DILARANG NIKAHI AKU – 33

Matanya yang tadi tertutup terbuka perlahan. Tangannya memisat-misat mata yang sudah celik. Sedikit kebingungan jelas terpamer pada wajahnya. Di mana dia sekarang?
Wanita yang tidur di sisinya dikejut. “Mama, mama”.
Wanita itu bangun perlahan. Melihat wajah di hadapannya yang tersenyum membuatkan matanya membulat. “Su!”
Suraya menguntum senyum. Sekilas sekelilingnya diperhati. “Kenapa mama ada kat sini? Lagi satu, kita kat mana? Hospital ke?”
Sakinah mengangguk perlahan. Pipi Suraya diusap penuh kasih. “Su kenal mama?”
Suraya ketawa kecil. “Takkan Su tak kenal mama sendiri? Apa punya soalanlah mama ni”.
Sakinah mengangguk-angguk. Suraya dipeluk dengan deraian air mata. Suraya mengerut dahi sendiri. Apa yang berlaku sebenarnya?
“Mama … Kenapa ni, Su tak fahamlah” Suraya cuba menolak tubuh mama perlahan.
Doktor dan jururawat berlarian masuk ke bilik Suraya. Suraya tambah tercengan dengan suasana itu. Seperti ada kecemasan saja.
Tubuh Suraya diperiksa dan dia disoal itu ini. Semuanya kelihatan seperti biasa. Doktor menguntum senyum. Memberitahu Sakinah bahawa Suraya baik-baik sahaja.
Namun dia perlu tinggal di hospital lagi untuk diperiksa keadaan dan dilihat perkembangannya. Mungkin saja ada masalah dalaman yang tidak dilihat. Dia harus melalui imbasan CT dan menemui pakar psikologi.
Sakinah mengucapkan terima kasih pada doktor. Kepala Suraya dicium penuh kasih. Syukur sekiranya Suraya telah benar-benar sembuh.
“Mama” Suraya memanggil Sakinah yang sedang menuang air putih buatnya.
“Ya”.
“Dah lama Su kat hospital ni?”
Sakinah mengangguk. “Nak masuk tiga bulan dah. Su jaga diri elok-elok. Nanti dah sihat, kita balik KL”.
Suraya mengangguk mendengar kata-kata mama. Pintu bilik terbuka dan Zamri masuk membawa buah-buahan dan beberapa barangan yang diminta Sakinah. Suraya tersenyum melihat kedatangan papanya.
Zamri menguntum senyum kasih. Syukurlah puterinya sudah sedar dari ‘dunia’nya.

###########

Haikal menelan liur melihat jus durian yang dihidangkan Nia di atas meja. Pastinya ia buat Beel. Tapi .. dia sedikit hairan. Selalunya Beel meminum jus durian belanda, mengapa bertukar jus durian pula?
“Pagi” Beel duduk di tempatnya. Tersenyum memandang jus durian yang dihidang Nia.
Nasi goreng masakan Nia dicedok ke dalam pinggan. Haikal hanya makan roti bakar bersama kaya. Seleranya tidaklah besar seperti Beel.
“Nak tanya sikit” Haikal memulakan perbualan.
Beel menjongket kening sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Haikal berdehem. “Kenapa suka sangat dengan durian? Tak busuk ke?”
Beel ketawa kecil. “Sedaplah. Tanya kenapa, teringin ke?”
Dahi Haikal berkerut melihat Beel menayangkan jus durian itu padanya. Kepalanya menggeleng tanda tidak mahu.
“Selalu minum air durian belanda kan? Kenapa tukar durian biasa?”
“Saja. Yang penting durian, semua saya suka”.
Haikal mengangguk. Memahami namun wajahnya masih mempamerkan tanda tidak suka.
“Walaupun durian ni angin, tapi diakan buah tempatan. Sebagai rakyat Malaysia, kita kenalah bangga dengan buah-buahan tempatan” Beel tiba-tiba saja bersyarah pada Haikal.
Haikal ketawa. “Ada sisi patriotik juga awak ni.”
Beel tersenyum. Wajahnya terpamer tanda bangga. Iyalah, rakyat mana yang tidak suka dengan negara sendiri? Kalau ada pun, tentunya mereka jenis yang tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Kerana itulah wujudnya pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
“Tapi kan” Haikal memandang Beel, menyambung semula ayatnya yang tidak habis. “Ada orang yang saya jumpa, boleh minum sekali teguk je. Habis satu gelas, awak boleh buat tak?”
Beel mengangguk. “Mestilah. Benda kita suka. Tengok ni”.
Beel mengambil jus durian di dalam gelas tinggi. Jus itu diminum dan gelas licin hanya dengan sekali teguk. Haikal tersenyum namun bibir kelihatan mencebik. Mempamerkan dia tidak lalu dengan apa yang Beel minum.
“Habis dah” Beel meletakkan gelas di atas meja semula.
Haikal bertepuk tangan tanda suka. Sekadar meraikan sifat Beel yang keanak-anakan. Beel memandang. “Nanti kalau ada rezeki, saya boleh masak untuk awak”.
“Masak apa?”
“Semua yang berkait dengan durianlah. Tapi kena tunggu musim dulu” Beel sengih.
Haikal mengangguk penuh semangat. Walau dia tidak suka durian tapi suami mana yang tidak teringin makan masakan isteri?

###########

“Kejap!”
Fah menghentikan langkahnya. Kerutan dahi jelas terpamer pada wajahnya. Mengapalah memanggilnya waktu ini?
Syakir menguntum senyum bila langkah Fah berhenti. Dia berlari anak menyaingi gadis pujaan hatinya itu.
“Sibuk ke?” Syakir menyoal.
Fah menguntum senyum. Gelengan diberikan. “Taklah. Nak balik dah”.
Syakir tersenyum lebar. Nasib baik dia sempat mengejar gadis itu. Dia baru saja selesai bermesyuarat dengan pengetua universiti. Fikirnya dia tidak sempat menemui gadis itu.
“Saya hantarkan nak?”
Fah mengerut dahi mendengar soalan itu. Serentak itu, mesej dari Safwan masuk ke telefon bimbitnya. Mengatakan Safwan sudah tiba di universiti. “Tak pelah. Saya balik sendiri”.
Syakir mengerut dahi melihat Fah beredar meninggalkannya. Nafas dilepas namun langkah kaki mengejar Fah. “Fah!”
Fah mendengus. Dia harus cepat. Kalau dilihat abangnya nanti, habislah dia! Mahu sampai esok abangnya menyoal itu ini.
Syakir berlari anak melajukan langkahnya. Mengapalah susah benar mahu rapat dengan Fah? “Fah!”
Fah memejam mata dalam lariannya. Hanya seketika, bimbang tidak nampak jalan. Inilah padahnya tidak bawa kereta sendiri. Dia sengaja meninggalkan kereta di rumah. Atas permintaan abangnya juga. Katanya rindu mahu menghantar dan mengambil adik kesayangannya ini.
“Fah!” Syakir menahan langkah Fah.
Fah menelan liur. Kereta Safwan sudah dilihat. Pasti abangnya melihat keadaan itu.
“Lajunya jalan”.
Fah menguntum senyum tak ikhlas. “Ada apa? Saya nak balik”.
“Saya hantarkan?”
Fah menggeleng laju. “Tak boleh. Abang saya dah tunggu”.
Syakir melepas nafas. “Patutlah. Abang awak mana?”
Fah menunjuk kereta abangnya. Syakir menguntum senyum kecewa. “Kalau free, jomlah keluar”.
“Saya balik dulu” Fah langsung meninggalkan Syakir sendirian. Hati memohon maaf atas sikap sedikit kurang sopannya. Tapi ia lebih baik dari dia disoal siasat abangnya.
Syakir mengeluh sendiri. Tangannya meluku kepala kegeraman dengan kebodohan abangnya. Nampaknya dia harus menyoal Beel, bagaimana caranya mahu memenangi hati kawan baik Beel ini.

##########

“Abang”.
Safwan memandang Fah lama. Fah diam, tahu sangat abangnya melihat apa yang berlaku. Safwan menekan enjin, membiarkan kereta meluncur untuk beberapa minit.
“Siapa tu?” Safwan menyoal dalam pemanduannya.
Fah diam sebentar. “Kawan abang Haikal”.
“Yang nama Syakir tu?”
Fah mengangguk perlahan. Safwan menyoal lagi. “Macam mana boleh ada kat universiti?”
“Dia datang mesyuarat rasanya”.
“Rasanya?” Safwan memandang Fah sekilas.
“Hari tu dia pernah cakap dia ada urusan syarikat”.
Safwan mengangguk memahami. “Sembang apa?”
Fah memandang Safwan. Dia sudah tahu ini yang akan berlaku. Safwan mengulang pertanyaannya semula. “Sembang apa tadi?”
“Aaa …”
Safwan menjongket kening. Menanti kata-kata Fah. Fah masih lagi teragak-agak untuk menjawab. “Dia nak hantarkan Fah balik”.
“Fah jawab apa?”
“Abang dah datang”.
“Lepas tu?”
Fah diam lagi. Safwan diam, setia menanti. Dia memang tidak suka bila Fah berbual dengan lelaki lain yang tiada kaitan. Kerana dia tidak mahu Fah bercinta semasa belajar. Juga kalau boleh, sekiranya Fah benar-benar disukai, Fah disunting dengan cara yang betul. Bukannya diajak bercinta dan diusung sana sini tanpa ikatan apa-apa.
“Tu je” Fah memberi jawapan.
“Dia cakap apa lagi?”
“Dia kata … Kalau … kalau Fah free ..”
“Dia nak ajak keluar?” Safwan menebak.
Anggukan diberikan buat Safwan. Safwan melepas nafas. “Tahu kan abang cukup tak suka Fah ada apa-apa dengan lelaki lain?”
“Tahu”.
Safwan melepas nafas lagi. “Abang bukan apa. Sekarang Fah tengah belajar, belajar betul-betul. Fasal jodoh tu .. kalau dah sampai masa, akan datang juga. Tak payah nak dikejar sangat”.
“Ok” Fah menjawab perlahan.
Safwan mengerut dahi mendengar nada suara Fah yang rendah. “Marahkan abang ke?”
“Taklah. Fah tahu abang buat semuanya sebab sayangkan Fah. Abang jangan risau. Insya-Allah, Fah akan jaga diri elok-elok. Sebab Fah pun sayangkan abang”.
Safwan tersenyum manis. Dia dan Fah hanya tinggal dua beradik. Sekiranya apa-apa terjadi pada Fah, bagaimana dengan dia?
Juga sebenarnya dia tidak mahu Fah menjadi seperit anak muda di luar sana. Emak ayah sibuk bekerja hingga tidak sedar anak sendiri sudah terlalu liar. Tahu-tahu saja perutnya bunting.
Bimbang juga Safwan. Dia sibuk bekerja mencari duit untuk mereka, rupanya Fah sudah mengandungkan anak luar nikah. Nauzubillah, dia sebolehnya tidak mahu Fah menjadi remaja sebegitu.
Kerana itulah dia menjadi setegas mungkin dalam hal ini. Harapannya biarlah Fah menjadi gadis yang terpelihara daripada masalah gejala sosial remaja zaman kini.

###########

“Mak cik faham Haikal sibuk. Tapi kalau ada masa, datanglah tengok Su. Sebelum Su tanya mana Haikal. Mak cik harap Haikal muncul dulu”.
“Ya mak cik. Saya akan pergi sana kalau tak berapa sibuk”.
“Dia dah kenal orang dah. Doktor kata, kalau dah tak de apa-apa, bolehlah balik. Mak cik tengok pun Su dah mula ok dari dulu. Cuma sekarang doktor nak tengok dulu keadaan Su”.
“Ooh ..”
“Mak cik harap Haikal boleh datang. Sekali je Haikal datang hari tu, lepas tu tak pernah datang dah”.
Haikal diam seketika mendengar kata-kata Sakinah. “Maaflah, saya memang sibuk sikit kebelakangan ni. Banyak projek nak masuk”.
“Mak cik tak salahkan Haikal. Mak cik tahu Haikal sibuk. Papa Haikal pun tak de kat Malaysia. Lagilah Haikal sibuk kan? Cuma mak cik harap sekali-sekala Haikal bolehlah datang tengok Su. KL dengan Negeri Sembilan pun, bukanlah jauh sangat”.
“Nanti saya cuba datang”.
“Oklah. Doktor nak bawa Su pergi scan ni. Apa-apa hal, Haikal bagitahu ya?”
“Ok. Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam”.
Haikal melepas nafas. Telefon bimbitnya diletakkan di atas meja. Bagaimanalah dia boleh terlupa bahawa Suraya masih di hospital?
Tangannya menggaru kepala yang tidak gatal. Kebelakangan ini, dia sibuk dengan Beel mungkin. Syakir juga pernah mengatakan sekarang dia sudah berubah. Sudah mula terlihat wataknya sebagai suami orang.
Apakah dia benar-benar sudah jatuh hati pada gadis belasan tahun itu? Haikal menyoal dirinya sendiri. Entahlah, dia sendiri tidak memahami perasaannya. Yang pasti, dia gembira bila bersama Beel.
Melihat keletah dan karenah yang comel, memang menghiburkan hati. Walau ada ketika Beel menjadi gadis yang menjengkelkan, sisi comel dan nakalnya tetap terpamer jelas.
Semua ini perasaan yang tidak pernah dia rasa ketika bersama Suraya. Lagi pun, dia bersama Suraya juga bukanlah atas keinginan dirinya sendiri. Cuma mengikut prosuder wasiat atuk dan saranan opah.
Memang kadang-kala Beel dingin dengannya. Maklumlah, dia memang faham Beel tidak berapa menyukainya atau langsung tak sukakannya. Apatah lagi selepas kes Wanwan dulu. Cuma bila dia berlembut, Beel juga berlembut. Tidaklah asyik nak bergaduh seperti dulu.
Dia tahu, mama di Kuwait selalu menghubungi Beel. Nampaknya mama sudah tertarik dengan menantu mudanya itu. Kelihatan Beel juga cepat mesra dengan mama. Papa tidak usah cakaplah. Sejak dulu memang tertarik dengan gadis itu. Nabilah Anisah.
Haikal melepas nafas. Nampaknya dia harus ke Negeri Sembila melawat Suraya. Kalau dia tidak pergi, apa pula kata mak cik Sakinah nanti?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s