanya untuk tiga bii durian. Tapi dia tidak kisah. Yang penting, hati orang rumahnya gembira.

###########

Safwan tersenyum memandang gambar Beel yang terletak kemas di bingkai gambarnya. Senyuman Beel ketika itu sangan cantik. Sama cantiknya Beel pada matanya kini.
Tapi .. sayang, Beel kini isteri orang. Bukan gadis yang masih bujang dan tidak punya status apa-apa seperti dulu. Dia sudah sah menjadi isteri Haikal Hadzim.
Safwan melepas nafas. Apa yang harus dia lakukan untuk melupakan Beel? Sejujurnya mencintai Beel bukanlah perkara yang salah padanya. Lebih-lebih lagi, dia mencintai Beel dalam diam. Beel pastilah menganggap dia melayani Beel seperti biasa. Dengan status seorang abang.
Cuma … dia takut dan tidak mahu hal itu sampai ke pengetahuan Fah. Pasti banyak yang akan adiknya itu persoalkan. Apatah lagi, Fah seperti suka apabila Beel menjadi isteri Haikal.
Namun melihat Beel yang asyik muram sekarang, dia juga tidak suka. Beel seperti tidak bahagia bersama Haikal. Iyalah, Haikal pasti menganggap Beel sekadar pengganti Suraya.
Sejujurnya dia tidak tahu apa sebenarnya penyebab Suraya diganti oleh Beel. Bukankah lebih mudah jika majlis perkahwinan itu dibatalkan saja? Bukanlah sulit untuk membatalkannya. Lagipun, hanya perlu menanggung malu saja. Tidaklah melibatkan kehilangan nyawa jika majlis perkahwinan itu dibatalkan.
Gambar itu diusap. Seandainya .. andainya saja Beel tidak bahagia di sisi Haikal, dia akan merampas gadis itu dari Haikal. Pasti, kerana Safwan tahu Beel lebih bahagia bila dengannya.
“Buat apa tu?!”
Safwan langsung memasukkan bingkai gambar ke dalam laci. Menoleh ke belakang, melihat Fah yang tersengih di muka pintu biliknya.
“Fah kejutkan abang ke?”
Safwan tersenyum. Sebolehnya cuba menyembunyikan riak terkejutnya. “Taklah”.
“Abang tengah buat apa?”
“Tengah chat dengan kawan. Fasal presentation esok”.
Fah membuat mulut berbentuk ‘o’. “Jom makan. Fah dah siap hidang”.
Safwan mengangguk. Pintu laci dirapatkan dan dia membuntuti Fah ke meja makan.

###########

“Wanginya!” Beel yang sedang minum air masak di dapur menjerit kecil bila terhidu bau buah durian.
Nia yang sedang membasuh pinggan melihat muka pintu dapur. Haikal berdiri tegak dengan senyuman dan beg plastik di tangannya.
Beel mengerutkan dahi. “Awak belikan buah durian ke?”
Haikal tidak menjawab. Tiba-tiba terasa egonya jatuh pula. Mengapa dia membeli buah durian untuk Beel?
Beel melangkah ke arah Haikal. Beg plastik di tangan Haikal diambil dan diintai isinya. “Kak Nia, buah durianlah!”
Nia tersenyum dan mengangguk. Dia memanglah gembira bila puan mudanya gembira. Tapi .. rasanya Tn.Hazan ada memaklumkan padanya bahawa Haikal tidak sukakan buah durian dan segala yang berkait dengan buah itu.
“Bukakan” Beel mengeluarkan buah durian itu dari dalam beg plastik.
Haikal menelan liur bila melihat Nia mengambil kain dan parang untuk membuka buah durian. Beel di sisi Nia berdiri sambil menggenggam jari-jemari. Bagai anak kecil menanti ibunya memberikan gula-gula.
“Awak …” Beel memandang.
Haikal menjongket kening. Beel tersenyum semanis dan seikhlas mungkin. “Terima kasih tau”.
Haikal tersenyum melihat senyum mekar Beel. Langkah diatur mendekati mereka berdua. Dia duduk mencangkung di sisin Beel yang menanti Nia membelah buah.
“Dah ke?” Beel menyoal Nia penuh teruja.
Nia mengangguk. Sebaik saja buah durian itu terbuka, terhidulah baunya yang wangi pada Beel namun busuk pada Haikal. Segera dia menjauh dan hidung ditutup. Namun masih tidak meninggalkan dapur. Menyaksikan Beel ‘menghadap’ buah durian itu.
“Manisnya. Kan Kak Nia?”
Nia mengangguk. Suka dia melihat Cik Beelnya makan tidak berhenti. Makan dan makan lagi. Hingga dia sendiri takut untuk makan banyak. Bimbang tidak mencukupi untuk Beel.
Beel tersenyum di setiap suapannya. Gembira tidak terkata kerana dapat makan buah durian. Memang rezekinya hari ini. Haikal yang menjadi penonton setia dipandang.
Beel mengerut dahi. Baru dia teringat Haikal BENCI kan buah durian. Bagaimana dia boleh membeli buah itu untuk Beel?
Idea datang untuk mengenakan Haikal. Lantas Haikal dipelawa, namun sekdar ajak-ajak ayam. “Tak nak ke?”
Haikal membulatkan mata. Kepala digeleng. “Tak pelah. Awak makan je ..”
“Jomlah makan sekali” Beel mengangkat kening.
Haikal menggeleng lagi. Beel sengih dan ketawa kecil. Lantas seulas durian dicapai dan dia melangkah ke arah Haikal. Haikal mengerut dahi.
“Tak nak”.
“Nahlah”.
Beel maju ke arah Haikal. Menyebabkan Haikal semakin mengundur. Beel makin maju dan langkahnya makin cepat. Dan Haikal langsung melarikan diri.
Maka terjadilah adegan kejar-mengejar antara suami isteri itu. Nia tersenyum sendiri. Nampaknya tuan dan puan tak perlu risaukan encik dan cik lagi. Mereka sudah mula berbaik dan semakin mesra.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s